malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Sewaktu mula-mula bermastautin di UAE dalam tahun 2000 dahulu, terdapat jenaka di kalangan ekspatriat bahawa lebih mudah mendapatkan ijazah Phd daripada lesen memandu.

Ada yang bertahun-tahun, berkali-kali gagal. Fenomena yang menjadikan keperluan untuk lesen memandu begitu berharga, apalagi semakin tahun semakin mahal kos untuk mendapatkan lesen.

Ada menyatakan yang ujian memandu adalah sebahagian dari bisnes, ada juga sebagai cukai.

Sememangnya sukar kerana pihak berkuasa UAE mahu memastikan pemandu, terutama ekspatriat daripada negara-negara dunia ketiga mencapai tahap yang tinggi untuk keselamatan pengguna khususnya.

Setiap emiriyah mempunyai kuasa autonomi dalam pelesenan kenderaan dan perundangan pemanduan. Walaupun ada jabatan pengangkutan bawah Kementerian Dalam Negeri di peringkat persekutuan, setiap emiriyah mempunyai jabatan atau lembaga pengangkutan sendiri.

Oleh kerana itu, kalau ekspatriat bawah visa emiriyah Dubai, hanya boleh mengambil lesen memandu di Dubai, juga membeli kereta di Dubai sahaja.

Kalau membeli kereta di emiriyah lain, mesti diimport ke emiriyah Dubai. Begitupun sudah ada kelonggaran sekiranya sudah membeli di Dubai, tetapi berpindah dan bawah visa Sharjah misalnya,dibenarkan untuk meneruskan pemilikan bawah Dubai.

Dengan hampir 90 peratus penduduk adalah ekspatriat dari lebih 200 negara dunia yang mencari rezeki di UAE, sememangnya tidak mudah untuk menguruskan perundangan dalam pemanduan.

Pelbagai sikap, gelagat dan tabiat buruk tanpa disiplin dan kesombongan dijalan raya, termasuk warga Emirati sendiri memberikan gambaran mengenai 'kegilaan' yang mencabar kesabaran.

Begitupun, buat ramai kawan-kawan daripada negara-negara Arab lain, terutama Arab Saudi, dan Mesir, pemanduan di jalan raya UAE masih di tahap terbaik. Malah, lebih baik dari Malaysia sendiri untuk saya secara peribadi.

Saya lebih takut memandu di Malaysia berbanding untuk memandu di UAE. Stigma pembuli jalan memberikan pengalaman buruk.

Dengan jalan raya bertaraf dunia di UAE, lebuh raya lebar dan menjalar tanpa tol, sememangnya mudah lupa diri, apalagi kalau berkenderaan mewah yang mana harga kenderaan jauh lebih murah dari Malaysia kerana tanpa cukai.

Begitu juga buat ramai ekspatriat daripada negara dunia ketiga yang mampu memiliki kenderaan lebih baik daripada negara sendiri yang menjadikan ramai selalu hilang akal dan syok sendiri.

Kemalangan jalan raya adalah sebab kedua utama kematian di UAE. Ia berlaku walaupun hampir setiap kilometer ada radar atau kamera sepanjang lebuh raya. Ini adalah sebahagian daripada langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Pada tahun 2016 sahaja secara statistik seramai 725 orang mati, atau orang setiap hari.

Ini angka yang tinggi dengan 32 kematian untuk setiap 100,000 orang berbanding empat kematian untuk setiap 100,000 orang di United Kingdom.

Oleh kerana itu, mulai 1 Julai, semua saman dan denda kesalahan jalan raya dinaikkan. Ada saman sehingga 1,000 dirham, selain kenderaan dirampas. Saman dihantar melalui SMS.

Secara umum, penyebab utama kemalangan jalan raya adalah kecuaian dan hilang tumpuan, 'mencilok' atau membelok tiba-tiba, gagal memberi jarak selamat antara kenderaan dan melanggar lampu merah.

Senarai denda paling banyak ialah tidak memandu di lorong yang betul, tidak parkir dengan betul, memandu atau penumpang tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memberi jarak sesuai antara kenderaan, membelok lorong secara tiba-tiba, mengekori atau menghalang kenderaan lain.

Paling tinggi kesalahan dan kemalangan melibatkan pemandu berusia antara18 ke 30 tahun. Pemandu muda mempunyai sikap acuh tak acuh kerana budaya pemanduan yang negatif. Ada yang tidak menggunakan lampu isyarat kiri kanan sewaktu memandu dan enggan memakai tali pinggang keledar kerana tidak mahu kelihatan tiada pengalaman, yakni tidak 'cool'.

Pernah sebuah stesen radio membuat wawancara secara langsung dan menyoal seorang pemandu wanita tempatan kenapa tidak menggunakan lampu isyarat kereta di simpang masuk ke jalan lain, beliau selamba menjawab, "Saya tahu ke mana saya nak pergi!"

Kenaikan penalti yang tinggi ini sememangnya berkesan dalam mengubah sikap pemandu dalam minggu pertama Julai di Dubai.

Penurunan sebanyak satu pertiga berbanding minggu akhir Jun. Sebanyak 59,777 denda dalam tempoh 1 hingga 7 Julai berbanding 94,963 tempoh minggu terakhir Jun. Bermakna 35,187 denda berkurangan.

Ternyata saman dan denda yang tinggi menjadikan pemandu lebih berhati-hati. Secara peribadi, saya merasa lebih seronok memandu kerana pemandu gila dan gila-gila terasa amat berkurangan.

Diharapkan perkara sama dilakukan di Malaysia yang juga mempunyai kadar kemalangan antara tertinggi di dunia dan sikap ramai pemandu yang sama bertaraf gila, kurang ajar, mementingkan diri sendiri dan terasa mengatasi undang-undang seperti politikus dan VIP!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen