Menunggu keajaiban di sempadan Thai-Laos


(Dikemaskini )

Chiang Khong, bandar kecil di wilayah Chiang Rai di utara Thailand, bukanlah contoh tempat yang kau akan bayangkan untuk sebuah keajaiban terjadi.

Tapi tiada alasan lain aku tiba di petang berbahang itu kecuali untuk diberi pengecualian undang-undang sempadan terbaru Thailand-Laos yang tidak membenarkan motosikal bawah 250cc melepasi sempadan.

Aku berhentikan motosikal di bahu jalan untuk beli air minuman. Keluar dari 7-11, seorang lelaki Inggeris sedang berdiri di sebelah tempat parkir motosikal.

Sambil tersenyum, lelaki itu bertanya: "Ini kau punya?".

Aku mengeyakan sambil menjeling motosikal CRF250 yang parkir di sebelahnya.

"Ini Suzuki model lama. Tak banyak nampak atas jalan," katanya dengan nada yang terhibur, sebelum bertanya lagi, "nak ke mana?"

Dengan keluh panjang, aku jawab: "Nak ke Laos, tapi tak boleh lepas sempadan."

“Tahu alternatif lain untuk ke Laos?” aku tanya, masih lagi berharap.

"Ada rumah tumpangan tidak jauh dari simpang depan itu, tuan punya rumah boleh berbahasa Inggeris dan pernah jadi ejen bot untuk ke seberang. Mungkin kau boleh cuba tanya dia," katanya sambil menghidupkan enjin motosikal.

"Lagi pun dah lewat, kau perlukan tempat untuk bermalam."

Dia betul. Sudah pukul 4.30 petang. Ketika ini, yang lebih praktikal untuk difikirkan adalah tempat untuk bermalam sebelum patah balik ke Chiang Mai pagi esok dan susun semula jadual dengan melupakan niat untuk menelusuri jalan di kawasan perbukitan Muang Kasi menuju ke Vang Vieng atau melawat ibu kota Laos, di Vientiane.

Aku hidupkan motor dan pandu perlahan-lahan masuk ke pusat kawalan sempadan. Lagi 20 minit waktu pejabat habis.

Tiba di kompleks imigresen Thailand, hanya tiga orang dalam barisan yang boleh selesai tak sampai 10 minit.

Selepas beberapa saat termenung, aku melangkah ke kaunter imigresen dan serahkan pasport dan dokumen motosikal.

Sebaik melihat dokumen motosikal, pegawai imigresen tunjuk pintu kaca bilik imigresen di seberang jalan dan arahkan untuk ke sana.

Di dalam pejabat, belum pun duduk di kerusi, melihat aku memegang helmet, pegawai imigresen terus tanya, “Berapa cc?”.

“185,” jawabku dengan menggumam, dengan harapan pegawai silap dengar.

“Tak boleh, bawah 250cc!”

978km sebelum itu. Aku tiba di Khao San Road selepas sesat beberapa kali akibat silap masuk simpang di bulatan.

Sebaik turunkan tongkat motosikal, aku disapa seorang lelaki tempatan, lelaki sama yang senyum ketika melihat aku melintas di simpang lampu isyarat sebelumnya.

“Mahu ke mana?”

“Tak pasti,” aku jawab, sedikit terhibur dengan jawapan bodoh sendiri.

“Cari hotel murah untuk bermalam?”

Aku angguk, sambil masih cuba menganalisis situasi. Perjalanan dari Parachuap Kiri Khan ke Bangkok ambil masa lebih lama daripada yang aku jangkakan.

“Aku rasa kau perlu cari hotel yang sediakan tempat parkir untuk motosikal. Tunggu sekejap, aku hubungi kawan aku,” katanya lagi sambil mendail nombor telefon.

Beberapa meter dari tempat aku berdiri, Khao San Road baru saja membuka tirai kehidupan malamnya – yang aku kira sama seperti malam-malam sebelumnya – ratusan warga asing berkeliaran, majoriti adalah backpacker muda yang ke hulu dan ke hilir mencari harga bucket paling murah.

Sementara di ruang udara papan-papan iklan digital menghamburkan imej dan maksud yang meski bertembung dan bercanggah tetap dengan tujuan sama - konsumerisme.

Paradoks yang tidak lagi asing pada gerai-gerai tepi jalan yang meriah dengan segala macam produk dari snek eksotik berupa kala jengking bakar sehinggalah baju-T dengan grafik Banksy.

Tidak jauh di hujung jalan, pemandu-pemandu tuk-tuk berdiri di pinggir jalan menunggu penumpang seterusnya, membawa mereka ke destinasi impian mereka seterusnya.

Selamat datang ke Bangkok! Hasil 20 tahun promosi pelancongan, jalan yang satu masa dulu tak ubah macam mana-mana jalan lain di mana-mana ibu kota, kini menjelma Mekah kepada para backpacker dari seluruh dunia yang singgah untuk beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan ke bandar-bandar dan pulau-pulau di Asia Tenggara.

Berjumpa Ping Pong

Tanpa perlu ditekankan, seperti di mana-mana tempat seumpamanya, ia juga adalah ground-zero untuk penyeluk saku, sindiket penipuan dan tempat pemangsa menunggu warga asing yang tidak buat persiapan. Tidak buat tempahan hotel, misalnya.

“Kawan aku datang sekejap lagi,” kata lelaki yang perkenalkan diri sebagai Ping Pong.

“Kau kerja di sini?” aku tanya, sambil turun dari motosikal.

"Ya, aku ada kerja melukis di sini. Aku nampak kau dari jauh tadi.”

“Oh ya?” aku balas, sedikit ragu-ragu.

"Aku juga suka motosikal. Aku bawa Tenere,” katanya

“Model baru?” soal aku lagi, kali ini dengan nada yang lebih tenang.

“Model lama,” jawabnya, tersenyum.

Dan itu adalah kata kunci yang aku tunggu. Asas Freudian-nya mudah, kalau kau suka motosikal, kau akan kenal orang lain yang suka motosikal, bagaimana mereka akan tersenyum apabila melihat sejenis motosikal model 70-an plat nombor luar yang penuh dengan barang.

Selepas beberapa minit, kawan Ping Pong tiba dan perkenalkan diri sebagai Boom, yang kemudian barulah aku faham, kerja “melukis” yang dimaksudkan Ping Pong adalah melukis plan bangunan dan mereka di sini untuk bengkel arkitektur.

Mereka berbincang sesama sendiri, kemudian menunjukkan aku arah ke sebuah lorong kecil untuk ke hotel bajet berharga 500 baht untuk satu malam.

“Ke Chiang Mai selepas ini?” soal Ping Pong.

Aku angguk. “Chiang Mai, sebelum ke Laos ikut sempadan Chiang Kong-Huai Xai.”

“Ah, aku tak pasti kalau kau boleh lepas..” kata Ping Pong.

“Ya.. aku tahu. Tapi aku mahu cuba nasib. Aku ada bawa surat dari kedutaan. Harap-harap boleh lepas.”

“Tak salah cuba. Tapi ya, aku dengar memang hampir mustahil. Kalau esok malam kau masih ada di sini, hubungi aku, mungkin aku boleh belanja minum sebelum kau ke Chiang Mai,” kata Ping Pong sebelum mengucapkan selamat tinggal.

Ke depan semula, di Chiang Khong. Sejak Mac, kisah-kisah penunggang motosikal bawah 250cc tidak dibenarkan melalui pintu sempadan Thailand-Laos dikongsi di laman sosial dan menjadi topik perbualan di kalangan penggemar kembara motosikal.

Ada yang kata, ia adalah akibat dari kebanjiran backpacker yang menunggang Honda Win mereka dari Vietnam tanpa pendaftaran dan dokumen import yang sah.

Mungkin undang-undang terbaru itu bukan isu besar kerana kebanyakan penggemar kembara motosikal menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Jalan raya bertukar merah

Namun, bagi segelintir - dan kebetulan dalam tulisan ini aku tergolong dari segelintir itu - setelah menunggang hampir 3000km dan hanya perlu menyeberangi jambatan merentasi Sungai Mekong yang memisahkan Chiang Khong di Thailand dan Huai Xai di Laos, ia perkembangan yang agak mengecewakan.

Satu-satunya harapan dan alasan aku untuk mencuba nasib adalah dengan menunjukkan surat dari kedutaan yang aku peroleh sebelumnya.

Namun itu pun bakal sia-sia kerana malam terakhir di Chiang Mai, aku dapat makluman bahawa dengan surat kedutaan sekalipun tidak akan dilayan.

Ketika sudah pun berkira-kira menyewa hotel di Chiang Kong untuk bermalam sebelum pulang ke Chiang Mai semula esok pagi, aku dapati aku sedang perlahan-lahan mengekori kereta pengiring imigresen beberapa meter di hadapan menyeberangai Jambatan Persahabatan Chiang Kong-Huai Xai.

Di hadapan, pemandangan berbukit, sementara di kiri dan kanan Sungai Mekong mengalir bersama dua ribu tahun peradaban manusia.

Beberapa minit lagi matahari akan terbenam. Beberapa saat lagi aku akan berada di Laos.

Selepas lebih 30 minit di dalam pejabat itu dan pada kebanyakan masa aku hanya senyap dan dengar penjelasan mereka, aku tahu hari ini aku akan makan malam di Laos sebaik mendengar kata-kata seorang pegawai di situ: “Okay, next time...”

Pegawai imigresen mengucapkan selamat jalan dan berpesan untuk guna lorong kanan mengikut sistem pemanduan jalan raya Laos.

Meninggalkan pos kawalan terakhir, masuk ke jalan utama, jalan raya bertukar trek berwarna merah yang dipenuhi lubang berbatu.

Di simpang terakhir menuju ke pekan Huai Xai, dalam remang senja dan debu yang diterbangkan oleh lori-lori yang lalu, aku terpandang papan tanda yang menunjukkan Boten, sempadan China yang terletak 235km.

Aku singgah tepi jalan, keluarkan telefon, balas mesej Ping Pong yang sejak tengah hari bertanya sama ada aku berjaya lepas sempadan atau tidak: “Aku sudah di Laos, kawan!”

[Lihat gambar-gambar lagi]

Share