malaysiakini logo
story-image
ADS

Para pelawak keturunan Pak Pandir dengan isteri pertama, Mak Andeh pun berpesta dengan segala teori konspirasi. Semuanya mahu menang anugerah maharaja lawak taraf cakerawala.

Penglipur lara yang muncul untuk mempertahankan para kletopkrat dan 'bangsatwan', Hang Jolo dan kroni Pink Diamond.

Berdakyah mengangkat bilionair segera sebagai hero-hero bangsa alaf ini, abad ke-21 dalam mempersado wayang bangsawan transformasi.

Cucu-cicit Pak Pandir ini masih bercambah kerana tak hilang Melayu di dunia selagi ada cucu cicit Pak Pandir menyambung temberang khazanah Bani Tamim.

Turut berlumba-lumba adalah nasab kabilah Lebai malang, Pak Kaduk, Badang, Luncai dan Pak Belalang. Walau mereka ada yang bersekolah lebih tinggi dari pokok kelapa, mentaliti dan minda masih di bawah tempurung.

Lebih mengejutkan, pelawak-pelawak baru di kalangan pemuda yang baru berkhatan dan puteri yang baru datang haid seakan membawa transformasi dari lautan biru yang menepati maqasid shariah.

Itulah era kepimpinan kleptokrat sama taraf dengan hotel lima bintang di Nusa Dua.

Kesemua keturunan pelawak pun kembali memeriahkan persada hiburan politik mega yang menjanjikan dedak lumayan dari derma Arab RM2.6 bilion yang masih berbaki.

Tidak termasuk percutian dengan jet peribadi mewah dan 41 bilik presidential suites sebagai hadiah sagu hati.

Mereka tiada kerja lain untuk dibuat walau ada menjadi menteri, timbalan menteri, blogger, peguam negara, ketua polis, profesor dan lebai-lebai profesional yang bermatian mahu jadi politikus.

Apalagi yang makan gaji sepenuh masa untuk melawak seperti team JASA (Jabatan Solek & Aksesori) yang rakyat terpaksa menanggung makan berak mereka. Team ini antara kerja mulianya ialah membasuh berang kencing para kleptokrat yang dipanggil pemimpin ulung bertaraf dewata.

Tidak hairan BTN (Biro Ternakan Nista) sedang mengemas kini silibus propaganda untuk lebih lawak dari lawak-lawak temberang mereka semenjak azali. Mereka perlu justifikasi untuk ditanggung rakyat yang tiap hari membayar cukai demi hutang negara.

Juga team Baju Merah yang bangga tak pakai seluar dalam tetapi berlagak sebagai pencetus ummah dengan segala kehebatan silat pulut di gelanggang tadika.

Team Baju Merah akan cuba membawa lawak slapstik dan plastik. Penuh sumpah seranah maki hamun tradisional bercampur klasik.

Kedatangan pelawak dari team Lebai Malang yang tetap berhujah dengan mempergunakan ayat Quran dan hadis dalam menjustifikasikan lawak bodoh mereka menjadikan perpaduan ummah begitu terserlah.

Kalau orang tidak gelak, maka kafirlah penonton serta merta. Petua dari Amanat Lebai yang menjadi bekalan dalam setiap lawak melawak.

Kalau diukur dari segi isi dan bahan lawak, sumbernya sama sahaja. Putar belit, spin dan kitar semula. Yang membezakan kelucuan hanyalah karektor walau hanya mereka sesama sendiri ketawa bagai nak rak.

Tidak mengejutkan tema 'campur kaki' asing meletup-letup sehingga bau kentut kombinasi pelawak Bani Tamim terus merentas planet dan mencanak ke tujuh petala langit.

Mungkin orang asing, sama ada bayang-bayang, jembalang, Yahudi, atau Illuminati mempunyai kaki yang terlebih panjang, atau terlebih jengkal sehingga apa sahaja berkaitan dewa segala dewa adalah pengkhianatan dan pembelotan terhadap sebuah negara merdeka.

Dalam lawak penuh kedangkalan, mereka tidak pula berani melawak mengenai kehebatan Hang Jolo dan Hang Reza sebagai tokoh-tokoh ilmu bisnes cepat kaya bertaraf Hollywood.

Semakin hari, mereka yang semakin ghairah melawak walau semakin tidak lucu, semakin basi dan semakin busuk mulut dipenuhi dedak tidak sedar kaki mereka juga semakin pendek dan semakin masuk dalam kubur yang digali dengan tangan sendiri.

Kaki-kaki pendek membusut dengan penyakit yang tidak boleh diubat dengan segala ilmu logik dan mistik.

Tanpa mereka sedar, juga peduli dalam lawak merapu, 'campur kaki' mereka sendiri untuk menutup lubang tahi dan lubang jirat 1MBD semakin menjadikan lawak mereka sadis dan tular dengan ketololan, kebangangan dan kebodohan terlampau.

Sehingga mereka menjadi kera sumbang dalam zoo yang dipenuhi panda beristana hawa sejuk dan lembu-lembu melepak dalam kondominium mewah!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel satira ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen