malaysiakini logo
story-image
ADS

Mahathir berkata beliau khuatir jika Najib ditumbangkan semasa pilihan raya umum nanti, akan tercetus huru-hara supaya darurat boleh diisytiharkan dan parlimen digantung.

“(Apabila) darurat diisytiharkan dan parlimen ditangguh, undang-undang juga akan diketepikan.

“Saya takut ini adalah satu petanda yang cara ganas ini akan digunakan pada masa depan,” katanya. (laporan Malaysiakini 15 Ogos 2017)

Mahathir Muhamad atau Tun Mahathir atau Dr Mahathir terus menjadi induk berita semenjak menubuhkan Parti BERSATU. Kini Mahathir telah juga diberi kepercayaan untuk memimpin Pakatan Harapan - gabungan yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU.

Umur melintasi 90 tahun tidak mengganggu gerak kerja politik Mahathir. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa sosok 90 tahun ini masih tajam fikrahnya. Sosok ini juga licik gerak tingkah laku politiknya.

Program Nothing To Hide 2.0 yang diadakan di Shah Alam telah membuktikan sekali lagi betapa pentingnya sosok ini dalam usaha Pakatan Harapan untuk mengambil alih Putrajaya.

Oleh kerana itu, perancangan disusun oleh gerombolan yang yang tidak suka kepada Mahathir. Ada perancangan untuk memastikan Mahathir tidak akan berjaya menerangkan kepada generasi muda tentang dakwaan rompakan 1MDB yang telah dilakukan.

Mahathir telah diserang. Program itu menjadi kacau-bilau. Penerangan yang mahu disampaikan telah gagal disampaikan. Berita Mahathir diserang menjadi induk berita yang heboh. Apa yang ingin diterangkan oleh Mahathir telah lenyap dari laporan berita.

Apa maknanya ini?

Saya selalu menerangkan. Saya selalu menulis bahawa jika kita diserang oleh musuh ini satu perkara yang baik. Serangan ini memberi makna bahwa apa yang kita lakukan telah menakutkan musuh.

Mahathir diserang bermakna Najib sedar dan merasa takut akan pengaruh Mahathir. Mahathir diserang kerana parti United Malays National Organisation tahu bahawa bekas presiden parti mereka telah belot. Kini bukan sahaja bekas presiden parti sedang bekerjasama dengan musuh malah kini memimpin musuh untuk menyerang.

Dalam pentas politik ada hukum dan syaratnya. Jika musuh tidak menyerang kita ertinya apa yang kita lakukan semuanya hampeh dan sia-sia. Jika musuh tidak menyerang ertinya musuh tidak gentar dengan kita. Jika kita tidak diserang ertinya kita tidak relevan. Jika musuh tidak menyerang ertinya kita telah menjadi lembik. Jika musuh tidak menyerang ertinya kita telah bersama musuh.

Dan paling hina jika musuh tidak menyerang malah memuji kita, ini bermakna kita telah menjadi barua musuh atau sekurang-kurangnya menjadi penasihat musuh.

Belum pun sempat berita Mahathir diserang mengenap, si Mahathir ini telah mengeluarkan amaran. Mahathir berasa bahawa kekacauan di Shah Alam ini akan membawa kepada kekacauan lebih besar.

Rintik-rintik kekacauan

Mahathir begitu yakin darurat akan isytiharkan jika United Malays National Organisation kalah dalam PRU14, ataupun kekacauan akan ditimbulkan jika Najib menang kecil.

Pada pandangan Mahathir apa yang berlaku di Nothing To Hide 2.0 hanyalah rintik-ritik dan tanda-tanda awal.

Hubaya, hubaya. Awas dan waspada. Ini kenyataan Tun Dr Mahathir Muhamad, bekas perdana menteri. Mahathir telah menjadi PM selama 22 tahun. Justeru kenyataan ini memberi makna yang mendalam.

Selama 22 tahun Mahathir berkuasa, sosok ini tahu semua selok-belok kuasa. Saya cukup yakin Mahathir tahu apa itu daulah terpendam atau deep state. Saya cukup yakin Mahathir sendiri pernah menggunakan daulah terpendam untuk meneruskan kuasa.

Justeru jangan ambil sambil lewa kenyataan terbaru Mahathir tentang ‘darurat'. Saya yakin dan Mahathir juga yakin pada ketika ini ‘darurat’ pasti sedang dan telah lama berlegar dalam kepala seseorang.

Bukan susah untuk memahami hakikat ini. Pada ketika ini Najib dan Rosmah sedang dikepong. Amerika melalui Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sedang melakukan siasatan terhadap 1MDB.

Saman awal DOJ menyebut 36 kali Malaysian Official 1. Dalam saman terbaru DOJ telah menyebut kalung intan berlian Rosmah. Semua ini petanda bahawa tali jerutan DOJ semakin dekat.

Najib dan Rosmah sedar hal ini. Najib dan Rosmah tahu bahawa mereka hanya selamat jika mereka terus memiliki kuasa di Malaysia.

Jangan terlupa bahawa Pak Lah diketepikan apabila pencapaian Pak Lah dalam PRU12 merosot. Gerombolan United Malays National Organisation dan konco-konconya hilang kekuatan suara dua pertiga dalam parlimen.

Setelah Dolah Badawi dinyahkan, si Najib mengambil alih dengan harapan akan membawa kembali sokongan undi. Tetapi semuanya meleset.

Dalam PRU13, si Najib gagal untuk memulihkan kekuatan parti ketuanan Melayu ini. Malah jumlah kerusi parlimen terus merosot. Nyawa politik Najib sedang digadai.

Untuk bertahan dan terus berkuasa, Najib dengan licik telah membuat persediaan. Dengan menggunakan madah berhelah ‘keganasan’, Najib meluluskan apa yang dipanggil rang undang undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN).

Pada malam Selasa 22 Disember 2015, Dewan Negara meluluskan RUU MKN. Undang-undang ini memberi kuasa mutlak kepada Najib untuk mengisytiharkan darurat. Najib sebagai perdana menteri tanpa parlimen atau agong boleh membuat pengisytiharan darurat.

RUU MKN ini adalah kuasa segala kuasa. Yang kini dimiliki oleh Najib dan Rosmah. Jelas RUU MKN ini adalah senjata yang telah direka untuk memastikan kelangsungan kuasa.

Yakinlah bahawa Najib tidak akan berundur dari tampuk kuasa. Apa sahaja keputusan PRU14 Najib tidak akan berganjak. Datanglah apa sahaja Najib akan terus duduk bersemayam di atas takhta.

Di Putrajaya sehingga kiamat

Tidak masuk akal. Langsung tidak logik. Bukan tindakan politik bijak jika Najib mengundurkan diri. Yakinlah Najib mahu duduk di Putrajaya sehingga dunia kiamat. Rosmah mahu duduk di takhta kerajaan selagi ada bulan dan matahari.

Tidak masuk akal si Najib dan si Rosmah ini akan berundur. Kenapa saya begitu yakin tentang perkara ini? Kenapa saya berani berkata sedemikian. Untuk saya keadaan sekarang amat menyenangkan kita semua untuk memahami apa yang ada dalam kepala Najib.

Saya memulakan hujah dengan menimbulkan soalan. Siapa agaknya yang mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja terhadap kes forex? Ini kes Bank Negara kehilangan berbilion ringgit tukaran wang asing yang terjadi pada 30 puluh tahun dahulu.

Siapa pula agaknya yang mencadangkan agar diwujudkan suruhanjaya diraja terhadap kes Memali yang berlaku 22 tahun dahulu.

Kes forex telah bermula. Kes Memali sedang dibincangkan. Apakah para pembaca tidak faham apa makna di belakang suruhanjaya diraja ini?

Mungkin ada yang berpendapat bahawa suruhanjaya diraja ini bertujuan untuk menekan Mahathir. Ia ditubuhkan untuk membuktikan kepada umum betapa jahatnya Mahathir. Ini kerana kes Forex dan Memali berlaku ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

Betul ke hujah ini?

Dalam satu segi memang suruhanjaya ini ditubuhkan untuk menyerang Mahathir. Untuk menelanjangkan Mahathir Muhamad. Untuk memperlihatkan kuku besi milik Mahathir ketika dia berkuasa.

Daripada segi yang lain, suruhanjaya diraja ini juga adalah sebab utama si Najib dan si Rosmah tidak akan berundur hingga dunia kiamat.

Bayangkan, sebaik sahaja Putrajaya diambil alih oleh Pakatan Harapan, akan ada cadangan dan suara lantang untuk menubuhkan suruhanjaya diraja kes 1MDB.

Malah ketika saya menulis ini telah mula ada suara dari pemimpin Pakatan Harapan agar satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk kes 1MDB. Ini suara tuntutan ketika Najib dan Rosmah masih berkuasa. Bayangkan jika mereka telah tercabut daripada tampuk kuasa.

Jika Najib hilang kuasa, saranan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja akan keluar daripada mulut Haji Hadi. Tuan Haji Hadi akan mengeluar seribu macam ayat dan ‘taawun’, bukan penyakit taun atau tahun, tapi ‘taawun’ untuk memastikan Najib didakwa.

Suara Hadi ini pasti akan disokong kuat oleh Nik Abduh dalam parlimen. Haji Tontowi akan terbang ke Jerman sekali lagi untuk mencari Tim Leissner, pegawai bank syarikat kewangan Goldman and Sachs yang terlibat dalam peminjaman duit 1MDB.

Yakinlah datuk nenek moyang kita dengan bijak telah menunjukkan jika kayu condong, kura-kura pun akan berani memanjat.

Terbayang muka anak Karpal

Tidakkah para pembaca terfikir bahawa suruhanjaya ini adalah benteng untuk Najib mempertahankan diri. Najib mengatur suruhanjaya ini sebagai serampang dua mata.

Justeru, mustahil Zahid Hamidi atau Hishammuddin Hussein atau Nazri Aziz atau Azalina berani melanggar Najib.

Menteri kanan Najib sedang melihat suruhanjaya forex berjalan. Betul yang digodam ialah Mahathir. Tapi dalam kepala masing-masing, jika Najib berundur mereka terbayang muka Najib sedang disoal dalam mahkamah oleh anak Karpal Singh.

Justeru untuk semua yang sedang berkuasa - menteri atau pegawai berkuasa - lebih baik mereka terus bertuankan Najib sehingga hari kiamat. Jika Najib berundur mereka juga akan ditibai sama.

Tentang langkah-langkah mahkamah Amerika, Singapura, Perancis atau mahkamah Switzerland, si Najib tidak akan melayan mereka. Selagi Najib dan Rosmah berkuasa di Putrajaya segala bentuk tekanan kuasa luar hanya boleh bersuara membuat bising. Tidak dapat melakukan apa-apa.

Mustahil ketua polis negara akan melayan tuntutan Interpol jika Amerika meminta Najib hadir di mahkamah di Los Angles. Mustahil Peguam Negara akan membenarkan Najib diterbangkan ke Switzerland untuk disoal siasat.

Lihat sahaja perangai ketua polis sekarang, langsung tidak ambil pot terhadap Jho Low. Lihat sahaja perangai peguam negara sekarang, kes 1MDB dibicarakan di luar negara. Tapi Peguam Negara Malaysia tidak ambil pot.

Maka kita kembali kepada pepatah Bugis, kuasa datang daripada hujung keris. Hakikatnya hari ini Najib telah menyediakan keris. Hanya menunggu masa untuk dicabut daripada sarung.

Persoalan timbul bila Najib mencabut keris daripada sarung, apa yang pembaca lakukan? Sila tanya diri sendiri. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen