Menikmati kebahagiaan di kota asing

Mohd Fudzail Mohd Nor
(Dikemaskini )

Hari ini saya pergi ke pusat setempat kerajaan Dubai untuk urusan mendaftar nama syarikat yang ingin ditubuhkan. Pertama kali tahun ini berurusan dengan penguasa jabatan kerajaan Dubai.

Sebenarnya kali ketiga kalau mengikut urusan sebelumnya yang dilakukan oleh pegawai perhubungan awam (PRO) yang gagal mendaftar nama syarikat tersebut kerana ditolak pihak Jabatan Pembangunan Ekonomi (DED) Dubai.

Alasan penolakan adalah kerana nama yang dipohon itu tidak mempunyai apa-apa makna walau nama syarikat berkenaan telah didaftar di New Zealand dan Malaysia. Urusan pertama adalah secara atas talian. Setelah ditolak barulah ke DED untuk membuat susulan. Kalau diterima, tidak perlu.

Dua kali PRO merayu dan akhirnya saya sendiri terpaksa mengadap pihak berkuasa.

Terasa ada perubahan besar pada bangunan yang menempatkan mahkamah, DED, Tas'heel di bawah Kementerian Buruh yang merangkumi imigresen, jabatan ksihatan selain Lembaga Pendaftaran Kad Emirates, Majlis Banda Raya Dubai, syarikat telekom, air dan elektrik.

Bermakna semua urusan buruh dan pendaftaran syarikat boleh dibuat di bawah satu bumbung. Ada kedai-kedai menaip dan Internet, urusan bisnes, selain masjid dan kafe yang selesa.

Begitulah taraf peningkatan semenjak setahun lalu, iaitu kali terakhir saya berurusan ditempat yang sama. Terasa perubahan lebih ceria walaupun gawat suasana dengan jumlah manusia yang berurusan.

Kali ini, butang Happiness tersemat pada setiap tanda tag nama kakitangan yang bertugas. Senyuman. Sewaktu saya beratur untuk mengambil nombor di kaunter, kakitangan wanita Emirati berwajah ceria. Senyum. Ramah. Bertanya apakah urusan saya dengan lembut.

Selepas saya menerangkan tujuan, kakitangan itu segera mengambil nombor dan meminta saya menanti.

Lounge menanti seperti hotel, dengan sofa gebu bersama minuman disediakan dua pelayan. Kurma juga dihidangkan. Ada akhbar dan majalah. Ada wi-fi. Ada skrin televisyen. Dan skrin nombor giliran ada di mana-mana. Ada 70 kaunter semuanya. Memang banyak.

Selesa. Seseorang boleh meneruskan kerja sambil menanti. Memang ramai yang mahu membuka syarikat. Nombor saya sahaja sudah 4 angka, itupun saya datang jam 11 pagi!

Beberapa minit kemudian, nombor saya terpampang dengan suara memanggil. Seorang kakitangan muda Emirati. Wajah ceria. Tersenyum.  Bertanya dengan nada lembut.

Dia terdiam

Setelah menerangkan 'masalah' yang saya hadapi, staf itu berkata, dia tidak dapat memberi apa-apa keputusan dan saya perlu bertemu bosnya untuk tindakan lanjut.

Dia membawa saya mencari bosnya. Mulanya tidak kelihatan. Dia minta saya menanti.

Rupa-rupanya, 'bos' itu bergerak di sekitar ruang lounge. Tanpa bilik. Setiap urusan dibuat di mana-mana kalau perlu. Ramai yang beratur dan dia berdiri membuat keputusan apa sahaja atau menandatangani.

Apabila tiba giliran saya bertemunya, bos sekali lagi bertanya. Katanya, memang kami sudah memeriksa, nama syarikat itu tiada makna dan tidak boleh diluluskan. Bermakna, dia tahu.

Saya merayu dengan berkata, nama itu dipilih sebab sifatnya sebagai rangkaian syarikat yang sudah ada di banyak negara. Ianya singkatan seperti IBM. Ia mengenai Jenama. Dia terdiam.

"Apa bukti?"

Saya tunjukan pendaftaran syarikat di New Zealand dan Malaysia.

"OK! Esok saya akan bincang dengan pihak pengurusan DED sama ada meluluskan atau tidak!" Dia pun meminta saya membuat salinan yang perlu dan menyerahkan kepadanya.

Tidak sampai 4 minit!

Wow! Saya teruja. Bahagia. Happy.

Dan saya secara sukarela menekan butang “happiness” sebagai maklum balas urusan.

Kalau begitulah urusannya, matlamat kerajaan Dubai maju menjadi bandar raya paling pintar dan bandar raya paling membahagiakan di dunia pada 2021 memang boleh tercapai.

Selain itu kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga membawa wawasan 2021 iaitu mahu membahagiakan penduduknya.

Dubai tidak mahu menjadi negara maju berpendapatan tinggi dengan Transformasi tahun 50, mungkin kerana sudah mencapainya.

Dubai dan UAE mahu berada setingkat lebih tinggi - negara bestarii dan bahagia!

Tahun lepas, kerajaan UAE - perdana menterinya ialah Raja Dubai, Sheikh Mohamed Rashid Al  Maktoum - telah melantik Menteri Kebahagiaan pertama di dunia. Jawatan itu diserahkan kepada seorang wanita, Ohoud Al Roumi (gambar) yang berusia 29 tahun!

Jabatan kerajaan Dubai juga dibuka dari jam 8 pagi hingga ke 8 malam, Ahad ke Khamis, untuk pelbagai urusan termasuk mahkamah.

Tidak perlu tutup dan berhenti 10 minit untuk solat Maghrib!

Pengalaman hari ini merangkum kehidupan saya di Dubai semenjak tahun 2000 dahulu.

Ya, saya sekeluarga berbahagia untuk menumpang di negara yang 90 peratus penduduknya orang luar dari lebih 200 negara dunia. Apalagi menjelang 2021, ia bakal menjadi kota paling bahagia di dunia.

Mungkin kebahagiaan itu dapat dinikmati kerana urusan dan transformasi kerajaan dibuat oleh profesional, bukan politikus cari makan!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Dia penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share