malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Kolum
Kleptokrasi, kriminologi: Cara mengkaji negara
ADS

Negara, kerajaan atau pemerintah merujuk kepada lembaga-lembaga yang berkuasa atas masyarakat. Negara moden terdiri daripada lembaga yang bertanggungjawab mewujudkan, menyusun atau menkodifikasi undang-undang. Ia melibatkan badan perundangan; eksekutif yang bertanggungjawab atas pelaksanaan yang berkesan undang-undang dan peraturan yang diwujudkan dan disahkan oleh badan perundangan; dan badan kehakiman yang menghakimkan dan memutuskan sesuatu jika berlakunya pelanggaran undang-undang.

Biasanya bidang-bidang yang mengkaji negara atau kerajaan adalah keduanya ilmu politik dan sosiologi politik. Ilmu politik berhubungan dengan pemahaman pelbagai sistem pemerintahan dan gambaran dan huraian pemikiran dan peri laku politik. Sosiologi politik, di sisi lain, memberi perhatian kepada kajian tentang hubungan antara negara dan masyarakat. Ahli sosiologi politik mengajukan pertanyaan seperti “faktor-faktor apa yang membawa kepada penurunan penyertaan pemilih?” atau “bagaimana faktor etnisiti dan susunan perkauman mempengaruhi peri laku pemilih?”

Pada amnya, baik ilmu politik mahupun sosiologi politik sebagai bidang kajian digarisbawahi oleh gagasan kesahan atau legitimasi negara. Kesahan itu merujuk kepada hak dan penerimaan kewibawaan sesuatu pemerintah itu. Ketika kewibawaan itu dikatakan sah, ini bermakna pemerintah dianggap mempunyai hak untuk menjalankan dan mempertegaskan kekuasaan. Kesahan merupakan keperluan asas untuk pemerintahan lancar dan cekap. Memang, kekurangannya kesahan politik bermakna pemerintah terpaksa mengambil jalan keluar dengan menggunakan kekerasan dan pemaksaan. Pemerintah yang tidak memiliki kesahan pada umumnya tidak disukai oleh khalayak ramai dan hanya mampu bertahan kerana mereka dianggap sah atau disokong oleh segolongan kecil elit tetapi yang berpengaruh. Seringkali kekuasaan pemerintah seumpama itu berasaskan kepada kekerasan dan pengugutan ketimbang kewibawaan.

Seorang penguasa yang bergantung kepada kewibawaan pada umumnya menggunakan ciri kepemimpinannya dan kemampuannya untuk memujuk dan mempengaruhi orang lain. Dia dikatakan mempunyai kewibawaan atas kebolehan itu. Jika penguasa tidak memiliki kesahan, ia akan harus bergantung hanya kepada penerapan paksaan dan kekerasan semata-mata. Ketika kewibawaan adalah sah, penguasa merasa ia memiliki hak untuk memerintah, sedangkan yang diperintah merasa mereka memiliki kewajipan untuk mematuhi undang dan peraturan atau mematuhi penguasa.

Bidang ilmu politik dan sosiologi politik dilahirkan dalam konteks perkembangan politik di negara industri maju di Barat yang pemerintah secara luas dipandang sah dan dianggap melaksanakan kewibawaan yang sah. Perbendaharaan kata bidang ini – perlembagaan, kekuasaan terbatas, pengasingan kuasa, semak dan imbang, kepemimpinan, pengaruh dan lobi - mencerminkan gagasan kesahan.

Bagaimanapun, peri laku pemerintah dan ahli-ahli politik di banyak negara Dunia Ketiga adalah demikian rupa sehingga pemerintahannya tidak dianggap sebagai sah atau berasaskan kepada kesahan kewibawaan. Negara-negara tersebut seringkali mengambil jalan keluar dengan menggunakan kekerasan dan pemaksaan daripada memerintah melalui kepemimpinan, pemujukan dan pengaruh. Kekurangannya kesahan kewibawaan di mata orang ramai akan tersebar luas jika persepsi bahawa pemerintah terlibat dalam kegiatan jenayah sudah berakar umbi. Contohnya adalah negara kleptokratis.

Dalam karya rintisannya, The African Predicament, yang diterbitkan pada tahun 1968, ahli sosiologi Stanislav Andreski menggambarkan bagaimana rasuah begitu meluas di negara-negara Afrika sehingga politik menjadi kegiatan hanya untuk menghasilkan wang. Ahli politik, birokrat dan pegawai negara merupakan pengumpul modal utama dibandingkan dengan sektor swasta. Mereka mengumpulkan modal melalui amalan-amalan rasuah yang melibatkan penyuapan, pemerasan dan nepotisme. Pemerintahan seumpama itu ditakrif oleh Andreski sebagai kleptokrasi. Kleptokrasi adalah sistem pemerintahan dan ekonomi politik yang ditentukan oleh rasuah.

Meskipun Andreski menulis puluhan tahun yang lalu tentang kleptokrasi, hanya baru-baru ini istilah ini telah diperhatikan secara sungguh-sungguh. Patut diberi perhatian adalah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi di Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat. Unit ini ditugaskan untuk mengenal pasti dan menyita aset asing yang dimiliki secara haram oleh para pemimpin asing di Amerika Syarikat.

Kriminologi adalah bidang yang mengkaji secara ilmiah jenayah dan kejahatan, termasuk sifatnya, penyebab, akibat dan cara pencegahan. Ia memperhatikan peri laku jenayah baik di tingkat perseorangan dan masyarakat. Bidang kriminologi mengakui kemungkinan negara atau pemerintah menjadi aktor jenayah.

Ronald Kramer, Ray Michalowski dan Dawn Rothe, dalam makalah mereka, “The Supreme International Crime: How the US War in Iraq Threatens the Rule of War”, yang diterbitkan dalam jurnal Social Justice pada tahun 2005, mentakrif jenayah negara sebagai “tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa awam, undang-undang jenayah antarabangsa atau dalam negeri apabila tindakan ini dilakukan oleh orang yang bertindak secara resmi atau tersembunyi sebagai agen negara, ketika mematuhi perintah negara tersurat mahu pun tersirat, atau tindakan yang diakibatkan oleh kegagalan negara itu melakukan uji tuntas (due diligence) atas tindakan agennya”.

Bidang kriminologi sangat berguna untuk mengkaji dan memperbincangkan negara kleptokratik atau jenis selainnya negara jenayah. Teori-teori kriminologi akan membantu kita untuk memahami berbagai segi negara kleptokratik. Contohnya, salah satu penjelasan untuk peri laku jenayah pegawai negara adalah ketegangan teruk yang disebabkan oleh jurang antara norma-norma yang diterima secara sosial dan kenyataan sosial. Untuk sebahagian besar masyarakat, kejayaan kebendaan sangat dihargai. Cara yang sah dan boleh diterima mencapai keberhasilan tersebut adalah ketekunan, disiplin dan kerja keras. Kebanyakan orang mengikut atau mentaati norma-norma yang dominan serta cara untuk mencapai norma-norma itu. Orang seumpama itu akan menyesuaikan harapan mereka dengan kenyataan, dengan apa yang mereka dapat mencapai dari segi kejayaan kebendaan. Para kleptokrat, di sisi lain, begitu dihantui kejayaan kebendaan sehingga mereka menggunakan cara-cara haram dan jenayah seperti penyuapan, nepotisme dan pemerasan untuk mencapai tujuan mereka.

Kriminologi juga memberitahu kita bahawa kleptokrat dapat mewajarkan tindakan mereka dengan mencuba merasionalkan penjelasan mereka. Mereka melakukan ini supaya kegiatan mereka terlihat biasa atau benar, bahkan terpuji di mata rakyat. Mereka mungkin menyangkal bahawa kegiatan mereka adalah rasuah dan menuntut tindakan mereka bermanfaat bagi negara dan masyarakat. Mereka juga sering mengecam orang-orang yang membuat penilaian terhadap mereka. Rasionalisasi tersebut juga berfungsi untuk membersihkan hati sanubari para kleptokrat.

Jenayah negara meliputi pelbagai jenis kegiatan, termasuk rasuah, pencetusan peperangan, sokongan untuk keganasan, dan pelanggaran hak asasi manusia. Setakat kegiatan jenayah sedemikian menguasai dan menentukan kerajaan, adalah penting agar para sarjana mempelajari negara dan pemerintah daripada perspektif kriminologi dengan tujuan bukan sahaja mencapai kefahaman negara jenayah tetapi juga untuk mewujudkan kesedaran dan kemarahan masyarakat.


SYED FARID ALATAS adalah profesor di Jabatan Sosiologi di National University of Singapore.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen