malaysiakini logo
story-image
ADS

Satu ilmu pengetahuan yang amat penting perlu saya surahkan dalam tulisan ini. Ilmu hasil dari pengalaman yang terkumpul. Setelah berkali-kali masuk penjara dan lokap, maka saya berjaya mengumpul pengalaman.

Ilmu ini ingin saya turunkan kepada semua anak muda pejuang demokrasi. Kepada semua anak muda yang sedang menyusun gerakan untuk menjatuhkan Najib dan Rosmah. Kepada semua anak muda yang mahu menguburkan United Malays National Organisation. Lokap dan penjara sedang menunggu. Tetapi jangan risau.

Ilmu utama apabila dimasukkan ke dalam lokap ialah jangan memandang pintu penjara. Jangan pandang pada jeriji besi. Lupakan semua ini. Terima hakikat bahawa kita telah dikurung. Jangan sekali-kali memerhati mangga di pintu. Walaupun mangga yang mengunci kita itu kecil tetapi mangga yang kecil itu mewakili satu sistem yang zalim.

Di belakang mangga yang kecil itu berdiri Najib dan Rosmah. Dua sosok yang sedang membawa malapetaka kepada Malaysia. Di belakang mangga itu adalah semua kuasa daulah - polis, mahkamah, hakim, peguam negara dan, dan, dan.

Hakikatnya mangga yang menutup pintu lokap itu adalah wakil sistem ekonomi kapitalis. Yang memenjarakan kita ialah sistem ekonomi yang zalim.

Maka berbanggalah kerana kerana kita telah ditahan oleh satu sistem yang zalim. Apabila kita ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap bermakna kita dianggap sedang membawa bahaya kepada musuh yang zalim. Kerana kita membawa bahaya maka musuh menangkap kita. Orang yang tidak ditangkap adalah mereka yang tidak dianggap membawa bahaya kepada sistem ini.

Apabila kebanggaan telah menusuk hati sanubari, maka penjara dan tali gantung tidak akan menggerunkan.

Inilah yang tersemat dalam fikrah ketika saya dikurung dalam lokap di Moscow. Di luar salju sedang bertaburan gugur. Cuaca di luar di bawah sifar. Tapi jiwa raga saya masih panas membara. Kebanggaan ini jugalah yang berlegar dalam kepala saya ketika saya bersandar di tembok Bombay Central Police Station Lockup.

Bayangkan jika saya tidak pernah masuk lokap atau dipenjara, hidup saya pasti penuh dengan kebosanan. Hidup yang saya lalui ini hanya kehidupan yang amat banal. Kehidupan banal tanpa perkara-perkara yang menarik.

Secara positif saya surahkan – kerana saya telah masuk dari lokap ke lokap dan dari lokap ke penjara – maka saya memiliki surah-surah untuk tatapan pembaca. Surah surah ini juga akan saya tinggalkan kepada cucu cicit yang akan menyusul.

Mengenangkan kembali semua babak-babak lokap dan penjara menjadikan saya tersenyum puas. Memang betul, kali pertama saya merasa gerun dan takut apabila dimasukkan ke penjara Air Molek, Johor Bahru pada bulan puasa September 1974.

Kali pertama - seperti kali pertama membuat hubungan seksual dengan kekasih - kita merasa takut dan gusar. Apabila kita lakukan berulang kali maka kita tidak akan gentar dan takut. Datanglah penjara tali gantung, perjuangan ini tetap disambung.

Pertanyaan sensitif

Tapi pada malam 19 November 2016 yang lalu ada perkara baru yang saya alami. Kali ini saya berkongsi lokap dengan Datuk Armand dari Kumpulan Baju Merah. Kumpulan Baju Merah adalah musuh ketat gerakan BERSIH.

Kumpulan Baju Merah ini dari permulaan konvoi BERSIH pada 1 Oktober 2016 telah menjalankan aktiviti samseng ganas dalam usaha untuk menggagalkan BERSIH5. Kumpulan Baju Merah ini didakwa tajaan tidak resmi parti United Malays National Organisation. Justeru aktiviti samseng kumpulan ini telah mendapat liputan meluas dari media milik parti Ketuanan Melayu.

Datuk Armand ini adalah pemimpin kanan Kumpulan Baju Merah. Di beberapa aksi kumpulan ini kita akan ternampak sosok ini di sebelah Jamal Ikan Tongkol ketua 'samseng' Kumpulan Baju Merah yang juga ketua bahagian parti gerombolan ketuanan Melayu Sungai Besar.

“Kamu ditangkap di mana?”

Saya bertanya untuk memulakan tarbiah politik. Ketika ini berlunjur tersandar di dinding.

Armand bersurah yang dia ditangkap di tepi padang Merbok, anggaran jam 3 petang. Ini terjadi kerana dia keluar dari kumpulan orang ramai dalam padang. Dia keluar kerana mengiring seorang teman yang kematian ayah. Di tepi padang dia dicekup polis.

Menurut Armand apabila Jamal telah ditangkap lebih awal maka tidak dapat tidak si Armand menjadi pemimpin utama untuk kumpulan Baju Merah.

“Saya dapat SMS dari Jamal. Dia entah lari ke mana. Kamu lead esok. Masa itu saya ada program di Johor. Polis dah tunggu. Saya dapat mengelak dari ditangkap. Jam 3 pagi baru sampai ke KL. Kemudian masuk ke bangunan PWTC. Pagi ini kami berarak dari PWTC ke Padang Merbok.”

Saya tidak bertanya berapa ramai kumpulan dia. Saya tidak ingin memulakan perbalahan kerana saya amat yakin tidak ramai penyokong Baju Merah yang datang berdemo.

“Biasalah bang, kita mesti ada bajet. Busuk-busuk duit minyak.”

Apabila si Armand berkisah tentang bajet maka saya sedar bahawa kumpulan Baju Merah ini bukan gerakan massa seperti BERSIH yang 100 peratus mendapat dana dari ramai. Penyokong BERSIH turun berdemo dengan dana sendiri. Turun ke jalan raya kerana kesedaran politik bukan kerana ditaja. Justeru BERSIH perlu difitnah menerima dana dari George Soros untuk membawa 500,000 anak semua bangsa ke jalan raya untuk BERSIH4.

“Kalau malam ini Jamal bersama kita dalam lokap ini apa akan terjadi?”

Saya mengeluarkan satu pertanyaan yang sensitif.

“Kita akan bergaduh bang,” katanya sambil mengimbau kejadian demo Baju merah di depan pejabat Malaysiakini.

“Tetiba muncul geng silat. Ini tak ada dalam rancangan. Tak ada bincang dalam mesyuarat. Tak tahu dari mana geng silat muncul. Lepas itu kita kena tibai, kena ketawa. Aku juga kena cover?”

Datuk Armand ini bukan sosok yang bodoh. Pada hemat saya dia boleh berfikir jika dibandingkan dengan mat-mat bangang parti gerombolan lain yang pernah saya temui. Walaupun mengikut surah darinya - tok guru si Armand ini ialah seorang kawan satu sel saya yang kini bertugas sebagai pemikir.

'Saya dipilih, bukan dilantik'

Saya berkata bahawa si Armand ini berfikir kerana bukan semua ahli gerombolan tahu ucapan “I have a Dream” oleh Martin Luther King. Tidak ramai ahli parti Ketuanan Melayu ini tahu ucapan Hitler dan tahu siapa itu Mussolini. Menurut Armand sosok-sosok ini adalah pemidato yang ulung.

“Saya dilatih oleh parti Komunis China. Mereka tayangkan klip Martin Luther untuk kami lihat.”

Mata saya terbuka apabila Armand menerangkan bagaimana Pemuda Gerombolan telah dilatih dalam hal berpidato.

“Bang, saya bukan dilantik dalam Pemuda, saya diundi, dipilih”.

Dengan bangga si Armand menerangkan bahawa dia bukan calang-calang orang. Dia berjaya memenangi kerusi exco Pemuda United Malays National Organisation dengan pertandingan.

“Saya dibuang dari PERKASA. Tun panggil saya dan minta saya letak jawatan, banyak kenyataan saya terlalu ekstrim. Tapi bila saya meninggalkan PERKASA, amat susah Tok Him nak cari ganti Wira PERKASA baru. Hampir satu tahun saya senyap kemudian baru KJ panggil saya.”

“Khairy ni bos saya. dia lantik saya untuk memimpin Pasukan Gerak Gempur.”

Dengan bodoh saya cuba mencungkil di mana duduknya Khairy dalam gerakan gerombolan ini.

“KJ ada style dia Bang. Kita wajib ada style kita sendiri.”

Si Armand juga berkisah tentang seorang pemimpin kanan Pemuda gerombolan yang cuma mengikut style KJ.

“Saya cakap jangan. Ambil gambar tersengeh. Saya katakan ini bodoh. Dia masih berdegil. Itu dia punya pasal.’

Malam berlarutan. Lokap semakin sunyi. Yang kedengaran bising hanya putar kipas Made in China. Mungkin ramai OKT telah tidur. Si Armand terus ligat berkisah tentang parti. Tentang teknik mengumpul dana. Tentang buat kerja sosial. Armand sebagai pemimpin pemuda selalu ke hulu ke hilir - dalam dan luar negara.

“Bulan depan saya ke Amerika. Saya telah pernah ke Detroit. Saya dah pergi ke UK dan Australia. Jumpa pelajar kita di sana.”

Gebang si Armand ini terus rancak. YB Howard sesekali mencelah. Fahmi terbaring mungkin sudah lelap. Untuk Fahmi mungkin gebang Si Armand ini membosankan. Untuk saya inilah peluang mencungkil maklumat dan memahami bagaimana musuh begerak. Saya ingin tahu tentang kekuatan KJ dalam parti. Saya nak tahu apakah KJ akan bertanding jawatan naib presiden.

Armand secara jujur bercerita ketika dia menjelajah dia juga membuat tinjauan tidak resmi untuk bosnya. Dia bertanya apakah Khairy Jamaluddin mempunyai sokongan untuk jawatan yang lebih tinggi.

“Susah bos, banyak bahagian tak sokong. Saya beritahu dengan jujur pada KJ."

Saya juga bertanya kenapa dia tidak bertanding untuk jadi YB. Armand menerangkan bahawa dia anak watan Tambun, Perak tapi lama aktif di bahagian PJ Utara. Pernah Najib bertanya apakah dia ada keinginan untuk bertanding.

Sir, Datuk Seri, I am not looking for post.”

“Tapi hakiktanya kawasan PJ Utara adalah kubu kuat Pakatan Harapan - wilayah Tony Pua. Mustahil si Armand ini akan mendapat lebih dari 3,000 undi jika bertanding di PJ Utara. Kalau dapat 3,000 undi ini pun rasanya undi haram Mat Bangla.

“Saya OK sekarang cari makan dalam GLC.”

Jam telah lewat. Mata mengantuk. Esok ke mahkamah dan berjumpa peguam. Direman atau terus ditahan. Tapi apa yang akan berlaku jam 3 pagi dalam lokap ini? Tunggu minggu hadapan. 


[Armand ketika dihubungi Malaysiakini menjejaskan banyak “tokok tambah untuk menyedapkan penulisan” dibuat dalam artikel ini. - Pengarang]

Lihat Komen