malaysiakini logo
story-image
ADS

Penyenaraian Luang Prabang sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada 1995 berjaya memelihara bangunan dan binaan di sana. Tetapi tidak penduduk tempatannya yang sudah lama menetap di situ.

Mereka digantikan oleh warga kaya Lao dari luar yang menukar bangunan-bangunan lama menjadi hostel; penjara jadi hotel mewah, dan pusat kebudayaan jadi rumah urut.

Negara yang cuma membuka pintu kepada dunia luar pada awal 1990-an dan terkial-kial untuk keluar dari status miskin, kini tiba-tiba perlu menerima kunjungan tiga juta pelancong setiap tahun.

Aku mungkin kedengaran seperti cuba meromantikkan kemiskinan, tapi ada sesuatu yang tidak kena pada aku apabila sebuah bandar didandan semata-mata untuk menarik minat pelancong.

Untuk tidak diingatkan tentang industri pelancongan yang disuntik steroid, kebanyakan masa aku di Luang Prabang dihabiskan dengan membaca trivia sejarah Laos yang jauh lebih menarik berbanding kunjungan ke air terjun Kuang Xi.

Sejarah Laos tidak ubah seperti mana-mana sejarah kebanyakan negara. Tentang kuasa, perang dan bagaimana perang mengubah sempadan negara dan nasib setiap seorang warganya.

Keluarga saling terpisah. Kampung halaman ditinggalkan. Ada yang bernasib baik untuk berjumpa semula. Yang lain jadi nisan sebelum alasan peperangan mereka dilupakan.

Gadis Scandinavia

Sebaik meninggalkan Luang Prabang, aku sudah bersedia untuk lontarkan trivia-trivia ini kepada gadis Scandinavia pertama yang aku akan jumpa di Vang Vieng.

Vang Vieng mendapat tempat istimewa dalam kalangan backpacker yang datang, sama ada untuk alkohol murah, teh opium atau restoran-restoran yang menawarkan pizza berinti ganja.

Vang Vieng adalah taman permainan bagi hedonis yang ingin menghanyutkan diri di sungai Nam Song menggunakan pelampung berupa tiub tayar lori dengan persinggahan di bar-bar pinggir sungai.

Ketika kami sedang hanyut bersama sekumpulan pelancong yang tidak mahu ketinggalan melakukan aktiviti yang diistilahkan sebagai “tubing” itu, aku akan pancing perbualan: “Kau rasa dalam sungai ini ada bom?”

Riak muka dia akan berubah. Pemandangan permai sungai Nam Song yang dikelilingi pergunungan karst tiba-tiba tidak relevan dengan soalan yang dia baru dengar.

“Apa maksud kau dengan bom?” dia tanya.

“Oh, kau tidak tahu?” aku pura-pura terkejut.

“Dua juta tan bom, sebuah kapal pengebom terbang melintas sekali setiap lapan minit - siang dan malam - selama sembilan tahun.

"Kita berada di negara yang pernah dihujani bom tentera Amerika, dan 80,000 bom itu masih tersisa hari ini,” aku kata dalam satu nafas.

“Tapi kau tak perlu risau,” aku kata lagi, cuba meredakan keruh di wajahnya, “bom itu cuma akan meletup jika terkena hentakan atau haba. Cuma kau perlu hati-hati jika berjalan di dalam hutan.”

Perang yang disenyapkan

Kerut di dahi, sambil mengecilkan mata, dia tanya: kenapa dia tidak pernah dengar tentang hal itu? Aku yakinkan bahawa dia tak perlu risau. Bukan dia seorang. Kebanyakan warga AS sendiri tidak tahu.

Hanya pada 2016, selepas empat kali bertukar presiden sejak Richard Nixon, melalui Barrack Obama barulah AS mula membuka mulut tentang perang mereka ke atas negara-negara lain di Indochina, terutama Laos.

Sudah tentu aku tidak beritahu dia bahawa aku cuma tahu hal berkenaan hanya beberapa hari lalu dan fakta-fakta ini sebenarnnya dia boleh tahu dengan melawat mana-mana muzium UXO (unexploded ordanance) di Laos.

“Dan itu kelakar,” aku kata lagi, “sebab menurut Kongres AS, perang terakhir yang melibatkan negara itu ialah Perang Dunia Kedua.

"Konflik yang melibatkan peperangan selepas 1945 termasuk perang di Vietnam dan dua kali di Iraq tidak dianggap perang oleh Rumah Putih tetapi sekadar keizinan menggunakan ketenteraan."

“Hari ini,” aku sambung, “melalui Akta Kuasa Perang yang dipinda pada 1973, tidak lagi jelas sama ada seseorang presiden AS perlukan kelulusan Kongres untuk menentukan sesuatu konflik itu sebagai perang atau tidak.

"Donald Trump boleh saja umumkan perang di Twitternya kalau dia mahu.”

Dia pandang aku, cuba menghadam apa yang dia baru dengar. Wajahnya semakin lama semakin mengingatkan aku kepada Rosanna Arquette dalam filem After Hours.

“Macam mana semua ini boleh jadi? Macam mana ramai orang tak tahu? Kenapa Laos?” dia tanya.

Sebagai seorang yang datang dari dunia lain, yang sedang mengembara di Asia Tenggara untuk mengisi kekosongan usia muda yang sedang dirasuk idealisme, dia dahagakan anekdot masa lampau dunia yang dia baru kenal.

Aku betulkan posisi, sedia untuk mulakan kelas sejarah untuk dia.

Operasi CIA

“Dari 1964 hingga 1973,” kataku, “sebanyak 80,000 misi pengeboman dilancarkan ke atas Laos untuk mengebom Ho Chi Minh Trail yang selain dihuni oleh petani, turut merupakan tempat persembunyian tentera Phatet Lao.

“Phatet Lao adalah pecahan dari gerakan nasionalis Lao Issara yang berjuang menentang Perancis dan kerajaan monarki Laos yang pro-AS. Phatet Lao bersekutu dengan Viet Minh yang dipimpin Ho Chi Minh di Vietnam.

“Ketika perang Vietnam,” aku jeling untuk pastikan dia masih memberi tumpuan, “CIA merekrut seorang jeneral berkarismatik bernama Vang Pao. Bersama 10,000 gerila yang terdiri daripada anak muda Hmong sendiri, Vang Pao berperang bersama tentera Amerika melawan Phatet Lao dan sekutunya.

“Dalam kata lain,” aku ambil nafas lebih sedikit, “ia adalah perang saudara antara warga Laos yang sokong Phatet Lao dan yang sokong Vang Pao. Tapi sudah tentu, perang sebenar adalah antara AS dan komunis di Vietnam Utara.

“Jumlah keseluruhan bom digugurkan AS di Laos selama sembilan tahun itu lebih banyak berbanding keseluruhan bom yang digugurkan mereka dalam Perang Dunia Kedua. Ia menjadikan Laos sebagai negara paling teruk dibom per kapita.”

“Tapi AS kalah di Vietnam...” dia cantas, sedikit ragu-ragu, seperti cuba mengatakan dia bukanlah tidak tahu apa-apa atau buta sama sekali tentang sejarah.

“Apa jadi dengan gerila Hmong?” dia tanya.

“AS berundur pada 1975,” aku jawab, “itu selepas 60,000 askar mereka terkorban. Vietnam sudah jatuh ke tangan komunis sepenuhnya. Tiba giliran Laos.

“Mei 1975, ribuan penduduk tempatan yang terdiri daripada puak Hmong membanjiri jalan-jalan berlumpur menuju ke pangkalan-pangkalan tentera AS. Sebahagian mereka adalah anak isteri kepada gerila Hmong sendiri.

“Itu kali terakhir General Vang Pao melihat tanah kelahirannya sebelum diterbangkan bersama pegawai tinggi lain. Hari ini, lebih 200,000 Hmong tinggal di Amerika, yang merupakan bukti nyata peperangan yang pernah dilancarkan ke atas Laos.”

“Tapi bagi rakyat Laos yang lain, mereka perlu hidup di celah runtuhan dan sisa perang. Kanak-kanak bermain dan menyangka besi berbentuk bola adalah sesuatu yang mereka boleh gunakan jadi alat permainan. Atau petani mengerjakan sawah ketika cangkul mereka terkena ketulan besi di dalam tanah.

“Selepas lebih empat dekad perang berakhir, sehingga kini seramai 20,000 masih menjadi korban bom yang tersisa."

Teori Rimland

Untuk tidak kedengaran sebagai sekadar budak skema yang hafal trivia sejarah, aku selitkan pendapat sendiri dengan menggunakan teori Rimland.

Aku jelaskan bagaimana tema geopolitik menjelang Perang Dunia Kedua adalah penguasaan ke atas Indo-China dan negara-negara di pelusuk yang mengelilingi Eurasia.

Aku petik cakap seorang profesor yang aku sudah lupa namanya: “Sesiapa yang menguasai Rimland akan menguasai Eurasia. Sesiapa yang menguasai Eurasia akan menentukan nasib dunia.

“Indo-China termasuk dalam kawasan Rimland, malah antara yang paling strategik kerana terletak jauh dari benua besar secara relatif, selain dikelilingi lautan yang sesuai dijadikan pangkalan ketenteraan dan pelabuhan.

