malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu ini telah masuk minggu ke dua kita selesai berpuasa. Suasana berhari raya masih kuat. Jemputan rumah terbuka atau bertandang ke rumah kawan, sahabat, saudara dan taulan masih hangat.

Untuk gua berpuasa dalam bulan Ramadan amat penting kerana bulan ini akan diakhiri dengan pesta berhari raya. Untuk gua ini bukan hanya kerana tuntutan agama. Pandangan gua wujud dari jalur budaya bukan dari jalur agama. Gua merayakan puasa agar gua dapat merayakan hari raya saenak mungkin. Serancak yang rancak.

Hari raya untuk gua adalah festival budaya. Setelah 30 hari berpuasa maka kita berpesta. Makan-makan dan minum-minum. Bertemu, bersalam, minta maaf silap dan salah. Dan memulakan kitab yang baru. Ah! Indahnya budaya ini.

Setiap bangsa, setiap bani memiliki satu hari ‘suci’ yang dituju. Hari dan tarikh yang ditetapkan dalam satu pusingan bumi, bulan dan matahari untuk dijadikan sasaran. Satu hari yang dinobatkan sebagai hari yang amat istimewa.

Di Iran, warga Parsi ada Naurus. Di Sabah dan di Sarawak ada Gawai. Di Tiongkok ada Tahun Baru China. Di Eropah ada Krismas. Di Amerika ada Thanksgiving - hari berterima kasih. Di United Kingdom ada Notinghill Gate Festival. Aduh! Semua kita berpesta. Bayangkan betapa bosannya alam, betapa bosannya hidup ini tanpa pesta, tanpa hari raya.

Hari raya bermakna hari yang kita semua besarkan.

Tahun ini seperti tahun-tahun yang lalu gua akan merayau-rayau mencari bazar Ramadan. Gua merayau dengan satu tujuan untuk mencari ‘ambience’ - aka mencari suasana berpuasa sebelum beraya.

Jangan silap faham, sebenarnya gua spiritual, mencari kesucian tapi gua tidak religious, tidak agamawan. Gua dari gulungan rasionalis. Kalau bahasa Arabnya mungkin gua ini dari jalur Muktazilah, atau mungkin gua salah. Jika salah sila betulkan.

Justeru untuk gua yang penting ialah budaya merayakan bulan dan hari yang kita sama-sama bersetuju untuk dibesarkan. Anak semua bangsa, bangsa semua agama akan berpesta dan bergembira.

Tahun ini seperti tahun-tahun yang lalu gua akan sampai ke Hulu Langat. Ini wilayah wajib untuk dilawati dalam bulan puasa. Wilayah ini tidak jauh dari kota Kuala Lumpur. Wilayah pinggir kota yang memungkinkan membawa suasana kampung.

Masuk saja ke persimpangan menuju ke Hulu Langat pasti akan ada bazar Ramadan. Saban tahun warga akan berpusu-pusu di bazar ini. Gua pernah dua Ramadan singgah di sini. Tapi tahun-tahun yang lepas gua tidak lagi berhenti di sini kerana terlalu sesak.

Tahun 2017 ini, gua terperanjat besar. Bazar Ramadan ini telah tidak wujud lagi.

Di persimpangan Batu 18 tidak jauh dari masjid dan rumah pasung akan ada dua orang kakak membuka satu meja di tepi jalan menjual kuih, lauk dan sayur. Saban tahun gua pasti akan berhenti dan membeli daripada kakak ini.

Jualan kakak merosot

Tahun ini gua perhatikan barangan jualan kakak ini merosot. Tidak ada bergedel. Tidak ada tempe ikan bilis. Tidak ada tenggiri masak lemak. Ikan yang ada hanya ikan keli. Tiga jenis masakan daging ayam. Pajeri nenas dan goreng tauge kasar.

Lalu gua teringatkan tahun lalu ketika meja kakak ini penuh dengan pilihan. Kali ini hambar. Lalu gua bertanya kenapa bazar di jalan besar tak ada lagi.

“Sewa mahal dan pembeli makin kurang.”

Ini jawapan dari Kakak tentang kedudukan ekonomi Malaysia terkini tanpa merujuk kepada Asian Wall Street Journal.

Gua beli pajeri nenas. Bila kami nak beredar kakak ini terus membungkuskan sayur tauge kasar. Hadiah percuma untuk kami kerana jualan bertapuk tidak ada pelanggan.

Gua juga telah ke Ijok. Saban tahun gua akan sampai ke sini. Ini wilayah Jawa. Yang spesial dari Ijok ialah pecal. Tahun 2017, hanya wujud satu gerai pecal - 3 ringgit untuk pecal biasa dan 5 ringgit untuk pecal spesial. Yang spesial ada ditambah tempe goreng.

Apa terjadi kepada kakak, adik dan mak cik pembuat pecal?

Aduh! Suasana agak sedih di Ijok. Bukan hanya kurang pilihan pecal. Pilihan ikan pun sama. Ikan yang gua temui di Ijok hanyalah ikan jaket aka cencaru dan ikan keli. Malah ikan keli ini kurus lagi menyedihkan.

“Kakak, ikan ini nampak sedih.”’

Gua memberi komen sinis pada si kakak yang menayangkan keli berladanya yang kecil lagi kurus.

“Jangan cakap macam itu, kita nak raya,” kakak ini menjawab. Gua beredar tanpa membeli.

Minggu ke tiga gua ke bazar Ramadan Kuala Selangor. Tidak jauh bezanya dari bazar Hulu Langat dan Ijok. Sedih sekali apabila gua gagal bertemu ikan. Sebenarnya gua tak begitu meminati ayam. Yang gua cari ialah masakan ikan, masakan cara kampung. Dari air tangan mak cik dan kakak yang hanya berniaga setahun sekali di bulan Ramadan.

Tahun ini amat jelas di setiap bazar yang gua lawati tidak wujud lagi gerai ikan bakar. Ikan terubuk, ikan pari, ikan kembung, ikan pacu, ikan tilapia, ikan patin. Semua hilang dari pasaran.

Hakikatnya harga ikan telah melambung naik. Maka mustahil ada pelanggan yang akan membayar 15 ringgit untuk sepotong senangin atau tenggiri.

Udang, sotong dan ketam telah lesap dari menu bazar Ramadan tahun 2017. Yang terus muncul hanya keli dan ikan jaket.

Di wilayah kelas menengah Bangsar Utama pun sama. Kalau tahun-tahun yang lalu bazar Ramadan di Bangsar Utama akan berasak-asak. Bukan hanya menjadi tumpuan mereka yang berpuasa, yang tak beragama pun turut membeli kuih dan lauk.

Rasuah tapak bazar

Tahun ini di Bangsar Utama apabila masuk minggu ke dua Ramadan gua nampak ada beberapa gerai yang ditutup.

Tahun 2017 ini kita tak terbaca perebutan atau rasuah jual beli tapak bazar Ramadan. Tiga tahun dahulu kita terbaca pergaduhan - bertumbuk - berebut tapak di Seremban. Belasan ribu ringgit bertukar tangan untuk mendapatkan gerai di Masjid India. Rasuah menjadi-jadi.

Tahun ini tidak ada perebutan tapak di Masjid India atau Jalan Tar. Malah di Jalan Raja Alang Kampung Baru perniagaan kelihatan hambar walau pun sewa hanya 700 ringgit untuk satu gerai.

Setiap tahun tanpa gagal gua balik kampung ke Chenor, Jelebu Negeri Sembilan. Tahun ini gua ditauliahkan untuk membuka, menjaga dan menutup pintu rumah pesaka.

Gua pulang ke kampung untuk mendapatkan suasana beraya seperti zaman gua membesar dulu. Ertinya ada lampu pelita dan ada main mercun. Pelita dan mercun untuk gua adalah sebahagian dari budaya beraya. Untuk gua tanpa pelita dan mercun hari raya gua akan ditafsir gagal. Kalau ada meriam buluh itu tanda beraya yang paling afdal lagi suci dalam kerpercayaan rasionalis seperti gua.

Tanpa pelita dan mercun samalah ambience seperti beraya di London atau di Melbourne. Lebih baik duduk dalam pub.

Apa yang jelas tahun ini – ketika di kampung - ialah tidak ada SMS yang masuk mencurah-curah. Gua masih ingat lagi hari raya sesudah PRU12 tahun 2008. Aduh! Banyak sungguh ucapan SMS yang masuk. Entah dari si polan mana yang gua sendiri tak kenal. Semuanya gembira dan penuh harapan bahawa dalam PRU13 nanti Malaysia akan menjadi milik Pakatan Rakyat.

Petang Raya dan di Hari Raya 2017, ‘politikus regular’ yang selalunya akan menghantar SMS mengucap ‘selamat raya’ pun tidak muncul. Sebenarnya gua tidak menunggu apa-apa. Kesampaian SMS ini tidak akan mempengaruhi harga sebotol air angggur merah yang gua minati.

Tetapi dari SMS ini gua membaca tanda dan makna. Untuk gua tanda dan makna SMS pada raya tahun 20017 ini ini cukup jelas. Tanda ini menunjukkan bahawa dalam PRU14 ini nanti Pakatan Harapan akan terlungkup dan terbarai.

Para ‘politikus regular’ pun telah tidak optimis lagi. Jika mereka optimis seperti sesudah PRU12, pasti akan dihantar SMS pada gua. Atau SMS tidak masuk kerana gua telah ketinggalan, orang lain sedang bercanda-canda dengan Whatsapps?

Pada petang berbuka kali terakhir tahun 2017 gua telah awal-awal memasang pelita. Gua merasa sedih kerana ketika gua melintas wilayah Hulu Langat ialah pada malam Tujuh Liku. Gua hanya nampak dua buah rumah sahaja yang memasang pelita. Dan tiga buah rumah memasang lampu letrik lip lap.

Gua merasa kecewa.

Malam Tujuh Liku - malam ‘suci’ yang gua rayakan dari zaman kanak-kanak. Malam gua menyimpan harapan bahawa gua akan dapat melihat pokok kelapa di hadapan rumah gua condong menyembah bumi.

Perbualan dengan arwah

Inilah suasana raya tahun 2017. Nilai ringgit kita telah jatuh. Harga barang naik. GST terus mencekik.

Kuih di bazar Ramadan bukan lagi satu ringgit untuk tiga keping. Kini dua ringgit untuk empat biji kuih gulung atau kuih Melaka. Kalau bernasib baik akan terasa inti kelapanya. Gua pernah terbeli kuih Melaka yang gula Melakanya sebesar telur cicak.

Pada petang hari raya ke dua kami adik beradik telah pergi menziarah kubur emak dan abah. Tanah perkuburan ini tak jauh dari rumah pusaka. Di sinilah saudara mara kami dimakamkan.

Ziarah kubur ini adalah budaya hari raya kami. Tak sangkut paut dengan agama kepercayaan. Kakak gua bila sampai ke hadapan kubur arwah Mak terus memberi salam.

“Mak, anak-anak mak sampai, kami minta maaf, halalkan yang dulu-dulu.”

Kemudian kakak gua sebut nama kami satu persatu. Seperti perbualan biasa.

Kubur arwah abah juga tidak jauh dari kubur arwah Mak. Sang kakak sekali lagi memberi salam dan bersuara.

“Abah ini anak abah datang meminta maaf.”
Ini salam Kakak gua dari atas kubur.

Kami menyapu dan membersihkan kubur. Mencabut rumput rampai yang meliar di sekeliling kubur. Kemudian kakak gua menyiram air daripada botol plastik.

Tidak jauh dari kubur arwah mak kami, gua ternampak lima anggota satu keluarga sedang berdoa di atas kubur. Mungkin ini kubur arwah ibu atau ayah mereka.

Bercakap dengan orang telah wafat ini pasti dianggap syirik. Pasti para Wahabi mengatakan ini perbuatan gila dan tidak masuk akal.

Gua sebagai seorang rasionalis tetap menyokong apa yang kakak gua lakukan. Kami ini daripada keluarga Melayu Biduanda, bukan Bani Arab. Melawat kubur adalah sebahagian dari budaya Melayu kami.

Perbualan kakak gua dengan arwah abah dan mak gua itu bukan tujuan mencari bidadari. Bukan tentang dosa atau pahala. Tetapi untuk menyatakan anak-anak emak dan anak abah masih setia dan teguh pada budaya Melayu Biduanda kami. Kami tidak akan menjadi Bani Arab. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen