Islam kosmetik tanpa roh dan etika


(Dikemaskini )

Seorang rakan yang baru setahun balik ke Malaysia, kembali bertugas di sebuah kementerian di Putrajaya bercerita panjang mengenai situasi pejabatnya. Selepas lebih sedekad bertugas di luar negara, mulanya bersemangat untuk berbakti sebelum persaraan.

Dia yang juga berlatar belakang bidang agama sungguh kecewa melihat cara dan sikap kakitangan kerajaan bekerja. Kerja yang boleh diselesaikan seminggu menjadi berbulan kerana kononnya semua prosedur dan amalan yang menjadi budaya!

Ironinya, menurut kawan saya itu, setiap pagi setiap jabatan kerajaan membuat amalan membaca doa seperti ahli syurga semuanya, tetapi bila bab kerja, langsung tidak islamik.

Lebih hipokritnya, solat tidak tinggal, puasa penuh sebulan, tarawih tetap 20 rakaat dan semua menutup aurat, tetapi sikap sewaktu kerja jauh daripada menetapi roh Islam yang sebenarnya.

Solat menjadi ritual dalam islam kosmetik penuh hipokrasi. Tidak hairan kita mempunyai pelbagai masalah, dari kecil hingga besar. Anak luar nikah, dadah, mat rempit, politikus kleptokrat dan para agamawan tidak habis bergaduhan.

Islam yang kita corakkan menghitamkan agama suci yang menjadi agama rasmi perlembagaan semenjak merdeka.

Saya tidak terkejut walau sudah hampir dua dekad tidak bekerja di tanah air. Begitupun, dari pengalaman berurusan dengan banyak jabatan kerajaan, ada kalanya nampak perubahan positif dalam beberapa perkara. Itu pengalaman sedikit sebagai rakyat berurusan dan bukan yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan sendiri seperti kawan saya itu.

 

Sewaktu saya menjadi pengurus besar bawah syarikat penyanyi Cat Stevens atau Yusuf Islam di Dubai, banyak saya belajar mengenai apa yang bernilai 'islamik' dan apa yang hipokrasi daripada seorang yang profesional dan berjaya dalam bidang seni dunia.

Contoh paling kecil, saya memilih warna hijau sebagai warna logo syarikat. Cat Stevens menolaknya dan bertanya, "Apakah hanya hijau warna islamik?"

Pandangan dan kefahaman Islam saya begitu sempit mengikut acuan Melayu Islam yang lebih kepada kosmetik dan ritual. Walaupun sewaktu belajar di New Zealand, sedikit sebanyak memberi impak kepada pemikiran, perlakuan, tetapi suasana di Malaysia mengubah banyak perkara.

Satu pengajaran sewaktu di New Zealand ialah punctuality, menepati masa. Paling terserlah ialah jadual bas. Sentiasa tepat mengikut jadual dan kalau lambat seminit pun pasti tertinggal.

Dari situ menjadi tabiat untuk sentiasa menepati waktu sehingga hari ini dan menepati waktu adalah islamik. Berapa ramai yang menepati waktu, hatta waktu solat lima waktu?

Begitu juga kebersihan dalam setiap sudut, terutama penjagaan tandas dan pemuliharaan alam sekitar. Semuanya bermula dari individu, tanpa perlu segala peraturan dan slogan yang tiada erti apa-apa.

Tak jual 'agama'

Kalau di masjid sendiri tidak selamat dan tidak terjaga kebersihan tandas, apatah lagi di luar masjid.

Agak istimewa di UAE, tiada papan tanda amaran 'Jaga Barangan anda' dan 'Awas pencuri' di masjid-masjid. Pakailah kasut semahal mana, kes kecurian amat jarang. Malah di musim panas, ramai yang tidak menutup enjin kereta untuk bersolat, ke bank atau ke kedai.

 

Begitu selamat. Sehingga pihak polis menyaman kenderaan yang tidak ditutup enjin!

Sewaktu bekerja dengan syarikat kerajaan Dubai, satu perkara yang menarik mengenai Dubai itu sendiri tidak menjual 'agama' untuk menarik pelaburan. Motonya, sekiranya bagus untuk bisnes, baguslah untuk Dubai.

Tetapi tidak bererti apa pun boleh walau melanggar agama. Ada peraturan dan batasan. Yang ketara, tidak seperti negara kita yang riuh sekampung sebagai negara Islam tetapi ramai politikus yang memimpin merompak, menyeleweng dana, rasuah, berbohong setiap hari dan meriah dengan pelbagai skandal yang memalukan.

Di UAE, tiada terasa kempen 'islamisasi' atau 'wasatiyyah' kerana Islam tidak pada slogan dan kempen berbau politik. Tentunya, UAE tidak sempurna seperti juga banyak negara, apa yang kita lihat ialah perkara positif dan kesungguhan untuk menjadi lebih baik tanpa mempergunakan agama.

Memang banyak perubahan dalam khidmat jabatan kerajaan di UAE semenjak dua dekad. Kesungguhan untuk memperbaiki khidmat bukan sekadar perhiasan pejabat yang indah dan mahal. Kerenah penjawat awam semakin baik kerana ketegasan pemerintah.

Pertama kali saya disedarkan mengenai etika dan profesionalisme ialah dalam satu perbualan dengan seorang pemandu bas berbangsa Maori di New Zealand. Zaman mahasiswa 80-an. Setelah lama kenal, saya beranikan diri untuk bertanya, kenapa jadi pemandu bas?

Pemandu itu dengan bangga menjawab, "Saya seorang profesional. Ya, walau sebagai pemandu bas, saya berbangga dengan kerjaya saya untuk rezeki halal. Saya memperbaiki dan memajukan diri sendiri dengan belajar apa sahaja mengenai bas, termasuk untuk mekanikal. Saya bahagia dengan kerjaya sebagai pemandu bas!"

Kalau kita pergi ke negara-negara Islam, tidak banyak yang kita boleh lihat Islam selain masjid, pakaian dan solat. Bermula dari lapangan terbang yang jarang efisien dan mesra pelanggan.

Mesir misalnya, di luar pagar Universiti Al Azhar, jauh keadaan realitinya.

Begitu juga di Arab Saudi, malah di Mekah dan Madinah. Bayangkan Arab Saudi tanpa Masjidil Haram, siapakah yang sudi datang dengan sikap orang tempatan secara umumnya. Dan di Masjidil Haram sendiri, kalau tanpa ribuan pekerja menjaga kebersihan, apakah sebersih yang kita lihat?

Arafah dan Mina selalunya dipenuhi sampah sarap dan memerlukan ribuan pekerja. Kalaulah setiap jemaah menjaga kebersihan, tidak perlu ada ribuan pekerja.

60-an yang sekular

Apapun, kita juga mempunyai jumlah penjawat awam yang besar. Besar berbanding jumlah penduduk. Sama juga jumlah menteri kabinet yang besar hanya untuk memenuhi keperluan politik.

Tidak dinafikan, memang ramai penjawat awam kita yang profesional dalam pekerjaan mereka dipelbagai peringkat. Mereka bukan sahaja islamik dalam nilai etika tanpa menjual slogan dan kostum agama, malah menjadi contoh. Terutama di tahun 60-an ke 70-an, ramai yang begitu komited, dedikasi walaupun waktu itu dianggap sekular kerana belum ada islamisasi, wasatiyyah mahupun perjuangan untuk RUU355 dan hudud.

 

Kita mengharapkan lebih ramai, kalau tidak semua kakitangan kerajaan, yang majoritinya Melayu Islam memahami bahawa Islam bukan sekadar solat, puasa, haji, zakat, tetapi juga etika pekerjaan dengan amanah diberikan.

Cuma contoh yang diberikan para menteri kabinet dari perdana menteri, menteri ke timbalan menteri begitu tidak islamik. Kita boleh lihat menteri menggunakan jentera, aset dan kakitangan kerajaan untuk berkempen walaupun konon-konon bawah tugas rasmi.

Dengar sahaja ucapan mereka di majlis rasmi yang penuh retorik, kempen politik dan menghentam seteru politik. Apalagi menggunakan kenderaan, jentera dan penjawat awam untuk aktiviti parti tanpa rasa berdosa sedikitpun.

Ataupun mereka tidak tahu membezakan antara kerja untuk rakyat dengan kerja untuk parti.

Setiausaha politik dan pegawai khas misalnya, apakah tugas untuk kerajaan atau untuk parti dan bos? Itu satu contoh kecil.

Lantas saya teringat kata-kata Muhammad Abduh, “I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I got back to the East and saw Muslims, but not Islam.”

Begitu juga Cat Steven yang menemui Islam (hidayah daripada Allah) melalui al-Quran yang dibacanya bukan melalui orang Islam. Dia tidak pernah jumpa orang Islam lebih dahulu dan setelah mengenali majoriti orang Islam, tidak sama dengan pemahaman dalam ayat-ayat al-Quran!

Maka untuk mengubah dunia, bermula dari diri sendiri dan keluarga, dengan mencari ilmu seperti wahyu pertama, “Bacalah.”

Paling kritikal mengubah negara dan bangsa ialah sistem pendidikan mesti berjaya membina insan bukan sekadar riuh rendah dengan jumlah A demi KPI. Bukan semakin bercambah segala yang islamik (tahfiz, universiti dan bank) tetapi hanyalah pada slogan, kostum, kosmetik semata-mata tetapi negara haru-biru terutama bawah politikus kleptokrat bertaraf cakerawala!