malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerajaan China cuma perlu potong elektrik, talian telefon dan mula wajibkan visa untuk pastikan ribuan pengunjung berhenti mengunjungi Boten. Dalam beberapa hari saja bandar kasino di sempadan Laos-China itu jadi sepi.

Penari kabaret pulang ke Thailand. Para peniaga premis rumah urut dan kelab malam meninggalkan bandar kerana kekurangan pelanggan. Yang tinggal hanyalah gambar pelakon Amerika, George Clooney yang digantung dalam emporium mewah, salah sebuah dari beberapa struktur yang sudah siap tapi terbiar bersama bir dan wain yang masih dalam bungkusan kerana ketiadaan pengunjung.

Hari ini, Boten tak lebih daripada sebuah bandar mati. Memasuki pusat bandar - yang agak janggal untuk dipanggil pusat bandar - kelihatan sebuah stesen minyak yang tidak lagi berfungsi subur ditumbuhi lumut.

Sekitar bandar pula, jalan-jalan utama bersalut tanah merah dengan semak-samun tumbuh meliar. Runtuhan konkrit dan bahan binaan bangunan berlonggok di bahu jalan.

Papan tanda restoran mewah lekang dipanggang cuaca tropika sementara hotel-hotel dengan pelbagai tingkat menjadi habitat serangga hutan.

Sekitar enam tahun lalu, Boten berada di zaman kemuncaknya sebagai bandar yang hidup dalam kilauan neon di tengah-tengah hutan tebal.

Ribuan pengunjung dari wilayah Yunnan datang berkunjung. Kebanyakannya adalah ahli-ahli perniagaan yang lari dari undang-undang larangan berjudi di tanah besar China.

Mereka tak perlukan visa, tetapi apa yang mereka perlukan, semuanya ada di sini: kasino, restoran, pusat karaoke, kelab malam, dan hotel-hotel mewah di puncak bukit.

Boten adalah tempat permainan untuk mereka yang sudah bosan berjudi di Macau.

Bermula dengan usaha sama yang diterajui syarikat dari Hong Kong pada 2003, kawasan seluas 1,640 hektar yang dikenali dengan nama Boten Golden City dibangunkan dengan tujuan menjadikan ia sebagai hub perdangangan dan pelancongan.

Bagi kerajaan Laos - yang bergelut dengan kadar kemiskinan paling tinggi di Asia Tenggara - ia adalah jalan pintas untuk menjana ekonomi.

Bangunan konkrit didirikan dan hotel-hotel mewah dibina di puncak-puncak bukit. Dari kasino itu terbina rumah-rumah urut, kelab malam, pusat karaoke, malah kelab kabaret yang menampilkan penari cross dressing dari Thailand.

Meski berada di daerah Laos, iaitu kira-kira 55km menempuh jalan berbukit dari Luang Namtha, Boten menggunakan mata wang yuan, dan jam ditetapkan mengikut waktu Beijing.

Penjudi jadi tebusan

Penghujung 2010, media mula melaporkan tentang pengusaha kasino menahan pengunjung yang tidak membayar hutang judi.

Penduduk tempatan bercerita tentang mayat dibuang di sungai. Media China melaporkan bahawa pegawai dari wilayah Hubei terpaksa dikerahkan untuk berunding pembebasan rakyat mereka.

Tidak lama selepas itu, kerajaan China menggesa pihak berkuasa Laos menutup kasino, ketatkan kawalan sempadan, dan itu adalah hari-hari terakhir Boten sebagai Macau di tengah hutan.

Daripada populasi 10,000, bandar itu kini cuma dihuni sekitar 1,000 penduduk yang berjudi dengan masa, menunggu hari kegemilangan Boten kembali.

Aku sebenarnya sedikit kecewa. Harapan awal aku ialah untuk merasakan sebuah 'bandar hantu' ala Fukushima atau sekadar cari feel berada dalam babak filem apokaliptik ala The Walking Dead. Mungkin aku terlewat setahun dua.

Ketika aku tiba di gerbang imigresen, kelihatan lori-lori berbaris panjang keluar masuk sempadan. Pagar didirikan dengan poster-poster yang memaparkan struktur binaan yang akan dibina. Selepas lebih lima tahun terbiar, usaha kerajaan China mula kelihatan.

Jurutera-jurutera China ketika ini sedang menggerudi ratusan terowong di kawasan pergunungan di Laos untuk membina 260 batu (kira-kira 418km) landasan kereta api.

Ia adalah projek bernilai AS$6 bilion (RM25.6 bilion) yang akan menghubungkan lapan negara Asia dengan slogan “One Belt, One Road”.

Sementara itu, Boten, dan Laos secara umumnya perlu berdiri dalam barisan sama dengan negara-negara lain yang bergantung kepada pelaburan China.

Pelaburan infrastruktur yang dianggarkan berjumlah AS$1 trilion (RM4.3 trilion) dan melibatkan 60 buah negara.

Bagi kebanyakan overlander - sama ada yang mengayuh basikal atau menunggang motosikal, terutama dari Singapura dan Malaysia - Boten tak lebih daripada batu penanda jarak 4,000km perjalanan.

Boten adalah “tangkap gambar di hadapan gerbang imigresen" atau "batu penanda 1km China”.

Aku turun motosikal, masuk ke pejabat dan terus ke kaunter imigresen tempat warga China berbaris menunggu giliran mendapatkan cap izin menjejakkan kaki ke Laos.

“Kalau nak masuk China boleh?” aku tanya kepada pegawai sambil menunjukkan pasport Malaysia.

Aku memang sudah tahu jawapannya. Cuma aku saja tetap nak bertanya sambil tumpang penyaman udara. Di luar, matahari terik tegak atas kepala. Sekejap lagi aku akan ke Luang Prabang. [Lihat lebih banyak gambar]

Baca siri 1: Menunggu keajaiban di sempadan Thai - Laos

Lihat Komen