1 Syawal 1894 & 1949


(Dikemaskini )

Terdapat pertanyaan daripada seorang profesor sains nuklear kepadaku, bagaimanakah orang Melayu menyambut hari raya? Kata profesor itu, aku mesti tahu kerana dia memanggilku ‘sang serba tahu’ atau kadang-kala ‘ulung yang marjinal’.

Aku memberitahu profesor tersebut, “Sudah tentu saya tahu. Ini kerana Charles Turney, pegawai daerah Kuala Langat pada tahun 1894 ada menulis catatan berjudul ‘Hari Raya at a Royal Capital’ mengenai hari raya di istana Kuala Langat bersama-sama Sultan Abdul Samad. Juga, Pendita Za’ba pernah mencatit sesuatu mengenai Syawal pada tahun 1949 dengan karangan pendek bertajuk ‘Malay Festivals and some aspects of Malay religious life’. Jadi paling tidak saya tahu...”

Profesor sains yang sering mengaku tinggi KPI itu dengan wajah sedikit menyampah mengejek, “Kau tahu semua...dan apakah Za’ba menulis dalam bahasa Inggeris?”

“Tentu, Za’ba kan fasih berbahasa Inggeris dan menterjemahkan bermacam-macam karya ke bahasa Melayu. Jangan layan kami sarjana alam Melayu atau yang di Institut Alam dan Tamadun Melayu sebagai bangang,” ujarku.

“Dan Charles Turney, mengapa kamu mengambil dokumentasi daripada British?”

Aku ketawa, “Kerana penjawat awam Inggeris menulis, mereka semua menulis dan sasterawan belaka. Hari ini pegawai daerah kita jauh dari itu semua...dibuat semua oleh staf bawah. Mereka, hari ini, hanya pemutus perkara, dan pengangguk.”

Oleh kerana kurangnya dokumentasi mengenai hari raya apakah yang kita tahu mengenai Syawal orang dulu-dulu. Kita sering mendengar ceritera orang lama bahawa Syawal di zaman mereka begini atau begitu, tak ada yang ini, atau yang itu. Makanya apakah yang baharu? Atau apakah kegembiraan raya yang sudah tidak dilakukan lagi?

Untuk menjawab pertanyaan itu, Charles Turney si pegawai daerah Kuala Langat pernah menulis untuk ‘Selangor Government Gazette’ mengenai 1 Syawal pada tahun 1894. Turney menceritakan di istana Kuala Langat, beliau tiba seawal pukul tujuh pagi. Di sana beliau melihat keceriaan yang sukar diungkapkan. Menurutnya permaidani dihampar, kusyen ternyata disalin baharu dan dibalut dengan satin kuning untuk meraikan baginda sultan. Bangunan istana dihiasi dengan daun-daun palma, bunga-bungaan segar dan terdapat khemah dengan gandingan warna kuning putih, dan kuning merah. Tertera di satu sudut dalam bahasa Inggeris: Welcome.

Tetamu awam yang hadir kebanyakannya pelajar-pelajar sekolah dari Sekolah Jugra, Permatang Pasir. Terdapat juga budak-budak sekolah dari Telok, Bandar dan mereka dikenali menerusi seragam yang warna-warnanya berbeza.

Di penjuru lain terdapat pancaragam yang memainkan pelbagai lagu-lagu Melayu pada waktu itu, tetapi menurut Turney, terdapat juga lagu Inggeris dimainkan iaitu antara lain ‘Ring the Bell, Watchman’ atau ‘Wait Till the Clouds Roll By’, serta bahagian tertentu dari ‘Pinafore’ yang menurut Turney meski dirasakan lucu, tetapi cukup mengujakan.

Sultan Abdul Samad yang sudah berusia 90 tahun, tiba pada pukul 8 pagi dan pancaragam memainkan ‘Selangor March’. Baginda duduk di kusyen khas dan dikelilingi oleh kaum bangsawan, kerabat terdekat dan pegawai kerajaan. Satu doa pendek dibacakan oleh seorang Imam dari Kuala Selangor dan sebaik sahaja doa selesai, muzik dimainkan lagi.

Sukan ketika Syawal

Turney merekodkan 23 acara sukan ketika sambutan Syawal pertama itu. Acara ini disertai oleh ramai tetamu, termasuklah pelajar sekolah. Setiap acara itu diberikan hadiah duit dari dua ke sepuluh (tidak dinyatakan apakah mata wang pound). Terdapat permainan ‘gaduh-gaduh’ antara pasukan polis dan kelasi dengan pasukan pengukir kayu. Terdapat satu acara dua pelajar kurang upaya diminta berlari ke satu hujung dan disuruh menyelesaikan soalan aritmetik selekas mungkin sebelum kembali semula ke garisan penamat. Siapa yang paling cepat menghabiskan soalan tersebut dan menyentuh garisan akhir bakal mendapat hadiah wang. Menurut Turney anggaran perbelanjaan keraian pada waktu itu melebihi 400. Terdapat dua ribu tetamu yang hadir dan meski sedikit hujan renyai-renyai, tetamu tetap dijamu dengan bermacam juadah sebelum mereka meminta diri pulang.

Profesor Sains Nuklear bertanya kepadaku, “Habis mereka pada tahun 1894 itu tak sembahyang raya? Pagi-pagi lagi bermain?”

Aku menjawab, “Itu saya tak tahu. Agama menurut saya adalah urusan peribadi. Tetapi jika Prof ingin tahu aspek keagamaan pada 1 Syawal, Za’ba ada membuat catatan pendek pada tahun 1949.”

Profesor membuat isyarat ingin tahu lanjut.

“Begini, Za’ba mengarang dan menyebutkan pada 1 Syawal biasanya orang Melayu Islam akan menziarahi ibu-bapa dan para guru untuk memohon kemaafan dan doa daripada mereka.”

Za’ba juga memerihalkan biasanya umat Islam akan mandi sunat pada pagi 1Syawal dan menyediakan lauk-pauk khas serta busana istimewa beberapa hari sebelum. Hanya lelaki sahaja yang mengerjakan sembahyang hari raya. Sebelum sembahyang bermula, mereka bertakbir dahulu. Kata Zaba ini adalah ‘thanksgiving hymns in the Arabic language prescribed for the occasion in praise of God and these are not accompanied by any music’.

Sembahyang raya dikerjakan bersama-sama dan terdapat dua khutbah setelah itu yang mana kata Za’ba adalah pengajaran agama dan moral yang ditekankan oleh Islam dan semua agama lain; ‘moral and religious duties during the ensuing year, and to do good and shun evil as taught by Islam and other religions’. Setelah selesai, mereka akan saling bersalaman dan memohon kemaafan.

Ia adalah hari yang menurut Za’ba hari damai dan persaudaraan, ‘throughout the day, is full of peace and brotherhood’.

Setelah itu, orang Melayu awam ini akan pulang dan menerima tetamu yang hadir ke rumah. Tambah Za’ba hanya beberapa tahun sebelum anak-anak Melayu belajar dari kanak-kanak Cina cara-cara bermain mercun. Sebelum itu, katanya belum ada.

Mereka, pada Syawal tahun 1949 saling menyahut ‘Selamat Hari Raya’ dan turut menerima kunjungan kaum India atau Pakistan Muslim yang akan menyebut pula ‘Eid Mubarak’.

Makanya apakah berbeza Hari Raya atau sambutan satu syawal pada tahun 1894 dan 1949, dengan hari ini?

Tidak banyak beza

Tidak banyak bezanya. Hari Raya adalah antara keramaian penting orang Melayu sejak dahulu hingga sekarang. Sudah tentu ada perbezaan bagaimana ia disambut oleh kelas elit atasan dan kelas jelata murbawan.

“Jadi, untuk tahun ini apa signalnya?” soal profesor sains nuklear itu.

“Jika saya jadi Turney dan Za’ba, saya akan mencatatkan mengenai Syawal tahun 2017 dan menjelaskan untuk generasi mendatang, mengapa Hari Raya sangat penting untuk direbut oleh politikus di desa pada tahun pilihan raya begini. Bukan bagaimana cara raya disambut, tetapi bagaimana raya diragut? Misalnya adakah terdapat penaburan wang untuk membeli kesukaan? Atau adakah dengan kejujuran dan keikhlasan seperti yang Za’ba tuliskan, bahawa Syawal adalah mengenai keharmonian dan silaturrahim.”

Profesor sains nuklear tersenyum, “Tak sia-sia aku bertanya. Kau memang tahu, dan ulung tetapi sayang, dipinggirkan. Sasterawan hanya kami perlukan kadang-kadang”

Aku hanya tersenyum dan menjawab ringkas, “Selamat hari raya”.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Share