Kemeriahan Ramadan di UAE


(Dikemaskini )

Begitulah masa berlalu. Ini kali ke-18, saya dan isteri berpuasa di negara tumpangan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Kali kedua tanpa anak-anak yang berada di merata benua.

Bersyukur kerana masih sempat untuk bersama Ramadan. Bulan yang penuh rahmat dan keberkatan. Menjalankan ibadah puasa sebagai kewajipan dalam mencari keredhaan Ilahi.

Ramadan di UAE memang meriah dan menyeronokkan. Sesuatu yang sentiasa dinanti-nantikan. Bukan sahaja untuk beribadah, malah bersosial dalam pengertian kemanusiaan.

Seorang wartawan sebuah majalah dari Malaysia sebulan lalu ada temuramah saya mengenai berhari raya di perantauan untuk edisi khas Syawal. Antara soalan ialah apakah perbezaan beraya di luar negara dan di tanah air.

Jawapan saya, di UAE kami menyambut Ramadan sebulan dan raya hanya sehari.

Saya sengaja memberi jawapan sebegitu kerana kebiasaannya di Malaysia, raya mendahului puasa dari segi sambutan dan persiapan. Secara jenaka, lagu raya kita begitu banyak dan tidak pasti ada lagu puasa.

Seperti mana temuramah itu sendiri, dua bulan sebulan raya, sudah disediakan edisi khas Aidilfitri!

Apapun, sepanjang 18 tahun, sememangnya berpuasa di sini membawa banyak pengalaman, kenangan, kesedaran dan keinsafan dalam pelbagai bentuk dan situasi. Terutama untuk berpuasa bersama keluarga dengan anak-anak yang masih kecil dan membesar.

Tentunya, kawan-kawan seperantauan yang 'bernasib' sama menyuntik 'suasana' tanah air. Berbohonglah kalau dikatakan tidak rindu kepada suasana Ramadan di tanah air. Juadah dan kuah muih tradisional sentiasa diidamkan.

Lapan belas tahun dahulu, tiada Bazar Ramadan di kalangan warga ekspatriat Malaysia. Kami pun tidak ramai jumlahnya waktu itu. Masing-masing menyediakan juadah tradisional untuk dikongsi bersama.

Begitupun, kami sebolehnya mahu berpuasa seperti orang tempatan di sini dalam suasana padang pasir. Tidak rugi malah memberi pengalaman berguna untuk menikmati Ramadan dalam suasana berlainan.

Melihat 18 tahun lalu, Ramadan pertama di UAE menggamit nostalgia. Ada kelucuan di hari pertama Ramadan.

Ada panggilan seorang kawan di sini yang memberitahu satu delegasi rektor dan naib canselor universiti berada di Dubai. Mereka mahu berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Dubai.

Lapang dada

Saya dan isteri berlapang dada dan gembira untuk menerima tiga tetamu yang merupakan tokoh akademik hebat, seperti rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Kamal Hasan (sekarang Tan Sri), naib canselor Universiti Malaya (UM), Prof Anuar Zaini (sekarang Datuk) yang juga bekas pensyarah isteri saya sewaktu belajar di kolej perubatan UM dan Prof Ir Dr Mohd Zulkifli (sekarang Tan Sri).

Kami agak panik juga kerana rumah yang belum 'sedia'. Hidangan makanan pun ala kadar kerana tidak menjangkakan ada tetamu.

Melegakan yang meja makan akhirnya tiba walau setengah jam sebelum berbuka puasa. Itu pun dalam kotak dan perlu dipasang!

Apabila ketiga-tiga tetamu itu tiba, azan berkumandang dan kami berbuka puasa di meja makan baru yang dibeli semata-mata untuk meraikan tetamu. Rezeki para tetamu yang juga pertama kali berbuka puasa di UAE.

Pada hari itu juga, tercatat dalam sejarah peribadi, dalam terpaksa, saya menjadi imam solat kepada tiga tokoh akademik terutama Prof Kamal Hasan, rektor UIA!

Itulah kenangan yang tidak mungkin dilupakan.

Sepanjang Ramadan pertama di UAE itu juga, kami mengeksplorasi 'iftar' di masjid berbeza setiap hari. Pengalaman menarik dalam mendekati masyarakat setempat dan para 'eksptariat', terutama buruh-buruh.

Khemah-khemah dibina di halaman masjid untuk menampung mereka yang berbuka puasa. Badan-badan kebajikan, NGO dan orang-orang perseorangan bersedekah untuk sama mendapat pahala.

Hidangan berbuka disediakan secara terbuka kepada semua, sama ada beragama Islam atau tidak. Hampir semuanya menghidangkan nasi beriani ayam atau nasi beriani kambing. Juadah tradisional di sini.

Saya dapat melihat banyak perbezaan sepanjang 18 tahun lalu dalam cara hidangan iftar. Kini, juadah disediakan dalam kotak-kotak. Lebih mudah untuk diguna dan dibuang.

Dari bulan pertama Ramadan itu juga, paling ketara ialah pembaziran makanan. Sesuatu yang menjadi fenomena di mana-mana, termasuk Malaysia yang kegilaan berbuka puasa secara bufet menghasilkan lebih banyak pembaziran.

Pada tahun ini, awal lagi pihak media tempatan di sini mengingatkan mengenai pembaziran makanan dalam bulan Ramadan. Statistik pembaziran yang menunjukkan peningkatan saban tahun menunjukkan tahap kesedaran masih tidak dihayati.

Boleh dikatakan, warga Emirati adalah antara yang paling murah hati dalam bersedekah di dunia. Kerana itu, puratanya, hidangan berbuka puasa di masjid-masjid bukan sahaja lazat, tetapi berlebihan.

Semoga Ramadan kali ini memberi keberkatan kepada semua, terutama negara kita yang terus dilanda pelbagai skandal seperti 1MDB, SRC, FGV dan lain-lain.

Buat kami di perantauan, Ramadan tetap meriah dan menyeronokkan!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share