malaysiakini logo
story-image
ADS

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini akan membawa kemenangan yang amat meyakinkan untuk Pakatan Harapan. Ombak politik terkini menunjukkan bahawa Najib, Rosmah dan konco-konconya akan tersungkur.

Dalam PRU13 yang lalu, Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus sokongan undi rakyat. Ini jumlah kemenangan yang telah dirampas oleh Najib dan Rosmah. Pakatan Rakyat telah dinafikan hak untuk masuk ke Putrajaya. Pakatan Rakyat dinafikan hak untuk mendirikan kerajaan dan pentadbiran baru.

Majoriti rakyat – 52 peratus – telah digagalkan dari mendapat pentadbiran baru. Dalam mana negara pun dalam dunia ini parti yang mendapat lebih dari 50 peratus pasti menjadi parti pemerintah.

Ini tidak terjadi di Malaysia. Ini kerana cara dan sistem pilihan raya memastikan parti United Malays National Organsiation terus berkuasa.

Kali ini dalam PRU14 sekali lagi akan berlaku lonjakan sokongan orang ramai terhadap Pakatan Harapan. Satu lonjakan yang meyakinkan bahawa kerajaan dan pentadbiran baru di Putrajaya adalah kerajaan Pakatan Harapan. Lonjakan dan sokongan orang ramai akan melintasi lebih daripada apa yang telah dicapai oleh Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lalu.

Kenapa saya berani menulis sebegini? Apakah bukti sahih yang memberanikan saya menulis perkara ini? Apakah ini hanya satu angan-angan?

Ini bukan satu angan-angan. Ini bukan satu khayalan. Bacaan politik hari ini meyakinkan saya bahawa PR14 akan menyebelahi Pakatan Harapan.

Rejim Najib-Rosmah sedang terkepung. Ada dua kepungan sedang berlaku. Kepungan ini amat-amat jelas. Mustahil para pembaca yang arif tidak dapat melihat perkara ini.

Jaring kepungan pertama datang daripada luar. Jaring jerutan leher kedua datang daripada dalam. Ini bermakna Najib-Rosmah sedang dikepung daripada luar dan dalam negara.

Kepungan luar diterajui oleh Amerika Syarikat. Amat jelas kepungan bermula apabila Jabatan Keadilan Amerika Amerika Syarikat (DOJ) memulakan saman sivil terhadap harta yang dikatakan dibeli menggunakan duit 1MDB dua tahun lalu.

Pada permulaan ia hanya saman sivil bertujuan untuk merampas harta yang didakwa dibeli daripada duit 1MDB. Saman sivil ini tidak diendahkan oleh Najib-Rosmah. Malah benggolan kaki bodek Najib – Tuan Haji Rahman Dahlan dan Tuan Haji Salleh Keruak telah mentertawakan saman ini. Pada hemat mereka ini hanya saman sivil. Dua orang tuan haji kaki bodek ini merasakan Najib masih selamat.

Malah peguam negara sendiri mengatakan saman sivil ini tidak ada sangkut paut dengan Najib- Rosmah. Alhamdulliah Najib selamat. Amin.

Semuanya berubah

Tetiba pada 11 Ogos 2017 yang lalu semuanya berubah. DOJ telah menangguhkan saman sivil. Kini siasatan saman jenayah telah dimulakan terhadap semua pelakon yang terlibat dengan dakwaan kecurian duit 1MDB.

Sebelum letupan berita DOJ ini diketahui di Malaysia, portal Sarawak Report melaporkan lebih awal berita mendakwa bagaimana watak utama dikatakan mengarahkan peguamnya untuk ‘berunding’ dengan DOJ.

Berunding? Apa agaknya yang hendak dirundingkan oleh si tembam ini? Apakah Jho Low bersedia jadi saksi? Jika ini berlaku yang ‘mati terpacak’ pastilah Riza Aziz - anak tiri kesayangan Najib. Silap-silap jika Jho Low jadi saksi DOJ, Najib sendiri akan mati terpacak.

Ini semua perancangan Amerika yang licik. Ini cara Amerika memberitahu Najib don’t play play, jangan main mata dengan China Merah. Jangan beri China Merah tanah di Sabah untuk dijadikan pelabuhan tentera. Jangan. Jangan. Jangan.

Selepas DOJ mengubah saman datang pula Rex Tillerson, setiausaha negara Amerika ke Kuala Lumpur. Ini wakil Presiden Donald Trump. Lihat bagaimana jala Amerika dipasang dan perlahan-lahan makin menjerut.

Umum tidak tahu apa yang dilabunkan antara Najib dengan wakil Trump. Tapi mungkinlah si Rosmah akan melobi Tillerson agar suaminya dijemput bermain golf dengan Trump.

Kita beralih ke kepungan kedua daripada dalam negara. Dalam PRU13, PKR, DAP dan PAS telah menyerang Najib. Ini membawa pulangan 52 peratus sokongan rakyat.

Pada tahun 2017, dalam PRU14, ada perubahan yang amat besar sedang berlaku. Satu ledakan politik baru dengan kemunculan parti BERSATU. Jangan ambil enteng. Parti BERSATU ini dipimpin dan dikepalai oleh Tun Dr Mahathir Muhamad.

Sila ambil perhatian, sosok yang bernama Mahathir ini pernah menjadi presiden parti United Malays National Organisation. Sosok ini juga pernah dikenali sebagai Mahafiraun. Justeru sosok ini tahu segala selok-belok dan putar memutar untuk mendapat kuasa.

Kepungan daripada dalam ini sedang menjerut leher Najib. Ini jelas dibuktikan dengan segala macam tindakan yang diambil untuk memastikan Mahathir dan BERSATU tidak dapat mengangkat sauh dan mengembangkan layar dengan aman damai.

Bukan satu yang baru apabila jentera daulah - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) - diarah untuk menyerbu syarikat anak-anak Mahathir. Malah daripada awal lagi si Mahathir telah berkata bahawa kawan-kawan lama dia telah juga ‘digelodak’ LHDN.

Ini taktik lama yang pernah digunakan oleh Mahathir sendiri. Justeru Mahathir tidak risau. Malah Mahathir ‘menganjing’ agar LHDN meneruskan serbuan hingga masuk ke rumah Rosmah dan Najib.

Apa yang saya tulis memberi gambaran bahawa selepas PRU14 berlangsung kita akan ada perdana menteri baru. Ini bermakna Putrajaya akan diambil alih oleh Pakatan Harapan.

Hantu bungkus’ PRU14

Jika mengikut undi dan sokongan orang ramai inilah yang akan berlaku. Dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi pilihan raya parti atau kumpulan yang mendapat sokongan majoriti akan memerintah.

Bagaimana dengan Malaysia?

Sabar dulu. Sebelum jawapan tuntas dapat saya tulis, biar saya perlihatkan bagaimana ‘hantu bungkus’ akan dihantar untuk membuat kacau dalam PRU14 ini.

Hantu bungkus? Gerangan apa ini? Apa maknanya hantu bungkus.

Hantu bungkus yang saya maksudkan ialah parti PAS. Parti yang membungkus dirinya dengan jubah Arab-Islam. Parti ini akan digunakan untuk menjadi salah satu senjata Najib.

Sebenarnya hantu bungkus ini bukan senjata tajam sangat. Lebih tepat lagi jika saya rakamkan bahawa hantu bungkus ini akan buat kacau, akan ganggu PRU14, akan letak calon - bikin kacau sana sini.

Hantu bungkus pada hari ini dakwa dirinya sedang menjadi penasihat Najib. Bayangkan betapa ‘kodinya’ Najib pada ketika ini. Najib terpaksa menerima Haji Hadi peneraju hantu bungkus sebagai penasihat.

Apa jenis nasihat politik yang boleh diberikan oleh Haji Hadi kepada Najib? Ini satu persoalan yang pada hemat saya tidak susah untuk dijawab.

Pastilah Hadi memberi nasihat halal haram. Dan paling afdal nasihat Hadi pastilah cara memakai jubah yang tepat dan betul ketika 'berhanana' di Dataran Merdeka.

Untuk saya peranan Haji Hadi ini seakan-akan kerja politik Jamal Ikan Tongkol ketika BERSIH menjalankan kempen BERSIH5. Bikin kacau dan buat bising. Hasilnya tarak.

Pada hemat saya projek hantu bungkus Najib ini akan gagal dalam PRU14. Ini kerana yang teringin, yang gian dan yang berniat menyokong Haji Hadi menjadi penasihat Najib hanya anak beranak Hadi sahaja. Satu Malaysia tahu hanya anak dan menantu Hadi sahaja yang menjadi penyokong tegar hantu bungkus.

Untuk berlaku adil kepada Haji Hadi biarlah saya katakan bahawa Hadi bukan hanya disokong oleh anak dan menantu. Hadi juga dilaporkan mendapat sokongan dari Nik Abduh, Haji Tontowi dan pihak yang mengharapkan dedak daripada Najib. Tapi yakinlah ramai pemimpin dan juga ahli biasa parti PAS tidak yakin dan tidak mahu terlibat dengan projek ini.

Kita melihat Amerika, Perancis, Singapura, United Kingdom sedang mengepung Najib daripada luar. Kita melihat BERSATU, Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Mahathir sedang megepung Najib. Permusuhan Anwar dengan Mahathir telah selesai. Kini mereka dalam kubu yang sama. Ombak melawan makin ampuh. Ombak mahukan Najib berundur makian lantang.

Makan diri

Kita juga yakin bahawa Hadi dan konco-konconya boleh buat kacau tetapi kekacauan ini akan memakan diri sendiri. Silap hari bulan hantu bungkus ini akan terbungkus daripada persada politik Malaysia.

Soalan timbul apakah Najib akan berundur apabila Pakatan Harapan mendapat sokongan majoriti rakyat? Apakah Najib sedia beredar apabila Pakatan Harapan mendapat lebih sokong berbanding dengan PRU13?

Putar punya putar, soalan ini perlu kita utarakan pada diri kita sendiri. Bayangkan diri anda sendiri kini dikepung Amerika. FBI daripada Amerika sedang membuat siasatan kes jenayah 1MDB. Singapura telah memenjarakan pemain kecil dalam dakwaan rompakan 1MDB.

Pelakon utama dan watak utama masih bebas. Bercanda ke sana sini. Switzerland belum menjalankan apa-apa walaupun peguam negaranya telah datang ke Kuala Lumpur mencari bukti.

Ketika dalam kepungan, tuan-tuan juga sedang dihambat oleh Mahathir, Anwar dan Pakatan Harapan. Tuan tuan juga sedang berhadapan dengan kemarahan baru. Ini kemarahan anak muda ARMADA BERSATU. ARMADA sedang mengasah kuku dan sedang mencari lawan.

Apakah tuan-tuan akan mengundur bila kalah dalam pilihan raya? Tuan tuan ingat pepatah Bugis – kuasa datang daripada hujung keris. Lalu keris dicabut. Tepuk dada tanya Rosmah. Dan tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen