Riwayat Mak Janda beranak tiga


(Dikemaskini )

Alkisah adalah seorang Mak Janda beranak tiga yang duduk jauh di hujung kampung. Mengikut tuan yang empunya ceritera, riwayat ini tidak ada sangkut paut dengan Bukit Seguntang Maha Meru. Mak Janda beranak tiga ini tidak ada bau-bau bacang dengan Wan Empok dan Wan Malini.

Ada pun dikisahkan riwayat ini adalah hebat dari segala yang hebat. Ini adalah kisah turun temurun untuk dijadikan batu pedoman. Jangan diikut jangan diteladani. Hanya jadikan batu sempadan. Cukuplah saja mendengar ceritera. Tak perlu diikut tak perlu ditiru.

Ini adalah riwayat Mak Janda beranak tiga yang memasang niat pagi dan petang. Merancang menyusun diri untuk berkuasa dalam negeri. Agar jadi kaya raya tak terperi-peri.

Dikisahkan Mak Janda ini telah menceraikan suami pertamanya kerana sang suami gagal membawa pulang emas walau pun sebesar saga. Jauh sekali membeli cincin permata tanda laki suka kepada dia.

Mengikut kata sahibul hikayat, Mak Janda beranak tiga ini rupanya aneh budi pun tiada. Mulutnya lancap berleter siang dan malam. Badannya pendek setinggi penyapu. Beratnya badan jangan dicongak. Bergerak sedikit memanggil gempa. Kaki Mak Janda membusut jantan. Lengan Mak Janda sebesar balak. Jari Mak Janda seulas rotan jantan.

Mak Janda beranak tiga – dua betina seorang jantan. Adalah dikisahkan pada satu ketika Mak Janda ini merancang dan bermimpi untuk menikahkan dua-dua anak daranya dengan Putera Raja Berunai. Pilihlah yang mana pekenan. Kalau sudi ambillah dua-dua sekali. Termasuk anak jantan boleh dijadikan pengawal bilik judi.

Mak Janda berangan-angan manalah tahu nasibnya badan sendiri. Manalah tahu jika terbuka hati Raja Berunai sendiri terus meminang Mak Janda sendiri. Kira punya kira lipat punya lipat Mak Janda dijadikan bini ke-44. Duduk dalam istana jadi khadam jaga pintu jamban rapat-rapat.

Maka segala dukun dan bomoh telah dicari dan dilanggan. Berguni bertempayan kemenyan dibakar. Asap berkepol macam kebun ubi terbakar. Berkoyan setangi telah dipasang.

Puh kiri puh kanan dengan berkat ibu kemenyan. Tok bomoh dan tok dukun bekerja siang dan malam. Menabur jampi menabur serapah hingga habis air liur diludah. Akhirnya tok bomoh meminta bahan pengeras. Seluar dalam putera raja perlu dibawa.

Puaslah Mak Janda ke hulu ke hilir mencari tok batin dan tok fakir. Meminta bantuan kalau kalau tok fakir berakal panjang.

Mengikut tuan yang empunya ceritera akhirnya Mak Janda jadi kecewa. Frust menonggeng merendam jiwa. Anak betina tak jadi permaisuri akhirnya hidup memelihara kambing biri-biri.

Setelah gagal untuk menjadikan anak betinanya sebagai permaisuri maka Mak Janda sendiri pula mula mengasap diri memasang niat untuk mencari laki.

Siang dan malam Mak Janda beramal. Belajar ilmu Tok Batin Kenaboi. Minyak cenduai minyak pengasih diambil dari puncak Gunung Petasih.

Tok Batin Kenaboi kematnya keras. Jampi serapah mujarab sangat. Gajah di hutan datang meniarap. Harimau di hutan menyerah diri. Buaya di sungai tersengih gigi bila mendengar tok batin berperi.

Mak Janda diarah mandi bunga. Berdandan bersiram dalam sedaya upaya. Siang berendam dalam lumpur malam berendam dalam paya.

Putar punya putar. Jampi punya jampi terkena seorang jantan yang sudah punya bini. Maka adalah disurahkan oleh tuan empunya ceritera bahawa Mak Janda beranak tiga terus mengarahkan Tok Batin Kenaboi agar menjerat sang bini ini.

Maka pada satu malam yang gelap gelita. Ketika kilat sabung menyabung Mak Janda tiga beranak telah menangkap Sang Bini dan dimasukkan ke dalam guni.

Esoknya bila guni dibuka si bini terlihat muka mak janda. Dia terus pengsan terperanjat takut melihat muka Mak Janda. Apabila sedar dan bangun si bini diumumkan telah menjadi betina gila mamai tak sayangkan laki.

Mengikut kata sahibul hikayat pada keesokan harinya Mak Janda pun kahwinlah dengan Mat Laki.

Mengikut tuan yang empunya ceritera Mat Laki ini berasal dari pekan anak lanun. Penyamun di laut penyamun di darat. Ke laut makan ikan ke darat makan biawak. Maka dari sinilah bermulanya riwayat Mak Janda part two.

Sebaik saja selesai menikah maka Mak Janda mula membuka lukah. Tujuh hari tujuh malam lukah terkangkang. Tidak ditutup tidak dikekang hingga kepala lutut menjadi lekang.

Dengan bantuan Tok Batin Kenaboi, Mak Janda memberi air nira tujuh keturunan. Ubat penawar ubat penguat. Ini bukan nasi kangkang. Ini bukan nasi wap. Ini air nira tujuh keturunan dari Tok Batin Kenaboi. Sekali minum terasa segar. Dua kali tengok terus terjaga. Kali ketiga terus mengikut apa saja. Menjadi beruk memanjat kelapa. Inilah ilmu sakai dipakai oleh betina menjaga laki.

Mengikut kata sahibul hikayat arahan pertama dari Mak Janda ialah Mat Laki bersama anak tirinya wajib turun ke pekan mencari harta kekayaan.

Dikatakan ada seorang saudagar kain memiliki berbara-bara emas. Saudagar ini dikatakan memiliki berpeti-peti intan berlian. Cincin rantai anting gelang tangan dan gelang kaki semua dari emas tempawan. Hanya jauhari mengenal manikam. Hanya Muthu mengenal Maniam. Hanya Mak Janda mengenal Mat Laki.

Kisah punya kisah rupa-rupa anak tiri mat jantan telah berkawan dengan seorang tokan candu dari Pulau Sebatik. Tokan China berbadan gempal ini dikenali oleh semua pemadat sebagai China Tembam. China Tembam ini memiliki sebuah perahu yang keluar masuk membawa candu dari negeri atas angin. Telah disurahkan bahawa di atas perahu ini juga China Tembam menyediakan candu dan pelacur untuk para pelanggan.

Pada hari dan ketika yang ditetapkan anak tiri dan China Tembam telah datang seolah-olah ingin membeli kain dari saudagar kain. Mak Janda pada ketika ini menyorok di belakang reban ayam. Saudagar kain amat gembira kerana pembeli datang ke rumah. Dengan bangga saudagar kain membuka dagangan. Berjela berkoyan kain dihampar.

Pilih punya pilih. Tawar menawar. Pada masa dan ketika yang dijanjikan Mak Janda pun masuk ke rumah. Bila sampai di hadapan saudagar kain si Mak Janda terus menyingkapkan kain sarungnya. Bila kain terlondeh keluarlah asap kecubung berkepul-kepul dari celah kangkang mak janda. Maka saudagar kain anak beranak pun jatuh mabuk pitam dan terus tidak sedarkan diri.

Maka Mak Janda anak beranak terus menggeledah dan merompak peti emas saudagar kain.

Sepurnama kemudian saudagar kain anak beranak telah pulih. Lalu saudagar kain membuat aduan kepada tok penghulu. Tok penghulu memanggil semua tok empat agar membawa berita ini ke kampung-kampung untuk mencari Mak Janda anak beranak.

Pada ketika ini Mak Janda anak beranak telah ada emas berbara. Hidup mereka tidak lagi teraba-raba. Mak Janda ada jantan dan sida. Ada pengawal dan penjaga. Dalam rumah ada dayang dan babu untuk membantu di dapur dan dalam kelambu.

Mak Janda melanggan bidan mengurut. Mamasang bomoh untuk menanam susuk. Kelenjar ditekan kelenjar dipicit untuk merapat kangkang penyedap. Muka dibarut muka disalut agar dilihat cantik betul betul macam sang badut.

Apa diminta apa yang dapat. Mak Janda anak beranak tidak lagi merempat. Mak Janda terus merancang. Takhta kampung tidak cukup. Takhta negara menjadi idaman.

Mengikut tuan yang empunya ceritera China Tembam pula telah menaikkan sauh kapalnya dari Pulau Sebatik dan terus belayar pulang ke negeri Tong San.

Manakala Mat Laki yang sentiasa diberi minum air kemat sakai kini mengikut saja apa kata mak janda. Diarah ke hilir dia ke hilir. Kalau ke hulu dia ke hulu.

Mengikut kisahnya pada satu petang tok empat anak Gerago telah sampai ke hujung kampung di hadapan rumah mak janda. Lalu tok empat membuka mulut bertanya menyoal yang patut-patut. Bertanya kesah China Tembam. Bertanya kesah daun kecubung.

Bila Mak Janda terdengar ini maka maka Mak Janda menyinga marah. Mat Laki menjadi tak tentu arah. Rahsia mereka sudah merekah. Mak Janda bingkas memberi arahan agar tok empat Gerago ditangkap segera. Ke dalam guni tok empat dimasukan. Kemudian disimen untuk disimpan.

Berita rompakan emas berlian makin tersebar seentero negeri seluruh pelosok. Satu negara heboh bercerita tentang rantai intan merah jambu. Cincin berlian dan anting menjadi bualan tak habis-habis.

Kisah rompakan ini diketahui pula oleh Pak Pandir pendakwa raya. Lalu Pak Pandir datang untuk menyiasat duduk perkara. Pak Pandir muncul di rumah Mak Janda. Bertanya betulkah telah mengambil rantai leher berlian merah jambu? Betulkah telah mengambil cincin cincin intan berwarna biru? Betulkah Mak Janda telah mengambil gelang permata ungu dari saudagar kain.

Mak Janda hanya tersenyum puas. Tidak bersuara tidak menjawab. Mak Janda telah melanggan seorang peguam yang hitam legam untuk menjawab segala tuduhan.

“Wahai Pak Pandir tuan pendakwa lihatlah leher anak guam saya, lihat tangan lihatlah jari. Jangan menipu diri sendiri. Mak Janda tidak berleher untuk berantai berlian. Gelang mustahil dipakai. Lengannya sebesar balak. Cincin tak muat jarinya. Jarinya sebesar kaki gajah. Jangan fitnah jangan tohmah. Jangan busukkan nama. Jangan disimen jangan dirantai."

Pak Pandir tuan pendakwa Raya termenung sebentar. Dia menjadi takut apabila teringat perkataan simen. Dengan serta merta Pak Pandir berkata:

“Masuk akal, masuk akal. Semua ini fitnah dan tohmah. Kes rantai berlian berwarna merah jambu hanya fitnah merapu. Mustahil rantai intan berwarna merah jambu dapat dipasang pada orang yang tak ada leher. Case close.”

NOTA: Riwayat ini tidak ada sangkut paut dengan sosok yang sedang hidup atau sedang mati. Selamat Hari Raya.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share