malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Haji tanpa visa (2)
Diterbitkan:  Sep 1, 2017 9:48 AM
Dikemaskini: 1:56 AM
ADS

[Sambungan]

Deretan kenderaan, terutama bas sepanjang lebuh raya Riyadh-Makkah melalui Taif menyebabkan kesesakan. Perlahan bergerak. Meriah. Teruja dan ceria.

Kami bertolak agal lambat kerana bukan mudah juga pihak pengurusan bas memastikan semua jemaah datang pada waktunya. Memastikan semua yang berdaftar sudah membayar dan mempunyai visa haji. Mulanya dijadualkan awal pagi.

Para supir dan pembantu rumah Indonesia dihantar dan dibayar oleh majikan. Boleh dikatakan mereka muda-muda.

Ramai yang menhantar termasuk kawan-kawan. Hari itu, hari kerja. Saya diberi kebenaran oleh majikan untuk naik haji. Lagipun memang cuti panjang di Arab Saudi.

Malah bos mahu membayar semua kos. Kalau saya tahu, saya naik kapalterbang dari Riyadh, tetapi dengan visa dicop atas sekeping kertas, tidak selamat di lapangan terbang.

Riuh rendah bas kami. Masing-masing teruja dan bersembang. Pelbagai loghat Indonesia. Kebetulan saya duduk bersama Abdul Rahman (nama ini ditukar selepas haji, tidak ingat nama asal Jawanya).

Abdul Rahman sebaya dengan saya dan dianggap ketua kumpulan. Dia juga kelihatan lebih matang dari yang lain. Banyak kali terdengar dia menasihati dan memastikan beberapa perkara. Bagai seorang ustaz.

Pertanyaan tentang aktiviti haji menyemarakkan perbualan. Saya mendengar sambil cuba memahami. Tanpa berkursus dan hanya melalui pembacaan.

Tiada kebimbangan kerana saya percaya, mengerjakan haji adalah mudah sebab itu Tuhan mewajibkan kepada mereka yang mampu.

Islam secara keseluruhannya, memudahkan.

Duit tak bersih

Ada teringat juga sewaktu kecil mengikuti kelas yang dibuat oleh aruah ayah untuk bakal haji di Kuala Rompin. Arwah ayah saya merupakan bekas kadi dan banyak mengajar.

Dari situ juga saya dapat mendengar pelbagai cerita haji dari arwah yang sudah puluhan kali menunaikan haji dan menetap di Makkah semenjak kecil.

Banyak cerita melucukan yang saya boleh ingat. Semuanya menambahkan jangkaan keadaan suasana haji. Ada juga kisah-kisah yang membuatkan terasa sedikit tidak menyenangkan.

Antaranya ada terbaca dalam akhbar, melalui ruangan pertanyaan dengan ustaz mengenai seorang pesara (penjawat awam) yang tiga kali ke Makkah tetapi gagal masuk ke dalam Masjidil Haram.

Pesara itu menyedari yang hampir keseluruhan hidupnya dipenuhi rasuah dan penyelewengan.

Duit yang dikumpulnya semua tidak bersih. Lantas, bertanya kepada ustaz itu, bagaimanakah dia boleh menyucikan harta dan wangnya untuk membolehkan dia mengerjakan haji dengan sempurna?

Saya tidak ingat jawapan ustaz tersebut, tetapi soalan itu menjadikan saya cukup takut kalau-kalau terlibat dengan rasuah, penyelewengan dan apa sahaja duit haram.

Memang hingar bingar dalam bas.

Ramai juga warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah dalam bas kami. Tentu ada usik-mengusik antara mereka dengan para supir.

Yang saya pasti ramai mereka sudah berkahwin, tetapi pasangan mereka berada di Indonesia. Yang tidak pasti bagaimana ada pembantu rumah naik haji tanpa mahram.

Sekatan pertama

Kami tiba di sekatan jalan raya pertama. Pihak polis (atau tentera, tidak ingat), naik ke atas bas.

"Indonisi?" soalnya dengan kuat.

"Naam!" Sahut kami ramai-ramai. Ramai supir dan pembantu rumah fasih berbahasa Arab.

Polis itu pun meminta tunjukkan paspot dan visa.

Saya berdebaran. Rasa sedikit kegusaran. Berdoa dalam hati. Agar Allah lindungi saya. Saya memilih tempat duduk hampir di belakang bersama Abdul Rahman.

Terdengar suara Arab di Kementerian Haji Riyadh, "Pergilah tetamu Allah, pergilah, Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu!"

Polis itu nampak ceria.

Satu demi satu penumpang diperiksa paspot. Saya semakin berdebaran kerana sudah menghampiri saya. Tetap berdoa dalam hati.

Polis itu pun menuju ke arah saya. Tersenyum. Bertanya dalam bahasa Arab, "Kamu ok?"

Tidak pasti sama ada dia melihat muka saya yang pucat atau badan menggigil.

Saya menjawab, “khair”.

Polis itu tersenyum, tidak meminta paspot, dan terus berpusing.

"Yalah, khalas!"

Polis itu turun dan saya lega. Bersyukur kepada Allah.

Abdul Rahman serta beberapa lain yang tahu situasi saya juga menepuk bahu. Bersyukur.
Perjalanan diteruskan. Ada sedikit kelajuan. Ramai yang tertidur.

“Kami berhenti solat jamak di sebuah “R& R” yang tandasnya begitu kotor. Apa nak buat. Arab Saudi tiada “R&R” yang moden ketika itu.
Meneruskan perjalanan. Ada lagi sekatan jalan raya.

Sekali lagi, polis naik ke atas bas dan memeriksa paspot. Aduhai, hati kembali berdebaran. Bersama doa.

Kali ini, polis itu membuat pemeriksaan rambang. Tanpa ikut kerusi. Ke depan ke belakang.

Kedua kerusi belakang dan depan, juga sebelah saya dimintanya.

Saya menanti. Sekali lagi, polis itu tidak meminta paspot saya.

Bersyukur.

Lagi sekatan

Perjalanan diteruskan dan sudah masuk maghrib. Kami berhenti untuk urusan buang air, makan dan solat jamak di sebuah restoran Kemudian menyambung perjalanan.

Ada lagi sekatan jalanraya.

"Indonisi?" soal polis itu ditangga bas?

"Naam!"

Polis itu naik dan berjalan ke belakang bas. Seolah-olah ke arah saya. Ya Allah, hati saya berdebaran. Boleh kena serangan jantung.

Sambil berjalan, polis itu berkata, "Indonisi bagus bagus!"

Kami semua ketawa. Kali itu, polis hanya meminta satu paspot dan kemudian turun. Mungkin ada puluhan bas jemaah Indonesia dari Riyadh, dan tidak larat untuk mereka memeriksa satu persatu. Apalagi sudah dua sekatan jalanraya, apalagi yang mahu diperiksa.

Alhamdulilah. Itulah sekatan jalan raya yang terakhir untuk kami sebelum tiba di Taif untuk Miqat. Dalam kegelapan malam, melihat ke arah luar tingkap bas, terasa sayu dalam kesyukuran. Teringat kepada keluarga, isteri dan anak-anak.

Perjalanan haji saya yang tidak dirancang itu memang memberi banyak pengajaran. Pengalaman yang menambah keimanan.

Bersendirian walau dalam kemeriahan. Kawan-kawan baru yang begitu membantu dalam keadaan saya tanpa 'visa' segera menjadi mesra.

Tersesat pula

Kami tiba di Taif selepas waktu isyak. Diberi dalam sejam sahaja.

Penuh sesak dengan manusia. Berebut tandas. Panjang beratur. Saya sempat mandi dan memakai ihram. Kemudian solat di masjid.

Dalam keadaan tergesa-gesa, lupa pula di mana bas diparkir. Malah dengan keadaan bas yang lebih kurang sama, mengelirukan. Sesatlah pula.

Bertambah pula bila hampir semua dalam ihram, sukar mahu ingat kawan-kawan satu bas.Untuk guna telefon pun tidak teringat untuk ambil nombor telefon kawan-kawan.

Alhamdulilah, bagai tahu saya tersesat, Abdul Rahman mencari saya dan kami kembali ke bas yang meneruskan perjalanan ke Makkah. Bas juga telah berubah tempat parkirnya.

Tiada sekatan jalan raya.

Beramai-ramai melaungkan, Labbayka Allahumma labbayk, labbayka laa shareeka laka labbayk. Inna al-hamd wa’l-ni’mata laka wa’l-mulk, laa shareeka lak.

Bas melalui Masjidil Haram menuju ke asrama Indonesia berhampiran Mina.

Melihat kerlipan cahaya menyimbah Masjidil Haram, sekian kali, airmata bercucuran. Serakan lampu melontar seribu kesyukuran. Saya tiba di Makkah dua hari sebelum wukuf.

Begitulah kehendak Ilahi. Rezeki itu datang dalam pelbagai cara. Yakinlah.

Terus terngiang, "Pergilah tetamu Allah, pergilah, Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu!"


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen