malaysiakini logo
story-image
ADS

Malaysia perlu bersedia untuk berubah. Kesediaan untuk berubah itu bukan setakat mengubah parti pemerintah yang mentadbir kerajaan semata-mata, walaupun tidak dinafikan ia ikhtiar teras ke arah perubahan yang lebih tuntas.

Sikap menolak perubahan tidak penting lagi kerana kemajuan sains dan teknologi akan tetap datang untuk mendobrak segala-galanya.

Kemajuan sains dan teknologi perlu dikendali dan ditangani dengan sebaik mungkin berlandaskan keputusan politik yang melalui proses penentuan secara demokratik, bukan sekadar keputusan yang hanya memberi manfaat kepada segolongan teknologis yang sedang menguasai dunia hari ini – melangkaui kuasa politik.

Malah dalam kemajuan sains dan teknologi di bawah kekuasaan kapitalisme pengawasan (surveilance capitalism) konsep-konsep seperti kedaulatan negara, keluhuran undang-undang atau hak asasi manusia sudah tidak penting lagi.

Malaysia mesti bersedia, kalau perlu ke tahap bersiap siaga bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 yang ditandai dengan perubahan pantas teknologi dalam bidang-bidang utama sains terkini yang semakin canggih seperti super (kuantum) komputer, kecerdasan buatan (Artificial Inteligence - AI), mesin berfikir, robotik, kejuruteraan genetik hayat hidupan (biologi), pencetak 3D dan teknologi nano.

Ia merubah cara-cara pengeluaran dan kepenggunaan. Begitu juga bentuk kemahiran dan pengetahuan yang perlu dimiliki pekerja.

Hari ini telefon sudah menjadi telefon bimbit, siapa lagi yang perlukan pondok telefon untuk berkomunikasi.

Hari ini juga pemandu Grab dan Uber sedang menggantikan pemandu teksi. Esok, kereta Grab dan Uber akan bergerak sendiri dengan kenderaan robotik kendalian Kecerdasan Buatan yang dipandu secara automatik.

Maka pekerjaan seperti pemandu kereta, lori, bas akan berkurangan.

Pengautomatan (automation) akan mengambil alih pekerjaan dalam pengeluaran, pembuatan barangan dan perkhidmatan.

Robot lebih rajin, kuat, patuh, dapat membuat kerja-kerja rumit, tepat dan jarang-jarang sekali bercuti.

Pengangguran anak muda

Baru-baru ini Malaysiakini melaporkan berita tentang kadar pengangguran anak muda yang tinggi di Malaysia sebanyak 10.7 peratus.

Berita tersebut memetik Laporan tahunan Bank Negara pada 2016 yang turut menyebut kadar pengangguran belia adalah lebih tiga kali ganda kadar pengangguran negara pada 3.1 peratus.

Laporan itu turut memetik pandangan seorang ahli ekonomi Universiti Tun Abdul Razak Dr Barjoyai Bardai yang menjelaskan masalah pengangguran masa kini diibaratkan sebagai keadaan ayam dan telur.

Maksudnya, punca pengangguran sering diletakkan di bahu graduan yang kurang kemahiran dan pengalaman yang diperlukan, yang menjadikan mereka kurang menarik hati majikan.

Manakala graduan pula mengatakan tidak boleh mendapat pengalaman jika tidak diberikan peluang untuk bekerja.

Barjoyai berkata banyak graduan hari ini sering tidak memenuhi jangkaan tinggi pihak majikan terhadap kakitangan mereka dan kekurangan dalam kemahiran yang sangat diperlukan; kecerdasan emosi, kreativiti dan inovasi, serta keupayaan untuk menjangka dan mempersiapkan diri untuk berdepan dengan masa depan.

Mei lalu, Malaysiakini juga melaporkan bahawa tahap pengangguran di kalangan anak muda terus tinggi sejak tahun 2012. Berita berkenaan memetik Laporan Economic Review 2016 Labour Market keluaran MIDF Research.

Menurut laporan itu kadar pengangguran anak muda (35 tahun ke bawah) mencecah 10.5 peratus dengan jumlah belia menganggur membabitkan 273,400 individu yang berumur di bawah 25 tahun dan merangkumi 17.8 peratus daripada jumlah tenaga buruh Malaysia pada 2016.

Kita seharusnya bimbang dengan perkembangan semasa. Saya tidak mengatakan pengautomatan menjadi punca pengangguran ini – perlukan kajian lebih mendalam daripada pakar-pakar akademik.

Tetapi kita tidak dapat mengenepikan bahawa pengautomatan menyumbang ke arah pengangguran.

Berdasarkan Laporan The Future Of Jobs (Masa Depan Pekerjaan), terbitan World Economic Forum (WEF) pada 2016 mendapati menjelang 2020 sebanyak satu pertiga kemahiran yang difikirkan penting dalam pekerjaan hari ini akan berubah.

Ia akan mengubah cara kita bekerja dan hidup. Ada pekerjaan yang akan pupus berganti pekerjaan baru yang belum lagi wujud hari ini. Masa hadapan pekerjaan memerlukan persediaan.

Laporan WEF itu menyebut tiga bentuk kemahiran utama yang perlu dimiliki pekerja masa hadapan di zaman Industri 4.0 adalah keupayaan penyelesaian masalah yang rumit, pemikiran kritikal dan daya cipta (kreativiti).

Sebuah hasil kajian daripada National Bureau Of Economic Research di Amerika Syarikat pula mendapati tidak semua pekerjaan yang terlepas ke tangan robot dapat digantikan.

Kajian hasil pakar ekonomi Daron Acemoglu (MIT) dan Pascual Restrepo (Boston University) itu mengkaji kesan robot untuk industri ke atas pasaran pekerjaan AS di antara 1990 dan 2007, tanpa mengambil kira bidang-bidang teknologi terkini Industri 4.0 seperti kenderaan pemanduan sendiri dan AI.

“Seperti yang dijangkakan, kategori pekerjaan yang semakin berkurangan merupakan kerja rutin manual, pekerjaan kolar biru, operator dan pekerja pemasangan, pengendali mesin dan pekerja pengangkutan, “ tulis Acemoglu dan Restrepo.

Robot menjadi punca kehilangan kira-kira 670,000 orang pekerja dalam sektor pembuatan di antara tahun 1997 ke 2017 itu. Jumlah kehilangan kerja ini bakal terus meningkat seiringan dengan penambahan guna tenaga robot.

Industri di Malaysia juga terus bergerak pantas ke arah Industri 4.0.

Kita dapat lihat misalnya syarikat-syarikat robotik dan AI besar dunia seperti Festo, Hitachi dan Kuka sudah lama bertapak di Malaysia menawarkan penyelesaian industri untuk menaik taraf perkakas pengeluaran dan pembuatan seiring dengan kemajuan zaman.

Sementara itu, syarikat tempatan seperti Robotics Learning telah memperkenalkan program pertandingan robotik di peringkat sekolah sejak tahun 2009.

Manakala pada Mei 2017 lalu, dilaporkan Johor Corporation menandatangani perjanjian dengan syarikat China, Siasun Robot Investment untuk membangunkan bandar robotik masa hadapan di atas tanah seluas 1,000 ekar, bernilai RM15 bilion.

Dikatakan ia membuka 1,000 peluang pekerjaan buat rakyat tempatan.

Pada 2013, Oxford Martin School telah pun mengeluarkan laporan yang melihat pengautomatan pekerjaan dengan membuat penilaian ke atas kebarangkalian robot dan teknologi-teknologi lain akan menggantikan guna tenaga manusia.

Laporan itu menyimpulkan daripada 702 kategori pekerjaan yang diperiksa, 47 peratus akan beralih ke pengautomatan dalam masa 20 tahun.

Memang betul, kita masih belum tahu lagi apa yang akan terjadi esok hari.


RAHMAT HARON seorang seniman 'outsider'.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini

Lihat Komen