Berjalan di tanah ribuan bom


(Dikemaskini )

Perjalanan ke Luang Namtha memberi pengenalan yang tepat bagi menggambarkan Laos sebagai sebuah negara. Sama ada untuk menceritakan keadaan kebanyakan jalan atau dinamisme yang sedang mengambil tempat di negara itu.

Separuh perjalanan aku terisi dengan kagum dan faham kenapa Laos dianggap sebagai negara paling terpelihara alam semula jadinya di Asia Tenggara.

Separuh lagi adalah untuk aku cuba mengelak lubang atau terpaksa bernafas dalam debu di belakang lori yang membawa bahan binaan bangunan di lereng bukit.

Laos sedang disusupi pembangunan berkat pelaburan negara jirannya China, dan perlahan-lahan meninggalkan status negara miskin.

Sekali lagi alam bertembung dengan kemajuan. Kali ini pertembungan itu akan mengambil tempat di negara yang masih tersisa 80 juta bom yang pernah digugurkan AS pada tahun-tahun 1970-an.

Berjalan di tanah Laos bererti berjalan di atas tanah yang pernah dihujani bom yang jumlahnya lebih banyak berbanding kesemua bom yang pernah digugurkan AS dalam Perang Dunia Kedua.

Hakikat itu bagaimanapun seperti tidak dihiraukan kanak-kanak yang selamba bermain di pinggir jalan yang dapat dilihat setiap kali melalui kawasan perkampungan.

Mereka biasanya tesenyum girang melambaikan tangan. Mereka seperti sudah terbiasa dan faham bahawa orang yang duduk berjam di atas motor, dengan hanya mendengar bunyi ekzos dan suara dalam kepala sendiri akan dengan begitu gembira melambaikan tangan semula.

Cuma pastikan tak ada lembu melintas di hadapan dan tekan brek sebelum selekoh, atau kau akan dapat jawapan untuk soalan: "siapa akan kutip kalau jatuh gaung ini?".

Meninggalkan Luang Namtha

Awal pagi di balkoni hostel sebelum meninggalkan Luang Namtha, aku meneliti peta GT Rider di atas meja yang diberi percuma oleh seorang lelaki dan wanita yang aku temukan dalam perjalanan.

“Jalan teruk di hadapan,” aku ingat mereka pesan sebelum kami berpisah arah bertentangan. Eksperesi wajah mereka seperti lega akhirnya akan keluar dari Laos.

Beberapa tanda 'X' di peta menandakan mereka sudah mengelilingi Laos dari sebelah selatan di Bolaven Plateau Loop sebelum naik ke utara untuk Thakhek Loop. Mereka dalam perjalanan ke Chiang Mai semula.

Peta GT Rider adalah peta yang lengkap dengan jalan-jalan utama dan jalan alternatif yang disyorkan mengikut cuaca (dan trek yang statusnya belum dipastikan!).

Aku sudah bercadang sebelum ini untuk membeli peta yang disyorkan oleh kebanyakan overlander itu. Tapi sehingga aku meninggalkan Huai Xai, aku tak ada keperluan mendesak.

Dua minggu merendang di Thailand, aku bergantung kepada aplikasi GPS. GPS di sini bererti paparan pada telefon dengan skrin retak yang diselamatkan oleh pita pelekat dan disambung ke power bank 20,000 mAh setiap masa, diikat pada bar pemegang dengan selfie stick yang diubah suai sebagai pemegang.

Ada lima aplikasi kesemuanya. GPS online untuk perjalanan dalam bandar dan offline untuk luar bandar. Tiga daripadanya tidak berfungsi sebaik memasuki Laos.

Aku boleh bayangkan perenggan berita di surat khabar “Kembara bermotosikal berakhir tragedi selepas sesat di hutan, kehabisan minyak, dan dia lupa mengecas power bank.”

Menuju Luang Prabang

Tengah hari sebelum meninggalkan Boten, aku berkira-kira sama ada perlu singgah di Nong Khiaw yang terletak 210km dari situ, atau terus ke pusat bandar Luang Prabang sejauh 290km.

Beza 80km, dan hanya perlu tambah masa kira-kira sejam perjalanan. Apa ada hal, aku fikir.

Antara nasihat yang akan diberikan oleh mereka yang lebih berpengalaman adalah, jangan menunggang pada waktu malam dan sediakan masa yang lebih lama semasa menganggar waktu perjalanan.

Itu memang ada aku masukkan dalam pertimbangan ketika buat keputusan untuk terus ke Luang Prabang. Jarak 290km, aku fikir, berdasarkan tempoh perjalanan di Thailand, seharusnya akan memakan masa sekitar empat atau lima jam. Paling lewat enam jam. Bererti aku tiba sejurus sebelum gelap.

