malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Terletak 250km dari Bangkok, pintu masuk di Aranyaprathet merupakan pintu sempadan paling dekat untuk ke Siem Reap dan yang paling sibuk menghubungkan Thailand-Kemboja.

Setiap hari, ratusan warga Kemboja menyeberang dari sempadan di Poi Pet membawa segala jenis barangan untuk dijual di Pasar Rongkluea, pasar borong bersebelahan kompleks imigresen yang menjadi tumpuan peniaga-peniaga Bangkok dan ceruk lain di Thailand.

Pada tahun-tahun tidak menentu politik Kemboja - yang sebenarnya hanya beberapa tahun lalu - sumbangan berupa barangan terpakai melalui pelbagai misi kemanusiaan yang disalurkan kepada warga Kemboja akhirnya menjadi barang jualan di pasar ini.

Ia kemudian berkembang begitu pesat sebagai pusat pasaran barangan tiruan sebelum campur tangan penguatkuasa Thailand untuk mengekangnya setahun lepas, menyebabkan ramai terpaksa gulung tikar.

Gerai yang tersisa kini kebanyakannya menjual hasil kraftangan, tekstil, pakaian seragam dan perkakasan askar, dan – entah bagaimana – set peralatan golf terpakai.

Tiada papan tanda

Satu lagi hal yang akan membuat sesiapa saja menggosok-gosok mata adalah kehadiran bogi (bogie) golf yang menyediakan khidmat kepada pengunjung yang mempunyai logik sihat untuk tidak berjalan kaki di tengah terik pasar berkeluasan 5km persegi dengan jalan diselaputi debu.

Bayangkan membeli belah di sebuah pasar menaiki bogi golf di atas jalan raya berlubang, menyelit di celah tuk-tuk, motosikal dan kereta sedan yang masing-masing membawa muatan dengan berat dan saiz lebih tiga kali ganda.

Pesta anarki ini berlangsung dengan latar bunyi hon dan jeritan berterusan yang tidak membawa maksud lebih dari sekadar “Aku di sini! Aku nak lalu! Teruskan bergerak, jangan buat benda bodoh!”

Ajaibnya, semua berjalan lancar tanpa kewujudan papan tanda atau lampu isyarat dengan koreografi menakjubkan yang biasa dilihat dalam persembahan opera atau kebanyakan tarian.

Aku tiba di Aranyaphratet selepas menempuh lebih 800km perjalanan dari Chiang Mai dan aku ditemukan semula dengan Quentin. Untuk ini, aku perlu undur sedikit ke belakang.

Setahun kumpul cuti

Aku berjumpa lelaki Perancis itu di pinggir jalan menuju ke Vang Vieng di Laos ketika motosikalnya mengalami masalah yang sebenarnya dapat diselesaikan dengan pengetahuan minimum tentang motosikal.

Quentin tidak terlepas daripada prejudis aku ketika makan malam pertama kami di Vang Vieng. Aku bersedia untuk melihatnya sebagai seorang lagi backpacker Eropah yang datang ke Asia Tenggara berbekal tip-tip Trip Advisor untuk melengkapkan fasa new-edgenya.

Hanya ada satu atau dua hal lain dalam dunia ini yang lebih klise berbanding seorang backpacker Eropah memenuhi bar-bar di Bangkok atau Luang Prabang memakai tie-dye, dengan buku Alchemist di atas meja, menikmati kelebihan tukaran tinggi dolar dan euro sambil meromantikkan apa yang mereka gelar "budaya eksotik Asia".

Tidak lama masa diambil untuk Quentin nafikan prejudis aku. Jauh dari steroetaip aku tentang backpacker mewah Eropah, Quentin datang dari dunia yang tidak jauh beza dengan aku – dunia yang memerlukannya bekerja sepanjang tahun untuk mengumpul cuti dan duit simpanan yang cukup sebelum keluar melihat dunia.

Bekerja sebagai buruh pelabuhan atau istilahnya "docker" Quentin senang bercerita gerakan solidariti pekerja di pelabuhan-pelabuhan sekitar Merseille dalam membela hak-hak pekerja yang diceroboh majikan.

“Majikan tak berani nak main-main dengan kami dan polis tahu kami tidak cuma turun atas jalan raya untuk angkat plakad atau jerit slogan,” katanya merujuk tentang “syndicate” atau kesatuan pekerja yang jika aku tidak salah faham, adalah kesatuan pekerja yang ditubuhkan seawal 1880-an oleh golongan anarko-sindikalis, antara yang paling lama dan berpengaruh dalam sejarah panjang perjuangan kaum pekerja di Perancis.

“Sesetengah orang fikir kami guna keganasan, tapi dirampas punca pendapatan juga sejenis keganasan. Kau turun jalan raya, bakar tayar, hentikan operasi pelabuhan, tutup jalan untuk buat orang lain faham bagaimana rasanya “stuck” apabila sumber pendapatan kau dirampas oleh majikan, dipecat tanpa alasan kukuh, atau pencen tidak dibayar," kata Quentin.

Aku mendengar lagi.

“Tapi aku tidak anggap aku orang kiri,” sambung Quentin, cuba menghabiskan dua pinggan makanan di atas meja yang menurutnya perkara biasa untuk kebanyakan buruh pelabuhan.

“Aku lebih suka orang terangkan pilihan yang aku ada, tak perlu berceramah atau bagi tahu apa aku perlu buat. Biar aku fikir sendiri tentukan apa aku nak,” jelas Quentin dengan pelat sebutan Perancis.

Untuk seorang Perancis, bahasa Inggerisnya agak baik, meski dia sebut “eating” sebagai “itching” yang akan buat aku menghamburkan ketawa setiap kali.

“Aku tak pandai main benda ni, tapi aku agak yakin kau tak sepatutnya masukkan bola hitam sekarang,” kataku pada malam ketika kami memanfaatkan meja pool yang kosong di bar sunyi sebelah rumah tumpangan di Vang Vieng.

“Kali pertama aku jumpa lawan sama hebat,” kata Quentin mengangkat gelas berisi rum, dengan senyum menyeringai merujuk kepada kebolehan permainan pool kami yang masing-masing menyedihkan.

“Kau patut rasa berdosa sebagai orang Perancis tak pandai main benda ni,” kataku.

“Aku akan rosakkan kekaguman kau terhadap orang Perancis,” katanya sambil membidik satu lagi bola yang kemungkinan besar bukan bola sepatutnya, “tapi ramai orang fikir orang Perancis habiskan masa di galeri lukisan dan baca buku-buku sastera, sedangkan kebanyakan kami cuma duduk depan TV, mengeluh tentang imigran yang kerja 10 kali lebih rajin untuk gaji separuh lebih rendah.”

Tak mahu dikecewakan

Mencadangkan untuk keputusan seri selepas hampir sejam gagal masukkan bola terakhir, Quentin memberitahu aku niatnya untuk ke Thakek Loop di wilayah Laos.

Sebulan lalu, Quentin tiba di Hanoi, beli motosikal Honda Win dan mulakan "kursus" menunggang motosikal dengan mengelilingi wilayah utara Vietnam.

Untuk seorang yang pertama kali mengepit enjin di celah kangkang, dia menyimpan cita-cita tinggi untuk meneruskan perjalanan ke Myanmar melalui Thailand.

Satu hal yang aku kagum tentang Quentin adalah, bagaimana dia akan cantas cepat-cepat jika aku atau orang lain ceritakan tentang suatu tempat menarik.

Mengetahui terlalu banyak butiran tentang sesuatu tempat atau membaca forum-forum pelancongan di internet adalah cara paling mudah untuk menukar sebuah pengembaraan menjadi kunjungan mengecewakan.

“Jangan rosakkan, aku tak nak letak apa-apa jangkaan. Aku nak tengok sendiri,” kata Quentin dengan wajah serius, hampir seperti tersinggung, ketika aku cadangkan dia untuk ke Chiang Mai.

Tanpa perlu dijelaskan, sikap sama juga menyebabkan dia tersesat banyak kali, yang membawanya ke lorong-lorong yang tiada di atas peta, pekan-pekan kecil tempat mekanik menjamah makan tengah hari sambil menunggu motosikal siap dibaiki.

Selepas empat hari di Vang Vieng, kami mengucapkan selamat tinggal dan membawa haluan masing-masing. Quentin ke Thakek Loop, manakala aku kembali ke Chiang Mai untuk berjumpa rakan yang datang dari Malaysia.

Meninggalkan Laos

Selepas lebih sebulan meninggalkan Plaza Tol Duta, dari satu stesen minyak ke stesen minyak lain, dari satu rumah tumpangan ke rumah tumpangan lain, aku kini meninggalkan ibu kota Laos - Vientianne - untuk masuk semula ke Thailand melalui pintu sempadan di Nongkhai.

Rasa gemuruh pada malam meninggalkan bilik sewa di Bukit Permai, Cheras, lesap sepenuhnya diganti dengan suatu perasaan asing yang aku tidak jumpa dalam daftar perkataan bahasa Melayu.

Lebih 6,000km, tiga pintu sempadan, duit perbelanjaan yang semakin dikira semakin mencemaskan, tiada kerosakan teruk pada motosikal, hanya beberapa nat dan skru longgar yang perlu diketatkan.

Kau tahu perasaan itu... kegembiraan dan debaran bom jangka berkongsi di satu tempat. Apabila semuanya berjalan lancar kau yakin masalah sedang menunggu untuk terjadi di depan. Tapi ada rasa tenang lain yang merasuk - sebuah optimisme yang aku jarang-arang ada.

Aku agak ia datang dari dua minggu di Laos dengan separuh perjalanan adalah meredah malam gelita di jalan pergunungan berkabus bersama segala kemungkinan buruk diputar berulang kali di dalam kepala sehingga lali.

Atau mungkin kesan menghisap kretek Indonesia yang dibawa rakan dari Malaysia sejak aku terputus bekalan tiga minggu. Ketiadaan bekalan pernah membawa aku ke Kedutaan Indonesia di Vientianne hanya untuk ditunjukkan rokok buatan Korea yang menurut pegawai di kedutaan: “Kau pejam mata, gunakan imaginasi.” (Namun tidak cukup berkesan untuk aku).

Lima hari di Chiang Mai, aku habiskan dengan membonceng rakan dari Malaysia ke Taman Negara Doi Ithanon, mendaki puncak Doi Suthep, dan semalaman di Pai, bandar kecil di utara Thailand ang menyimpan takjubnya yang tersendiri.

Bertemu Quentin semula

Pagi selepas menghantar rakan Malaysia ke lapangan terbang, aku seharusnya meneruskan perjalanan ke Kemboja, meski masih lagi tidak pasti pintu sempadan mana atau dari mana aku boleh dapatkan duit untuk tampung perjalanan seterusnya.

Ketika ini aku cuma ada wang yang cukup untuk seminggu kos makan dan sewa hostel 50 baht sehari. Jangankan ke Kemboja, untuk pulang ke tanah air pun tidak cukup!

Pagi itu, ketika kekeliruan hampir kebaskan akal, semangat luluh dengan segala macam ketidakpastian yang menunggu, aku terima mesej daripada Quentin yang memberitahu bahawa dia baru tiba di Chiang Mai.

Aku berikan lokasi rumah tumpangan dan kami bersetuju untuk berjumpa. Semangat baru dapat aku rasakan.

Di halaman rumah tumpangan kayu di Chiang Mai, kami masing-masing bertukar kisah. Quentin bercerita bagaimana dia terlantar di atas katil selama tiga hari, hilang berat badan enam kilogram akibat keracunan makanan dan pengalaman dua kali menukar crankshaft Marilyn, nama yang diberikannya kepada motosikal Honda Win engan wajah Marilyn Monroe di tangki berwarna hitam.

“Dua kali?” aku tanya, “mana ada orang rosakkan crankshaft dua kali dalam dua minggu!”

“Ya, dua kali,” jawabnya seperti bangga, “gaya orang Perancis.”

Ada api di matanya

Aku dapat bayangkan bagaimana Quentin melontar kunci Marilyn kepada orang pertama yang dia jumpa di stesen bas selepas dinafikan kastam di pintu sempadan untuk membawa masuk motosikal dengan nombor pendaftaran Vietnam ke Thailand.

“Bengkel cuma mahu bagi 40 dolar untuk Marilyn, tapi aku fikir, untuk jumlah itu, lebih baik aku buat orang lain gembira,” katanya sambil menyeluk saku.

“Dan aku boleh simpan benda ni,” sambung Quentin sambil menunjukkan Buku Biru (geran) motosikal buatan Vietnamnya.

“Macam mana sekarang?” aku tanya, ”masih mahu ke Myanmar?”

Quentin senyum, sedut asap rokoknya dalam-dalam, dongak angit dan hembus, “ya, aku mahu ke Myanmar.”

“Apapun jadi,” dia ulang, “aku mahu ke Myanmar.”

Quentin menjelaskan bahawa esok dia akan berjumpa seseorang yang bersetuju untuk menjual motosikal, meski harganya sedikit lebih mahal berbanding di Vietnam.

“Kau?” soalnya selepas senyap seketika, “masih mahu ke Kemboja?”

Aku pandang muka lelaki Perancis di hadapan aku. Pipinya cekung dengan jambang berusia tiga hari. Di matanya ada api menyala, meski dia nampak lebih tua berbanding dua minggu terakhir kami berjumpa.

“Ya, Kemboja,” aku balas, sebelum ucapkan selamat tinggal, sekali lagi, dan mungkin yang terakhir.

Timbang besi buruk

Kembali ke pintu sempadan Aranyaphratet dengan dua pilihan: teruskan perjalanan ke Bangkok dan lupakan tentang Kemboja yang tiada sistem kastam untuk membawa masuk motosikal, atau cuba nasib di pintu sempadan di Chong Chom yang terletak 200km dari Aranyaphratet.

Secara ringkasnya, untuk melepasi mana-mana sempadan di Indochina dengan menunggang motosikal sendiri, dua pos kawalan perlu dilalui: imigresen dan kastam.

Jika aku sedikit naif dan kurang pertimbangan, aku akan terus meluru masuk ke wilayah Kemboja di Poi Pet sebaik mendapat kebenaran imigresen dari pegawai yang tidak sabar untuk mendaratkan cop getahnya di atas pasport yang aku serahkan.

Dalam segala kekalutan yang sedang berlangsung, hampir mustahil pegawai kastam yang sudah lali dengan tugas hariannya untuk membezakan aku dari ratusan warga Thailand dan Kemboja lain yang keluar masuk.

Tapi itu juga bererti aku menunggang motosikal di Kemboja tanpa dokumen import sah, dan jika ditahan polis akan melibatkan bayaran sejumlah wang yang aku tak ada – “kami terpaksa sita motosikal ni, walaupun harganya tidak seberapa, cukuplah duit makan tengah hari kalau timbang besi buruk.”

Aku hampir menjerit dan merampas cap getah dari tangan pegawai imigresen sebelum menjelaskan bahawa aku pertama sekali ingin kepastian kalau aku boleh dapatkan borang kastam.

Daripada yang aku difahamkan, tiada perjanjian rasmi untuk kenderaan peribadi antara Kemboja dan Thailand. Dalam kata lain, tiada kereta atau motosikal bernombor pendaftaran luar dibenarkan ada di atas jalan raya Kemboja.

Pegawai imigresen Thailand itu tidak ada jawapan pasti.

“Kau boleh cuba kalau kau mahu tapi aku tak bertanggungjawab, aku sibuk. Kau nak aku cap pasport kau ke tidak?”

Aku minta semula pasport, meredah arus barisan panjang gerobak yang dihurung para pengusungnya yang menunggu giliran masing-masing.

Asap putih berkepul-kepul keluar dari ekzos akibat terlebih bancuh minyak 2T. Awan gelap berarak di langit. Aku perlu fikir alternatif lain. Apapun terjadi, aku mahu ke Kemboja.

Lihat Komen