Inisiatif peti sejuk Ramadan


(Dikemaskini )

Emiriyah Dubai tidak pernah putus memberi kejutan yang merentas kilauan pencakar langit dan gurun gersang. Di sebalik banyak persepsi positif dan negatif, kehidupan di emiriyah yang dihuni hampir 3 juta manusia ini terus menyerlah.

Para penghuni, sama ada Emirati atau pun ekspatriat di UAE amnya, boleh dianggap pemurah dan prihatin mengenai kebajikan sesama sendiri. Malah UAE adalah negara penyumbang dana kebajikan terbesar dunia.

UAE sebagai sebuah negara telah menyumbang kepada 173 negara lain sejumlah AED173 bilion sehingga tahun 2014 sahaja, jumlah yang terus bertambah tahun ke tahun.

Tahun 2015, UAE menyumbang AED32.34 bilion, dari AED22.6 bilion tahun sebelumnya, 2014

Tahun 2017 adalah Tahun Untuk Menyumbang (Year of Giving) bagi UAE.

Kerana itu tidak hairan inisiatif "Ramadan Sharing Fridge" menjadi trending dan popular.

Hanya tahun lalu, inisiatif itu dimulakan oleh dua wanita ekspatriat, Sumayyah Sayed dan Nadia Sarie. Keduanya menyediakan sebuah peti sejuk untuk komuniti sendiri dan menjadi trending, berkembang serta merta.

Terus berkembang dengan lebih 100 peti sejuk (setiap hari bertambah) dan para sukarelawan sepenuh masa berjumlah lebih 25,000 orang tahun ini.

Saya turut menyertai sukarelawan melalui laman Facebook inisiatif tersebut. Ternyata, sambutan yang terus hebat menaikkan semangat untuk berbakti.

Inisiatif murni ini menyerlah semangat kerjasama, keprihatinan untuk setiap orang berganding bahu menyumbang kembali kepada komuniti dengan menyumbang sama ada peti sejuk, makanan, tenaga dan masa untuk memastikan orang ramai terus sihat sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

Bukan sahaja menyumbang kepada ramai yang tidak bernasib baik tetapi juga membina perhubungan dan jambatan sesama manusia dari pelbagai bangsa, agama dan warganegara.

Ada 200 warganegara dari seluruh dunia yang menumpang bumi UAE dan rezeki melimpah memberikan kesyukuran. Mereka yang datang mencari makan dan kehidupan untuk keluarga.

Paling ketara, inisiatif ini telah membina jambatan kemanusiaan antara mereka yang berada dengan komuniti buruh, boleh dikatakan majoriti. Menginsafkan kerana para buruh, walau bangsa, agama dan negara berbeza adalah juga bapa, abang, anak lelaki seseorang dan sememangnya manis untuk berkongsi dengan perantau yang tanpa keluarga, walau sedikit tetapi memberi kegembiraan.

Saya dapat melihat kesan positif yang impaknya menyeluruh, menyentap hati, menambahkan keinsafan bahawa masih ramai manusia yang saling membantu. Mereka yang datang dari pelbagai latar belakang bersatu untuk satu landasan bersama dalam suasana Ramadan yang meriah.

Melupuskan prejudis dan rasisme

Inisiatif ini sudah berdaftar bawah Pertubuhan Bulan Sabit Merah untuk sah bergerak bawah perundangan. Juga sudah ada aplikasi untuk memudahkan sumbangan dan penjadualan sukarelawan.

Sumbangan makanan panas sedia (ready hot meals) tidak diterima kerana tidak sesuai untuk peti sejuk. Minuman seperti air mineral, jus dan soda serta kurma, laban, susu, buahan, sayuran, kacang, biskut dan potato chips antara paling popular.

Operasi adalah 24 jam sehari dan waktu puncak adalah selepas waktu bekerja, ketika para buruh berkejar balik dari tapak pembinaan dan kilang.

Tahun ini juga, lebih banyak sekolah sama menyumbang dan para pelajar menjadi sukarelawan untuk bersama dengan komuniti. Ada sekolah yang menyediakan makanan dan minuman untuk disumbangkan kepada peti sejuk Ramadan.

Penglibatan kanak-kanak memberikan impak kerana ada kala para buruh tersedu melihat sumbangan dari anak-anak kecil, ada yang teringat keluarga di kampung masing-masing.

Kanak-kanak dari pelbagai latar belakang ini juga menyerikan suasana, melupuskan prejudis dan perasaan rasisme.

Salah seorang ekspatriat British yang menyediakan tiga peti sejuk dan menyumbang makanan berkata:

"Untuk ramai buruh, ini bukan semata kita memberi sumbangan kepada mereka, ia lebih kepada ingatan ikhlas untuk mereka. Sekiranya kita berada dalam situasi mereka, tentunya kita berharap ada yang memikirkan mengenai nasib kita!"

Lantas saya semakin sedih dengan pelbagai laporan dan berita dari tanah air mengenai tindakan mereka (terutama ahli parti tertentu) yang semakin menjauhkan orang bukan Islam, juga mencemarkan agama Islam yang membawa keamanan, bukan permusuhan!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share