Yang aku lupa masukkan dalam pertimbangan ialah: Laos bukan Thailand. Di Thailand ada lampu jalan, walaupun bukan di semua tempat. Setidak-tidaknya akan ada lampu yang menerangi dari premis 7-11 atau deretan kedai.

Paling penting, keadaan jalan di Thailand tidak seperti di Laos.

Jalan di Laos berbukit dengan selekoh-selekoh yang membuat paparan GPS di skrin telefon seperti aku sedang bermain Pac-Man. Ditambah dengan helah alam yang memaksa aku untuk berhenti pinggir jalan.

Tidak mungkin aku boleh mengabaikan pemandangan di depan mata. Perjalanan ke Luang Prabang seperti menuju ke sesuatu lokasi yang sakral. Kau akan berhenti di pinggir jalan, terpukau dengan hamparan hijau.

Tiada suara selain kicauan burung dan bunyi dinding-dinding yang sedang runtuh. Dinding-dinding imjinari dalam jiwa yang kau bina dalam bising 10 tahun di Kuala Lumpur. Kemudian kau senyum seoranng diri macam baru keluar dari rumah sakit jiwa.

Silap perkiraan

Hari sudah petang ketika aku tiba di Oudomxay. Aku rujuk peta dan dapati aku baru melepasi jarak 90km selepas tiga jam perjalanan!

Aku singgah mengisi minyak dan ulang dialog sama yang aku guna untuk setiap 100km.

“95,” aku akan kata, merujuk jenis petrol yang aku mahu.

Kemudian disusuli “tem,” perkataan Thailand pertama yang aku kutip bererti “isi penuh” atau sesuatu yang membawa maksud sama dalam bahasa Laos. Agaknyalah.

Dan sekali-sekala akan diikuti perbualan untuk menjelaskan bahawa aku bukan orang Thailand. “Malaysia, not Thai,” aku akan kata.

Same same,” atendan stesen minyak akan balas sambil menunjukkan lengannya untuk merujuk warna kulit.

Yes, same same,” aku balas, “but I'm handsome.”

Aku bertaruh untuk teruskan perjalanan meski hari semakin gelap. Aku fikir, kalau pun tidak sampai di Luang Prabang, setidaknya aku dapat tiba di pekan paling hampir dengannya.

Apabila tiba di suatu pekan seterusnya, aku fikir, ah, sambung saja hingga ke pekan satu lagi.

Tapi sebelum itu, aku perlu pastikan aku tidak mati kesejukan. Sejuk? Macam duduk dalam peti ais. Tiga lapis baju termasuk jaket hujan dan jaket parka aku masih boleh rasa dingin sampai ke tulang.

Jalan semakin gelap dan berkabus. Pemandangan terbatas untuk hanya 10 meter dengan hanya bergantung kepada mentol 12 watt dan lampu suluh yang aku ikat di bar pemegang.

Selepas beberapa jam di atas jalan, jam sudah hampir pukul 12 tengah malam.

Cengkerik pun bersorak

Aku masih ada sekitar 80km dari destinasi yang disasarkan ketika tayar depan motosikal tiba-tiba tergelincir akibat permukaan jalan yang tidak rata.

Jeans 22oz menjadi satu-satunya pelapik yang memisahkan kulit lutut aku dengan permukaan jalan berbatu pejal ketika ia bergesel untuk lima meter sebelum berhenti. Dan mendapati motosikal dan aku bertukar tempat.

Melihat permukaan jalan dengan kesan lubang baru selepas bergesel dengan bucu bar pemegang, agak menakjubkan juga apabila mendapati lutut aku tak cedera.

Aku kutip barang-barang atas jalan dan letak tepi sambil berharap tak ada lori tiba-tiba lalu.

Dengan berat motosikal ditambah dengan barang-barang, dan peratus baki tenaga yang ada, satu-satunya cara aku boleh tegakkan motosikal adalah dengan bantuan orang lain.

Aku dongak, pandang dunia yang gelap dan sunyi dengan hanya balam bayang-bayang pokok di kiri kanan. Cengkerik hutan seperti sedang bersorak. Aku tarik nafas dalam-dalam dan cuba angkat motosikal.

Di YouTube, ada tutorial untuk mengangkat motosikal yang tumbang. Berikan belakang kau dan cuba angkat motosikal dengan kekuatan kaki.

Kau boleh buat itu di dalam dewan pameran, selepas makan tengah hari, atas permukaan rata ketika tayar boleh mencengkam permukaan.

Selepas bergelut untuk beberapa ketika, atas keterdesakan dan naluri ingin tiba di hostel secepat mungkin untuk berehat, aku berjaya tegakkan motosikal. Aku periksa motosikal dengan harapan tak ada kerosakan teruk. Bukan sekarang, bukan di sini.

Satu hal yang aku selalu pesan kepada diri sendiri, kalau nak jatuh motor dan patahkan salah satu tuil (lever), patahkan sebelah kanan. Jangan patahkan tuil sebelah kiri.

Kau boleh teruskan perjalanan tanpa brek depan. Tapi kau perlukan klac, kau perlukan tuil sebelah kiri. Sudah tentu, aku patahkan sebelah kiri. Sebelah klac.

Langgar lori atau dimakan Yeti

Dalam situasi lain, aku boleh hidupkan motor, tolak dan masuk gear tiga dan guna gear sama sampai rumah. Itu kalau rumah terletak 4km dan aku berada di Bangsar.

Bukan 4,000km dari rumah dan tak mungkin aku boleh guna gear sama untuk 80km seterusnya dengan keadaan jalan macam ini. Mujur aku bawa alat ganti.

Baiki motosikal di tengah malam dengan bantuan cahaya hanya dari lampu suluh di tengah-tengah negara yang masih tersisa 80 juta bom dan kau masih tertanya kalau-kalau ada tulang yang patah adalah pengalaman yang aku kira boleh diceritakan kepada anak cucu.

Tapi sebelum itu aku perlu pastikan aku kurangkan hisap rokok dan tidak mati di langgar lori atau dimakan Yeti malam ini. Yeti? Tidak. Yeti cuma ada di Himalaya. Nepal. Atau Tibet. Atau permainan video Ragnarok.

Aku hidupkan motosikal. Lampu hadapan jadi malap. Tak ada masa untuk periksa wayar. Aku teruskan perjalanan dengan hanya pada kelajuan 50km/j.

Beberapa kilometer ke depan, aku jatuh sekali lagi selepas rantai terlepas dari sproket belakang. Aku agak, rantai longgar selepas jatuh kali pertama tadi.

Tangan dengan isyarat OK

Aku angkat motor dengan sisa tenaga yang masih ada. Kali ini lebih cepat sebab jalan lebih gelap.

Aku betulkan rantai dan teruskan perjalanan. Itu adalah jarak 70km paling jauh yang aku pernah rasa.

Beberapa kali aku terlintas untuk berhenti dan tidur saja di kawasan stesen minyak. Tapi anjing di Laos tidak berapa mesra pengunjung tengah malam selain bayangan buruk lain membuat aku membatalkan niat itu.

Aku tiba di bandar Luang Prabang sekitar pukul 1 pagi. Bandar yang sunyi sekali-sekala diisi bunyi deruman skuter dan ketawa dari bar-bar dan kelab malam berhampiran.

Tak ada masa aku nak perhati semua ini. Aku perlukan tempat tidur. Aku singgah di hadapan sebuah premis dengan lampu berwarna-warni. Dari luar aku dapat lihat beberapa orang sedang bermain snuker.

Sebaik turun dari motosikal seorang lelaki yang sedang menghisap rokok di luar memerhatikan aku. Mungkin dia cuba masukakalkan pemandangan di hadapannya: seorang lelaki Asia yang masih memakai helmet dengan jaket hujan yang menunggang motosikal dengan pendaftaran luar. Dan dia tahu dia perlu berurusan dengan dengan aku.

Guesthouse?” aku tanya.

Dia cuba katakan sesuatu yang aku tidak faham. Dia senyap beberapa saat, seperti berfikir sebelum dia tahu dia perlu gunakan isyarat tangan.

Dia angkat tangan sebelah kiri dan tunjuk 'isyarat ok'. Kemudian tangan kanan dengan jari telunjuk dimasukkan ke 'isyarat ok'. Aku ketawa. Dia sengih.

Di hujung simpang jalan, aku berjaya kejutkan penjaga hostel yang tidur di depan mejanya. Dia tunjukkan angka 80,000 di kalkulator yang aku agak kadar sewa untuk satu malam. Aku angguk dan serahkan not 100,000 kip.

Ketika ini aku tak tahu berapa nilai 100,000 kip. Dia pulangkan 20,000 kip dan arahkan aku untuk parkir motosikal dalam hostel.

Dengan segala kebolehan bahasa tubuh dan tenaga yang masih ada, aku beritahu dia bahawa aku perlu tidur sekarang dan semua benda termasuk perang, revolusi, seni, cinta, pengembaraan, semuanya boleh tunggu esok.

Aku kunci tayar depan motosikal sebelum masuk bilik, rebah atas katil dan bersedia untuk tidur seribu tahun. Lepas lima minit, aku keluar semula, bangunkan penjaga hostel, suruh buka pintu pagar dan tolong aku tolak motosikal. Kesian. Di luar sejuk.

Siri 1: Menunggu keajaiban di sempadan Thai-Laos

Siri 2: Berjudi dengan hantu di sempadan China

Share