malaysiakini logo
story-image
ADS

“Kita tidak jadikan kita dan tentukan hujung jatuh nasib kita. Kita nak anak lelaki, tiba-tiba buleh (dapat) anak perempuan. Kita nak yang cerdik, tahu-tahu dapat yang bebal.

"Kita nak yang baik, tapi sedar-sedar anak kita duduk di balai polis. Kita kira-kiranya nak kaya, tapi sampai ke hari ini masih miskin. Ini menunjukkan, kita ada Tuhan dan kita perlukan Tuhan 24 jam. Dua puluh empat jam kita diuji Tuhan” (Kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu pada 25 Oktober 2008).

Sesekali, teringatkan pesanan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz, hati kita mudah menjadi tersentuh. Kata-katanya pendek, langsung dari hati. Yang ditujunya ialah hati.

Saya sering terimbas kadang kala detik-detik bahagia saya berada bermengguk di setiap kuliah pagi Jumaatnya di Dataran Ilmu, ditengah Kota Bharu saban waktu.

Apakala dipadankan kandungan kata-kata di atas dengan maksud firman Allah SAW di pelbagai kesempatan sewaktu kita mendalami ayat-ayat Dia misalnya, kita akan mudah terserempak di mana sandaran kata-kata beliau itu dibina.

Ia berakar tunjang. Ia teguh berpaksi justeru ia bersumberkan wahyu Tuhan; Tuan punya kepada sekelian makhluk dan Dialah yang sebenar-benarnya “Robbul Alaamiin”.

Misalnya, lihatlah kandungan kuliahnya di atas dalam perkaitannya dengan maksud ayat ini: "Sesungguhnya harta kekayaan kamu dan anak-anakmu itu adalah fitnah (cubaan), dan di sisi Allah terdapat pahala yang besar."(at-Taghabun : 15).

Ribuan cubaan menunggu

Daripada maksud ayat itu, kita diperingatkan dengan dua bentuk cubaan iaitu harta dan anak. Jika diikutkan kamus dunia, kedua-dua unsur ini jarang dikategorikan ke dalam fitnah dan ujian.

Soalnya, kenapa Allah menggolongkan kedua-duanya dalam kategori ini? Secara akal, kedua-duanya akan membahagiakan sesiapa.

Bagaimanapun, menurut almarhum, Allah tetaplah Allah. Dengan segala sifat Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui-Nya, Dia dengan terbuka mengingatkan kita supaya melayan kedua-dua anugerah itu sebagai ujian.

Jika pandai kita mengendalikannya, maka kita tidak akan disia-siakan. Di sana, ada menunggu jaminan pahala yang besar.

“Beriman dengan ayat ini bermakna kita sedang bersedia untuk diuji 24 jam,” tegasnya lagi.

Di hadapan kita ada menunggu seribu satu macam cubaan yang akan didatangkan. Mungkin akan di munculkan di sekitar harta kita atau juga dalam kurnia berupa bakat, atau anugerah pangkat atau untung dan rezeki yang melimpah ruah di bidang perniagaan.

Mungkin juga kita diuji dengan kerugian, kemusnahan, keuzuran dan musibah. Atau mungkin di sekitar kehidupan anak-anak kita pula, sengaja dilahirkan suasana kecerdikan, kecantikan, kejayaan akedemik, kecemerlangan kerjaya.

Atau mungkin pula disengajakan dengan musibah berupa penyakit, kebodohan, kecacatan, kemiskinan atau perkahwinan sebentar yang berakhir dengan perceraian.

Manusia beriman yang arif billah dan yang memahami bahasa isyarat Tuhan tentang falsafah hidup berteraskan maksud ayat di atas ini tidak akan mudah lupa. Baik dalam nikmat atau melarat, dia akan tetap terasa kehadiran dan kehampirannya dengan Allah SWT.

Rasa diri serba cukup

Di segenap cabang ujian, dia akan sentiasa akur akan hakikat adanya campur tangan Allah dalam setiap sesuatu. Tidak luruh sehelai daun kering melainkan dengan seizin-Nya.

Hati orang dalam maqam ini penuh tepu dengan kesedaran bahawa dia tidak boleh lalai daripada memahami bahawa setiap sesuatu itu adalah semata-mata anugerah yang ada terselit ujian di dalamnya.

Nikmat atau kesempitan hidup sebetulnya adalah makjun hidup bersalut kertas gula-gula yang cukup tipis.

Setiap kali muncul kelekaan, orang jenis ini akan cepat-cepat mengingati pesanan ayat lain yang senafas bermaksud: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaanmu dan anak-anakmu daripada mengingati Allah. Barangsiapa yang melakukan demikian, maka itulah orang-orang yang rugi" (al-Munafiqun : 9).

Ya, kita boleh berkeras bahawa 'itu' adalah dari kita dan 'ini' adalah hasil dari usaha kita. Nafsu kita sememangnya gemarkan itu. Enak dan cukup mudah leka membanggakan diri.

Bagaimanapun, percayalah yang ego kita akan runtuh seluruhnya jika kita ubatinya dengan maksud ayat Allah yang satu lagi iaitu: "Sesungguhnya manusia itu suka bertindak melapaui batas, kerana merasa dirinya serba cukup"(al-'Alaq : 6-7).

Apa itu "merasa dirinya serba cukup" kalau tidaklah takbur? Kita perlu sedar bahawa hidup ini berbatas. Kalau tidak, memang akan asyiklah kita membesarkan kita, lupa akan Dia. Lalu mulalah banggakan diri bahkan hairankan diri - melihat orang lain semuanya tidak sepadan, bahkan tak sampai - sehujung kuku pun berbanding dengan kita.

Orang begini lazimnya tidak akan ke mana. Dia akan sesat dalam kesombongan dan kebanggaan. Dia tidak tahu, sesudah ini perlu ke mana lagikah dia.

Bahkan, dia terasa membesar tiba-tiba dan boleh secepat kilat boleh berada di mana-mana.

Wah! Dalam gah itulah biasanya dia tidak akan dapat menerima apabila ditakdirkan sesuatu yang di luar daripada hajatnya.

Situasi terburuk ialah apabila dia akan menyalahkan takdir dan menolak ketentuan ke atasnya. Dari situlah dia akan binasa sepenuhnya. Sakitnya tidak membawa tuah. Segarnya tidak membawa faedah. Dia lagho sampai ke sudah.

Indahnya uslub dakwah Tok Guru apakala ada ketikanya ia menyediakan ruang untuk kita membuat eksplorasi yang selanjutnya.

Terkadang, dia sengaja menggantungkan fakta demi membolehkan khalayak bertanya atau menggali dasar sumur yang selebihnya.

Aduh. Sesekali terlintaskan mesej allahyarham, hati kita mudah terpukul. Dahi kita bagai terhantuk dan kita mudah menjadi tunduk – menjadi malu; sekurang-kurang kepada diri kita sendiri.


ANNUAL BAKRI HARON ialah bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen