malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Setelah 18 tahun menghuni bumi UAE, tidak pasti entah berapa ratus kilo nasi briyani yang sudah dihadam menjadi tubuh badan. Yang pasti, berat badan memang bertambah tahun pertama kerana hampir setiap hari menjamah nasi briyani yang menjadi menu harian.

Dengan penduduk yang bermajoritikan pekerja dari benua kecil India, masakan India dan Pakistan memang popular. Lihat sahaja restoran mereka yang ada di mana-mana.

Bukan sahaja banyak, tetapi murah dan yang lebih penting, sedap berkualiti.

Tidak hairan buat ramai warga Malaysia di sini yang tidak merasa rindu kepada roti canai misalnya kerana roti canai atau parata memang makanan popular.

Boleh dikatakan, ada beberapa restoran India, terutama yang berasal dari Kerala menjadi tempat popular untuk warga Malaysia berkunjung, melepak dan berkumpul. Seakan menjadi lokasi yang paling senang untuk bertemu warga Malaysia terutama di hujung minggu.

Untuk kami yang sudah lama menetap, bukan sahaja restoran-restoran itu menjadi sebahagian daripada kehidupan di UAE, malah pekerja mereka juga seakan sebahagian dari keluarga yang kami kenal secara peribadi.

Sebut sahaja nama-nama restoran tersebut, ada warga Malaysia yang menganggap itu juga dapur kedua yang tidak pernah menghampakan.

Begitupun, oleh kerana sudah terbiasa dan selesa dengan dua tiga restoran popular, tidak ramai yang mahu mencuba ribuan restoran lain.

Sesuatu yang kadang boleh merugikan juga kerana semua restoran-restoran popular di kalangan warga Malaysia itu pun tidak pernah sekali memberi diskaun walau sudah puluh ribu dibelanjakan di restoran mereka!

Kerana itu saya dan isteri lebih suka mengeksplorasi pelbagai restoran lain walau kecil dan kurang popular. Bukan sahaja belajar mengenai masakan mereka, malah mengenal lebih ramai orang yang menjadi sahabat.

Kami meredah dengan tujuan mencari makanan yang sedap berbanding dengan restoran yang kami biasa kunjungi. Kalau kurang sedap atau layanan kurang memuaskan, maka itulah kunjungan kali terakhir.

Boleh dikatakan, ramai tersalah anggap kami adalah warga Filipina kerana warga Malaysia hanya dalam 4,000 orang, manakala ada seramai sejuta warga Filipina di UAE.

Kami tidak peduli

Tidak mengapa, dalam keadaan nama negara yang begitu teruk imej oleh kepimpinan kleptokrasi, skandal 1MDB dan saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, ada kalanya kami tidak peduli untuk dianggap warga Filipina yang berbangga dengan kepimpinan Rodrigo Duterte.

Begitupun, kami jarang sekali mengunjungi restoran Filipina kerana mungkin tidak berselera dengan masakan mereka walaupun ada lauk yang hampir sama dengan kita seperti lauk singgang dan 'nasi lemak'!

Mungkin juga sangsi dengan taraf halal walaupun semua restoran adalah halal. Begitulah persepsi.

Baru-baru ini, sebuah akhbar UAE melaporkan mengenai projek “Hunt for the best briyani in the UAE” oleh dua warga Emirati. Sepanjang tujuh bulan mereka mencuba makan briyani di 54 buah restoran seluruh UAE yang dianggap paling popular dari bancian dibuat.

Kedua Emirati ini mempunyai seramai 60,000 follower di Facebook khas mereka yang sama tertarik untuk mengetahui, briyani tersedap di UAE.

Dari nama-nama restoran tersenarai dalam 10 teratas, tiada satu pun restoran popular di kalangan rakyat Malaysia. Mengejutkan juga kerana kami sudah anggap briyani mereka yang tersedap, rupa-rupanya ada banyak lagi restoran yang menhidangkan briyani lagi sedap.

Saya dan isteri turut serta dalam demam mencari briyani tersedap di UAE dan mengunjungi restoran yang tersenarai untuk mencuba dan puas hati yang kami telah menikmati briyani yang tersenarai.

Tentunya, restoran Kerala, Hyderabadi, Lucknowi, Mughlai dan Pakistani yang tersenarai.

Kami terus mencari restoran yang dipilih paling sedap, tiba jam 11 pagi. Masih tutup dan terpampang hanya dibuka jam 1 petang hingga 4 petang.

Restoran kecil itu terletak di sebuah lorong belakang di bandaraya Sharjah. Lokasi yang tersorok dan memerlukan Waze atau Google Map. Sebenarnya kami pernah berkunjung ke restoran tersebut hampir lima tahun lalu, tetapi tidak pernah perasan kerana hanya datang sekali.

Briyani Hyderabad.

Kami kembali semula dalam jam 1.30 petang. Sudah penuh dan ramai yang beratur.

Apabila kami masuk, kata pelayan, briyani ayam sudah habis!

Ya, baru jam 1,30 petang dah habis!

Macam dalca Malaysia

Rupa-rupanya, hanya sebanyak 200 briyani ayam dan 200 briyani kambing disediakan setiap hari.

Bernasib baik, ada satu lagi briyani ayam terakhir yang pelayan sempat simpan untuk kami.

Menurut tuan punya restoran, 60 peratus pelanggan membeli bungkus dan memesan penghantaran. Kerana itu restorannya kecil sahaja, sekadar muat dalam 30 pelanggan yang berasak-asak mahu menikmati briyani tersedap di UAE.

Majoriti yang membeli secara penghantaran adalah warga Emirati yang sama banyak menempah untuk majlis perkahwinan serta majlis lain.

Memang sedap terutama ada kuah dalca yang sama rasanya dengan dalca di Malaysia. Kami makan licin.

Sempat berbual dengan mereka yang berkongsi meja dengan kami, semuanya pertama kali datang semenjak mendapat tahu restoran itu menghidangkan briyani tersedap.

Ramai yang hampa kerana briyani sudah habis tidak sampai satu jam! Walau tersesat kerana lokasi yang tersorok itu.

Dengan harga 15 dirham sepinggan, sememangnya briyani yang sedap tidak semestinya mahal. Ada yang berharga 200 dirham dan yang paling mahal pernah kami makan ialah 40 Dirham sepinggan dan tidak masuk pun senarai 10 tersedap!

Begitupun, begitulah rezeki chef Briyani dari Hyderabad itu yang masih rendah diri dan ringkas sahaja, walaupun kami kira, 400 briyani berharga 15 dirham, dia mengutip minimum 6,000 dirham untuk kerja 4 jam sehari!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen