Psikik Melayu dikepong


(Dikemaskini )

Parti Islam PAS selesai dengan Muktamar ke-63 di Alor Setar. Salah satu usul yang diterima oleh muktamar tanpa perbincangan ialah meminda Perlembagaan Malaysia. Pindaan ini bertujuan untuk memastikan hanya warga Islam (baca Melayu) sahaja yang boleh menjadi perdana menteri.

Apa yang tersirat dari usul ini?

Usul ini tidak menjadi “hu hah hu hah” dan heboh seperti RUU355 tetapi ia membawa makna dan implikasi yang mendalam terhadap apa yang kita semua kenali sebagai Malaysia. Saya cukup yakin usul PAS ini juga adalah manifestasi daripada psikik Bani Melayu dalam konteks persoalan nasional.

Pada hemat saya usul ini adalah benteng pertahanan garis belakang dari parti PAS. Atau lebih tepat lagi usul ini bertujuan sebagai langkah pertahanan berjangka panjang. Apa yang ingin dipertahankan oleh PAS ialah hegemoni Ketuanan Melayu.

Mungkin ada yang bertanya - bukankah konsep ketuanan Melayu ini milik parti United Malays National Organisation. Bukankah PAS ini parti Islam yang tidak berkiblatkan bangsa-bangsa.

Perlembagaan Parti Islam tidak berkiblatkan bangsa-bangsa. Parti ini dibuka kepada sesiapa sahaja yang beragama Islam. Tetapi suasana politik dalaman dan luaran telah menjadikan parti Islam ini mengambil garis baru yang asasnya ialah psikik Melayu yang telah lama mengenap dan terpendam dalam sanubari anggota-anggota PAS.

Kebelakangan ini telah wujud garis pertemuan antara parti Islam dengan parti United Malaya National Organisation. Parti PAS dengan jubah Islamnya kini mendakap dan menyokong hegemoni ketuanan Melayu. Dalam masa yang sama parti United Malays National Organisation pula telah mula berwuduk untuk bersama sebaris dengan PAS.

Serangan PAS terhadap parti DAP adalah bukti jelas psikik Melayu yang terpendam dalam PAS dipergunakan oleh pemimpin parti Islam dalam usaha mencari pengaruh dan menabung kuasa.

Tidak tanduk parti Islam ini adalah jawapan Bani Melayu terhadap yang lain. Ini adalah manifestasi psikik Melayu yang merasa dirinya sedang dikepung.

Melayu merasa dikepung atau terkepung?

Dikepung atau terkepung memiliki nuansa perang. Dikepung bermakna dalam keadaan kurang selamat. Soldadu Perancis di Vietnam dikepong oleh gerila Vietcong di wilayah Dien Bien Phu pada tahun 1954. Dari kepungan ini mereka diserang dan akhirnya kuasa kolonial Perancis mengaku kalah. Tentera Amerika di Saigon dikepong oleh gerila Ho Chin Minh pada tahun 1975 dan akhirnya mengaku kalah.

Dikepong dalam konteks persoalan nasional yang saya bincangkan ini memiliki dua jalur. Jalur pertama Bani Melayu dikepong oleh United Malays National Organisation. Pengepungan ini dilakukan secara licik, secara tersusun dan ada pengepungan yang dilembagakan.

Apa yang dikepong ialah minda dan fikrah Bani Melayu. United Malays National Organisation tidak akan membenarkan fikrah dan minda Bani Melayu menjalar bebas. Fikrah Bani Melayu wajib disimpai dan dibonsaikan.

Menanam ketakutan

Fikrah Bani Melayu yang bonsai dan bantut adalah wilayah yang subur untuk parti ketuanan Melayu Melayu ini menanamkan ketakutan. Ketakutan ini adalah sebahagian daripada unsur psikik Melayu. Apa yang menakutkan fikrah Bani Melayu ialah yang yain. Yang lain ialah Bani Cina. Bani Melayu terus menerus ditakut-takutkan dengan ‘hantu Cina’.

