malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Sempena dengan bulan kemerdekaan, sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-60 tahun ini, ada baiknya mengetahui perkembangan rakyat Malaysia yang berada di UAE. Khasnya di emiriyah Dubai yang menjadi destinasi popular untuk rakyat Malaysia bekerja serta melancong.

Saya sempat bertemu dan berbual santai dengan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof yang telah berada di Dubai lebih setahun.

Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa UAE, pada masa sekarang terdapat hampir 3,700 warga Malaysia bermastautin di Dubai dari 6,000 jumlah keseluruhan di UAE. Hampir kesemua adalah golongan profesional dalam pelbagai bidang, majoriti dalam industri petroleum dan gas, penerbangan, kejuruteraan, telekomunikasi dan perbankan Islam. Selain pendidikan tinggi, hospitaliti, ahli perniagaan dan ahli keluarga mereka yang bersama.

Tidak banyak syarikat Malaysia atau syarikat kepunyaan warga Malaysia yang beroperasi di Dubai. Antara syarikat Malaysia yang berkembang adalah antara lain PETRONAS, Eversendai, Operon Middle East, Amanie Advisors, Daily Fresh, Papa Roti, Marry Brown dan Smart Reader.

Banyak juga produk Malaysia yang berjaya menembusi pasaran UAE, antaranya Alicafe, jagung Daily Fresh dan pau Ahmad. Produk seperti sos Kimball menjadi sebahagian dari menu harian terutama di restoran.

Manakala ada rangkaian restoran 'mamak', rangkaian 'KL n Manila' dan sebuah restoran Melayu 'Nur Malaysia' yang dipunyai sepenuhnya oleh warga Malaysia.

Sememangnya, jumlah rakyat Malaysia di UAE turun naik mengikut keadaan ekonomi tempatan. Buat masa ini, boleh dikatakan merosot berbanding pertengahan dekad 2000han dahulu.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai merupakan antara pejabat Perwakilan Malaysia yang aktif dan agak besar saiznya yang turut menempatkan agensi-agensi kerajaan seperti MATRADE, MIDA, Pejabat Perwakilan PERTANIAN, Education Malaysia, Tourisme Malaysia dan Malaysian Timber Council.

Pada masa sekarang terdapat seramai 14 orang pegawai dan kakitangan daripada Malaysia serta 26 orang kakitangan ambilan tempatan yang berkhidmat di Konsulat Jeneral Malaysia, Dubai.

Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang terletak di kawasan Al Mankhool, selain daripada menjadi pusat diplomatik turut menguruskan urusan berkaitan hal ehwal rakyat Malaysia di Dubai dan Emiriyah Utara serta urusan visa kemasukan warga asing ke Malaysia. Pada tahun 2016, seramai 34,488 pelancong dari UAE melancong ke Malaysia.

Perdagangan antara Malaysia dan UAE juga baik, tahun lepas, mencecah RM20 bilion. Untuk suku pertama tahun ini sahaja, mencecah RM6 bilion.

 

Yubazlan merupakan konsul jeneral ketiga yang mengetuai konsulat semenjak ia dibuka pada Januari 2008. Beliau sebelum ini beliau pernah bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru dan Kedutaan Besar Malaysia di Belgrade, Serbia.

'Keldai' dihantar along

Perwatakan yang mudah mesra, mudah didekati dan bersahaja memberikan wajah mesra kepada konsulat. Sesuatu yang menambah ceria kepada perkhidmatan diplomatik kita di Dubai.

Antara isu yang menarik ialah pandangan terhadap warga Malaysia pada keseluruhannya masih di tahap terbaik dengan rekod yang cemerlang. Walaupun ada kes jenayah melibatkan warga Malaysia terutama kegiatan yang berkaitan jenayah kewangan termasuk penggunaan kad kredit palsu (katanya 'keldai' yang dihantar along), tiada penglibatan jenayah berat lain direkodkan. Sehingga Julai 2017, hanya terdapat seramai empat orang warga Malaysia yang masih berada dalam penjara di Dubai dan Emiriyah Utara.

Berbanding dengan warga Filipina misalnya yang dikatakan seramai hampir sejuta orang, warga Malaysia adalah terlalu kecil dan tidak signifikan. Begitupun, warga kita agak aktif dalam hubungan sosial dengan warga lain. UAE dihuni oleh ekspatriat dari 195 negara di dunia, 'melting pot' dengan majoriti dari Asia Selatan, Timur Tengah dan Filipina.

Satu lagi isu yang menjadi hangat ialah mengenai taraf penerimaan produk dengan logo Halal JAKIM. Pihak berkuasa di Dubai telah memulakan inisiatif Halal Dubai dalam memastikan produk yang diimport menepati piawaian tempatan. Bermula dengan daging yang diimport terutama dari Brazil, Thailand, China, New Zealand dan Australia.

Menurut Yubazlan, produk Halal Malaysia begitu diyakini di rantau ini yang sistem persijilan Halal JAKIM sentiasa diberi perhatian untuk penandaarasan. Entiti piawaian persekutuan UAE, Emirates Authority For Standardization and Metrology (ESMA) kini bekerjasama rapat dengan JAKIM bagi pengiktirafan sijil Halal yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak. Ini adalah inisiatif yang positif bagi meningkatkan jumlah dagangan produk Halal di antara Malaysia dan UAE. Sehingga kini isu berkaitan penerimaan produk dengan logo Halal JAKIM tidak berbangkit.

Pada masa ini, Dubai masih mengekalkan kedudukannya sebagai hab perdagangan serantau bagi negara-negara jiran GCC, selain negara-negara Arab lain di Timur Tengah, Afrika dan Asia Tengah. Dubai sentiasa berusaha keras meningkatkan sistem penyampaian kerajaannya, di samping pelaburan berterusan infrastruktur logistik bagi menyokong komuniti perniagaan dan perdagangan. Langkah ini meluaskan kemasukan produk halal dari Malaysia dan perlu diambil peluang sebaiknya kerana Dubai menjadi hab perdagangan di negara-negara Arab, selain Afrika, Eropah Timur dan Asia Selatan dengan penduduk melebihi tiga bilion.

Banyak cerita kejayaan seperti jagung Daily Fresh dan pau Ahmad, lebih banyak cerita kegagalan. Begitupun potensi pasaran UAE masih lagi besar akan tetapi syarikat-syarikat Malaysia perlu memahami kehendak dan dinamik pasaran yang begitu kompetitif yang syarikat-syarikat pembekal asing sentiasa bertungkus lumus mencari peluang.

Pada masa ini, syarikat-syarikat Malaysia dilihat agak kurang komited dan agresif bagi menembusi pasaran UAE. Selain daripada memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak MATRADE dan Pejabat Perwakilan PERTANIAN, syarikat-syarikat Malaysia perlu memberi komitmen tinggi yang berterusan termasuk sentiasa peka terhadap perubahan pasaran dan juga bekerjasama rapat dengan rakan kongsi atau ejen bagi pengembangan pasaran.

Strategi lapuk

Strategi pergantungan sepenuhnya kepada pengimport atau ejen bagi peluasan pasaran sudah dianggap lapuk dan perlu diubah. Syarikat Malaysia yang ingin melantik ejen perlu meneliti klausa kontrak dengan rapi bagi mengelakkan kesan negatif sekiranya ketidaksefahaman berlaku di kemudian hari.

Antara masalah utama untuk produk Malaysia masuk ke pasaran UAE ialah pemasaran yang kurang baik serta banyak syarikat mengharapkan rakan kongsi atau agen di UAE untuk menjual. Ada juga yang tertipu kerana agen selalunya mahukan hak eksklusif dan gagal menepati janji.

Kos beroperasi dan pengembangan pasaran di UAE adalah tinggi berbanding Malaysia. Syarikat-syarikat Malaysia yang berminat akan pasaran UAE perlu menyediakan dana pemasaran secukupnya di samping memastikan kapasiti pengeluaran adalah mencukupi dan konsisten.

Banyak syarikat Malaysia juga yang tidak mampu menghantar jumlah tempahan dan kurang dana pemasaran. Sekurang-kurangnya ada modal pusingan untuk bertahan paling kurang enam bulan, terbaik kalau dapat menampung selama tiga tahun.

Akhirnya, Yubazlan secara positifnya menyarankan warga Malaysia supaya berdaftar dengan konsulat serta menyertai program-program yang dianjurkan untuk rakyat Malaysia dari masa ke semasa di samping lebih aktif dalam kegiatan sosial tempatan, berikteraksi dengan ekspatriat negara lain dan bertindak sebagai 'duta kecil' yang mempromosi Malaysia secara langsung.

Rakyat Malaysia juga sama ada yang melancong atau tinggal di UAE dinasihatkan untuk menghormati undang-undang tempatan dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan nama negara.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen