malaysiakini logo
story-image
ADS

Tetiba pada 16 Jun 2017 Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan hendak merampas harta-harta yang dibeli oleh Jho Low dan Riza Aziz yang didakwa berpunca daripada duit “curi” 1MDB.

Kenyataan DOJ ini keluar ketika Najib bercadang hendak menggunakan pilihanraya kecil (PRK) Pujut untuk membuktikan Sarawak masih lagi ‘peti duit bank simpanan selamat’ untuk Najib dan gerombolan Parti Ketuanan Melayu.

Najib bercadang PRK Pujuk ini akan digunakan samaksimum mungkin untuk mempersoalkan kesetiaan DAP. Ini kerana wakil rakyat Pujut yang dibatalkan kerusinya ialah anggota DAP. YB ini memiliki dua kerakyatan.

Tetiba pada 19 Jun 2017 - tiga hari sesudah kenyataan DOJ keluar - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan PRK Pujut ini.

Lalu timbul persoalan, kenapa DOJ buat kenyataan ini pada saat dan ketika ini? Ini jelas mensabotaj rancangan PRK Najib.

Dalam kenyataan DOJ pada 16 Jun 2017 ada disebut rantai leher intan berlian yang dibeli oleh Jho Low. Rantai intan berlian ini dihadiahkan kepada isteri Malaysian Official 1. Untuk pertama kalinya nama isteri Malaysian Official 1 disebut secara hitam putih dalam kenyataan DOJ.

Hairan dan pelik, kenapa rantai intan berlian ini diselit oleh DOJ? Walhal rantai ini tidak disenarai sebagai bahan rampasan.

Maka difahami dunia media, rantai intan berlian ini adalah Ajinomoto kepada semua media dunia agar kes 1MDB ini menjadi berita gempar.

Tetiba pada 13 Julai 2017, kita terbaca berita seorang pegawai bank BSI di Singapura dipenjara selama 54 bulan. Pegawai bank ini terlibat dalam kes ‘cakar makar’ pemindahan duit 1MDB dalam bank BSI yang beroperasi di Singapura.

Tetiba pada 18 Julai 2017 akhbar Hong Kong, South China Morning Post membuat laporan bahawa Rosmah Mansor adalah kuasa yang sebenarnya di belakang Najib.

Ini berita lama yang satu dunia sudah mengetahui tentang peranan Rosmah Mansor.

Kenapa sekarang berita ini dlapor?

Tetiba pada 19 Julai 2017 kes kapal selam Scorpene dibuka dalam mahkamah di Paris. Ini setelah enam tahun laporan rasuah Scorpene yang diajukan oleh SUARAM.

Kes kapal selam ini dikatakan berkait rapat dengan kes pembunuhan Altantuya yang berlaku pada tahun 2006. Altantuya ini ialah ‘penyedap’ Razak Baginda penasihat dan kawan rapat Najib.

Kenapa kes ini dibuka di Paris sekarang?

Tetiba pada 20 Julai 2017, parlimen United Kingdom telah menerima agenda seorang anggota parlimen UK untuk membincangkan peranan Najib dalam 1MDB dan dasar kerajaan Britain terhadap 1MDB.

Pelik yang memelikkan, kenapa satu persatu berita yang bersangkutan dengan 1MDB muncul. Semua berita ini bersangkutan dengan Najib. Semua menjadi ledakan berita di seluruh dunia.

Pelik yang menghairankan? Tetapi jika dianalisis dan dikaji tidak ada satu pun yang pelik. Tidak ada satu pun yang ganjil. Tidak ada satu pun yang berlaku secara tidak disengaja. Semua dirancang. Semua disusun.

Untuk saya, jelas dan amat terang, tak perlu bersuluh, di belakang semua berita ini telah ada perancangan yang tersusun untuk memastikan Najib Razak dinyahkan dari kerusi perdana menteri.

Jelas dan terang ada kesepakatan antara negara-negara ini untuk bergerak serentak , sairama dengan satu tujuan.

Semua bertujuan untuk mengepong suami kepada Rosmah Mansor aka Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Mohd Najib Razak.

Pada hemat saya amat-amat jelas dari dari tarikh dan saat berita-berita ini dicipta telah wujud satu konspirasi yang disusun rapi untuk memastikan Mappadulung akan ditendang keluar dari tampuk kuasa.

Maka satu Malaysia akan bertanya, kenapa dan mengapa Mappadulung ini perlu dikepong dahulu sebelum disingkir?

Ini ditambah dengan soalan hakiki, kenapa Mappadulung perlu dijatuhkan? Kenapa Mappadulung perlu disingkir? Siapa yang mahu Mappadulung dinyahkan dari Putrajaya?

Pertama saya ingin memberi penjelasan bahawa kerajaan Amerika yang paling utama mahu menerajang Mappadulung. Amerika Syarikat tidak mahu lagi Najib terus menjadi perdana menteri.

Saya wajib memperjelaskan bahawa rancangan DOJ Amerika untuk menendang keluar Najib tidak ada sangkut paut dengan demokrasi atau hak asasi manusia.

Rancangan Amerika ini bukan berakidah untuk membantu penluasan demokrasi di Malaysia. Bukan. Tidak. Dan jangan salah tafsir. Rancangan terajang Mappadulung ini juga tidak ada sangkut paut dengan hak asasi rakyat Malaysia yang sering diinjak-injak oleh Mappadulung.

Wajib saya nyatakan, niat dan akidah Amerika adalah untuk kepentingan Amerika. Presiden Trump telah berkata, America first. Semua untuk kepentingan Amerika. Amerika didahulukan.

Apakah kini Najib tidak lagi bersama Amerika?

Najib masih bersama Amerika. Tetapi Najib memerlukan dana yang banyak untuk membebaskan diri dari hutang piutang 1MDB. Dalam keadaan sesak nafas ini masuk China Merah.

Najib memerlukan duit. China Merah datang dengan duit.

China Merah diberi hak untuk membuat pelabuhan laut dalam di Melaka. Pelabuhan dalam ini berpotensi untuk menjadi pangkalan tentera laut. China Merah diberi hak untuk membuat landasan kereta api. China Merah dikatakan sedang mengintai kawasan di perairan Sabah untuk menjadi pelabuhan tentera laut China.

China Merah ialah musuh Amerika. Kawan kepada musuh adalah musuh kita. Justeru Amerika melihat Najib ini sebagai berbahaya. Dasar-dasar Najib sedang dikemudikan untuk kepentingan ekonomi dan ketenteraan China Merah.

Amerika membaca kini Najib telah masuk ke dalam saku China Merah. Perbuatan dan dasar Najib ini bahaya untuk kepentingan ekonomi dan ketenteraan Amerika di rantau Asia.

Justeru Mappadulung Najib wajib diterajang.

Bagaimana pula dengan keterlibatan UK, Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Perancis?

Singapura, Switzerland dan Hong Kong - kota peniagaan. Singapura dan Swiss berniaga mata wang. Ekonomi mereka bergantung pada keyakinan kerajaan atau individu untuk membawa dan menyimpan duit dalam bank-bank di negara mereka.

Untuk menyenangkan pemahaman biar saya umpamakan pada hari ini ekonomi Switzerland, Hong Kong dan Singapura bergantung pada perniagaan jual beli sate halal yang terbesar dan tertua dalam dunia.

Tiga negara ini memiliki jaringan sate halal di seluruh dunia. Ibu pejabat sate halal dunia berpusat di Zurich. Tanpa sate halal ekonomi Switzerland dan Singapura dan Hong Kong akan runtuh.

Tetiba masuk seorang Bugis yang mengakui bahawa Syarikat Bugis International boleh membekalkan daging lembu, kambing dan rusa untuk Singapura dan Swiss.

Syarikat Lanun Bugis ini mula membawa masuk daging-daging rusa yang dijanjikan. Perniagaan menjadi rancak, lumayan dan amat menguntungkan.

Tetiba seorang pemilik MekDi penjual burger telah membongkar rahsia dan menuduh daging rusa dari Switzeland dan Singapura sebenarnya ialah daging babi. Berita babi ini dilapor akhbar New York Times. Dunia perniagaan halal menjadi gempar.

Selidik punya selidik didapati sah bahawa si Bugis pembekal daging rusa telah menipu. Daging rusa yang dibekalkan kepada Swiss, Hong Kong dan Singapura sebenarnya ialah daging babi.

Untuk Switzerland dan Singapura, membawa si Bugis ke mahkamah pengadilan amat-amat penting. Ini bertujuan untuk mengembalikan keyakinan pembeli bahawa sate halal Swiss dan Singapura bukan sate babi.

Mengembalikan keyakinan bahawa Switzerland dan Singapura adalah pusat bank dan wilayah menyimpan duit yang selamat. Di Switzerland dan di Singapura tidak ada putar belit. Tidak ada rasuah - cakar makar. Semua berjalan mengikut buku. Kes daging babi dari Syarikat Bugis International tidak akan berulang lagi.

Kenapa sekarang berita Najib dan 1MDB ini mucul di Paris, Amerika, Hong Kong, Singapura dan London?

Jawabnya - masa. Pemilihan masa yang strategik. Detik dan saat yang strategik. Amerika sedang mengemudikan rancangan terajang Mappadulung ini.

Bulan Jun an Julai 2017 dipilih kerana Amerika tahu tahun ini atau tahun depan PRUI4 wajib diadakan. Maka ketika ini Amerika mencelah masuk. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada parti pembangkang agar cukup masa untuk menghuraikan dan menerangkan kes penjualan daging babi oleh Syarikat Bugis International kepada bakal pengundi.

Tetiba timbul satu soalan. Kenapa tidak ada apa-apa berita dari Zurich atau Geneva? Media Swiss senyap menyepi.

Sabar dahulu. Ingatkan kembali. Apa terjadi pada tahun pertama apabila kes daging babi dari Syarikat Bugis ini terbarai?

Ini ketika peguam negara kita masih lagi Ghani Patail. Ketika Gabenor Bank Negara kita masih lagi Zeti Aziz. Ketika pengarah SPRM kita masih lag Abu Kassim. Ketika Hamid Bador masih lagi orang kedua dalam cawangan Khas (SB).

Ingat atau tidak Micheal Lauber peguam negara Swiss telah datang ke Kuala Lumpur untuk mencari maklumat.

Saya ulangi , peguam negara Swiss yang datang mencari maklumat tentang 1MDB di Kuala Lumpur. Bukan Inspektor Clouseau yang datang. Peguam Negara Swiss menganggap kes 1MDB ini amat penting untuk reputasi Switzerland sebagai wilayah perbankan dunia.

Justeru, saya cukup yakin akan muncul tindakan daripada Switzerland. Saya juga cukup yakin DOJ Amerika tidak akan berhenti dan rampasan harta rompakan milik Jho Low dan Riza Aziz akan diteruskan.

Untuk Datuk Seri Mappadulung jangan lupa pepatah Bugis: Kuasa datang daripada tiga cara iaitu hujung lidah, hujung kemaluan dan hujung keris.

Hujung lidah tertipunya warga Felda dengan FGV. Hujung kemaluan mangkatnya Altantuya. Yang tinggal ialah hujung keris. Mahathir Muhamad tahu apa dia hujung keris ini. Nak tahu hujung keris? Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen