malaysiakini logo
story-image
ADS

Dalam tulisan yang lepas saya telah memperkenalkan siapa Donald Trump, kenapa dia berjaya masuk ke Rumah Putih untuk menjadi presiden Amerika ke-45. Saya juga telah menelanjangi sosok minah bernama Hillary Clinton. Saya juga telah menerangkan kenapa Trump terus diserang dan siapa yang sedang menyerang Trump tanpa henti-henti hingga ke hari ini.

Dari semua tulisan ini pasti timbul persoalan hakiki - apakah kita boleh percaya kepada Trump? Apakah rakyat dunia akan diselamatkan oleh Trump? Apakah dasar Trump akan berjaya? Jika berjaya apa maknanya. Jika gagal apa risiko yang akan muncul.

Sebelum saya cuba menjawab persoalan hakiki ini, biar sekali lagi saya terangkan bahawa dalam badan politik Amerika, malah dalam badan politik mana-mana negara pun dalam dunia ini wujud apa yang dipanggil ‘deep state’ atau daulah terpendam.

Ini adalah kumpulan rahsia - perkakas kerajaan - dalam bentuk rasmi atau tidak rasmi. Tugas daulah terpendam ialah mengendalikan arah dan dasar negara.

Daulah terpendam ini menyusun dan mengatur dasar kerajaan dan mempertahankan bentuk kuasa dan sistem ekonomi yang sedia ada. Jika di Amerika sistem ekonomi kapitalislah yang dipertahankan. Jika di Malaysia yang dipertahankan ialah kuasa United Malays National Organisation dengan sistem kapitalisme kroni.

Daulah terpendam ini memiliki kuasa mutlak. Mereka bekerja secara tidak nampak. Mereka tidak tunduk kepada parlimen. Dengan bajet yang tidak diaudit. Dengan kuasa melimpah ruah. Mereka hanya tunduk kepada yang berkuasa. Kalau di Malaysia maka yang berkuasa pastilah Rosmah dan Najib. Siapa mereka ini kita tidak tahu secara jelas. Tapi mereka wujud.

Biar saya kisahkan pengalaman saya dengan daulah terpendam. Pada tahun 2001 saya ditahan ISA. Selama dua bulan - awal April/Mei/Jun - saya disoal siasat di satu tempat rahsia.

Dalam proses soal siasat ini seorang pegawai penyiasat yang sampai hari ini tidak saya ketahui namanya dengan angkuh telah berkata “kami ada kuasa siapa naik siapa turun, siapa nak bertanding kami selidik siapa dia. Menteri naik, menteri turun pun kami yang atur.”

Ini berlaku di Malaysia. Kalau di Amerika pasti lebih licik lagi.

Pada 17 Januari 1961, presiden Amerika ke-34 Dwight D Eisenhower telah menyampaikan ucapan selamat tinggal kepada rakyat Amerika. Induk isi ucapan bekas Presiden ini ialah ‘kumpulan rahsia’ yang semakin merapati badan politik Amerika dalam bentuk Kompleks Industri Senjata.

Pada 27 April 1961, Presiden Amerika ke 35 JF Kennedy telah juga memberi ucapan tentang kumpulan rahsia dan jaringan mereka. JFK secara terbuka telah menyatakan penolakan dan penentangan dari dirinya terhadap kumpulan rahsia ini.

Eisenhower menimbulkan ‘kumpulan rahsia’ ketika dia mahu meninggalkan Rumah Putih. JFK menimbulkan perkara yang sama pada masa dia sedang menginap di Rumah Putih. Lihat apa hasilnya. Eishenhower selamat. Manakala dua tahun selepas menyampaikan ucapan, pada 22 November 1963, Kennedy dibunuh mati.

Dan lihat pula Trump. Dia memberi ucapan yang sama isinya 50 tahun kemudian. Trump memberi ucapan sebelum dia menang pemilihan. Kemudian Trump memberi ucapan dengan isi yang sama pada hari dia mengangkat sumpah.

Maka saya bertanya kepada ada diri saya sendiri, apakah Donald Trump ini akan selamat?

Pada hari kedua Trump di Rumah Putih dia telah bergegas ke Langley melawat ibu pejabat CIA. Dalam lawatan ini Trump telah cuba meredakan kritikan yang dilemparkan terhadapnya yang ‘kurang yakin’ dengan CIA. Ucapan Trump di ibu pejabat CIA agak berbeza dari ucapan ketika dia berkempen. Kini Trump telah memuji dan membodek CIA.

Apa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa ketika ini Donald Trump memilih jalan selamat. Tapi saya wajib memberitahu bahawa jantan-jantan sasa yang berjaket, berdasi dan bercermin mata hitam dengan tali masuk ke telinga itu adalah pengawal peribadi Trump. Untuk presiden. mereka ini adalah agen-agen CIA. Tetapi Trump tidak lagi menggunakan khidmat CIA dan agen kerajaan. Jantan-jantan pengawal itu diupah oleh Trump sendiri. Amin.

Saya ulangi sekali lagi, untuk masa ini Trump selamat. Tetapi beranikah Trump mengotakan segala apa yang telah disuarakan ketika dia berkempen.

Kini Trump adalah sosok yang paling berkuasa atas muka bumi ini. Dapatkan Trump secara tuntas menjalankan dasar yang selama ini dimimpikan.

Untuk menjawab perkara ini marilah kita semua sedar bahawa Trump ini adalah presiden kepada negara Amerika. Negara ini ialah negara imperialis numero uno dalam dunia ini. Amerika menggunakan sistem ekonomi kapitalis. Trump sendiri adalah seorang kapitalis besar.

Maka pada hemat saya mustahil Trump akan melanggar hukum dan syarat-syarat ekonomi kapitalis. Tapi sabar dahulu, Trump ini adalah kapitalis nasionalis. Trump bukan kapitalis globalis. Trump ini mahu Amerika didahulukan. Trump tidak mahu kera Maxico atau kera Vietnam disusukan manakala rakyat Amerika hilang pekerjaan.

Wajib kita sedari bahawa Trump menang kerana dia mendapat sokongan kelas bawahan - kelas buruh kulit putih dan juga kulit hitam yang selama ini telah hilang pekerjaan. Trump mendapat sokongan kelas bawahan yang selama ini dipinggirkan oleh elit politik Washington. Kelas bawahan ini melihat Trump sebagai imam yang dinanti-nantikan.

Hillary Clinton memperlekeh penyokong Trump. Feminis bernama Hillary ini memanggil penyokong Trump ‘deplorables’ - dalam Melayunya membawa makna kumpulan sedih, busuk, hancing dan bangang.

Wajib disedari bahawa Trump tidak mendapat sokongan media arus perdana Amerika. Media dan pemilik media semuanya berkiblat kepada perempuan bernama Hillary Clinton yang digambarkan sebagai feminis, demokratik dan liberal.

Ketika ini media arus perdana Amerika terus menjalankan kempen anti-Trump. Ini bertujuan untuk menguli dan mencanai Trump untuk dimasukkan ke dalam rangka acuan badan politik Amerika. Trump dilihat terlalu independen, bebas dan tidak mengikuti skrip daulah terpendam. Ini menimbulkan mara bahaya.

Para globalis, syarikat kilang senjata, kumpulan pemikir neo-con, syarikat korporat sedang diganggu oleh Trump. Syarikat koperat yang tuhannya ialah keuntungan maksimum tidak memiliki sikap nasionalis Trump - American First.

Kaum pemodal globalis amat gembira dan senang hati membuka kilang di Mexico, China atau Vietnam. Sama seperti para cukong di Malaysia, kaum pemodal di Amerika juga ‘sayang’ dengan buruh imigran – yang halal dan yang haram. Buruh imigran ini datang memburuh dengan upah yang murah.

Hakikatnya Trump sedang menghuruharakan kaum pemodal dan para globalis yang merancang untuk mewujudkan satu dunia baru yang kuasa mutlak dan hegemoni Amerika tidak diganggu gugat oleh apa-apa kuasa.

Bagaimana dengan perang? Bagaimana dengan seteru Amerika? Bagaimana dengan Israel? Bagaimana dengan China? Dan paling penting apakah Trump akan berjaya menjalinkan hubungan baru dengan Rusia.

Pada hemat saya Trump tidak akan berani mengubah dasar Amerika terhadap Israel. Kini dapat dilihat bahawa Trump agak lunak dengan Saudi. Dari segi fakta Saudi dikatakan negara yang paling jahat yang memberi dana kepada kumpulan pengganas Isis. Tanpa sokongan dinar dan senjata Saudi pengganas Isis telah lama dikambus mati. Tetapi Trump tidak membuat apa-apa kenyataan tentang rejim Saud.

Ketika berkempen Trump melihat perjanjian nuklear Iran yang ditandatangani Obama sebagai satu kerja bodoh. Apakah Trump akan menyerang Iran? Soalan yang sama juga boleh diajukan kepada China dan Korea Utara. Trump ketika berkempen telah menuduh China Merah sebagai ‘ kaki putar’ dan tukang manipulasi nilai duit.

Untuk membuktikan kemarahan Trump terhadap China Merah, presiden Trump telah berbual melalui telefon dengan Presiden China Taiwan selama 10 minit. Ini melanggar dasar Satu China yang dipersetujui oleh Nixon dan Mao dalam tahun 1972.

Trump juga kelihatan bengis dan marah terhadap China Merah yang kini cuba menakluk Laut China Selatan dan membuli negara-negara di Asia Tenggara.

Pada hemat saya dasar Trump terhadap Iran, Syria, China dan Korea Utara semuanya bergantung dengan Rusia. Negara-negara ini semuanya bersahabat baik dengan Rusia.

Dari pembocoran berita di Washington DC, Trump memang berniat untuk mengubah dasar Amerika terhadap Rusia. Ini terbukti jelas dalam satu temu bual Fox TV dengan Trump dua minggu lalu.

Si wartawan telah bertanya kepada Trump apakah pandangan Trump terhadap Putin. Trump menjawab dia menghormati Putin tapi sama ada boleh bekerjasama belum pasti. Si wartawan telah mencelah cepat “Putin ini pembunuh”, apakah perlu dihormati.

Trump telah menjawab “pembunuh memang ramai, malah kita sendiri pun apa kurangnya”. Jawapan Trump ini telah sekali lagi meledakkan media Amerika. Media arus perdana terus menerus membantai Trump. Walaupun pada hakikatnya apa yang dikatakan oleh Trump itu tepat dan sahih.

Dari zaman berzaman kuasa ketenteraan, Amerika telah membantai mengebom puluhan juta rakyat dunia. Dari Amerika Latin ke Vietnam dan ke Timur Tengah, jutaan rakyat telah dibunuh. Semuanya atas dasar Amerika. Semua atas arahan presiden Amerika.

Sekali lagi saya bertanya, apakah daulah terpendam akan membiarkan Trump menghuruharakan status quo? Pada hemat saya semuanya bergantung dengan sokongan untuk Trump dari kaum buruh, kelas tertindas dan penggangur di Amerika.

Suasana dunia juga sedang beralih. Rakyat dunia semakin bosan dan muak dengan elit politik. Ini disahkan dengan pemberontakan Brexit di UK. Di Perancis, Austria, Itali dan di Belanda, parti haluan kanan National Front terus mara. Di Jerman rejim Angela Merkel semakin goyang.

Manakala di Greece parti Syriza yang berhaluan kiri sedang mara memimpin. Di Sepanyol kumpulan anak muda penyokong politik jalan raya kini menjadi Parti Podemos yang berhaluan kiri sedang mengancam kuasa kanan yang sedia ada.

Hakikatnya dunia sedang berubah. Kesampaian Trump juga disambut oleh Duterte dari Manila. Maka persoalan timbul bagaimana dengan Malaysia? Kita masih lagi jauh kerana persoalan nasional belum selesai. Apa dia persoalan nasional? 

Lihat Komen