Tentang hati dan pemimpin jujur


(Dikemaskini )

Proses berfikir atau bertafakur mencari hak, bukan kerja sehala. Ia usaha pelbagai hala yang melibatkan kegiatan pencarian unsur murni yang sehabis dimensi.

Ia tidak semudah kerja "cut and paste". Kerja berfikir harus disandarkan kepada ilmu melibatkan di dalam dan di luar konteks.

Ia adalah kerja yang melibatkan proses perbandingan himpunan perkara hak dan fakta-fakta dari takung sumber yang sehabis kaya, sehabis daya yang disemak dan ditilik daripada kerangka ilmu yang sehabis sahih.

Ia kerja serius. Sebuah pengembaraan hati yang komprehensif dan kontemplatif; mungkin cukup memenatkan sehingga kita sudah betul-betul "exhaustive" .

Bertolak daripada teras kata-kata wahyu, seharus kembara spiritualnya mampu menyinari hati. Dengan hati yang terang maka akan tersuluhlah segala pilihan ke hadapan yang tepat justeru orang itu sedang menyuluh dengan menggunakan akal dan petunjuk dari 'dhomir' mata hati.

Akan bermanafaatlah dia dan fikrahnya setiap kali mengatur pelbagai keputusan buat dirinya. Sekali gus, dia akan membawa wangi dari sekuntum bunga syurga kepada orang di sekelilingnya jika khalayak lingkungan adalah daripada jenis yang tahu menghargai.

Hati benar, hati onar

Tuhan membuat hati kita daripada unsur yang cukup ajaib. Hati bagai cermin. Sifatnya pangkal. Hatilah juzuk pertama yang tahu sebaik saja kita terlintas untuk bercakap benar atau saat mahu berbuat onar. Orang di hadapan belum lagi tahu hujung jatuh niatnya tetapi dia - hati itu - sudah tahu akan bengkok lurusnya.

Di selekoh tertentu yang dipilih untuk berkhianat, dia sudah tahu akan berbuat bejat. Dia membikin onar di selekoh yang dia sendiri sudah pilih dan tahu. Maka, malanglah bagi yang hati faham tetapi masih memilih untuk bersubahat dengan rangka cerita yang keruh lagi celaru.

Beberapa pertanyaan buat tuan: Anakkah dia? Pelajar sekolahkah dia? Pemimpin negarakah dia? Pensyarah universiti atau ustaz ustazahkah dia? Itu non-material.

Tuan, ingatkah tuan tentang Tuhan dengan segala keberadaan-Nya setiap kali tuan mahu bercakap rencong - sama ada tuan seorang presiden atau pengikut? Rakib dan Atid - jumlahnya sebanding dengan jumlah manusia sepanjang zaman. Tuan, mereka masih tidak meletak jawatan hingga ke hari ini.

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (iaitu) ketika dua malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. Dan datanglah sakaratulmaut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.” (Surah Qaaf : 16-19).

Tuan, kunyah dan lumatilah kata-kata ini sehingga mengerti.

Dalam keadaan tiada hak; jika keadaan sering dipulas dan 'dimanipulaskan' juga demi memenangkan yang kalah atau mengalahkan yang menang, hati apakah itu? Jika kebenaran sering dirampas dan ditukar gantikan dengan kepalsuan, qalbi apakah itu?

Anjuran buat pemimpin

Dalam apa jua bidang yang melibatkan amanah terhadap Tuhan, rakyat dan orang bawah, pemerintah dan penguasa yang sihat wajib kembali kepada hati yang putih.

Hati adalah raja yang memerintah bagi mana-mana kerajaan bernama diri. Bertolaklah daripada amalan yang menepati amanah, kebenaran dan keadilan. Usah dilazimi amalan pepat di luar, rencong di dalam.

Hentikan sikap berlidah panjang; meludah orang tanpa syarat kemudian menyesal, tapi masih enggan mengaku atas nama politik matang. Itu bukan istiqamah. Itu bohong. Itulah yang dipanggil degil.

Bukan mudah menjaga hati justeru ia mudah terbabas. Apabila dipuja, ia mudah berbunga. Apabila dipuji, ia mudah terasa sakti. Apabila dicaci, sakitnya bukan kepalang. Penegur dibenci, bahkan adakala, disimpan dendam hingga ke mati.

Tatkala dilimpahi ilmu, dijadikan kaya atau diuji dengan kuasa pula, sombongnya mula mengisi dada. Jika miskin atau kurang ilmu, sikap hina dirinya pula disemat tidak bertempat.

Adakala dia lekas kecewa dan putus asa dihempap takdir yang menimpa. Dia sukar untuk reda, apa lagi untuk bersifat qona'ah yakni berpada dengan apa yang ada.

Ini pula membuang sifat sabar yang cekal bertahan. Jiwa rapuhnya menderita justeru acap ditindih penyakit hati yang gemar tidak bersyukur. Yang ada ialah kufur.

Melihat kelebihan orang lain, hati terseksa. Melihat kesusahan orang lain, hati lekas berpaling; bahkan jika terlajak turut menghentak – adakala terhibur! Suka menegur orang, tetapi sukar pula apabila ditegur kerana hatinya telah lama merampas selendang Tuhan bernama al-Mutakabbir, lalu dia hidup bertakabur.

Bukan mudah menahan marah apabila orang marah kepada kita atau orang menabur fitnah ke atas kita. Bukan mudah juga untuk bertahan tidak membalas terhadap orang yang membuat aniaya.

Mungkin kita mampu membalas tetapi diserahkan kepada Allah jualah untuk dibalas - ini beberapa contoh hina-mulia ciri, aras, maqam dan status hati.

Doa di tengah kemelut

Ya Allah. Makin ke tengah pelayaran usia kami ini, tiada lagi lain harapan selain daripada keinginan menuju ke pulau perhentian-Mu yang selamat. Mohon Kau jitukan arah kemudi dan arah tuju kami ke pulau bahagia.

Jadikan kami kelasi-kelasi hamba yang berhati taat – hanya berada dalam genggaman-Mu dan berada dalam ketetapan-Mu menuju sirat al-Mustaqim.

Di kaki lima kehidupan, bukan sedikit hamba-Mu yang beransur merempat. Masing-masing antara mereka sedang merayap, kehilangan punca. Ada yang buntu mencari jalan keluar dan tidak sedikit yang sering menangis di tangga sambil mengikat tali kasut setiap pagi.

Ya Allah, mohon Kau hantar sepasukan pemimpin yang jujur mencari jalan demi mengeluarkan kami dan mereka dari lorong kaki lima yang mengelirukan ini. Perlahan-lahan, mohon Kau semai benih gemar bercermat dalam mengawal hati kami setiap kali berbuat bakti.

Jangan hendaknya kami ini sangat memberati diri dengan berbagai amal lahiriah tetapi mengabaikan gerak-geri hati.

Hati yang berpenyakit akan menjangkiti amal yang disemai. Apa yang tumbuh di tapak semaian nanti adalah pokok-pokok sakit yang dikhuatiri tidak akan menekan daun neraca kebaikan di akhirat-Mu nanti.

Sebutir pesan buat Amir

Bertolak daripada kejujuran, jadilah orang yang sederhana tetapi cukup gemar berjaga-jaga saat berkata-kata. Ingatlah, gerak diam dan tutur kata kita mudah dibaca di sisi seorang yang kasyaf serta memiliki sifat al-‘arifin. Apa lagilah di sisi Allah; setiap yang bergelibat dan melintas di kalbu kita akan segera terjelma di “mesin pengimbas-Nya” justeru sifat Dia itu sendiri adalah al - ‘aalim (Maha Mengetahui) dan al- Khabir (Maha Teliti). Tak malukah nanti?

”Dan pada sisi Allahlah kunci-kunci semua yang ghaib. Tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri. Dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula). Dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz).” (al-An’am : 59).

Pada akhirnya, proses berfikir harus membawa seseorang kepada lebih banyak mendengar dan memerhati. Lebih banyak merendah dari meninggi. Lebih banyak memberi dari menyimpan. Lebih banyak berpilih dalam pertuturan. Lebih banyak berfikir tentang keakhiratan. Lalu, dia memilih lunak dari menzalimi.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.