malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Minggu lalu saya telah memulakan mukadimah tentang persoalan nasional. Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya apakah bendanya persoalan nasional ini.

Untuk sambungan, minggu ini saya paparkan kembali mukadimah minggu lalu:

Tulisan ini adalah mukadimah tentang keracunan negara. Mukadimah tentang tembok beracun yang selama ini menggagalkan garis tepat tamadun bangsa di Tanah Melayu.

Saya menggunakan istilah Tanah Melayu kerana pada hemat saya inilah agenda utama yang ingin saya rungkai secara tuntas. Perkara yang ingin saya rungkai ialah perkara berkaitan tanah dan perkara berkaitan Melayu.Wacana yang ingin saya buka ialah agenda tanah dan agenda Melayu.

Saya wajib memberikan satu latar yang maha luas untuk membuka wacana yang saya yakin amat-amat penting.

Persoalan nasional ini memang telah lama bermain dalam fikrah. Tetapi akhir-akhiri ini ia terkumpul dalam tasik yang luas dan hanya menunggu masa untuk meledak pecah.

Mauduk fikrah saya telah memungut pelbagai kisah, pelbagai babak terkini dan babak-babak yang belum begitu jauh tertinggal untuk dilupakan.

Contohnya, pembunuhan Altantuya dan Razak Baginda yang dibebaskan tanpa mahkamah menuntut diulang bicara.

Pembunuhan Kevin Morais dan pembocoran maklumat Sarawak Report tentang bagaimana dikatakan Kevin ini terlibat dalam usaha untuk mendakwa Najib.

Berita dunia tentang duit RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun peribadi Najib. Juga berita duit yang dikatakan telah dirembat dari syarikat SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Semua babak-babak ini terkumpul dalam naratif sejarah tanah air. Kisah dan berita-berita ini semuanya menimbulkan satu persoalan hakiki.

Soalan hakiki ini yang saya tanyakan kepada diri saya sendiri: Apakah Bani Melayu telah hilang kompas moralnya? Apakah Bani Melayu telah gagal melihat yang benar dan yang salah? Apakah Bani Melayu telah meninggalkan amar makruf nahi mungkar - ajaran agama mereka.

Lalu saya belayar jauh untuk mencari jawapan. Belayar jauh untuk bertemu dengan sebab musabab. Akhirnya saya merumuskan, di belakang semua ini ialah persoalan nasional. Biar saya rungkai lagi sejelas mungkin apa yang saya maksudkan dengan persoalan nasional.

Najib dikaitkan dalam kes bunuh. Najib dikaitkan dalam kes mencuri duit tetapi Bani Melayu masih menerima Najib sebagai pemimpin mereka. Najib masih menjadi perdana menteri. Ini pada hemat saya adalah manifestasi persoalan nasional.

Ahli parti United Malays National Organisation yang berslogankan “Hidup Melayu” secara sedar masih bersetuju untuk melantik Najib sebagai presiden parti. Pada hemat saya sikap dan tindakan ahli Parti Ketuanan Melayu ini adalah manifestasi persoalan nasional.

Mahathir Muhamad turun ke di wilayah Iskandar Johor. Mahathir memberi kritikan terhadap pembangunan di wilayah ini. Kemudian di tepi jalan, Mahathir telah berdiri bergambar di papan iklan “hartanah hak milik kekal”. Dari teori semiotik, gambar Mahathir ini adalah manifestasi persoalan nasional.

Pakatan Rakyat, kini Pakatan Harapan, telah membuat kajian tentang betapa perlunya mereka menambah tiga ke lima peratus sokongan pengundi Melayu untuk ke Putrajaya. Ahli parti disaran oleh pucuk pimpinan agar bekerja keras untuk mencari sokongan Melayu. Apa maknanya mencari sokongan Melayu ini? Pada hemat saya mencari sokongan Melayu adalah manifestasi persoalan nasional.

Ingat atau tidak projek 16 September 2008 sesudah PRU12 yang dilancarkan oleh Anwar Ibrahim? Sila suburkan ingatan tentang bagaimana Ustaz Ahmad Awang yang kini penasihat Parti Amanah telah membocorkan tentang jumlah ahli parlimen yang sudah cukup untuk berpaling tadah menyokong Pakatan Rakyat.

Ingat atau tidak bagaimana senarai YB yang bersedia ‘melompat keluar BN’ untuk menubuhkan kerajaan baru dikatakan telah dilihat oleh Haji Hadi. Pemimpin PAS ini menolak Projek 16 September. Untuk saya penolakan Haji Hadi ini adalah manifestasi dari persoalan nasional.

Ingatkan kembali bagaimana Pak Samad dari BERSIH telah menjadi ahli parti DAP. Ingatkan kembali tentang Profesor Aziz Bari, pakar hukum-hakam Perlembagaan Malaysia telah juga menjadi ahli DAP. Baru-baru ini Zaid Ibrahim bekas menteri dalam kabinet Dolah Badawi telah juga menjadi ahli DAP. Kini parti DAP siang malam secara terang dan gelap telah cuba menjemput anak-anak muda Melayu - jantan dan betina - untuk menjadi ahli DAP. Kepada saya semua ini adalah manifestasi persoalan nasional.

Jamal Baju Merah telah menganjurkan satu gerakan menentang BERSIH. Jamal dan gerombolan Baju Merah mahu menunjukkan taring dan kekuatan telah berhimpun di Jalan Petaling. Ketika konvoi BERSIH5 bergerak, Jamal dan konco-konconya telah menyerang dengan ganas penyokong BERSIH. Tindakan Jamal dan Gerakan Baju Merah ini pada hemat saya adalah manifestasi persoalan nasional.

Hasil dari langkah politik Jamal dan gerombolan Baju Merah di Jalan Petaling telah menjemput Huang Huikang, Duta Besar China Merah untuk muncul pada petang yang sama di Jalan Petaling. Pada hemat saya tindakan Duta China Merah ini adalah manifestasi persoalan nasional.

Pasti ramai pembaca akan tertanya-tanya, apa sebenarnya persoalan nasional ini?

Bertenang sebentar. Apa yang saya tulis di atas adalah contoh-contoh manifestasi dari persoalan nasional. Bila saya mengatakan ini hanya manifestasi maka saya wajib pula memperjelaskan apa makna manifestasi.

Sesuatu berlaku kerana sebab dan musabab. Tidak ada satu pun yang berlaku dalam dunia ini, malah dalam alam ini, tanpa sebab. Dunia kita bergerak kerana tarikan matahari dan, dan, dan. Umat manusia bergerak membuat sesuatu untuk hidup. Orang gila melakukan sesuatu juga ada sebabnya – ie kerana gila.

Dari segi pemahaman falsafah, manifestasi ialah apa yang dapat kita lihat. Di belakang, yang terpendam, yang mewujudkan manifestasi ini adalah sebab dan penyebab. Penyebab itu ialah inti atau zat (essence and form). Bentuk dan bingkai (form and content). Justeru yang muncul hasil dari zat ialah manifestasi zat itu. Yang dilihat ialah bentuk. Yang tersirat ialah isi.

Jika semua yang saya paparkan di atas tadi hanya manifestasi, maka apa zatnya? Apakah dia sebab musabab yang mewujudkan manifestasi ini.

Sebab musababnya induk kepada manifestasi yang kita lihat sedang berlaku dalam negara kita sekarang ini ialah kehadiran “yang lain” (the other). Apakah dia yang lain ini? Apakah dia the other ini?

Dalam konteks Tanah Melayu, yang lain ialah Bani Cina dan Bani India. Dua kumpulan ini adalah yang lain dalam fikrah pembudayaan Bani Melayu. Bani Melayu menganggap Cina dan India sebagai yang lain.

Semua garis politik. Semua tindakan politik. Semua babak politik. Semua dasar politik. Semua tindakan dan wacana politik, sosial dan ekonomi di Tanah Melayu semenjak kemasukan Bani Cina dan Bani India ke bumi Melayu sebenarnya disebabkan oleh yang lain.

Yang lain ini menjadi penyebab. Yang lain ini adalah sebab musabab kita di Malaysia ini bergerak seperti kita semua bergerak sekarang. Yang lain inilah yang sedang melahirkan manifestasi yang kita lihat sekarang.

Justeru, wajib untuk saya memberi penjelasan apa sebenarnya yang lain dari segi teori dan pemahaman agar tulisan saya dapat memberi pencerahan kepada kita semua.

Kepada pelajar filem, teater, penulisan, apa dia yang lain ini bukan sesuatu yang baru. Dalam filem, dalam teater, dalam novel, kita akan bersua dengan yang lain. Yang lain wajib wujud untuk menolak terbuka naratif yang cuba dipaparkan.

Cuma dalam filem atau teater yang lain ini dikatakan protoganis dan antoganis. Protoganis akan bergerak sebagai jawapan kepada tindak tanduk antoganis. Antoganis ini adalah sebab dan penyebab. Antoganis ini ialah yang lain.

Kalau kita melihat filem genre Western atau di Malaysia ini dipanggil filem koboi dari Holywood, yang lain ini cukup jelas. Red Indian atau Dayak memainkan peranan yang lain. Dayak ini menjadi antoganis yang menimbulkan masalah kepada para koboi yang ingin membuka tanah baru.

Dari segi teori, yang lain akan dibaca sebagai penggangu. Dalam setiap filem kita akan bertemu dengan si penggangu. Tidak ada filem yang tidak ada penggangu. Naratif filem bergerak untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh si penggangu.

James Bond agen M16 dari London bergerak kerana ada Dr No sebagai ‘orang jahat’ atau agen KGB dari Rusia atau Mister Goldfinger.

Si penggangu ini bukan hanya wujud dalam filem Holywood. Cinta Awie kepada Erra Fazira akan diganggu oleh Ziana Zain. Dalam konteks filem-filem Yusuf Haslam, Ziana Zain adalah penggangu atau yang lain.

Jika semua wacana politik. Semua wacana budaya dan semua wacana ekonomi dalam Tanah Melayu ini wujud kerana adanya yang lain - Bani Cina dan Bani India - maka apakah kesudahannya?

Dalam naratif James Bond, Dr No dan bilik makmalnya diledakkan di babak akhir. Dalam You Only Live Twice, James Bond telah memusnahkan Ernst Stavro Blofeld dari organisasi Spectre yang menjadi antoganis - pengacau dan penggangu dunia kapitalis.

Justeru bagaimana dengan yang lain dalam konteks persoalan nasional di Tanah Melayu? Pada hemat saya persoalan nasional kita masih belum selesai. Apabila saya menimbulkan wacana persoalan nasional, ini memberi makna bahawa ia belum tuntas dan belum selesai.

Saya yakin, seperti semua naratif perjalanan tamadun negara bangsa, sama seperti dalam naratif filem, persoalan nasional wajib diselesaikan. Seperti seorang matador, kita warga Malaysia wajib berani menangkap tanduk lembu jantan untuk ditundukkan sebagai jalan penyelesaian.

Untuk mencari jalan penyelesaian, kita wajib melihat kembali babak-babak sejarah. Merungkai kembali bagaimana kita menjadi kita seperti hari ini. Bolehkah biduk lalu kiambang bertaut?

Apa dia babak babak sejarah yang wajib dirungkai? Siapa dalam biduk dan dari mana datangnya kiambang? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen