Jangan ikut 'bye-bye' Trump pada Paris


(Dikemaskini )

Pada 6 November 2012, Donald Trump menulis di akaun Twitternya:

“The concept of global warming was created by and for the Chinese in order to make US manufacturing non-competitive.”

(Konsep pemanasan global dicipta oleh China dengan tujuan menjadikan industri pembuatan Amerika Syarikat tidak berdaya saing).

Bagaimanapun sewaktu berkempen jawatan presiden, Trump menyebut kenyataan tersebut hanyalah semata-mata jenaka.

Sikap Trump terhadap sains perubahan iklim diperlihatkan apabila beliau melantik Scott Pruitt sebagai ketua pengarah Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS.

Pada Mei 2017 lalu, Pruitt membuat kenyataan menafikan pelepasan gas karbon dioksida sebagai punca utama yang menyumbang kepada pemanasan bumi yang mengakibatkan masalah perubahan iklim dunia.

Kenyataan penasihat sains Trump ini menolak penemuan saintifik Laporan Panel Antara Kerajaan Untuk Perubahan Iklim (IPCC) 2014. Laporan itu dengan jelas menyebut, aktiviti perindustrian dan pertanian manusia dalam pelepasan gas karbon dioksida (formula kimia dirujuk sebagai CO2) di samping gas-gas rumah hijau lainnya seperti metana menjadi punca perubahan iklim dunia.

Laporan ini berdasarkan penyelidikan dan penilaian saintifik oleh kira-kira 2,000 orang pakar dan ahli sains di seluruh dunia.

IPCC merupakan badan antara bangsa yang menilai sains berkaitan perubahan iklim. Ia ditubuhkan pada tahun 1988 oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia bagi menyediakan para pembuat dasar dengan penilaian berterusan terhadap perubahan iklim, kesan dan risiko masa hadapannya serta pilihan-pilihan untuk menghadapinya.

IPCC merundingkan isu-isu ini dalam Persidangan Iklim PBB – United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCC). IPCC ialah pemenang Anugerah Nobel Keamanan bersama bekas naib presiden AS, Al Gore bagi tahun 2007.
Minggu lalu, di hadapan para penyokongnya di Pittsburgh, Trump mengumumkan Amerika Syarikat (AS) menarik diri dan mengucapkan bye-bye (selamat tinggal) kepada Perjanjian Paris.

Keputusan Presiden Trump untuk AS menarik diri daripada Perjanjian Paris memang telah dijangka. Sebagai presiden AS, beliau melaksanakan mandat para penyokongnya; yang sebenarnya mewakili kepentingan industri bahan bakar fosil (arang batu, petroleum).

Ikat secara perundangan

Perjanjian Paris digariskan dalam kerangka UNFCC dalam sidang di kota Paris, Perancis dan dimeterai oleh hampir 200 buah negara dunia pada Disember 2015. Ia perjanjian yang mengikat secara perundangan.

Setakat hari ini, sebanyak 147 buah negara telah meratifikasi perjanjian ini, termasuklah Malaysia yang mulai berkuat kuasa pada Disember 2016. Ia bermaksud dasar dan peraturan negara akan diselaraskan bersesuaian dengan garis panduan Perjanjian Paris.

Perjanjian Paris menentukan rancangan tindakan sejagat bagi mengelakkan kesan-kesan berbahaya akibat perubahan iklim dengan meletakkan had pemanasan global di bawah dua darjah celcius berbanding suhu sebelum zaman perindustrian. Ia menuntut negara-negara dalam muafakat ini mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida ke udara.

Perjanjian ini juga memperuntukkan negara-negara maju dan kaya untuk menyumbangkan dana tahunan sebanyak 100 bilion dolar AS menjelang 2020 dan jumlah ini akan ditambah lagi setelah 2025.

Keputusan Trump berkenaan Perjanjian Paris tersebut mengenepikan tuntutan dari dalam dan luar AS, bagi mendesak negara itu kekal dalam Perjanjian Paris.

Malahan para saintis AS ikut berdemonstrasi bagi tujuan tersebut dalam himpunan March For Science yang menarik kehadiran ribuan penunjuk perasaan, bersempena sambutan Hari Bumi pada 22 April lalu di Washington.

Dalam sebuah filem pendek berjudul Science in America yang terbit beberapa hari sebelum sambutan Hari Bumi, seorang ahli fizik terkenal AS, Neil deGrasse Tyson mengingatkan kebenaran saintifik merupakan hakikat muktamad tanpa mengira sama ada seseorang itu percaya atau tidak dengan fakta sains tersebut.

Penafian terhadap hakikat muktamad fakta saintifik seperti perubahan iklim menurut Tyson akan menghakis demokrasi.

“Setiap minit seseorang itu dalam penafian ia hanya akan menangguhkan sesuatu penyelesaian politik yang diperlukan.”

Sementara itu, keputusan Trump menarik AS daripada Perjanjian Paris mendapat maklum balas dan kritikan yang meluas.

Misalnya, Elon Musk, pemilik syarikat pengeluar kereta elektrik Tesla menzahirkan kekecewaan beliau dengan meletakkan jawatannya sebagai penasihat ekonomi Presiden Trump.

Azam China, EU

Sementara itu, China dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dalam suatu kenyataan bersama menegaskan iltizam mereka untuk meneruskan pelaksanaan Perjanjian Paris serta mempercepatkan peralihan dunia kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui.

”Tiada siapa yang patut ditinggalkan, tetapi EU dan China telah memutuskan untuk bergerak ke hadapan,” begitu kenyataan tersebut dipetik.

Semasa zaman pentadbiran Presiden Barack Obama, sekitar bulan Jun 2015, duta AS ke Malaysia ketika itu, Joseph Yun bersama para kakitangan kedutaan AS dan anggota keluarga mereka melakukan kempen simbolik bercogan kata ”Go Green- Lah,” dengan berbasikal dalam kayuhan perjalanan sejauh 411km yang memakan masa hampir seminggu bagi menyampaikan pesan penjagaan alam sekitar, masalah pencemaran, perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan gas CO2.

Namun demikian, perkembangan terkini di AS menunjukkan kuasa dunia itu tidak lagi peduli dengan imej wibawa moralnya sebagai ‘pemimpin dunia bebas’ di pentas antarabangsa.

Di Malaysia, kita menggesa kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak terus komited dengan Perjanjian Paris ini dan tidak menurut jejak langkah presiden AS itu untuk keluar daripada Perjanjian Paris.

Sementara itu, parti-parti politik dan calon-calon – BN, Gagasan Sejahtera, Pakatan Harapan, pihak bebas – yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 nanti perlu menjadikan agenda menangani perubahan iklim, penjagaan alam sekitar dan pembangunan mapan sebagai antara tawaran utama dalam manifesto mereka.

Kita hanya ada sebuah planet bumi untuk didiami. Kita semua perlu hidup bersama untuk mengimarahkan bumi ini.

Kita tidak punya banyak masa. Tempoh 50 ke 100 tahun cukup pendek jangka waktunya buat ukuran zaman. Apalagi jika masa itu kita sia-siakan dengan begitu sahaja.

Fikirkan tanpa alam ini, jika bumi tidak dimesrai dengan seadil-adilnya, kita – peradaban manusia hari ini – semua akan pupus; tanpa mengira apa pun negara, wilayah ekonomi, parti politik, agama, kaum, keturunan, darjat, kepercayaan, ideologi, aliran pemikiran, mahu pun gender kita.


RAHMAT HARON seorang seniman 'outsider'.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Share