Apa jadi dengan Trump?


(Dikemaskini )

Donald Trump, presiden ke-45 Amerika Syarikat, belum pun sampai satu tahun berkuasa. Billionaire itu memenangi kerusi Rumah Putih pada November 2016 tahun lalu. Daripada apa yang kita baca, pentadbiran Trump masih belum stabil. Ketika tulisan ini digarap, pentadbiran Trump masih lagi huru-hara. Masih lagi kucar-kacir.

Setakat ini ramai sosok-sosok ahli kabinet pilihan Trump telah meletak jawatan. Penasihat Keselamatan Micheal Flynn dan pembantunya KT McFarland telah berhenti. Flynn membuat rekod - menjawat selamat 24 hari. Reine Priebus dan Katie Walsh, ketua dan naib ketua staf Trump telah juga meletakkan jawatan. Pengarah komunikasi dan ketua strategi Trump juga telah meletak jawatan.

Nama-nama ini adalah gedebe dan ahli kabinet Trump. Belum masuk kira lagi mereka yang memegang jawatan tapi bukan pengarah atau ketua jabatan. Nama mereka tidak besar dan bila meletak jawatan, air dalam jamban Rumah Putih tidak berkocak.

Apa yang berlaku dalam Rumah Putih ketika ini belum pernah berlaku dalam sejarah 200 tahun Amerika.

Lalu timbul banyak soalan. Apa yang sedang berlaku sebenarnya dengan Presiden Trump? Mengapa kali ini Rumah Putih jadi tidak stabil? Apa dan siapa di belakang semua ini?

Untuk memahami semua ini kita wajib memiliki pemahaman tentang apa itu politik. Apa itu kuasa. Ini asas yang amat-amat penting untuk kita memahami bukan sahaja apa yang telah, sedang dan akan berlaku di Rumah Putih, malah latar ini akan memberi kita pencerahan untuk memahami politik di mana saja dalam dunia ini, termasuk di Putrajaya.

Perebutan politik ialah perebutan kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Dengan memiliki punca-punca ekonomi sesiapa sahaja boleh berkuasa. Tidak ada kuasa ekonomi tidak ada kuasa politik.

Bila kita masukkan ekonomi dalam pemahaman, kita tidak akan dapat lari daripada pemahaman kelas. Ekonomi dan kelas adalah aur dengan tebing. Seperti isi dengan kuku. Gagal memahami ekonomi daripada sudut kelas maka semua analisis politik tinggal hampeh, salah tafsir dan tidak bermakna.

Salah tafsir dan salah makna akan menghasilkan rumusan yang tidak tepat. Rumusan yang tidak tepat akan membuka strategi yang tempang. Salah strategi maka hasilnya ialah kalah dalam perjuangan politik. Kalah dalam pertempuran politik ertinya tidak mendapat kuasa.

Silap strategi dan silap analisis akan menjadikan kita gagal mengenal musuh. Contoh terbaik ialah apabila Anwar Ibrahim tidak dapat mengenal siapa Najib dan siapa Haji Hadi. Hasilnya Anwar Ibrahim sendiri dimasukkan ke penjara. Ini hukum politik. Hukum ini tidak akan berubah-ubah dalam mana negara pun.

Apakah presiden Trump tidak dapat mengenal musuhnya? Siapa musuh Trump? Kenapa Trump dimusuhi?

Semua ini adalah soalan hakiki untuk memahami apa yang sedang berlaku di Rumah Putih. Tetapi kenapa kita di Malaysia ini wajib memahami politik Rumah Putih dan politik Amerika?

Empire Americana

Jawabnya cukup senang, kita wajib mengetahui apa yang berlaku di Rumah Putih bukan hanya kerana Najib akan ke sana pada 12 September ini.

Kita wajib memahami politik Amerika kerana pada ketika ini kita semua adalah ‘anak tanah jajahan’ bawah Empire Americana. Ini sama seperti satu ketika dahulu warga Eropah dikawal oleh Holy Roman Empire. Atau satu ketika dahulu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bawah empayar Inggeris.

Kalau dulu kita dijajah dan diperintah oleh Inggeris. Ketika itu kita dapat melihat tuan DO dan tuan OCPD dan tuan residen atau tuan gabenor semuanya Mat Salleh.

Dalam zaman Empire Americana sekarang ini caranya berlainan. Kuasa masih lagi datang dari punca ekonomi. Ekonomi masih menjadi jurumudi politik. Tapi kali ini bank Amerika, kilang milik Amerika, modal milik Amerika yang bersepah-sepah di Malaysia ini adalah pemangkin dan pengawal kuasa untuk emapayar Amerika.

Dunia hari ini adalah milik Amerika. Kuasa politik dunia hari ini ialah kuasa politik Amerika. Kuasa ekonomi dan politik Amerika ini dijaga dan dikawal oleh bala tentera Amerika. Ini dipanggil Pax Americana atau Empayar Amerika.

Justeru semua pemimpin dunia terutama dari negara Dunia Ketiga akan berbondong-bondong menyembah presiden Amerika. Ini termasuk Najib. Ini termasuk Mahathir berjumpa Bush pada satu ketika dahulu. Ini termasuk juga Anwar Ibrahim yang sentiasa bermain-main mata dengan Paul Wolfowitz, timbalan setiausaha pertahanan Amerika dan juga bekas presiden Bank Dunia.

Hakikatnya Malaysia dan negara Dunia Ketiga yang yang lain dikawal oleh bala tentera Amerika untuk kepentingan politik dan ekonomi Amerika.

Maka siapa pula mengawal presiden Trump? Bukankah penghuni Rumah Putih adalah insan yang terkuat sekali atas bumi kita ini? Betul. Tepat. Tapi masih ada fakta di belakang fakta. Masih ada kebenaran di belakang kebenaran.

Presiden Amerika Syarikat mewakili kepentingan Amerika. Sekali baca salah-olah kepentingan untuk 400 juta warga Amerika. Ini tidak betul.

Presiden Amerika mewakili kepentingan kaum pemodal Amerika. Kaum pemodal Amerika ini adalah kuasa di belakang semua presiden. Malah kuasa pemodal ini jugalah di belakang perdana menteri, presiden atau ketua-ketua menteri dan pemimpin mana-mana negara dalam dunia. Ini termasuk Najib sendiri. Justeru Najib wajib mengadap Trump.

November tahun lalu Donald Trump bertanding melawan Hillary Clinton, bekas setiausaha negara Amerika. Ertinya minah ini adalah sebahagian daripada elit politik Amerika. Trump pula adalah orang luar yang belum pernah menjawat apa-apa jawatan kerajaan. Trump hanya ahli perniagaan yang berjaya.

Boleh dirumuskan pilihan raya presiden 2016 adalah pertandingan elit politik dengan orang luar.

Trump seorang kontraktor yang amat besar. Trump pemodal kaki belit yang licik dan bijak berniaga. Trump bukan elit politik Washington DC. Justeru sokongan untuk Trump bukan datang daripada elit politik Republican, jauh sekali Democrat.

Trump pakai duit sendiri

Trump pakai duit sendiri. Trump dapat sokongan dari kelas kaum buruh kulit putih, penganggur berkulit putih yang selama ini dipinggirkan oleh elit politik, oleh elit ekonomi dan elit budaya.

Mengikut kenyataan Hillary Clinton, penyokong Trump adalah “a basket of deplorables” atau kumpulan mat lekeh yang menyedihkan. Apa yang dikatakan oleh Hillary ini betul. Kumpulan kelas bawahan ini memiliki fahaman kanan, mereka benci kepada orang yang bukan berkulit putih. Mereka menganggap kerja mereka hilang diambil oleh pendatang haram Amerika Latin atau India atau Bangladesh.

Donald Trump mejadi jurubicara mat lekeh kelas bawahan yang selama ini tidak dipedulikan oleh kuasa politik Amerika kecuali apabila mereka diperlukan ‘mati katak’ berperang di Iraq, Afghanistan atau di Syria. Jangan silap, faham mat lekeh ini ramai. Dan kini mereka memiliki telinga di Rumah Putih yang bersimpati dengan harapan dan angan-angan mereka.

Pilihan raya di Amerika sama seperti di Malaysia. Ia memerlukan dolar dan ringgit. Di Amerika, syarikat multinational dan kaum pemodal melabur untuk memenangkan si polan dan si anu. Kaum pemodal melabur untuk memastikan sesiapa yang duduk di Rumah Putih tidak akan menjejaskan kepentingan ekonomi dan kutipan untung gedung perniagaan mereka.

Mustahil akan menang seorang mamat atau minah untuk menjadi presiden Amerika yang mengajukan cukai untuk kaum pemodal. Atau mengajukan cadangan memberikan rumah untuk mereka tanpa rumah. Atau mengajukan dasar perubatan percuma atau pembelajaran percuma. Sampai dunia kiamat ini tidak akan berlaku di Amerika.

Justeru kaum pemodal, tuan punya gedung perniagaan, pemilik bank dan peniaga mata wang di Wall Street berbondong-bondong melabur untuk memenangkan Hillary Clinton.

Hakikatnya Hillary Clinton disokong oleh elit politik, kaum pemodal dan pemilik media. Minah ini bukan ‘orang luar’, suami Minah ini adalah bekas presiden Amerika.

Trump menang. Hillary Clinton kalah. Ini fakta. Seharusnya Rumah Putih akan meneruskan pentadbiran seperti biasa sesudah Trump mengangkat sumpah. Tapi pada tahun 2017 ini tidak berlaku. Presiden Trump terus diserang, terus ditibai dan terus diperlekeh. Kenapa ini berlaku? Siapa sebenarnya musuh presiden Trump?

Ada tiga kumpulan besar yang sedang menyerang Trump. Pertama gerombolan elit politik Parti Demokrat. Mereka tidak puas hati apabila calon mereka minah Hillary kalah. Rancangan licik mereka telah digagalkan oleh mat lekeh kelas bawahan.

Kedua elit media dan pengamal media. Untuk pertama kalinya media besar Amerika seperti CNN, CNBC, Washington Post atau The New York Times menolak Trump. Kenapa? Ini kerana selama ini elit dan pengamal media ini telah membuat laporan dan ramalan politik untuk Amerika. Mereka mengajukan pandangan dan pandangan mereka dianggap tepat. Mereka menganggap diri mereka nabi.

Pada November 2016 untuk pertama kalinya ramalan mereka terhadap kemenangan Hillary meleset. Semua analisa mereka kantoi. Para pundit pengamal media yang memberi khutbah tiap-tiap malam di kaca CNN telah terbongeng salah.

Mereka ini berijazah dari Havard, Yale atau Princeton telah dikencing oleh mat lekeh yang tak sekolah, yang tak kenal universiti dan yang tidak membaca Washington Post atau The New York Times.

Muka tebal pengamal media Amerika kini lembab dengan air kencing mat lekeh. Perkara ‘kena kencing’ ini menjadikan pemilik media dan pengamal media tak boleh tahan. Maka mereka terus menyerang Donald Trump.

Gerombolan ketiga yang menentang Trump ialah daulah terpendam atau deep state. Apa dia daulah terpendam ini? Siapa dia daulah terpendam ini? Kenapa daulah terpendam tidak suka kepada Donald Trump?

Bila pemilik modal, bila pemilik bank, bila pemilik media bersekongkol dengan daulah terpendam - apa akan terjadi? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.