malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Minggu lalu saya memperkenalkan siapa Donald Trump Presiden Amerika Syarikat yang ke-45. Penabalan dan majlis angkat sumpah telah selesai. Serangan terhadap Presiden Trump berterusan. Maka kita semua wajib mengetahui apa sebenarnya sedang berlaku di Amerika.

Pencerahan ini penting kerana apa saja dasar yang akan dijalankan oleh Trump dan Amerika pasti akan mempengaruhi arus politik dunia - termasuk Malaysia. Ini kerana Amerika adalah kuasa imperalis - kuasa ekonomi dan kuasa tentera - yang masih belum ada tandingan.

Hakikatnya - Hillary Clinton Puteri Lindungan Wall Street dan primadona kaum liberal Amerika telah dikalahkan oleh kontraktor bangunan yang kaya-raya.

Kemenangan Trump ini memeranjatkan. Ini satu tema politik yang amat baru dalam politik Amerika. Tidak pernah terjadi ‘orang luar’ dapat menerobos masuk ke Rumah Putih. Trump seorang bilionair yang tidak pernah memegang apa-apa jawatan politik kini menjadi Presiden Amerika.

Sebelum Trump menang, serangan telah datang bertalu-talu. Ini serangan pada masa berkempen. Sifatnya mempersoalkan keupayaan Trump mentadbir. Keupayaan Trump menjalankan dasar luar. Intelek dan keupayaan fikrah Trump juga dipersoal.

Media arus perdana turut berkempen memburukkan peribadi Trump. Kejantanan Trump dikatakan kurang terkawal. Media menghebohkan tentang syahwat Trump yang selalu menjalar liar.

Trump dikatakan rasis, sexist, anti-Islam dan memiliki fahaman kanan sama saperti Ku Klux Klan. Trump membawa politik kanan yang ektremis. Trump adalah alt-right atau "alternative right" atau "kanan baru".

Kempen memburukan peribadi ini telah meleset. Pengundi tidak terpengaruh dengn CNN, CBS, The Wall Street Journal, The New York Times, Washington Post dan dan dan… malah semua media arus perdana telah meramalkan Trump akan kalah.

Apabila Trump menang, serangan ke atasnya tidak berhenti sebaliknya hanya berlalih bentuk. Skandal seks tidak menjejaskan undi. Kini bukan lagi tentang syawat atau kejantanan Trump. Kali ini kesetian Trump sebagai warga Amerika dipersoalkan.

Apa sebenarnya berlaku

Trump kini dituduh sebagai tali barut Russia. Sebagai ajen Putin. Malah kemenangan Trump dikatakan adalah hasil daripada perancangan licik Vladimir Putin dan para ajen KGB. KGB ialah badan risikan Russia seperti CIA.

Puteri Lindungan Wall Street dikatakan kalah kerana dia disabotaj oleh ajen KGB. Russia melalui para ejen dan perisik bawah tanah menggodam laman portal milik Hillary Clinton.

Surat-surat e-mel Hillary dibocorkan. Pembocoran ini dianggap sebagai sobotaj. Yang membocorkan surat-surat ini ialah Julian Assange dan WikiLeaks.

Mengikut jalan cerita yang dihebohkan oleh media arus perdana, ejen Russia - atas arahan Putin - menggodam e-mel Hillary. Kemudian surat-surat ini telah dihantarkan kepada WikiLeaks. WikiLeaks membocokannya kepada dunia.

Untuk membuktikan Russia dan Putin membuat kerja jahat, "Budak Itam" telah bertindak. Dua minggu sebelum Trump mengangkat sumpah, Obama menghalau keluar dari Amerika 35 orang pegawai diplomat Russia. Ini menguatkan lagi tuduhan yang Trump ini adalah pengkhianat.

Inilah jalan cerita yang sedang diheboh-hebohkan. Amerika dan dunia terus diheboh-hebohkan dengan ‘kisah benar’ ini. Tapi apa sebenarnya berlaku?

Ada satu pekara yang tidak ditimbulkan di sini. Ianya sengaja digelapkan oleh media arus perdana. Perkaranya ialah: apakah isi kandungan e-mel yang dikatakan membuat Hillary gagal menjadi presiden? Apa isi e-mel yang mensabotaj Puteri Lindungan Wall Street?

Media arus perdana menenggelamkan pekara yang penting ini. Mereka sengaja tidak melaporkan secara terperinci sudut ini. Hakikatnya jika pekara ini dibincangkan maka akan dapat dilihat siapa yang betul dan siapa yang bersalah dengan jelas.

E-mel Hillary ini memperlihatkan siapa sebenarnya Puteri Lindungan Wall Street ini. Salah satu surat itu menyatakan bagaimana Bill Clinton mendapat AS$1 juta dari Qatar - sebagai hadiah hari jadi.

Ini jelas rasuah politik walaupun jumlahnya sedikit berbanding RM2.6 bilion yang diterima Najib daripada Tok Arab.

Dari segi politik, surat-surat ini memperlihatkan watak biawak Hillary yang lidah bercabang. Ketika berkempen Hillary menentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tetapi dalam surat-menyurat dia menyatakan sokongan teguh terhadap TPPA.

Salah satu surat yang bocor ialah ucapan Hillary kepada tuan pemilik bank dan para tauke di Wall Street. Melalui ucapan ini Hillary jelas mahu mewakili kepentingan Wall Street.

Sanders ada potensi

Sikap ini diperkuatkan lagi dengan satu lagi surat yang mengandungi ucapan sulit dalam majlis tertutup Hillary kepada syarikat kewangan Goldman Sachs.

Hillary jelas mendahulukan kepentingan pemilik bank daripada kepentingan Joe dan Jane warga Amerika.

Selain dari surat Hillary, ada satu lagi surat yang bocor meledak. Surat ini daripada John Podesta. Mamat ini ialah pengerusi kempen Hillary Clinton Untuk Presiden.

Podesta pernah bekerja sebagai Ketua Pejabat Presiden Bill Clinton dan juga kaunselor Obama.

E-mel Podesta ini membocorkan bagaimana pasukan Hillary merancang untuk menggagalkan bakal calon Bernie Sanders daripada mendapat pencalonan dalam Parti Demokrat.

Antara Hillary dan Sanders, jelas kelihatan Sander lebih popular di kalangan anak muda. Sanders dilihat jujur, konsisten dan berpotensi untuk mengalahkan Trump.

Secara licik Podesta telah merancang dengan undi tipu untuk meminggirkan Sanders. Akhirnya rancangan jahat Podesta berjaya menggelincirkan Sanders daripada dipilih sebagai calon Parti Demokrat.

Apabila e-mel ini bocor dan diketahui umum, Podesta meletak jawatan daripada pasukan Hillary.

Satu e-mel yang amat-amat penting ialah bagaimana Hillary mengakui bahaw Isis dan al-Qaeda bertelur, menentas dan dibesarkan dalam kepok CIA (baca: Amerika).

Tentang Isis dan al-Qaeda ini, media arus perdana Amerika buat-buat tak tahu. Media mereka tidak ambil pot.

Sebenarnya inilah e-mel yang amat penting untuk pencerahan rakyat Amerika dan warga dunia.

Pada ketika ini naratif yang dihebohkan ialah, semua ini adalah perancangan licik Putin dan KGB Russia. Mengikut lojik musuh Trump - Putin telah merancang lama. Tujuan Putin ialah menobatkan seorang presiden Amerika yang tidak melihat Russia sebagai musuh.

Di Washington DC - sama juga seperti di Kuala Lumpur dan ibu kota setiap negara dalam dunia ini - cerita, gosip dan labun politik tidak habis-habis. Ada yang benar dan ada yang dikarang.

Kempen Trump untuk menjadi presiden memiliki gosip yang ‘hot terhot’. Trump memiliki kisah yang panjang.

Kisahnya begini: Pada awal berkempen Jeb Bush - adik kepada George W Bush - telah melanggan perisik - saperti PI Bala - untuk mencari keburukan Trump.

Ketika ini Jeb Bush ingin mencalonkan dirinya sebagai calon Parti Republikan. Ketika separuh jalan, kerja merisik ini dibatalkan oleh Jeb Bush kerana dia tidak mendapat sokongan ramai. Tetapi risikan diteruskan oleh gerombolan anti-Trump yang akhirnya diambil alih oleh pasukan Hillary.

Tujuan risikan ialah mencari maklumat tentang hubungan Trump dengan Russia dan Putin. Kerja ini telah diupahkan kepada seorang bekas ejen MI6 British.

Bekas ejen ini pernah membuat kerja di Russia dan dikatakan memiliki jaringan dan hubungan risikan yang luas di negara itu.

Presiden AS kena kencing

Hasil risikan tentang Trump dan Russia disampaikan kepada Senator John McCain, iaitu susuk dari Parti Republikan. Susuk ini pernah mecalonkan diri untuk menjadi presiden tapi gagal. McCain dan Trump dalam parti yang sama tapi tidak sebulu. Mereka bermusuh. Adalah tepat untuk musuh membocorkan rahsia musuh.

Tetapi setelah membaca laporan risikan ini McCain berasa maklumat ini kurang bukti. Membocorkan kepada media mungkin akan merosakan diri sendiri.

Maka dokumen dipendam tapi terus menjadi ‘ buah mulut’ orang media di Washington DC. Khabar angin kentut dokumen ini bertiup busuk.

Tup tup 10 hari sebelum Trump mengangkat sumpah sebagai presiden ke-45 Amerika, berita meletup. Portal BuzzFeed membocorkan dokumen 35 halaman tentang Trump dan Russia. Ini adalah dokumen yang sama yang lebih awal sampai ke tangan McCain.

Setelah dokumen ini bocor maka media arus pedana yang anti-Trump mengambil kesempatan untuk melapor. Media besar yang anti-Trump ini semuanya berselindung di belakang BuzzFeed.

Mengikut media ini, mereka hanya melaporkan berita yang diberitakan oleh BuzzFeed. Salah benar bukan tanggung jawab mereka.

Malah BuzzFeed sendiri mengakui tidak memiliki bukti yang sahih tentang dokumen ini. Maka terpulanglah kepada pembaca dan warga Amerika untuk menilai kesahihan berita ini.

Salah satu maklumat yang dibocorkan ialah bagaimana Trump pada 2013 datang ke Moscow. Trump dijemput untuk melihat Pertandingan Ratu Cantik Dunia. Trump menginap di sebuah hotel terkemuka di Moscow.

Mengikut dokumen ini, Trump menjemput salah seorang ratu cantik atau pelacur itu datang ke biliknya. Mengikut siasatan bekas ajen MI6 tadi, Minah Cantik Pelacur itu melakukan golden shower kepada Trump.

Untuk yang tidak tahu apa makna golden shower, jangan terperanjat. Maknanya Trump telah meminta Ratu Cantik Pelacur ini terkencing atas badannya. Kena kencing bukan suatu jenayah di Amerika mahu pun di Malaysia.

Apa yang menjadikan golden shower ini kes politik ialah kerana semua babak ini dirakam secara rahsia oleh KGB.

Ada yang teperanjat dan ada yang ketawa apabila membaca berita golden shower ini.

Untuk FBI dan CIA - ini satu pekara yang amat serius dan amat berbahaya. Yang bahaya bukan Minah Pelacur terkencing tetapi yang kena kencing itu telah menjadi presiden Amerika.

Mengikut labun politik musuh Trump, dengan rakaman golden shower ini Russia sedang mengugut Trump. Justeru presiden ke-45 Amerika ini ingin berbaik-baik dengan Russia.

Semenjak 1947, Russia adalah musuh Amerika. Ketika Perang Dingin berlaku Russia dikatakan terus mengancam keselamatan Amerika dan dunia.

Kini politik Amerika dan politik dunia cuba diubah oleh Trump. Maka musuh Trump kini berkumpul dan bersepadu untuk memastikan Trump dipecat.

Sebenarnya siapa dan gerombolan mana yang menjadi musuh Trump? Tunggu minggu hadapan.

Lihat Komen