malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

”Kupulangkan sejarah
kepada masa kini
kujernihkan dosa
menyegar benih budi
Memali yang luka
kembali bermaruah.”

Begitulah suara Sasterawan Negara A Samad Said dalam puisinya ”Luka Memali” yang saya petik sebagai pembukaan sebuah dokumentari yang pernah saya hasilkan.

Lapan tahun berlalu, semenjak saya membuat sebuah dokumentari drama berjudul Al-Fatehah Memali pada tahun 2009. Jurukamera untuk dokumentari itu, saudara Tayanithi telah pun kembali ke rahmatullah kira-kira tiga tahun lalu.

Tayanithi merupakan salah seorang siswa terbaik pengajian perfileman Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Beliau memeluk Islam beberapa tahun setelah mengerjakan dokumentari Al-Fatehah Memali ini.

Dokumentari itu bermodalkan RM3,000, terbitan Komas, sebuah NGO komunikasi untuk tayangan di Freedom Film Festival.

Kini, tiba-tiba tragedi Memali menjadi sorotan wacana nasional media arus perdana.

Al Fatehah Memali from Pusat KOMAS on Vimeo.

Syukurlah, sekarang Dr Mahathir Mohamad ialah pembangkang nombor wahid perdana menteri Najib Razak, makanya tragedi itu dapat dibuka kembali, malah timbalan perdana menteri bersedia menubuhkan sebuah RCI.

Tidak terlintas dalam fikiran Rosmah Mansor itu bayangan mitos ratu adil.

Skandal kewangan 1MDB dan ‘penyangak’ Jho Low turut sama cuba dibenam daripada wacana umum dengan menggunakan peluru politik Memali.

Namun saya tiada hak untuk bercakap bagi pihak penduduk Memali.

Saya tidak berniat meremehkan keadilan buat para syuhada Memali atau seluruh penduduk kampung – termasuk warga emas, kanak-kanak dan wanita – yang menjadi mangsa keganasan polis, penangkapan serta penahanan tanpa bicara.

Begitu juga nasib anggota polis yang terkorban dalam Operasi Angkara itu.

Pada awal proses pembikinan dokumentari tersebut, saya berdepan bermacam-macam kesukaran berhubung penyelidikan untuk mengumpulkan bahan-bahan seperti footage, penerbitan atau kaset-kaset ceramah berkaitan dengan Memali.

Pihak PAS sendiri sejujurnya tidak banyak memberi kerjasama.

Laksa Suriah Mahmud

Saya hanya mendapat bahan-bahan kajian yang terbatas – berupa kertas putih parlimen, bahagian video rakaman di Dewan Negara menampilkan perbahasan senator Yusof Husin membincangkan ISA, ditambah footage berita RTM yang telah dialih sunting oleh video propaganda PAS di Youtube – maka saya terpaksa menukar gaya pengisahan dokumentari itu.

Tragedi Memali hanya menjadi latar penceritaan. Sebaliknya dokumentari drama saya itu bertumpu pada sebuah lagu berjudul “Syuhada Memali: ciptaan dan nyanyian Meor Yusof Izudin dan lirik ditulis saudara Amin Iskandar (sekarang editor berita di sebuah portal berita).

Lagu tersebut terbit dalam album Meor berjudul Dari Rakyat untuk Rakyat.

Al-Fatehah Memali berkisar tentang proses kreatif dua orang seniman ini yang pergi ke kampung tersebut bagi mendapatkan ilham untuk menggubah lagu.

Senator Yusof Husin atau mesra dengan panggilan Pak Chop sangat-sangat membantu kami, terutamanya dengan memberikan kami kontak orang-orang kampung Memali.

Kontak saya dengan senator Yusof diperoleh atas bantuan allahyarham Yunos Ali, suami kepada Maria Chin yang mengenali Yusof secara peribadi.

Yunos dan Yusof pernah dikurung dalam kem tahanan yang sama. Mereka merupakan tahanan ISA dalam Operasi Lalang 1987.

Namun saya tidak akan dapat melupakan kenangan manis layanan cukup baik orang-orang Kampung Memali yang saya temui, terutamanya Pak Zaman Mahmud dan balu almarhum Ustaz Ibrahim Libya, iaitu Soleha Husin.

Puan Soleha cukup tenang ketika menceritakan kembali tragedi pada 19 November 1985 itu di tempat kejadian, rumah beliau sendiri.

Saya sempat menikmati keenakan laksa dan kopi di warung kakak almarhum Ibrahim, Suriah Mahmud yang menceritakan tekad adiknya itu dalam menuntut ilmu.

Saya juga masih ingat dalam perjalanan ke kampung itu, kami hampir tersesat kerana tiada papan tanda Kampung Memali, walaupun pada waktu itu Kedah sudah setahun diperintah oleh kerajaan PAS.

Kami bernasib baik ternampak tanda niaga bengkel kereta Sri Memali Enterprise. Kami telah sampai ke destinasi. Waktu itu belum ada lagi teknologi Waze dan GPS.

Saya diberitahu batu nisan perkuburan korban Memali disumbangkan Sultan Kedah.

Saya meragui naratif kertas putih parlimen mengenai peristiwa Memali.

Saya beranggapan Ibrahim dan penduduk Memali sangat kuat keyakinannya terhadap apa yang mereka percayai. Justeru, tiada istilah ketakutan dalam berjuang mempertahankan kebenaran. ISA itu zalim, jadi mereka tidak akan menyerah kepada kezaliman.

Memaafkan, tak melupakan

Bagaimanapun saya fikir pihak berkuasa boleh bertindak dengan lebih bijaksana, jika mendapat maklumat yang benar atau jika diberi arahan yang betul.

Keadaan mentaliti orang-orang kampung yang hidup di luar bandar dan terpencil pada waktu itu serta kemudiannya dikepung ribuan anggota polis, siap dengan kereta perisai menciptakan suasana yang memberi tekanan sehinggakan hilang kewarasan untuk bertindak secara rasional.

Pihak yang lebih berkuasa dengan kekuatan senjata, aset dan akal sepatutnya dapat memikirkan strategi lebih baik daripada sekadar merempuh kampung orang yang lemah.

Katakanlah pada hari ini, jika ada seorang pendakwah dan pemimpin parti politik setempat yang diperintahkan ditahan tanpa bicara, tetapi enggan menyerah diri, malah dipertahankan oleh seluruh penduduk kampungnya.

Saya jangka keadaan pasti berbeza dengan pertimbangan tentang tindakan yang lebih munasabah apatah lagi dengan penggunaan teknologi terkini komunikasi, analisa data daripada pihak risikan Malaysia yang disebut-sebut terkenal dengan kehebatan kaedah siasatannya itu.

Saya fikir bukan tugas saya untuk mengadili tragedi ini, walaupun saya berpendirian kita perlu memaafkan tetapi tidak melupakan.

Berat mata saya memandang berat lagi bahu korban yang memikul.

Biarlah ditubuhkan – jika ada – sebuah RCI yang benar-benar bebas dengan keanggotaan tulus berwibawa untuk merungkai keadilan tragedi Memali ini.

Sebagaimana petikan kata-kata pengarang Milan Kundera, ”perjuangan manusia melawan kekuasaan adalah perjuangan melawan lupa.”

Seumpama kita tidak patut melupakan almarhum Tok Janggut itu bukanlah penderhaka, walaupun kita juga memaafkan perbuatan penjajah menggantung mayatnya secara songsang selama tiga hari tiga malam, selain diarak ke seluruh Kota Bharu.

Sebenarnya Memali mengajar kita mengenal hakikat kemerdekaan sejati dalam melawan undang-undang tahanan tanpa bicara dan hari ini ISA telah pun dimansuhkan.

Memali juga tentang pengorbanan, sepertimana skandal 1MDB dan Jho Low sedang mengorbankan kita semua.


RAHMAT HARON seorang seniman 'outsider'.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen