malaysiakini logo
story-image
ADS

Suasana menjelang hari raya di sini tidaklah sama seperti suasana di tanahair.

Tiada kedengaran lagu-lagu raya, tiada promosi jualan raya, tiada promosi program hiburan TV, tiada kesibukan menyediakan juadah, kuih-muih, perhiasan rumah.

Begitu juga tiada kesesakan jalan raya untuk warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tiada juga ucapan khas oleh perdana menteri dan isteri di malam raya. Apalagi pengumuman pemegang mohor diraja.

Biasa sahaja untuk kami di sini. Sudah terbiasa dengan tanpa persiapan seperti di Malaysia.

Malah suasana kesedihan lebih terasa kerana Ramadan meninggalkan kita dan banyak masjid melimpah untuk tarawih di sepuluh malam terakhir. Suasana yang menjadikan saya lebih suka menghabiskan Ramadan di sini kerana fokus kepada ibadah.

Masjid juga melimpah untuk solat subuh. Dengan waktu subuh yang awal, dalam 4 pagi, menambahkan kemeriahan Ramadan.

Sememangnya, suasana Ramadan yang meriah selama sebulan memberi pengertian yang lebih mendalam kepada amalan ibadah.

Dengan banyak bersedekah dan menyumbang untuk kebajikan bersama menambahkan keindahan Islam yang semakin tercemar tindak tanduk oleh orang-orang Islam.

Biarpun pertelingkahan antara negara-negara Arab masih berlarutan, dan pertukaran Putera Mahkota Arab Saudi, kita masih mengharapkan ada penyelesaian untuk kesejahteraan ummah.

Buat pertama kali juga, saya sekeluarga berhari raya secara berasingan di empat negara berlainan. Anak sulung di Kanada, anak kedua di Malaysia dan yang bongsu di New Zealand, manakala kami berdua di UAE.

Hanya berinteraksi melalui skype di pagi raya.

Hari Raya tahun ini di sini di musim panas dan tentunya percutian panjang anak-anak memberi peluang untuk ramai ekspatriat balik awal untuk berhari raya di negara masing-masing.

Terutama warga Malaysia yang tidak putus mengemas kini status Facebook dengan tema balik kampung. Wajah-wajah ceria untuk kembali ke tanah air dan bersama keluarga.

Manakala ramai ekspatriat lain mengambil peluang cuti Raya yang panjang untuk melancong.

Iklan-iklan melancong di hari raya cukup banyak membayangkan popularnya budaya melancong di percutian raya. Termasuk warga Emirati.

Tidak seperti di Malaysia yang sakan beraya selama sebulan dan kadang-kadang terlebih bulan, kami hanya beraya sehari sahaja seperti tuntutan agama.

Untuk rakyat Malaysia, ada solat raya dengan makan-makan secara pot luck di Matrade Dubai dan kedutaan Abu Dhabi.

Solat Raya di sini dibuat sebaik fajar terbit aiaitu 5.30 pagi kali ini, tetapi rakyat Malaysia solat raya lebih lambat, dalam jam 8 pagi.

Saya lebih suka bersama para jemaah lain solat di padang-padang "eid musolla' kerana memberikan suasana berbeza, terbaik dan lambang penyatuan ummah.

Eid musolla ini hanya digunakan untuk solat raya.

Tidak semua masjid mengadakan solat raya kerana lebih baik bersolat di eid musolla yang memberi kesempatan untuk ribuan jemaah bersama dalam satu tempat terbuka.

Takbir raya juga berbeza, tiada mendayu-dayu seperti kita.

Pernah seorang ulama di sini menegur kenapa rakyat Malaysia mahu mengadakan solat raya secara berasingan. Bukankah itu satu keganjilan dan tidak menepati perpaduan dalam Islam.

Apa istimewanya rakyat Malaysia untuk solat berasingan sedangkan warga Emirati sendiri pun pergi ke padang-padang, termasuk raja-raja mereka.

Begitupun, untuk warga ekspatriat Malaysia ia dilakukan untuk merasakan suasana hari raya tanahair.

Selepas solat dan makan di Matrade, kami berkunjung ke rumah terbuka sesama warga ekspatriat Malaysia sehingga malam. Peluang untuk menikmati apa sahaja juadah tradisional.

Warga emirati berkumpul sesama keluarga. Manakala ekspatriat dari pelabagai negara ada juga berkumpul di taman-taman rekreasi, berkelah dan bersantai.

Dalam cuaca panas, tentunya kompleks membeli belah dikerumuni.

Rumah terbuka bukan budaya. Tetapi ada juga kanak-kanak datang mengetuk pintu untuk 'eidiya'.

Hanya sehari berhari raya dan itulah yang lebih baik bagi saya dari beraya sakan sebulan.

Saya sekeluarga mengambil kesempatan mengucapa Eid Mubarak, selamat hari raya, maaf zahir batin kepada Malaysiakini, para pembaca dan semua yang dikenali di mana jua berada.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen