malaysiakini logo
story-image
ADS

Seluruh alam menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kedatangan bulan Ramadan sebagai hadiah dari Yang Maha Esa buat makhluk ciptaan-Nya. Sudah pasti dalam kecamukan hidup manusia, perlu untuk manusia dipandu dan dilatih semula dalam satu tempoh untuk memperbaharui kehidupan berlandaskan syariat dan rahmat Allah.

Firman Allah dalam al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Sheikh Muhammad Rashid Ridha dalam tafsir Al-Manar telah menjelaskan hikmah besar puasa adalah untuk memberi manfaat kepada kehidupan sesama manusia. Beliau menggariskan dua hikmah besar puasa iaitu pertama untuk memupuk semula sifat rahmah dan kasih sayang kepada golongan lemah dan yang kedua melahirkan kesedaran akan kesamarataan hidup sebagai seorang manusia.

Dalam meniti kehidupan manusia yang penuh penindasan, ketidakadilan, dan diskriminasi kepada golongan lemah, maka perlu kepada satu disiplin untuk membaiki semula perwatakan manusia demi menyejahterakan semula masyarakat dan disiplin tersebut adalah menerusi pensyariatan puasa.

Rasa sayang kepada golongan lemah seperti faqir miskin tidak akan dapat dijiwai dengan hanya melihat kesusahan mereka atau sekadar menghulurkan sumbangan tetapi perlu untuk turut sama dirasai pengalaman berlapar tanpa hidangan makanan. Maka kesedaran tersebut akan meringankan tangan kita untuk bersedekah sebagai simbol memperkasa masyarakat.

Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sedekah itu akan memadamkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api. Hasad akan memakan kebaikan sebagaimana api melahap kayu bakar.” [HR Al Baihaqi]

Dalam hadis ini, selain dosa yang difahami atas urusan Allah di mahkamah Yang Maha Agung nanti, penulis berpandangan simbol kepada menghapuskan dosa ini diibaratkan seperti “meneutralkan” semula kerosakan masyarakat atas dosa yang telah kita lakukan sesama manusia menerusi amalan bersedekah kerana sedekah adalah satu manfaat dan faedahnya akan dinikmati oleh manusia.

Begitu juga dalam konteks kesamarataan sukar untuk difahami melainkan diamalkan menerusi disiplin yang khusus. Umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira kedudukan dan harta atas dasar iman telah berlapar bersama di siang hari dan secara serentak bermula untuk tidak makan dan minum ketika masuk waktu subuh dan hanya makan ketika azan maghrib secara serentak. Inilah satu disiplin yang Allah perintahkan agar kita menyedari semula hakikat kehidupan kita adalah atas paksi kesamarataan.

Maka, itulah yang dimaksudkan sebagai taqwa, iaitu tujuan mengapa Allah hadiahkan puasa kepada hamba-Nya agar kita bertaqwa. Firman Allah dalam Quran :

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (Al-Hujurat: 13)

Prasyarat takwa dan keadilan

Menerusi ketakwaan (rasa takut kepada Allah) yang lahir dari disiplin puasa ini telah mengangkat darjat manusia menjadi paling mulia kerana menerusi disiplin puasa telah menafikan diskriminasi hidup manusia atas dasar warna kulit, pangkat, mahupun kekayaan.

Selain itu, takwa juga telah meletakkan keadilan sebagai prasyarat dalam berurusan sesama manusia. Allah berfirman dalam al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan keadilan karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Al-Ma’idah: 8)

Dalam tafsir Fi Zilal al-Quran karangan As-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, ayat ini merupakan satu perjanjian yang diikat Allah dengan kaum Muslimin untuk memimpin dan menghukum manusia dengan penuh keadilan tanpa terpengaruh dengan sentimen, kasih dan benci, tidak terjejas kepada hubungan kaum kerabat atau keinginan hawa nafsu.

Itulah kemuncak yang amat tinggi untuk didaki dan jiwa manusia tidak dapat mendaki kemuncak pengawalan perasaan ini melainkan apabila ia berinteraksi secara langsung dengan Allah, menegakkan keadilan semata-mata kerana takutkan Allah dan menyedari bahawa mata pengawasan Allah sentiasa memerhati isi hatinya.

Justeru puasa itu memberi manfaat besar kepada manusia yang melahirkan kesedaran kehidupan atas paksi kesamarataan, kasih sayang, dan keadilan dan akhirnya membuahkan kesejahteraan kepada masyarakat. Maka atas sebab itu puasa juga telah dijadikan sebagai salah satu hukuman bagi beberapa kriteria kesalahan sebagai penebus dosa.

Firman Allah:

“..dan barangsiapa membunuh seorang mukmin karena tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh itu), kecuali jika mereka (keluarga terbunuh) bersedekah (menghalalkan). Jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang beriman. Barangsiapa yang tidak memperolehnya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut untuk penerimaan taubat dari pada Allah.” (An-Nisa’: 92)

Ayat ini menerangkan syariat Allah bagi hukuman kepada sesiapa yang telah membunuh tanpa sengaja iaitu memerdekakan seorang hamba, atau membayar sejumlah ganti rugi kepada waris mangsa atau berpuasa dua bulan berturut-turut.

Jika kita meneliti secara tersirat hukum ini pasti kita dapat menghargai rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambanya dan kepada sesama manusia. Pertama dengan hukuman untuk memerdekakan hamba dan membayar ganti rugi kepada waris mangsa, ini gambaran bagaimana Islam sentiasa membela golongan lemah dan menganjurkan sebarang usaha memerdekakan golongan lemah dari belenggu masalah hidup.

Selain itu, menerusi puasa sebagai pilihan hukuman turut menzahirkan sifat sayang Allah. Selain dari mendisiplinkan hambanya yang telah melakukan kesalahan untuk memiliki sifat keadilan, kesamarataan dan kasih sayang kepada yang lemah, Allah berkeinginan untuk hambanya itu memulakan hidup baharu dengan bekalan ganjaran pahala berlipat ganda tanpa batas mengatasi amalan-amalan lain dan bukan bermula dari kosong sebaik keluar dari dosa.

Selamanya memberi harapan

Rasulullah SAW bersabda: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.” Allah berfirman: 'Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku'.” (Bukhari)

Atas rasa sayangnya juga, maka Allah berkeinginan untuk mengangkat semula darjat hambanya yang telah melakukan kesalahan menerusi puasa dengan membawa mereka kepada darjat ketakwaan seperti yang dibahaskan sebelum ini.

Hakikatnya unsur rahmat ini sudah tiada dalam kamus hidup dan sistem hukuman kita hari ini. Pernahkah kita menghukum seseorang yang telah melakukan kesalahan ke atas kita dengan satu bentuk hukuman yang memberi manfaat kepadanya dan orang lain?

Persoalan ini turut diajukan untuk sistem sedia ada yang kita amalkan. Mengapa tidak diwujudkan aktiviti menjana kewangan untuk banduan dalam penjara seperti bercucuk tanam yang hasilnya disedekahkan kepada golongan fakir miskin di luar? Selain dapat memperkasa masyarakat menerusi hukuman, ia juga dapat memulihkan persepsi masyarakat terhadap mereke, justeru memudahkan mereka untuk mendapat tempat di tengah masyarakat bagi memulakan hidup baharu.

Setidak-tidaknya hasil aktiviti tersebut diberikan kepada anak dan isteri mereka sebagai nafkah atau untuk simpanan mereka sendiri supaya mereka keluar dari penjara dalam keadaan berbekal (sedikit wang dan pengalaman) untuk memulakan hidup baharu.

Elemen pemerkasaan manusia menerusi hukuman ini telah diungkapkan dalam al-Quran untuk hukuman lain seperti kafarah melanggar sumpah dengan memberi makan atau pakaian kepada sepuluh orang miskin, atau memerdekakan seorang hamba atau berpuasa tiga hari (Al-Ma’idah:89), kafarah memburu binatang buruan ketika ihram dengan menggantikannya atau memberi makan orang-orang miskin atau berpuasa (Al-Ma’idah: 95), dan kafarah menggauli isteri di siang hari ketika Ramadan dengan memerdekakan hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan kepada 60 orang miskin.

Islam selamanya memberi harapan dan pembelaan kepada golongan lemah, malah sekiranya si lemah sendiri yang melakukan kesalahan, maka dia sendiri akan mendapat pembelaan atas rahmat Allah.

Dalam satu riwayat, telah datang seorang sahabat memberitahu nabi bahawa beliau melanggar pantang-larang Ramadan dengan menggauli isterinya di siang hari. Maka, sebagai kifarah Rasulullah meminta sahabat tersebut membebaskan seorang hamba atau berpuasa selama dua bulan berturut-turut.Namun, sahabat tersebut menginsafi kelemahan untuk menunaikan kedua-dua kifarah tersebut.

Maka, Nabi meminta untuk ditunaikan pilihan kifarah ketiga iaitu dengan memberi makan kepada orang miskin. Sahabat tersebut lantas menyatakan bahawa beliau sendiri adalah seorang yang miskin dan tidak mampu untuk memberi makan kepada orang lain.

Pada ketika itu, terdapat seorang sahabat lain secara kebetulan datang ke masjid membawa makanan dan nabi lantas minta sahabat tersebut untuk mengambil makanan dari sahabat lain tersebut dan diberikan kepada fakir miskin.

Sahabat tersebut mengambil makanan yang diberikan akan tetapi menyatakan bahawa di kampung ini keluarga beliau adalah yang paling miskin dan tiada penduduk lain yang lebih miskin dari keluarganya. Maka Rasulullah SAW meminta sahabat tersebut membawa balik makanan tersebut dan menikmatinya dengan keluarganya.

Sedekahkan Al-Fatihah buat Sheikh Muhammad Rasyid Ridha dan As-Syahid Sayyid Qutb.
 


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen