malaysiakini logo
story-image
ADS

Teman sekolah rendahku bernama Fang Wang singgah di pejabat kelmarin. Dia membawakan tiga bungkusan kompia, sejenis makanan khas dari Sibu. Sejak berpindah ke Sarawak setelah mengahwini seorang lelaki dari komuniti Foo Chow, aku hanya berpeluang menemui Fang sekali-sekala. Setiap kali pulang ke Melaka, Fang akan membawakan ole-ole dari Sibu, ‘bagel’ Cina iaitu kompia yang dikatakan dicipta dalam kurun ke 16 di Fujian, China sebelum dibawa oleh imigran ke Borneo. Kebetulan sekali Fang ingin menyinggah di Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam perjalanannya ke KLIA2.

Seperti biasa aku bertanyakan khabar, dan Fang dengan senyum yang menyerlahkan lesung pipit akan menjawab dengan meleret-leret. Sudah tiga tahun kami tak bertemu, kerana kali akhir Fang pulang ke Pangkalan Rama adalah untuk melahirkan anak ketiganya.

Perbualan kami petang itu beranak-pinak dari perihal peribadi kepada kisah ISIS, seputar isu-isu pilihan raya dan Fang bertanyakanku, “Sudah tonton video di tapak bazar Ramadan di Kluang?”

“Yang petugas DAP bawah anggota parlimen Kluang, Liew Chin Tong dihalau dengan kasar ketika berhasrat mengedarkan buah kurma kepada orang ramai itu?”

Fang mengangguk.

Aku ada membaca di portal berita YB Liew dan ketua BERSATU Klang, Radzali Mohd Noor telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa menahan dua lelaki yang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

Video pendek itu menunjukkan dua orang lelaki bercakap dengan nada tinggi, mengusir sekumpulan anak muda yang membawa kotak (andaiannya adalah kurma) dan kelihatan sangat emosi dan marah-marah. Salah seorang yang kurus dan berkopiah berkali-kali menegah mereka masuk mengagihkan kurma dan pada satu ketika menyatakan dengan jelas, “Astaghfirullah saya imam, saya imam, saya imam.”

Untuk seketika aku sengaja ingin menduga Fang, “Kata anggota parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim ada kemungkinan sesetengah peniaga turut menjual kurma. Makanya pemberian kurma percuma akan menjejaskan perniagaan mereka itu. Jadi, menurutku pengedaran kurma itu seharusnya tidak dilakukan di bazar Ramadan, tetapi mungkin di kawasan perumahan, atau di perkarangan masjid... tempat meletak kenderaan misalnya.”

Fang yang tidak terpancing dengan kalihku dengan penuh tenang mengatakan, “Ia seharusnya diberitahukan begitu. Ia seharusnya, maksud aku, di apa kesempatan pun harus menjadi satu dialog; dan bukannya pergaduhan.”

Aku menatap wanita sebayaku itu. Kami bersekolah rendah sama di Jalan Dato Palembang. Aku melawatnya ketika Tahun Baharu Cina, dan dia datang ke rumah untuk sambutan Aidilfitri. Ia berlaku selama beberapa tahun. Semua itu berlaku dalam tahun 1980-an. Perlahan-lahan itu kurang terlihat lagi dalam dekad ini.

Konfusius dan Lao Tze

Aku harus berterima kasih kepada Fang. Wanita yang kini suri rumah itu adalah antara teman dialogku satu ketika dahulu. Buat beberapa ketika, aku tersedut dalam dunia keislaman dan bergelumang dengan sastera Islam, kami bahkan terputus hubungan. Kini syukur, setelah aku kembali meraikan yang luar dari Islam, hubungan persahabatanku dengan Fang kembali terpelihara. Ia banyak dibantu oleh kewujudan Facebook.

Fang banyak mengajarku mengenai Konfusius dan Lao Tze. Melalui Fang aku memahami Tao Jia (ajaran Tao). Dua tiga tahun kebelakangan ketika perseteruan mazhab dalam Islam sangat sengit, khusus akibat tercetusnya perang saudara di Syria, Fang mengingatkanku bahawa di China sendiri pada waktu munculnya Konfusius dan Lao Tze terdapat huru-hara ekoran banyaknya mazhab dan corak pemikiran.

Aku masih ingat waktu kami di usia dua belas tahun, kami pernah berbincang mengenai konsep Zhong (kesetiaan) dan konsep Shu (memaafkan) yang termuat dalam ajaran Konfusius. Ia merupakan satu dogma halus tokoh tersebut yang menuntut pemerintah melindungi rakyat jelata dan bukan hanya menuntut taat setia membabi buta.

Aku faham pendirian Fang. Dia seorang pengikut Tao. Jika kita membaca Tao Te Ching atau Jalan dan Kebaikan Moral, kita mendapati Lao Tze menekankan pengasuhan ke arah peribadi yang baik dan bersederhana. Sesuatu yang berlebihan, ekstrim dan memaksa hanya akan menyusahkan orang lain.

“Mengapa lelaki itu menekankan status imam? Seolah-olah dengan status itu dia boleh melakukan apa sahaja seperti mengehadkan pergerakan orang lain, menafikan siapa pun, atau mengasari musuh.” Fang bertanya.

Imam.

Dalam benakku berpusing-pusing ayat 124 surah al-Baqarah yang terjemahannya lebih kurang begini: “Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: 'Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia'. Ibrahim berkata: '(Dan saya mohon juga) dari keturunanku'. Allah berfirman: 'Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim'.”

Justeru status imam bukanlah seperti imam muda, atau imam kampung. Ia adalah status yang sangat besar dan penuh pencerahan. Ia status yang diberikan kepada Nabi Ibrahim, dan bukan mengenai orang yang zalim, iaitu yang sebagai contoh - akhlaknya buruk. Sesungguhnya kata pengusir dalam video bazar Ramadan Kluang itu “Astaghfirullah saya imam, saya imam, saya imam” hanya malangnya, telah meletakkan status imam serendah akhlak dan perangainya. Kata-kata itu kata-kata batil yang keliru.

Pertanyaan Fang itu bergema dalam benak, dan melantun ke gegendang.

“Mudahnya mendakwa diri imam, hari ini siapa pun boleh menjadi imam...pencetus ummah...aku juga boleh klaim begitu jika mahu. Tapi, tapi aku malu,” ujarku senafas.

“Mengapa Zal, mengapa di bulan puasa yang mana diajari dialog dengan Tuhan sebanyak-banyaknya di sebalik sembahyang tarawih, di sebalik zakat fitrah, di sebalik bacaan al-Quran, di sebalik amal ibadah...sehingga puasa itu satu dialog praktikal agar umat Islam merasaikan penderitaan yang lain...tidak...tidak lagi memberi tenaga atau semangat itu kepada orang Islam?”

Wei, itu soalan dari Fang. Tidakkah kita sebagai orang Islam berasa malu?

Dialog yang hilang

Sesungguhnya seorang imam, seperti Nabi Ibrahim adalah seorang pendialog. Kita pun tahu bagaimana Nabi Ibrahim alaihissalam berdialog dengan alam, berfikir dengan logik dan bertanyakan siapakah Tuhannya, sehingga di satu ketika, baginda mendapat pencerahan bahawa mustahil matahari atau bulan itu yang Tuhan. Bukankah kerana dialognya juga Nabi Ibrahim berhijrah ke Mekah untuk membina Kaabah. Dan kerana dialognya juga kita melihat seorang ayah mengorbankan anaknya Ismail sebelum ditebus dengan seekor kibas.

Apakah yang hilang daripada seorang pengaku imam hari ini?

Dialog.

Apakah yang hilang dari puasa seorang pengaku Imam hari ini?

Dialog.

Terdapat beberapa prinsip dialog.

Pertama tujuan dialog adalah untuk mempelajari, dan menjadikan diri matang setelah memahami realiti agar dapat bertindak lebih baik lagi. Puasa mengajarkan itu dengan dialog secara praktikal, disertai dengan tata tertib penjagaan makan minum, lidah, dan hawa nafsu. Kedua, puasa sebagai dialog juga menggerakkan kemesraan intra atau antara manusia. Itulah yang ingin didorong oleh Ramadan yang mulia ini, agar manusia saling mengenal yang mana didorong pula oleh zakat fitrah. Oleh kerana itu puasa sebagai dialog mengajarkan kita, ketiganya, agar harus ikhlas, dan jujur di mana semua harus dianggap setara, itulah yang kita lihat apabila berpuasa, sama-sama kita merasai kesusahan manusia yang tidak bernasib baik. Tentu, keempatnya pula dialog yang terkandung dalam ibadah puasa itu menggerakkan sifat empati dengan pihak yang berdialog.

Akan tetapi apakah puasa tanpa dialog? Seperti yang diutarakan oleh Fang.

Buat pertama kalinya, dalam persahabatan bertahun-tahun dengan Fang, aku menghantarnya ke pintu keluar tanpa memberikannya jawapan.

Aku hanya dapat berterima kasih kerana kesudiannya menyinggah dan memberikan kompia.

“Itu, kompia itu lambang dialog kita.”

Kami tertawa.

Aku sudah tiada jawapan. Aku sudah kebuntuan. Bagaimana kita akan menjawab kepada umat bukan Islam jika imam yang sepatutnya satu status sangat terpercaya, status para nabi-nabi dan wali-wali kini diklaim oleh seorang pemarah di bazar Ramadan yang mengherdik dan mencaci?

Astaghfirullah, janganlah mengaku engkau Imam.

Tolong, jangan.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen