malaysiakini logo
story-image
ADS

Pepatah Bugis ada mengatakan, kuasa juga datang daripada hujung keris, selain hujung lidah dan hujung kemaluan.

Saya merujuk kepada pepatah Bugis ini kerana umum telah diberitahu bahawa suami Rosmah Mansor yang bernama Najib ini berdarah Bugis.

Si Najib ini juga diberitakan beberapa tahun dahulu telah mendapat anugerah tertinggi Bugis – Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Jalil.

Justeru adalah sopan untuk saya merujuk kepada pepatah Bugis apabila saya menulis tentang Najib. Juga adalah beradab untuk saya terus menggunakan gelaran Mappadulung kepada si Najib ini.

Dalam tulisan tentang Mappadulung kali ini, saya hendak merungkai dan mendalami tentang makna kuasa daripada hujung keris. Kuasa daripada hujung lidah dan hujung kemaluan telah saya terangkan dalam tulisan yang lalu.

Dalam memahami makna ini, wajib saya kahwinkan perkara ini dengan pandangan Mahathir Muhamad bekas perdana menteri Malaysia. Ini kerana sosok yang bernama Mahathir ini amat lama berkuasa, 22 tahun. Pastilah si Mahathir ini arif dan lagi bijaksana dalam hal kuasa menguasa. Amin.

Pada 21 Julai 2017 yang lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Mahathir amat-amat yakin tentang kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14. Tetapi mengikut fikrah Mahathir kemenangan ini akan ‘hilang’ kerana Mappadulung akan menjalankan projek penipuan.

Laporan ini dipungut daripada temu bual Mahathir dengan Suthichai Yoon, wartawan Siam yang juga pengerusi Nation Multimedia Group Bangkok.

Mengeluarkan kenyataan tentang Pakatan Harapan akan menang tetapi akan ditipu kepada media luar memberi makna yang mendalam. Kalau dianalisis maka kita akan sedar bahawa Mahathir bukan bercakap sambil lewa. Mahathir bercakap kepada ‘kepala kumpulan wartawan’. Mahathir yang bijak bestari dalam hal kuasa tahu apa yang dituturkan dan kepada siapa dia bercakap.

Tanda dan maknanya amat jelas. Mahathir sedang memberitahu dunia luar untuk berwaspada dan jangan terperanjat apabila Mappadulung kalah dalam PRU14. Juga dunia luar jangan buat buat tidak tahu tentang penipuan yang sedang dirancang dan akan dijalankan oleh suami Rosmah.

Hakikatnya media Siam ini telah diberitahu lebih awal akan dakwaan ‘rancangan tipu’ Mappadulung. Media Siam ini juga akan menyebarkan berita ‘rancangan licik’ walaupun ini hanya bacaan politik dari Mahathir.

Berita temu bual dengan wartawan Siam ini juga akan menjadi lebih jelas dan tuntas dengan meneliti apa yang telah Mahathir tulis lebih satu bulan awal dalam blog miliknya – Chedet.

Pada 22 Jun 2017, Malaysian Insight memungut tulisan dari blog ini dengan tajuk berita yang menggemparkan – “Mungkin perintah darurat diisytihar jika pembangkang menang PRU14, kata Dr Mahathir”.

Bukan penulis pop

Kenapa Mahathir menulis sedemikian? Mahathir bukan penulis pop. Dia juga bukan penulis yang menggoreng berita sensasi ala Raja Petra. Malah cara dan bahasa penulisan Mahathir ini terlalu konservatif, tidak cool dan tidak counter culture. Justeru mengapa tetiba muncul berita darurat.

Pada hemat saya ‘menipu’ pilihan raya ini adalah satu dakwaan yang Mahathir sendiri pernah berdepannya ketika berkuasa. Mustahil Mahathir yang bijak bestari ini tidak mengetahui hal ini. Mahathir bertarung dalam lima kali pilihan raya. Justeru Mahathir tahu segala selok-belok penipuan yang telah dirancang dan dilakukan oleh SPR.

SPR ini didakwa budak suruhan yang amat setia kepada presiden Parti United Malays National Organisation yang berkuasa. Dulu dikatakan setia kepada Mahathir. Kemudian dikatakan setia kepada Pak Lah. Dan hari ini dikatakan kepada Mappadulung. Justeru tipu helah putar belit ini semua dalam saku Mahathir.

Pepatah orang putih berkata “it’s take a thief to catch a thief” - Hanya pencuri yang boleh menangkap penyamun. Hanya Mutu yang kenal Maniam.

Hakikatnya, apabila Mahathir menimbulkan perkara tipu ini kepada media, bermakna ketika dia memimpin kerajaan dahulu agenda tipu ini pasti sentiasa berada dalam kepala Mahathir.

Dalam hal ‘tipu undi’ tidak adalah sosok yang paling afdal untuk berlabun tentang cara dan teknik-tekniknya yang didakwa berlaku di era Mahathir. Sila tanya raja Orang Asli Gua Musang. Mungkin Awang ini boleh royak sikit.

Si Awang ini tahu sejarah pemilihan presiden Parti Ketuanan Melayu pada tahun 1987. Mustahil raja Orang Asli Gua Musang ini terlupa surah ‘kira sampai menang’ yang memastikan kemenangan Mahathir Muhamad.

Jangan anggap kita semua tidak tahu tentang penipuan. Hishamuddin Rais telah berkali-kali menulis hal ini. Lembaga BERSIH juga telah menimbulkan agenda ini. Rakyat Malaysia tahu memang ada yang menipu. Justeru apabila Mahathir membuka mulut, ia mengesahkan perkara yang diketahui umum.

Dalam tulisan 22 Jun 2017 di blog Chedet, Pengerusi Pakatan Harapan ini telah mendakwa suami kepada Rosmah Mansor, Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Jalil akan menghalang Pakatan Harapan dari mengambil alih Putrajaya.

Pada hemat dan fikrah Mahathir, Pakatan Harapan akan dihalang menubuhkan kerajaan baru. Mahathir dengan jelas telah menunjukkan beberapa kaedah yang mungkin diguna pakai oleh suami Rosmah.

Mengikut pandangan Mahathir, pilihan raya boleh diisytihar tidak sah. Piliha raya akan dibatal. Akhirnya panglima Bugis Mappadulung Bugis ini akan menggunakan ‘darurat’.

Darurat - inilah yang dimaksudkan kuasa datang daripada hujung keris.

Saya amat yakin apabila pengerusi parti BERSATU ini mengatakan kemungkinan Mappadulung akan menggunakan ‘darurat’ - ini bukan omong-omong kosong. Ini suara Yang Amat Mulia Tun Dr Mahathir Muhamad mantan perdana menteri Malaysia. Si mantan ini telah berkuasa selama 22 tahun – perdana menteri paling lama di Malaysia.

Strategi lawan APU

Mahathir bercakap daripada suara hatinya. Mahathir bercakap daripada pengalamannya. Mahathir bercakap daripada strategi yang dia sendiri lakar sekiranya Angkatan Perpaduan Ummah menang dalam PRU8 – yang mana PAS, Parti Rakyat dan Semangat 46 bergabung dan kerjasama dengan DAP.

Strategi ini juga pasti ada dalam benak Mahathir ketika dia berhadapan dengan PRU10. Ketika ini ombak Reformasi sedang meledak. Mata lebam si Anwar menjadi ikon kebencian Bani Melayu terhadap Mahathir dan United Malays National Organisation.

Tahun 1999, tsunami Melayu meledak. Tapi Mahathir telah bersedia. Dalam sakunya telah tersedia semuanya.

Saya juga yakin, saki-baki strategi ini masih ada tersimpan dalam saku penyokong dan konco-konco geng BTN Pak Dolah Badawi. Apabila Mahathir berundur, mustahil apa saja milik dan pandangan Mahathir dilupuskan. Mustahil ini berlaku. Saya yakin pasti fikrah dan strategi kemenangan Mahathir masih boleh diguna pakai.

Kini Yang Amat Mulia Tun telah belot. Ini yang menimbulkan sakit hati yang maha sangat. Ramai konco-konco Mappadulung merasa tidak puas hati atas pembelotan Mahathir ini.

Sebenarnya bukan hanya sakit hati. Apa yang paling menakutkan Mapapdulung ialah pembocoran taktik dan strategi penipuan yang memenangkan United Malays National Organisation dalam pilihan raya.

Mahathir telah melakukan pembelotan yang maha sangat. Sama setaraf dengan pembelotan yang dilakukan oleh Sang Rajuna Tapa di Singapura. Tentera Betara Majapahit telah berjaya menyerang Singapura kerana Sang Rajuna Tapa belot dengan membuka pintu istana dan membakar beras simpanan tentera Singapura.

Sang Rajuna Tapa belot kerana puterinya Dang Anum difitnah dan disula oleh sultan. Mahathir belot membuka rahsia penipuan pilihan raya yang sedang dirancang oleh Najib bukan kerana anak tetapi kerana Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Jalil sedang menjual negara ini kepada China Merah. Sedang menjual negara ini kepada Singapura.

Mappadulung didakwa menjual harta negara seperti kilang jana kuasa, tanah KTM di Singapura dan tanah lapangan terbang TUDM Sungai Besi kerana hutang 1MDB.

1MDB ini adalah skim cepat kaya Najib anak beranak. Yang menjadi ironi, skim pemimpin Melayu Islam parti ketuanan Melayu ini dikendalikan oleh seorang lelaki China Tembam bernama Jho Low. Untuk Mahathir Muhamad ini jenayah besar Mappadulung.

Lalu persoalan timbul bolehkah hujung keris meneruskan kuasa suami Rosmah. Bolehkan Mappadulung terus berkuasa?

Sebenarnya persoalan ini telah dijawab oleh Yang Amat Mulia Tun Dr Mahathir. Apabila Mahathir memberitahu bahawa Pakatan Harapan akan menang. Ini bermakna Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 ini.

Apabila Mahathir berkata Mapapdulung akan menghalang Pakatan Harapan dari mengambil alih kuasa di Putrajaya ini bermakna Pakatan Harapan tidak akan dapat kuasa.

Apabila Mahathir berkata Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Jalil akan isytiharkan darurat apakah ini maknanya Najib akan terus berkuasa? Tunggu minggu hadapan. END


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen