malaysiakini logo
story-image
ADS

Pada tahun 2000, saya bekerja sementara sebagai konsultan di sebuah syarikat Internet di Riyadh, Arab Saudi. Baru saja dibuang kerja dari TV3 dan mahu meneroka dunia baru di luar tanah air.

Saya berseorangan sementara menanti beberapa perkara, terutama ada tawaran dari Dubai untuk bersama pengurusan Dubai Internet City, projek terbesar Dubai ketika itu.

Tidak sangka, selepas kehilangan pekerjaan, saya terhantar jauh ke Arab Saudi. Begitulah kehendak Ilahi.

Selepas tiga bulan, tiba-tiba saya terpanggil untuk menunaikan haji. Mungkin itulah yang dinamakan panggilan haji dan kebetulan berada di Arab Saudi, kenapa tidak ambil kesempatan untuk naik haji.

Saya segera ke pejabat Kementerian Haji di Riyadh bersama rakan sekerja. Lengang pejabat yang tersergam. Rupa-rupanya ketika itu memang sudah bercuti kerana lagi dua minggu untuk wukuf.

Saya memberanikan diri ke kaunter. Ada seorang petugas di situ. Saya bertanya kalau-kalau ada lagi peluang untuk mendapatkan visa haji.

Lelaki Arab itu memandang dan berkata, "Pendaftaran telah lama tutup! Dua minggu lagi wukuf".

Bukan pasport hijau

Terasa kecewa.

Kemudian lelaki itu berkata dalam bahasa Arab, "Tetapi saya tidak boleh berkata TIDAK kepada kamu, daripada wajah kamu, saya pasti yang kamu adalah tetamu Allah!"

Saya teruja, cukup teruja.

"Berikan paspot kamu untuk saya cop visa!"

Saya serahkan paspot.

Dia terkejut.

"Kalau dari Malaysia, pasport haji kamu warna hijau."

Saya beru teringat bahawa untuk rakyat Malaysia mengerjakan haji - ketika itu - kita menggunakan pasport lain.

Kembali terasa kecewa. Kami berpandangan. Dia tersenyum.

"Sekali lagi, saya yakin kamu tetamu Allah dan saya tidak boleh berkata tidak kepada kamu!"

Dia pun mengambil sehelai kertas dan mengecap visa haji diatas kertas itu. Kerat kecil dan masukkan ke pasport.

"Wahai tetamu Allah, pergilah, pergilah. Jangan pandang ke belakang, teruskan perjalanan haji kamu!"

Saya tidak pasti bagaimana untuk memberi reaksi. Kerana kertas dengan cap visa haji sama dengan tiada visa.

Kesalahan naik haji tanpa visa adalah besar. Seseorang boleh ditangkap, didenda dan dihantar pulang.

Ketika itu saya dengan visa bisnes di bawah tajaan syarikat.

Kami tak berani

Dia melihat wajah saya dan berkata: "Pergilah tetamu Allah, pergilah. Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu."

Saya terharu dan menitis air mata kegembiraan. Mudah sekali urusannya walau tarikh pendaftaran haji sudah ditutup.

Apakah itu panggilan Ilahi atau sekadar satu mimpi?

Hari itu juga saya ke restoran tempat warga Indonesia selalu berkumpul. Ada syarikat urusan haji di tempat yang sama.

"Ini bukan visa yang sah," kata seorang petugas bercakap dengan yakin walau saya cuba menerangkan apa yang telah terjadi. Saya terasa sedikit kecewa.

"Kami tidak berani mengambil bapak bersama kami," katanya.

Saya merayu, tetapi dia tetap bertegas enggan membantu.

Sahabat saya tadi kemudian menyuruh saya mencuba syarikat-syarikat lain. Lantas saya bergerak dengan teksi mencari mana-mana syarikat urusan haji. Malangnya semua menolak kerana visa yang dicap di atas kertas tidak boleh diterima.

Perasaan bercampur baur. teringat kata-kata petugas di Kementerian Haji tadi. "Pergilah tetamu Allah, pergilah. Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu."

Teringat juga perjalanan arwah ayah yang dihantar ke Makkah untuk belajar semasa berusia sembilan tahun dengan menaiki kapal selama enam bulan pada 1930-an.

Saya juga pernah mengerjakan umrah sebelum ini dan ada sedikit sebanyak pengalaman di Makkah.

Ada rezeki tidak ke mana, tegas hati sendiri. Setiap hari berikutnya saya cuba memujuk para petugas syarikat. Semua masih berkeras menolak.

Sanggup ambil risiko

Kemudian saya diberitahu ada seorang pensyarah warga Indonesia yang mengajar di Universiti Madinah dan menjadi pemimpin jemaah haji Indonesia di Riyadh. Dia mengendalikan kursus haji sebelum berangkat.

Saya terus mencari pensyarah itu. Dalam lima hari lagi rombongan haji akan berlepas ke Riyadh. Waktu semakin suntuk.

Akhirnya saya bertemu dengan lelaki itu di sebuah restoran. Terus sahaja mengadu masalah yang saya hadapi. Pensyarah itu mesra orangnya. Dia mendengar dan memandang saya.

"Ya, saya pun pasti kamu tetamu Allah," katanya.

Dia kemudian menghubungi sebuah syarikat urusan haji.

"Kamu sanggup ambil risiko kalau ada-apa berlaku sepanjang perjalanan, seperti ditangkap pihak berkuasa kalau mereka tidak anggap visa kamu sah?" tanya pensyarah itu.

"Insya-Allah, saya ambil risiko itu," kata saya.

Saya yakin. Cukup yakin yang saya tetamu Allah pada tahun itu.

Dia membawa saya ke syarikat tersebut yang mulanya menolak permintaan saya. Saya terus membayar 500 riyal untuk perbelanjaan bas dan 800 riyal lagi untuk asrama haji selama lapan hari.

Ada dalam 40 bas jemaah haji warga Indonesia dari Riyadh. Hampir semuanya adalah supir dan pembantu rumah yang bekerja di Arab saudi. Majoritinya muda-muda.

Pakai selipar saja

Alhamdulilah. Terasa kelegaan kerana cabaran kedua sudah dilepasi. Saya tidak pernah berkursus haji. Kata pensyarah yang mengetuai jemaah itu, tidak ada yang perlu dibimbangi.

"Mengerjakan haji mudah sahaja," katanya.

Saya turut melayari Internet dan membaca buku panduan haji untuk mendalami ilmu dalam persiapan yang bagai bidan terjun.

Hati memang teruja tetapi pada masa sama ada ketakutan kalau-kalau dalam perjalanan tiba-tiba ada halangan menimpa. Apalagi banyak sekatan jalan raya di sepanjang laluan Riyadh ke Makkah melalui Taif itu.

Doa dipanjatkan kepada Ilahi. Kata-kata "Pergilah tetamu Allah, pergilah. Allah menjaga perjalanan kamu" sentiasa terngiang-ngiang.

Hari untuk berangkat pun tiba. Ratusan jemaah haji warga Indonesia memenuhi stesen bas. Saya diletakkan dalam sebuah bas yang semuanya supir dan pembantu rumah.

Apabila memperkenalkan diri, sayalah satu-satunya bukan warga Indonesia dan bukan supir.

"Apa bapak buat di sini?" tanya salah seorang daripada mereka.

Kami cepat menjadi mesra. Ramai berebut mahu duduk sebelah saya. Saya hanya membawa beg plastik dengan dua helai baju Melayu, kain pelikat untuk basahan, dua helai jubah, pakaian dalam dan dua helai seluar.

Saya berselipar saja. Bagi saya itu sudah cukup kerana kalau apa-apa keperluan, ia boleh dibeli. Saya selalu travel light saja.

Deretan 40 bas bergerak perlahan menghala ke Taif. Hati saya berdebar-debar. Tidak henti doa dipanjatkan. Ya Allah, selamatkanlah perjalanan ini.

Kata-kata "Pergilah tetamu Allah, pergilah. Allah menjaga perjalanan kamu" terus terngiang-ngiang.

[Bersambung]

Lihat Komen