“Ini menjadikan Indo-China rebutan kuasa-kuasa besar yang ingin menyekat kemaraan lawan masing-masing baik dari segi ekonomi mahupun ketenteraan.

“Dilema yang dihadapi Laos ialah kedudukannya yang dikelilingi daratan dan seringkali terperangkap dalam peperangan negara jirannya. Keadaan muka bumi Laos yang bergunung-ganang tidak begitu strategik untuk pangkalan tentera.

“Tapi penguasaan ke atas Laos bererti penguasaan ke atas jalan darat yang menghubungkan Indo-China.

Untuk lebih meyakinkan aku selit perbandingan.

“Switzerland contoh yang menarik untuk dibandingkan dengan Laos. Switzerland mempunyai persamaan dari segi permukaan bumi dan geografi yang terletak dikelilingi daratan sempadan negara jiran yang terlibat perang. Kedua-dua negara ini mengambil pendekatan berkecuali ketika perang.

“Apa yang membezakan kedua-dua negara itu ialah, Switzerland mempunyai tentera yang lebih kuat untuk mengambil pendirian itu.

“Setiap pemuda yang cukup umur di Switzerland diwajibkan mengambil kursus ketenteraan. Setiap mereka menyimpan senjata api lengkap dengan peluru di rumah yang cukup untuk membolehkan mereka bertindak balas dengan cepat sekiranya diperlukan.

“Satu lagi sebab ialah, ketika perang Hitler sendiri dikatakan menyimpan emas dan duit di Switzerland yang mempunyai dasar perbankan paling selamat. Jadi, keneutralan Switzerland memberi manfaat kepada Jerman.

“Meskipun sikap berkecuali Switzerland ketika perang boleh dipersoalkan, tapi sudah sekian lama negara itu berjaya mengelak daripada diheret dalam konflik negara jirannya.

"Maksudnya, untuk menjadi neutral, kau perlu mempunyai kekuatan, selain dasar berkecuali kau memberi manfaat kepada pihak yang berperang.

“Sudah tentu,” aku kata lagi, “perlu dimasukkan pertimbangan, jirannya Jerman ketika itu sibuk menguruskan peperangan di tempat lain dan kita boleh kata bahawa, jika Soviet Union tidak mengalahkan Jerman, Switzerland akan menerima nasib sama seperti Perancis atau Poland.

Pelancongan massa

Kalau kau masih baca tulisan ini, aku agak kau mahu tahu tentang gadis Scandinavia itu. Apa jenis budak skema atau mat belia mana yang mandi sungai dengan gadis iras-iras Rosanna Arquette tapi bercerita pasal sejarah?

Selama empat hari di Vang Vieng tak ada gadis Scandinavia di hadapan aku. Yang ada hanyalah Quentin, lelaki Perancis yang aku jumpa dalam perjalanan.

Quentin satu daripada ribuan backpacker yang membeli Honda Win dan menunggang motosikal itu mengelilingi Vietnam dan Laos, trend yang semakin popular sejak program “Top Gear: Vietnam Special“ disiarkan.

Sama seperti aku, Quentin lebih menikmati perjalanan berbanding destinasi. Kebanyakan masa kami cuma duduk di restoran melihat bagaimana mass tourism datang bukan hanya bersama kemodenan tapi juga pertembungan dunia yang begitu berbeza.

Zaman Vang Vieng dikenali sebagai pekan pesta untuk hedonis sudah berlalu.

Betul, menghisap opium merupakan sebahagian daripada budaya tradisi masyarakat Hmong dan kebanyakan warga Laos mampu menghabiskan berbotol-botol Beerlao setiap petang.

Tapi kesederhanaan dan elemen konservatif dalam hubungan antara sesama manusia masih lagi ditekankan.

Pihak berkuasa terpaksa mengarahkan penutupan kebanyakan bar di sepanjang Sungai Nam Song pada 2012 ekoran kes-kes kematian ketika aktiviti tubing melibatkan pelancong semakin meningkat.

Bagi kebanyakan penduduk tempatan di Vang Vieng, mereka tidak lagi mahu mandi di Sungai Nam Song. Mereka beranggapan bahawa sungai itu mempunyai sumpahan.

Ketika aku bersiar-siar di pinggir sungai itu, aktiviti tubing masih lagi diteruskan. Tapi dengan lebih tenang dengan beberapa bar di pinggir sungai tanpa dentuman pembesar suara atau pelancong yang terjun gaya bebas hanya untuk mendarat di sungai cetek dan pecahkan kepala sendiri.

Siri 1: Menunggu keajaiban di sempadan Thai-Laos

Siri 2: Berjudi dengan hantu di sempadan China

Siri 3: Berjalan di tanah ribuan bom

 

Lihat Komen