malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya merujuk kepada kritikan sesetengah pihak yang mempertikai usaha baik golongan yang membawa perbahasan maqasid syariah seolah-oleh golongan ini membuang nas qatie (kewajipan ditetapkan) atas alasan mengutamakan tujuan sesuatu hukuman atau maqasid undang-undang yang diwahyukan.

Tidak dinafikan mungkin terdapat segolongan yang tanpa menerusi pembelajaran dan pemahaman jelas tentang syariah dan maqasid dengan sewenang-wenangnya menolak sesuatu hukum atas pegangan prinsip maqasid yang belum jelas definisi dan perbahasannya sendiri serta kewajarannya.

Adalah wajib untuk golongan ini dididik atas sarwa pandang tepat berasaskan kefahaman dan keimanan yang jelas terhadap sesuatu nas qatie.

Bagaimanapun, kritikan yang menyamaratakan semua golongan yang membawa perbahasan maqasid syariah termasuk dalam kelompok yang menolak nas syariah dan seterusnya menjerumuskan perbahasan ke kancah takfiri adalah keterlaluan.

Sebagai contoh apabila kita membahaskan tujuan pensyariatan sembahyang, adakah bermaksud kita menolak kewajipan sembahyang?

Sedangkan tujuan pensyariatan sembahyang itu secara jelas diterangkan dalam al-Quran untuk mencegah perbuatan keji dan mungkar serta mengingati Allah.

Maqasid syariah & pemikiran rasional

Dalam membicarakan definisi maqasid syariah, antara rujukan utama kita termasuklah definisi yang dijelaskan oleh Imam Syatibi rahimahullah dalam kitab Al-Muwafaqat, iaitu antara lain “mengeluarkan manusia dari seruan nafsu hingga menjadi hamba Allah secara sukarela”.

Definisi ini menjelaskan keperluan maqasid untuk merasionalkan pemikiran kita menerusi penekanan terhadap pemahaman sesuatu tujuan syariah sebagai landasan yang membolehkan kita secara sukarela menjadi hamba Allah yang taat.

Justeru, pandangan yang menolak akal dan pemikiran rasional dalam memahami tujuan sesuatu hukum syariah akan menjadi bebanan kepada usaha untuk melahirkan seorang Muslim yang taat.

Ini kerana pemikiran rasional itu sendiri adalah salah satu tuntutan fitrah manusiawi dan Islam itu adalah agama fitrah.

Dalam surah ar-Rum ayat 30, Allah berfirman (bermaksud):

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah sebagai fitrah ciptaan Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Dalam tafsir Fi Zilalil Quran karangan Sayyid Qutb Rahimahullah, ayat ini mengikat antara fitrah manusia dengan fitrah agama Islam yang kedua-duanya bersesuaian antara satu sama lain, sama ada dari segi tabiat atau tujuannya.

Imam Raysuni dalam kitab Al-Fikru Al-Maqasidiy: Qawaiduhu wa Fawaiduhu (Pemikiran Maqasidy: Kaedah dan Faedahnya) menjelaskan lebih lanjut dalil yang menzahirkan Islam sebagai agama fitrah, termasuk dalam kerangka pemikiran rasional dengan menggariskan bahawa hukum syariah yang diturunkan bersifat mu’allalah, iaitu dinyatakan sebab musabab sesuatu hukum diturunkan.

Malah Imam Raysuni dalam kitab tersebut menyatakan kepentingan maqasid ini sebagai menjawab tohmahan dan menenteramkan jiwa seseorang hamba serta sebagai motivasi untuk kita melaksanakan syariat di tahap yang terbaik (tahsiniyat).

Saya mengambil semula contoh sembahyang antara tujuannya adalah untuk mengingati Allah sepertimana firman Allah dalam Surah Toha, ayat 14:

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati aku.”

Bagi mencapai tujuan atau maqsud sembahyang tersebut, semestinya ia harus dilaksanakan di tahap terbaik tanpa meninggalkan amalan bersifat tahsiniyat (untuk mencantikkan pelaksanaan ibadat dan tidak menjadi kewajipan) seperti membaca zikir ketika sujud untuk memastikan kita fokus dan khusyuk mengingati Allah dalam solat.

Hal ini termasuklah membersihkan diri sebelum sembahyang dan mencari ruang yang bersih dan bersesuaian tanpa gangguan.

Berbeza dengan amalan sembahyang individu tanpa melihat tujuan pensyariatannya mungkin kewajipan tersebut dilaksanakan hanya bersifat ala kadar atau asal buat kerana ia dilihat dari kaca mata kewajipan semata-mata.

Yang mencerahkan telah digelapkan

Mungkin analogi yang lebih dekat dalam perbahasan kini adalah pelaksanaan undang-undang Islam atau hudud.

Bagi golongan yang melihatnya dari kaca mata maqasid yang lebih luas, tentunya mereka dapat melihat falsafah dan tujuan undang-undang Islam disyariatkan untuk mewujudkan keamanan dan kemakmuran dalam masyarakat.

Justeru, prasyarat yang menghiasi sekeliling undang-undang Islam untuk mencapai tujuan dan maqasid tersebut akan diperhalusi sebaik-baiknya untuk menterjemahkan pelaksanaannya di tahap terbaik.

Prasyarat yang mendukung landasan tujuan tersebut sudah pasti meliputi isu seperti kebajikan ekonomi rakyat, keadilan sosial dalam strata masyarakat, serta taraf pendidikan individu di landasan yang baik.

Prasyarat sebegini walaupun mungkin dikategorikan sebagai sesuatu yang bersifat tahsiniyat tetapi diamati sebagai suatu yang amat penting untuk tujuan dan maqasid undang-undang tersebut – matlamat keamanan dan kemakmuran dapat dilunaskan sehabis baik.

Berbeza dengan mereka yang hanya melihatnya dari sisi kewajipan semata-mata untuk menghukum seseorang pesalah, isu-isu melingkari prasyarat kemakmuran dan keamanan tersebut pasti tidak akan dicermati. Malah, sisi tersebut yang sebenarnya mencerahkan kemurnian pelaksanaan syariat mungkin telah digelapkan dan menatijahkan akibat yang bertentangan dari tujuan asal.

Peruntukan undang-undang sedia ada

Selain itu, saya merujuk pandangan sebahagian pengkritik yang mendakwa falsafah dan maqasid di sebalik peruntukan undang-undang tersedia wujud, dengan memberi contoh bahawa dalam konteks Malaysia undang-undang sedia ada memadai untuk membebaskan pesalah yang melakukan jenayah atas desakan hidup.

Dakwaan mereka, jika seseorang itu mempunyai pembelaan yang wajar seperti terpaksa mencuri kerana terlalu miskin, mahkamah boleh membuat keputusan membebaskannya kerana mempunyai pembelaan yang baik.

Saya merujuk Bahagian IV Kanun Keseksaan bawah tajuk Pembelaan Am, tidak ada dinyatakan dalam undang-undang Malaysia bahawa faktor kemiskinan itu merupakan satu pembelaan.

Malah menurut prinsip undang-undang, bagi mensabitkan sesuatu kesalahan motif yang mendorong kepada perlakuan sesuatu jenayah adalah tidak relevan cukup sekadar dibuktikan niat dan perlakuan seseorang yang melakukan sesuatu jenayah.

Prinsip ini terpakai dalam konteks kesalahan mencuri. Apabila motif yang mendorong seseorang itu mencuri untuk mendapatkan wang kerana keterdesakan hidup adalah sesuatu yang tidak relevan, dan tertuduh tetap dihukum bersalah asalkan pihak pendakwa raya dapat membuktikan tertuduh berniat melakukan kesalahan mencuri.

Menjaga harta dan rasuah ekonomi

Sebahagian pengkritik juga mendakwa jenayah rasuah ekonomi yang dibangkitkan sebilangan pendukung maqasid syariah adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah dan undang-undang sivil sudah ada untuk “menjenayahkan” kesalahan tersebut.

Sekiranya alasan bidang kuasa dan undang-undang sivil sedia ada dijadikan hujah, maka kesalahan lain yang termaktub dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan (II) (1993) 2015 seperti mencuri juga tidak relevan kerana terkeluar dari bidang kuasa syariah di Malaysia dan undang-undang sivil sedia ada sudah ada untuk “menjenayahkan” kesalahan mencuri tersebut.

Pandangan ini menzahirkan kedangkalan golongan yang terperangkap dengan takrifan penjagaan harta atau “hifzu al-mal” itu hanya terhad kepada hudud (potong tangan pencuri), yang akhirnya gagal memberi jawapan tuntas dalam menangani barah rasuah. Sedangkan amalan rasuah ada perkaitannya dengan aset dan khazanah negara yang dimiliki rakyat.

Di sini datangnya kepentingan prinsip Maqasid Syariah untuk memberi pencerahan yang lebih luas dan menjernihkan pelaksanaan syariat untuk menghidupkan kehidupan.

Bagi tujuan menjernihkan pelaksanaan syariat untuk menghidupkan kehidupan, prinsip syariah itu tidak hanya dilihat sebagai melakukan perkara yang baik tetapi melakukan perkara yang baik dengan cara yang betul.

Ibarat syariah itu sebuah bahtera yang sedang menuju destinasi, penekanan terhadap prinsip maqasid syariah adalah kompas bagi memandu nakhoda untuk melayarkan bahtera tersebut menuju matlamat yang ditetapkan.
 


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung ABIM.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen