Setelah 8 tahun dibuang Utusan


(Dikemaskini )

Bulan ini, lapan tahun yang lalu atau 2009, saya dibuang kerja sebagai wartawan akhbar Utusan Malaysia yang dimiliki oleh Umno.

Alasan penyingkiran tersebut sangat mudah, memfitnah syarikat.

Ia berlaku setelah berita saya selaku pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu bersama-sama beberapa exco kesatuan membuat aduan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tersiar di beberapa media.

Aduan tersebut berkisar keraguan dalam satu urus niaga dalaman syarikat dan meminta SPRM menyiasat pembelian set tiang gol – merangkumi dua tiang dan pagar halangan – yang berharga lebih RM160,000.

Kes dibuang kerja itu masih berada di Mahkamah Perusahaan setelah lapan tahun saya bersama peguam dan para exco NUJ Utusan turun naik mahkamah.

Entah bilalah saya akan mendapat pengadilannya.

Reda dibuang

Namun, saya tetap reda dengan apa yang berlaku lapan tahun yang lalu kerana 'berkat' penyingkiran saya bersama seorang lagi presiden NUJ Hata Wahari yang juga lantang mengkritik akhbar berkenaan, khabarnya perjanjian bersama (CA) terdahulu dimeterai dengan jayanya.

Rata-rata pekerja Utusan gembira setelah mendapat kenaikan sekitar sembilan peratus dalam CA tersebut dengan semua kelebihan lain yang dinikmati pekerja, terutama aspek perubatan, kualiti pekerjaan dan hak-hak lain dikekalkan.

Walaupun bukan saya yang memeterai CA tersebut bagi pihak kesatuan, saya tetap bersyukur kerana 'pengorbanan' saya bersama beberapa exco kesatuan lain membuahkan hasil yang tidak sempat dinikmati oleh saya sendiri.

Sebenarnya, bukan saya seorang yang 'dikorbankan' malah mereka yang dianggap 'konco-konco' saya turut menerima tempias sehingga ada mereka yang tidak tahan dengan dugaan tersebut meletak jawatan.

Pegangan Umno

Apa yang saya belum 'reda' ialah pegangan Umno dalam syarikat akhbar tersebut sejak tahun 1960-an masih terus berlaku walaupun pengurusan terkini NUJ baru-baru ini turut menegaskan keperluan parti itu 'melepaskan' akhbar tersebut daripada terus menjadi lidahnya.

Majlis Tertinggi NUJ pernah berkata, tindakan Umno melepaskan penguasaan saham sekitar 50 peratus yang dimilikinya akan membolehkan pengambil alihan saham oleh pihak lain yang lebih mampu mentadbir Utusan.

Bekas ketua pengarangnya, Tan Sri Zainuddin Maidin turut membidas akhbar yang pernah dipimpinnya itu dengan mendakwa Utusan Malaysia sebenarnya “kebal dengan berita putar belit, bias, fabricated (direka-reka) dan melanggar etika kewartawanan bertamadun”.

Ini terjadi, kata Zainuddin atau popular dengan panggilan Zam, kerana dimiliki oleh Umno.

Bagi saya, Umno perlu melepaskan Utusan pada kadar segera bagi membuktikan surat khabar tersebut bukan lagi akhbar orang kampung semata-mata dan demi kelangsungan kehidupan pekerjanya yang khabarnya kian terhimpit ekoran akibat kelemahan kedudukan kewangannya.

Ekoran propaganda Utusan ke atas pembaca di kampung dan pedalaman, Umno berjaya mengekalkan pengaruhnya tetapi masyarakat bandar yang lebih bermaklumat dan terhimpit ekoran akibat dasar-dasar BN tidak lagi terpedaya dengan beritanya.

Malah, Utusan kian kehilangan pembaca setelah saban hari menyajikan berita-berita yang prokerajaan semata-mata sehingga ke tahap 'menjilat'.

Kewangan tenat

Akibatnya, penurunan jumlah pembaca dan jualan akhbar tersebut memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan syarikat yang kini khabarnya asyik mengalami kerugian dalam laporan kewangannya saban tahun.

Lebih daripada itu, wartawan dan jurugambarnya terus dihimpit masalah sehingga ada kalanya gaji lambat dibayar.

Itu belum termasuk kegagalan antara NUJ Utusan dan majikannya untuk memeterai perjanjian bersama yang khabarnya telah tertangguh sejak bertahun lama.

Untuk rekod, Utusan telah mengalami kerugian dalam lima tahun kebelakangan ini termasuk tahun lepas dengan RM59 juta manakala kerugian tertinggi ialah pada tahun 2014 dengan RM82.6 juta.

Justeru, Umno perlu 'mengenang' jasa para petugas media terutama dari Utusan Melayu dengan 'membebaskan' cengkaman mereka dari Jabatan Pengarang akhbar itu bagi ia menyajikan berita-berita yang benar, adil dan tidak membuatkan para pembacanya 'termuntah'.

Kembali diminati

Saya cukup yakin Utusan akan kembali diminati oleh segenap lapisan masyarakat jika ia menyajikan berita dan rencana yang adil, seimbang dan membawa erti kata sebenar dalam konteks politik Malaysia dengan lonjakan jumlah pembeli yang drastik.

 

Pada masa yang sama, parti-parti politik lain terutama MCA dan MIC perlu juga melepaskan pegangan mereka dalam The Star dan beberapa akhbar berbahasa Tamil di negara ini agar masyarakat Malaysia lebih berpengetahuan dan mendapat maklumat yang saksama.

Jika betul 'jantan' seperti yang diuar-uarkan selama ini, BN menerusi parti-parti komponennya perlu melepaskan pegangan mereka dalam semua akhbar di negara ini.

Jika mereka berani untuk lakukannya, mereka pertandingan dalam menentukan siapa pemilik Putrajaya dalam pilihan raya ke-14 nanti menjadi adil dan berjalan di padang yang sama rata.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden Cuepacs dan naib pengerusi DAP.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.