Riwayat kerbau sado


(Dikemaskini )

Pada hari dan ketika yang diramalkan. Ketika pelangi melintangi sawah. Ketika matahari baru condong nak jatuh. Ketika murai masih berkicau. Ketika merbah nak pulang ke sarang. Ketika inilah saat dan detik hamba menadah telinga membuka mata duduk bersimpuh mendengar surah.

Maka diriwayatkanlah oleh tuan yang empunya ceritera kepada hamba. Maka mengikut permintaan tuan yang empunya ceritera hendaknya hamba akan menyambung riwayat ini dari mulut ke mulut dari rumah ke rumah dari pundung ke pundung. Dari ayah ke anak. Dari anak ke cucu. Dari cucu ke cicit. Dari cicit kepada anak kepada cucu. Dari anak kepada anak cucu kepada anak kepada cicit dan cucu. Kepada piut dan miut. Amin.

Ada pun kesah ini telah lama hamba simpan. Maka menjadi beban jika hamba tidak bersurah kepada segala hamba sahaya kepada jantan kepada sida kepada seantero kampung, ceruk dan rantau. Akan menjadi gundah gulana hati hamba. Akan menjadi resah gelisah jiwa dan raga jika riwayat ini tidak terlepas dari mulut hamba seperti yang telah hamba janjikan dengan tuan yang empunya ceritera.

Telah hamba berjanji bahawa tidaklah hamba menambah walaupun setitik. Tidaklah hamba mengurangi walaupun sebatang alif. Inilah kisah yang hamba dengar dari tuan empunya ceritera. Maka hamba surahkanlah hendaknya.

Ada pun inilah riwayat Keluarga Sang Kerbau Sado. Amin.

Mengikut kata sahibul hikayat. Mengikut tuan empunya ceritera adalah seorang ayah bersama isteri dan dua anak anak dara sunti yang duduk di hujung kampung.

Ada pun kampung ini amat jauh sekali. Hujung dari segala hujung. Berjalan, berakit, berlurah dan berbukit melintasi Bukit Siguntang Maha Meru. Jauhlah lagi kampung ini dari sawah Wan Empok Wan Malini.

Ada pun sang ayah kerjanya ke hutan mencari damar dan rotan. Memasang jerat menangkap napuh. Menebang petai menebang kerdas. Sesekali turun ke pekan sehari. Berakit menyeberangi sungai membawa barang jualan. Menjual damar, rotan dan manau. Membeli garam gula dan minyak.

Ada pun sang isteri turun ke sawah membuat padi. Merembas, menyabit, merumput, menyemai dan menuai. Si emak dibantu oleh dua anak dara sunti.

Mengikut kata tuan yang empunya ceritera, kehidupan mereka melarat pun tidak lumayan pun tidak. Aman damai bahagia seisi keluarga. Semusim padi menjadi setahun makan tak rugi. Semusim panas menari sawah kering panen tak jadi.

Maka pada satu hari satu ketika sang ayah di pekan sehari, telah ternampak seekor kerbau jantan sado sedang memikul guni dan raga. Berat barang tidak terkira tapi sang kerbau berjalan bersahaja.

Maka hebohlah satu pekan sehari. Semua berlabun kesah kerbau sado yang maha peri. Menarik balak membajak sawah. Memikul kelapa dan menyondol busut. Maka terpinginlah di hati sang ayah kalaulah kalau sang kerbau ini menjadi miliknya.

Ah! Betapa senang kerja di sawah. Isteri di rumah kerbau di sawah. Anak gadis betis tak kotor. Mensiang, lumpur dan lintah tak mungkin singgah.

Logo Sang Kerbau Sado

Jika sang kerbau menjadi hak milik. Sawah berekar-ekar tidak menjadi pelik. Musim sawah membajak sawah. Musim kering menarik balak. Musim menuai memikul guni. Ke hutan boleh ke darat pun boleh. Membantu pantas apa pun boleh.

Sepulang dari pekan sehari sang ayah bercerita hal kerbau tak henti henti. Kerbau sado yang sedang menanti. Jika ada riyal, dinar, pitis dan kupang esok lusa sang kerbau boleh dibawa pulang ke kandang.

Maka dalam kelambu di atas bantal tersenyumlah sang ayah bermimpikan sawah semakin luas. Anak dara akan di pinang. Dua menantu datang membantu menjadikan keluarga bertambah senang.

Sang ayah terus berlabun dengan niat nak menambah kebun. Tanah digarap tanah dibaja. Sang kerbau membajak hutan dan rimba. Satu keluarga hidup tambah bahagia.

Sang isteri melopong mendengar. Anak dara memasang telinga. Betapa hidup akan berubah jika sang kerbau membantu di sawah.

Lalu sang isteri membuka mulut. Ingin bertanya di mana kerbau akan disambut. Di mana kandang akan didirikan. Bingkas bangun sang ayah dengan cepat terus mencelah. Sang kerbau bertempat di dalam rumah.

Maka terperajatlah sang isteri lalu menangis lalu merayu agar kerbau diikat di belakang rumah di bawah pohon mengkudu.

Sang ayah terus berkeras. Kerbau wajib bersama dalam rumah. Sang isteri menaikkan suara. Terus berkeras mahu kandang di belakang rumah. Sang isteri memberi noktah. kerbau sado akan menjemput agas dan nyamuk.

Sang suami menjawab segera. Para dibuat sabut dibakar segala nyamuk segala serangga ulat bestari takutkan asap akan cabut lari.

Anak dara di dapur memasang telinga. Merasa sedih mendengar ayah dan emak mula bergaduh. Lalu sang kakak bangun bersuara. Kerbau perlukan pandang rumput. Kandang dibuat di tepi sawah.

Ini dibantah oleh sang adik yang mahu kandang di tepi rumah agar kerbau tak banyak kerenah. Kerbau sado kerbau tua. Tak lalu makan tak lalu kerja. Akan membantu sebentar sahaja.

Pada malam yang dikatakan ini, rumah di hujung kampung ini menjadi heboh dan bingar. Tidak pernah terjadi sebising ini. Maka sang cengkerik enggan berbunyi. Belalang di sawah semua menyepi. Tempua dalam sarang megigal negeri. Ular tedung dalam lubang bangun berdiri. Semua mendengar satu keluarga gaduh sama sendiri.

Seluruh rakyat agas dan nyamuk. Seluruh masyarakat ular dan ketam. Semua naik menyampah mendengar kebisingan ini. Ramai pacat dan lintah berpindah sokongan kerana tidak mahu diganggu suara bertengkar satu keluarga.

Ada pun mengikut tuan empunya riwayat pada keesokan hari sang ayah terus ke hutan mencari bomoh di Gunung Pusat Merdeka. Untuk menilik nasib siapa yang lebih popular. Meminta bomoh membuat tanda mengeluarkan logo. Logo Sang Kerbau Sado.

Berakit ke Gua Bersatu

Ada pun mengikut ceritera ini sang emak pula berakit ke hilir menuju Gua Bersatu untuk memberi ancak kepada Jin Segala Jin. Meminta Kepala Jin memberi sokongan agar kerbau sado dikandang di belakang rumah.

Ada pun kakak telah menapak ke Bukit Sirambut mencari ulat bulu mati beragan untuk dibuat racun berbisa. Bersedia jika sekiranya sang kerbau membuat angkara.

Si adik di rumah membuat buluh runcing. Lubang digali buluh dipasang. Jika kerbau membawa langau dan busuk maka ke lubang maut kerbau ditolak.

Mengikut kata sahibul hikayat. Mengikut kesah tuan empunya kesah. Mengikut kitab Mehrang Mahamangs, keluarga di hujung kampung ini tidak lagi lagi bertegur sapa.

Sang ayah duduk berkurung dalam gua menunggu tok bomoh tak kunjung tiba. Sang emak hilang suara untuk berkata. Dikatakan telah terperanjat ketika disambut oleh jin Afrit berkepala tiga.

Si kakak telah berkahwin lari. Kemudian pulang kembali ke kampung menjadi mak janda, manakala adik masih mengumpul buluh membuat rakit ingin belayar mengembara.

Sawah terbiar terbengkalai. Kebun menjadi belukar. Rumah kampung semakin rahai.

Maka mengikut kata sahibul hikayat pada satu pagi yang nyaman di Bukit Seguntang Maha Meru. Batang padi Wan Empok dan Wan Malini menjadi tembaga. Daun padi menjadi perak. Butir padi bersinar menjadi emas. Maka terperanjatlah Wan Empok dan Wan Malini. Apakah ini tanda apakah ini mimpi.

Ketika inilah Raja Suran muncul dari bumi. Berkuda putih memakai pakaian anak raja bestari. Besdastar bertanjak berbengkung cindai ratu manikam. Kacak sasa jantan harapan.

Maka Raja Suran pun dijemput oleh Wan Malini masuk ke rumah mereka. Maka ketika Raja Suran melangkah masuk rumah pun berubah rupa. Ada serambi dan balairung seri. Dapur dan anjung gagah tegak berdiri.

Maka Wan Empok dan Wan Malini berpandangan sesama sendiri. Amatlah hairan bercampur ngeri. Maka sedarlah Wan Empok dan Wan Malini bahawa inilah rupanya Raja Suran yang dinanti-nanti.

Maka Raja Suran pun mula bersuara bahawa baginda dititahkan oleh Sang Dewata Mulia Raya agar muncul ke Bukit Seguntang Maha Meru untuk bertemu satu keluarga.

Maka Wan Malini membuka kesah tentang satu keluarga yang jauh di hujung kampung. Mereka dulu bersawah kini dah menjadi kering. Mengikut kesah Wan Malini telah lama tidak dilihat sang ayah membawa rotan dan damar. Sang emak tidak diketahui apa terjadi. Dua anak dara apakah masih sunti.

Setelah mendengar semua ini maka Raja Suran meminta diri agar ditunjukkan jalan ke hujung kampung. Lalu Raja Suran berkuda menuju ke sana.

Raja Suran cucu cicit Iskandar Zulkarnain. Raja dari segala raja dihantar oleh Sang Dewata Mulia Raya untuk membawa satu berita pada satu keluarga.

Wahai Bani Melayu...

Kuda terhenti di hadapan gobok buruk. Raja Suran menoleh ke kiri menoleh ke kanan. Raja Suran menggelengkan kepala. Lalu baginda berseru minta semua anggota keluarga datang bertemu.

Sang ayah dari gua bertapa bergegas datang segera. Sang ibu yang hilang suara kini sihat seperti sediakala. Kakak mak janda kini bertambah cun seperti anak dara. Si adik meninggalkan rakit datang tercegat bersedia apa saja.

Maka Raja Suran pun mula bersabda menggunakan lorat tempatan lagi bersahaja. Agar senang difahami oleh semua anggota keluarga:

“Wahai Bani Melayu dongar sini den nak cakap. Apo kono ekau sumo ni. Bangang melalak. Bodoh bobonar. Bodoh macam tolo. Beramok anak bini hal kobao sado. Mano kobao nak ditambek. Mano nak di ikek. Mano nak buek kandang. Mano padang rumput eeeh... bercokak anak bini. Bangang sangat keluargo kao ni. Den cakap ni kerano kobao tu bolom ado laieeh. Bolom kao boli. Bolom dapet kobao tu. Duit pun tak cukup. Ekao ni tak sodar ko perangai kau ni buek nyamuk, somut, pacat, lintah nak muntah tobarai. Muntah loyo dongar kao bising siang malam beramok anak bini. Bercokak siang malam. Tak sudah sudah. Tak abeh abeh. Donga ni den nak cakap. Ekao ni tahu ko tak? Tau tak? Kobao tu sapo punyo? Kobao sado tu Bik Mama punyo.”

Selesai saja Raja Suran bersabda baginda terus memacu kuda masuk ke dalam hutan rimba. Tidak muncul muncul hingga ke hari ini. Walahhu alam bisawab.

NOTA: Riwayat ini tidak ada kena mengena dengan orang yang hidup atau yang sedang mati. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share