Dari mana datangnya psikik Melayu?


(Dikemaskini )

Pada 3 Febuari 2017, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan peguam negara tentang langkah Malaysia memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dalam kes Pulau Batu Puteh.

Mahkamah Antarabangsa (ICJ) ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1945 sesudah Perang Dunia Kedua. Mahkamah ini bertempat di kota Den Haque Belanda.

Pulau Batu Puteh ini terletak di bahagian Selatan Johor antara pertemuan Selat Tebrau dengan Laut China Selatan, Melaka. Belanda memanggil pulau ini Pedra Branca – Batu Puteh. Pulau ini dari zaman berzaman adalah sebahagian daripada Tanah Melayu.

Pada 23 Mei 2008, pulau ini telah diberikan kepada Singapura mengikut keputusan Mahkamah Antarabangsa.

Ibnu Sina (908-1037), ahli fikir Parsi telah menunjukkan bahawa semua ilmu pengetahuan, semua yang berlaku, apa sahaja terjadi pasti ada sebab. Sesuatu perkara itu tidak wujud dan tidak mungkin difahami jika tidak diketahui sebab yang menyebabkan sesuatu perkara itu berlaku.

Apakah sebab yang menyebabkan Pulau Batu Puteh diambil oleh Singapura? Ini menjadi persoalan nasional.

Saya menimbulkan berita Pulau Batu Puteh ini kerana inilah salah satu dari contoh yang amat jelas punca dan sebab musabab dari mana datangnya psikik Melayu dan konteks persoalan nasional.

Minggu lalu saya menulis: Psikik ini bersangkutan dengan fikrah, minda. Ia di luar dunia yang kita pegang, yang kita cium dan yang kita rasa. Psikik ini tidak berbentuk fizikal. Ia roh, jiwa, perasaan dan pandangan dunia.

Psikik Melayu ini bukan wujud dan dilahirkan dalam sehari. Psikik Melayu ini adalah sejarah dan pandangan dunia Bani Melayu yang bertambun dan bertambah dari generasi ke generasi. Psikik ini bukan seperti istilah ekonomi cetiris paribus – sama dan tidak berubah-ubah. Psikik Melayu berubah dengan zaman dan masa. Pandangan dunia Melayu berubah-ubah.

Yakinlah ketika Benggali Putih de Sequeira datang ke Melaka pada tahun 1509, atau ketika Belanda datang pada tahun 1641, pandangan dan psikik Melayu terhadap yang lain ini berbeza-beza. Juga ketika armada Laksamana Chen Ho datang ke Melaka pada tahun 1456 atau ketika Puteri Hang Li Po datang, psikik Melayu terhadap Bani Cina tidak sama dengan psikik Melayu memandang Bani Cina hari ini.

Psikik berubah dengan masa, suasana dan iklim politik. Iklim politik akan berubah selari dengan iklim ekonomi. Wajib disedari bahawa panglima dan jurumudi kehidupan ialah ekonomi.

Untuk terus mendalami pemahaman kita tentang psikik Melayu, mari kita kembali ulang lihat projek Malayan Union. Projek ini telah dijaja Inggeris pada tahun 1946 sebagai taktik untuk meneruskan penjarahan oleh kuasa kolonial ke Tanah Melayu sesudah Perang Dunia Kedua.

Dalam projek Malayan Union ini, Inggeris mahu Singapura dikeluarkan dari Tanah Melayu. Ini telah mendapat tentangan daripada gerakan nasionalis kiri dan gerakan Melayu yang berpayung bawah United Malays National Organisation.

'Gempak' di hilir, menuai di hulu

Lihat apa yang terjadi apabila Inggeris mengundurkan diri pada tahun 1957. Raja dan sultan Melayu tetap wujud tetapi pulau Singapura telah tidak ikut bersama, telah dikeluarkan dari ibunda Tanah Melayu. Ini strategi licik Inggeris.

Inggeris membuat bising dan 'gempak' di hilir dan mengapi-apikan perkara tidak penting, kemudian menuai di hulu. Singapura - pusat ekonomi dan ketenteraan - terus bawah Inggeris adalah lebih strategik dan penting dari memelihara sembilan raja dan sultan Melayu.

Maknanya pada tahun 1957, sebahagian dari projek Malayan Union telah berjaya dilaksanakan oleh Inggeris dengan terpisahnya Singapura.

Bani Melayu di Singapura dan semenanjung hanya memandang pembelotan dan penghinaan yang sedang berlaku. Bani Melayu melihat bagaimana Tanah Melayu telah dipecahkan sekali lagi.

Pulau Singapura yang terpisah dari Tanah Melayu mempunyai impak yang amat besar kepada psikik Melayu. Ini adalah contoh besar punca psikik dan perasaan Melayu yang tidak yakin dan tidak mahu menerima yang lain hingga ke hari ini.

Pulau Singapura yang terkeluar dari Tanah Melayu pada tahun 1957 ini sama seperti Perjanjian Pangkor 1874, Perjanjian Anglo-Belanda 1824 dan Anglo-Thai 1909. Semua perjanjian ini telah dipaksakan kepada Bani Melayu. Dengan kekuatan senjata kuasa politik Bani Melayu telah ditundukkan.

Yakinlah hingga ke hari ini rancangan jahat Inggeris dan pembelotan, yang bersetuju mengeluarkan Singapura, tidak terlepas daripada pandangan Bani Melayu. Rata-rata Bani Melayu di semenanjung dan Singapura menolak rancangan British ini.

Untuk rakaman sejarah Parti Komunis Malaya (PKM), Parti Buruh, Parti Rakyat dan juga Parti Islam yang nama asalnya PMIP (Pan Malayan Islamic Party) tidak menerima pemisahan Singapura pada tahun 1957. Dalam perlembagaan mereka - parti-parti politik ini masih lagi menganggap Singapura sebagai sebahagian daripada Tanah Melayu.

Kepada parti-parti ini, Malaya itu bermakna semenanjung, termasuk Singapura. Ini fakta sejarah, bukan fakta yang dibuat-buat oleh Hishamudddin Rais.

Wajib disedari bahawa PKM, Parti Buruh, Parti Rakyat dan PMIP - pada tahun- tahun 40-an hingga 60-an memiliki pengaruh yang amat-amat luas. Parti-parti dan gerakan merekalah yang menjadi tulang belakang Tanah Melayu. Merekalah yang mula memekikkan merdeka. Pemimpin dan kader parti-parti inilah yang berkempen ke hulu ke hilir dan bertanggungjawab melahirkan konsep Melayu. Justeru mewujudkan psikik Melayu.

Parti-parti ini dilihat sebagai musuh oleh Inggeris. Kuasa kolonial memburu, membunuh dan memenjarakan pemimpin dan kader dari parti-parti ini. Sesudah Inggeris berundur, budak suruhan Inggeris pula menindas mereka. Tapi peranan besar mereka mewujudkan konsep Melayu dan psikik Melayu terus tidak pernah padam-padam.

Apabila Singapura terpisah, maka pulau ini dilihat telah menjadi wilayah asing. Singapura dilihat telah menjadi milik orang lain. Ini terbenam dalam psikik Melayu hingga ke hari ini. Singapura dengan jelas dan terang dilihat telah diambil oleh oleh Bani Cina.

Pengulangan sejarah

Jika Ibnu Sina mahukan sebab musabab kenapa Bani Melayu memiliki was-was dan rasa kurang yakin dengan yang lain, maka sebab musabab yang terpahat begitu lama dalam psikik Melayu ialah pengalaman tergadainya Singapura.

Justeru kes Pulau Batu Puteh ini hanyalah pengulangan sejarah. Malah kes Batu Puteh ini wajib dilihat sebagai nota kaki untuk membincangkan sebab musabab dan asal usul kemunculan psikik Melayu yang wujud pada hari ini.

Wajib saya rakamkan juga tentang satu lagi projek Inggeris yang diberi nama Malaysia. Projek ini dikatakan sambungan kepada projek Malayan Union. Projek ini adalah taktik dan strategi Inggeris untuk terus menjarah Bumi Melayu dalam suasana gerakan nasionalis sedang membara terutama dari Indonesia bawah pimpinan Bung Karno yang mendapat sokongan padu dari Parti Komunis Indonesia (PKI).

Wajib diberitahu, sebelum pembunuhan beramai-ramai tahun 1965 oleh CIA dan Jeneral Suharto, PKI adalah parti komunis yang terbesar dalam dunia di luar blok sosialis Rusia dan China.

Wajib juga saya timbulkan bahawa projek ini juga timbul dalam konteks persoalan nasional yang belum selesai. Sebelum projek ini wujud, telah ada ura-ura dan suara yang melaungkan konsep Melayu Raya. Konsep Melayu Raya ini wujud ketika gerakan nasionalis berjuang di Tanah Melayu dan di Indonesia.

Pada zaman perjuangan nasionalis menuntut merdeka, sama ada di Indonesia atau di Tanah Melayu, konsep pemisahan dua negara ini masih kabur. Justeru kita akan terbaca nama seperti Mokhtarudin Lasso, Ibrahim Yacob, Shamsiah Fakeh, Tan Melaka. Nama mereka muncul di Singapura, muncul di Jakarta , muncul di Medan atau muncul di Pulau Pinang misalnya. Ketika inilah konsep Melayu Raya ditimbulkan. Melayu Raya ini ialah perserikatan Indonesia dengan Tanah Melayu termasuk Kalimantan Utara. Kalimantan Utara ini adalah istilah kaum nasionalis Melayu pada ketika itu. Kalimantan Utara adalah wilayah Sabah, Berunai dan Sarawak.

Psikik Melayu terhadap hilangnya pulau Singapura itu tidak terpadam. Babak babak sejarah terus berubah. Bani Melayu di Singapura menjadi orang lain. Bani Melayu di Singapura dilihat oleh Bani Melayu di semenanjung sama seperti warga Palestin di Gaza.

Rasa tidak puas hati Bani Melayu kerana Singapura tergadai dalam dilihat dengan adanya kocakan dalam United Malays National Organisation sendiri. Kita membaca sejarah bagaimana Hasnul Hadi, setiausaha politik Tengku Abdul Rahman, perdana menteri telah meletakkan jawatan dan menyertai Parti Rakyat. Ini kerana tidak puas dengan dasar Tunku yang didakwa amat setia kepada Inggeris.

Untuk memadamkan api antipenjajah dan api anti budak suruhan kuasa kolonial, Inggeris menimbulkan projek neokoloni. Kali ini hendak dimasukkan Sabah, Sarawak dan Brunei.

Wajib disedari, salah satu dari hujah ketika United Malays National Organisation menjual projek ini ke kampung-kampung adalah untuk mengimbangi Bani Cina yang terlalu ramai. Sabah, Sarawak dan Brunei masuk bersama kerana di sini semuanya Bani Melayu yang boleh menenggelamkan angka Bani Cina dari Singapura. Maka jelas sekali lagi yang lain telah menjadi sebab musabab wujudnya Malaysia.

Wajib dirakamkan di sini, Parti Komunis Malaya, Parti Rakyat, Parti Buruh dan PMIP, semuanya menentang Malaysia. Kesemua parti-parti ini tidak bersetuju dengan kemasukan Singapura bersama ke dalam gagasan Malaysia.

Parti-parti ini telah berhujah bahawa Singapura adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Singapura tidak pernah terpisah dari Tanah Melayu. Konsep Merdeka ketika itu, untuk parti-parti ini, hanyalah projek neokolonial Inggeris untuk terus menjarah Tanah Melayu.

Jelas babak babak politik yang saya tuliskan ini semuanya berlatarkan persoalan nasional, berlatarkan kemasukan yang lain ke badan politik Bani Melayu. Keadaan bertambah rumit apabila ramai pemimpin parti politik ditangkap bawah ISA kerana menentang penubuhan Malaysia.

Siapa yang ditangkap? Apa terjadi dengan Singapura. Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

#}