Dengan bijak dan tersusun United Malays National Organisation telah menggunakan babak-babak sejarah Tanah Melayu yang bersangkutan dengan yang lain. Babak-babak ini diulang cetak dan ulang sebar dalam usaha untuk menakutkan Bani Melayu.

Contohnya, babak kemasukan Bani Cina dan India ke Tanah Melayu diulang sebar tanpa memberikan satu analisa tuntas. Sesekali terpancut ucapan pemimpin parti Ketuanan Melayu ini menuduh parti Malaysian Chinese Association (MCA) sebagai ‘tidak berterima kasih’. Atau kisah-kisah ‘selendang merah’ atau kesah ‘ parang panjang’ terus dimitoskan sehingga menjadi sebahagian daripada psikik Melayu.

Hingga ke hari ini tidak ada pula satu kajian ilmiah yang dapat memberi satu cadangan jalan penyelesaian permasalahan nasional.

Parti United Malays National Organisation terus menggunakan babak-babak sejarah ini sebagai taktik mengepong fikrah Bani Melayu. The other/ yang lain menjadi senjata yang amat mujarab untuk memagar minda dan fikrah Bani Melayu.

Jalur kedua dalam usaha pengepungan ini ialah dengan memastikan Bani Melayu terus bergantung dengan United Malays National Organisation. Pergantungan utama ialah ekonomi. Bani Melayu yang ekonominya tidak semaju ekonomi moden diberi nafas agar terus bergantung dengan United Malaya National Organisation.

Parti Ketuanan Melayu ini dikatakan sedang gila babi berusaha untuk menambah baik ekonomi Bani Melayu. Tanpa parti United Malays National Organisation Bani Melayu yang tercicir ekonominya akan terus tercorot akan hilang dari bumi ini.

Fikrah Bani Melayu yang sudah dikepong kini menjadi bonsai sehinggakan tidak lagi dapat memiliki minda yang rasional. Bani Melayu menjadi tidak rasional apabila merasa takut. Bani Melayu dalam ketakutan dan merasakan diri mereka akan ditenggelami oleh Bani Cina.

Meminda Perlembagaan Malaysia untuk memastikan hanya Melayu/Islam sahaja yang boleh menjadi perdana menteri adalah hasil daripada pengepungan dan pergantungan ini. Secara tidak rasional Bani Melayu yang jumlah lebih ramai dari Bani Cina atau India tetapi merasa takut kepada kumpulan minoriti.

Kebonsaian ini telah menjadikan kumpulan majoriti takut kepada kumpulan minoriti. Ini adalah sebahagian dari ciri, pola dan watak psikik Melayu.

Parti United Malays National Organisation telah mengambil kesempatan melalui psikik ketakutan Bani Melayu ini. Ketakutan terhadap Bani Cina ini telah menjadikan Bani Melayu bebal dan tidak memiliki fikrah yang bebas terbuka.

Sayugia dingatkan bahawa mengambil kesempatan dari psikik ketakutan Bani Melayu ini bukan hanya dieksploit oleh United Malays National Organisation sahaja. Fikrah yang bongsai ini amat-amat disukai oleh para tauke dan cukong. United Malays National Organisation mengambil peluang meraih sokongan politik daripada psikik ketakutan Bani Melayu. Manakala dari parti MCA dan para cukong mereka meraih keuntungan ekonomi.

MCA lebih licik

Kalau parti DAP mahu mewujudkan Malaysian Malaysia, parti MCA ini lebih licik. Ia tidak menganggu gugat sentimen Bani Melayu. Parti ini amat gembira sekali jika suasana yang wujud seperti hari ini terus wujud sampai kiamat.

Parti cukong ini juga tidak mahu fikrah Bani Melayu bebas merdeka. Parti MCA dan para cukong sentiasa mahu Bani Melayu bonsai dan bodoh. Dalam kebodohan dan kebebalan Bani Melayu ini maka para cukong boleh berkenduri-kendara merompak dan menjarah tanah-tanah milik Bani Melayu.

Lihatlah sahaja bagaimana para cukong yang diwakili oleh MCA telah mengubah rupa bentuk kota dan pekan Melayu. Saya telah menimbulkan tentang Bangsar South atau Gombak East. Ini hanyalah manifestasi dalam usaha untuk mengubah sejarah, tradisi dan rupa bentuk Tanah Melayu. Ini dilakukan dengan licik sehinggakan Bani Melayu yang fikrahnya telah bongsai lagi takut tidak lagi memiliki kesedaran nasional bahawa tanah air mereka sedang digadai.

Saya cukup yakin parti MCA dan para cukong ini amat-amat bergembira dengan keadaan yang sedang wujud sekarang. Parti MCA dan para cukong malah yang lain juga amat gembira melihat Bani Melayu dibungkus oleh psiskik takut dan terkepung. Kepimpinan Bani Melayu pula bodoh dan senang dirasuah.

Mari kita putar ke belakang seketika. Lihat kembali zaman kerajaan Mahathir menjadi perdana menteri. Pada ketika itu tanah Keretapi Tanah Melayu di Tanjung Pagar Singapura tidak terjual kepada Lee Kuan Yew walau pun berkali-kali dilamar. Masuk sahaja Najib Rosmah, dengan sekelip mata sahaja tanah KTM ini terus hilang lesap. Apa maknanya ini?

Ini maknanya para Lee Kuan Yew , para cukong, para tauke dan juga para penyokong MCA amat-amat gembira jika pemimpin Melayu ini bebal, bodoh, bermasalah dan korup. Lagi korup pemimpin United Malays National Organisation, lagi besar kenduri para cukong.

Wajib juga diumumkan bukan sahaja pemimpin politik korup sahaja yang disanjung oleh para cukong, malah para pegawai Bani Melayu dalam semua jabatan kerajaan yang korup turut sama dirayakan oleh para cukong.

Bukti yang amat jelas baru berlaku. Ini dengan berita SPRM menangkap seorang YB yang juga exco tanah kerajaan Johor. YB ini telah lama dirayakan oleh para cukong kerana peranannya mengubah dan menjual tanah milik Bani Melayu kepada Bani Cina.

Ini bukan labun Hishamuddin Rais. Ini berita dan fakta dari mahkamah Johor Bahru. Hakikatnya lagi korup pemimpin Melayu itu lagi dirayakan oleh para cukong. Lagi bodoh pemimpin Melayu itu lagi gembira sambutan dari yang lain.

Tertangkapnya YB dari Johor ini telah membuka kitab yang maha luas. Kitab ini ialah kitab Forest City di Johor. Sekali pandang ia hanyalah ‘real estate’ atau ‘jual beli hartanah’. Tetapi di Malaysia ini jual beli hartanah ini memiliki implikasi politik yang amat amat besar.

Malah Forest City hanyalah lubang kecil yang akan memecahkan tembok besar. Forest City hanyalah lubang jarum. Walau pun Bani Cina dari China Merah yang akan datang hanya berjumlah 700,000 orang, tetapi yakinlah ini ialah lulus jarum lulus kelindan.

Forest City adalah permulaan awal. Dalam masa yang tidak lama seluruh Tanah Melayu ini akan tergadai kepada Bani Cina. Kali ini Bani Cina datang dari China Merah.

Sejarah berulang kembali. Dulu Bani Cina dibawa oleh Inggeris. Kedatangan mereka ditentang oleh para nasionalis Melayu. Hari ini Bani Cina meloroh masuk kerana dijemput oleh Parti ketuanan Melayu.

Apa akan terjadi? Apakah minda Bani Melayu yang dikepong akan pecah. Apa akan terjadi dengan persoalan nasional yang masih lagi belum selesai. Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share