malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu lalu saya tidak menulis. Saya telah ditangkap di Jalan Kemuja – di belakang LRT Bangsar pada Sabtu jam 10:15 pagi. Itu hari Sabtu bersejarah, 19 November 2016, hari BERSIH5.

Sebelum ditangkap saya sempat memberi ucapan terima kasih kepada semua yang turun ke jalan raya. Ini ucapan pertama dan terakhir saya pada hari BERSIH5.

Saya ditangkap oleh sembilan anggota polis yang tidak memakai baju polis di hadapan kawan-kawan saya warga Bangsar. Saya tidak tahu nama anggota polis, dari cawangan apa atau pangkat mereka. Salah seorang dari mereka berkata mereka datang dari Bukit Aman. Ini yang saya dengar jelas.

Tidak ada bentrokan berlaku. Hanya laungan sokongan yang saya dengar dari kawan-kawan ketika saya diiringi ke dalam kereta polis. Perlu saya nyatakan, kereta polis ini juga kereta biasa yang tidak ada tanda polis. Ia terletak amat jauh dari tempat saya ditangkap.

Saya tidak terkejut. Saya merancang jika ditangkap, biarlah selepas perhimpunan. Ini harapan saya yang kemudian meleset.

Kami berputar-putar di Kuala Lumpur kerana banyak wilayah yang dilarang masuk. Ada tempat yang menyaksikan kereta di hadapan saya akan berunding dahulu dengan polis beruniform yang bertugas agar kami boleh melintas jalan. Kereta saya diekori oleh sebuah lagi kereta.

Polis membawa saya ke ke ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di hadapan penjara Pudu lama. Saya dibawa masuk ke dalam bangunan IPK. Semua ruang di aras ini telah dipenuhi oleh ribuan anggota polis. Mereka berbaris - tersusun beratur - menunggu arahan.

Saya melihat polis-polis muda yang mungkin pertama kalinya berhadapan dengan tunjuk perasaan. Pengalaman pertama mereka. Berapa jumlahnya yang berbaris tersusun saya tidak tahu, tapi saya yakin mencecah ribu.

Polis yang mengawal saya membuka jalan mengenepikan polis-polis muda yang tersusun berbaris. Polis-polis muda ini melihat saya yang memakai baju kuning BERSIH5 diiring masuk. Saya tidak digari. Saya yakin mereka sedar yang saya adalah orang tangkapan polis. Saya amati muka mereka, ramai yang tersenyum.

Apa makna senyuman ini?

Saya rasa semua anggota polis dalam negara telah didatangkan ke Kuala Lumpur untuk mengawal BERSIH5. Malah saya ternampak polis dari Mahkamah Jalan Duta juga turut sama beratur menunggu arahan. Polis mahkamah adalah polis yang paling tidak polis. Polis mahkamah bekerja di pejabat.

Saya dibawa ke tingkat tujuh untuk disoal siasat.

Untuk warga yang tidak pernah mengalami apa yang saya alami pasti akan gentar. Tapi saya ini telah ‘lusuh’ dengan pengalaman ini. Saya telah terlupa berapa kali saya telah ditangkap kerana kerja-kerja politik. Malah saya berani mengakui diri saya sebagai sosok yang pernah meniduri hampir ke semua balai dan rumah pasung di Kuala Lumpur ini.

Telefon 'cap ayam' diambil

Aras tujuh aras siasatan. Kad pengenalan dan telefon 'cap ayam' saya diambil. Pegawai polis yang mengambil telefon saya tersenyum apabila melihat Nokia lama saya yang berwarna merah. Saya tahu sosok ini kurang yakin yang saya tidak memiliki telefon pintar.

Kemudian baju kuning BERSIH5 yang saya pakai juga perlu dirampas sebagai bahan bukti. Aduh! Saya tak ada baju lain. Pejabat ini semuanya berhawa dingin. Saya menerangkan duduk perkara.

Tetiba muncul seorang hamba Allah yang mengeluarkan satu baju T dari beg bimbitnya. Kenapa dan mengapa sosok ini ada menyimpan sehelai baju dalam beg bimbitnya, wallah hu alam bis sawab.

Baju BERSIH saya disita dan saya dapat baju baru. Saya berterima kasih dan ingin mengenali si polan ini agar saya dapat memulangkan kembali baju ini. Si polan ini menolak cadangan saya. Lalu kami ketawa terbarai. Hakikatnya, tidak ada siapa yang saya kenali nama mereka di sini.

Saya menunggu dan menunggu. Ini amalan biasa jika ditahan atau sedang dalam siasatan polis. Apa yang menarik ialah ramai anggota polis ini telah mengenali saya. Mereka sedikit sebanyak tahu siapa Hishamuddin Rais. Malah ada yang menyebut nama filem Dari Jemapoh.

Jangan lupa teknologi juga telah beralih. Ramai sosok-sosok ini memiliki potensi untuk menjadi Ansel Adam atau David Bailey atau Steve McCurry. Mereka juga sedang merakam detik-detik sejarah.

Hakikatnya, biar saya nyatakan di sini, pada tahun 2016 ini tingkah lalu polis amat amat berbeza dari tahun 1974 atau pengalaman saya pada tahun 1998 di zaman Reformasi.

Mata saya mengamati dan merakamkan semua yang berlaku. Saya rakamkan sebagai bahan sejarah kerana tidak ramai yang berpengalaman ditangkap pada tahun 1974, ditangkap pada tahun 1998 dan ditangkap lagi pada tahun 2016.

Mungkin ada sosok kongsi gelap yang keluar masuk penjara. Tapi mungkin tidak ada antara mereka yang merakamkan apa yang saya rakam untuk pengetahuan dan bacaan umum.

Satu perkara yang ingin saya terangkan di sini tentang konsep relatif. Ini bersangkutan dengan konsep masa. Saya amat yakin Maria Chin Abdullah yang sedang ditahan bawah Sosma sedang merasakan apa yang saya tulis ini.

Ketika dalam tahanan, ketika dalam penjara, masa berjalan amat lambat sekali. Setiap detik yang berjalan di ruang bebas akan bergerak dengan pantas berbanding dengan detik dalam tahanan. Justeru menunggu dalam tahanan adalah penungguan yang maha lama.

Saya menunggu dan menunggu. Ada pegawai polis yang datang bertanya, ada yang melihat dari jauh. Tetiba datang seorang anggota polis membawa makanan - nasi ayam. Sebenarnya ketika dalam tahanan amat jarang saya memiliki selera untuk makan. Tapi saya wajib makan.

Selesai makan tetiba muncul seorang anak gadis, bertudung, belum melintasi 25 tahun. Di leher tersangkut kamera. Anak gadis ini memandang saya. Dia sedang menunggu arahan. Ah! Si minah ini adalah jurukamera polis.

Lalu saya teringat kepada Acino jurukamera The Malaysian Insider - portal yang telah diarwahkan.

Si gadis dengan kamera

Acino lulusan fotografi dari UiTM Seri Iskandar, apakah si gadis ini juga dari kampus yang sama? Saya tidak tahu nama gadis ini, jika saya tahu pasti saya usulkan kepada Acino.

Seorang pegawai mengarahkan agar gambar saya diambil. Saya memakai kembali baju kuning BERSIH. Saya dibawa KE sebuah bilik yang memiliki latar putIh untuk diambil gambar. Ini gambar potret polis - Hishamuddin Rais - OPS BERSIH 12/16. Seperti biasa saya akan tersenyum ketika diambil gambar.

Kenapa saya tersenyum?

Seratus tahun dari hari ini ketika anak cucu cicit kita membuka sejarah BERSIH5, saya yakin mereka akan terjumpa gambar Hishamuddin Rais yang tersenyum. Maka anak cucu cicit kita akan berkata, “Ah! Mereka tidak gentar menghadapi penjara tali gantung. Mereka tersenyum”.

Jika cucu cicit kita ketika itu sedang berjuang melawan kezaliman, mereka tidak akan patah semangat. Senyuman saya dalam tahanan polis ini adalah tanda semiotik generasi 2016.

Wajib saya nyatakan saya telah hampir 4 jam di IPK. Saya masih belum menemui pegawai penyiasat atau IO (investigation officer). Sebelum Nokia saya ditahan saya telah sempat berhubung dengan Suaram untuk memberitahu di mana saya ditahan. Suaram memberi tahu bahawa peguam akan datang. Tapi peguam tidak muncul-muncul.

Dalam bilik berhawa dingin saya kerap ke tandas. Kali ketiga ke tandas saya terserempak dengan seorang anak muda Cina yang memakai baju kuning BERSIH5. Dia berdiri sendirian di ruang menunggu lif tanpa kawalan. Lalu saya bertanya apakah dia juga ditahan.

Tidak anak muda tidak ditahan. Dia adalah pembantu YB Howard Lee dari Pasir Pinji Ipoh.

Ah! Rupa-rupanya saya ada teman. Saya kenal dengan Si YB ini. Malah saya pernah dijemput ke Ipoh untuk bersama sidang akhbar ketika melancarkan program BERSIH5 di Perak. Tapi di mana YB ini disimpan? Pulang dari tandas mata saya liar mencari.

Pada ketika ini saya akan dibawa ke bilik pegawai penyiasat. Tim yang menangkap saya ingin beredar. Kami bersalaman. Dan saya sekali lagi berterima kasih kerana dapat baju baru. Jelas tugas tim itu hanyalah menangkap dan membawa hasil tangkapan ke IPK.

Sebelum beredar salah seorang dari tim ini bersuara: “Di mana kamu malam tadi? Kami cari...”

Mungkin ini suara dari yang pegawai yang berpangkat.

Saya ketawa kuat dan terus menjawab: “Ada, saya ada di rumah. Tak ke mana-mana. Lain kali boleh telefon minta saya ke balai. Tak perlu datang ke rumah. Anjing saya Ezi akan bising menyalak jika orang tak dikenali datang.”
Kami bersama-sama terbarai ketawa.

Betul telah dua kali polis datang menyerbu ke flet tumpangan saya. Ezi akan menderam ganas jika ada aroma yang tidak dikenali berdiri di luar pintu.

Selesai berjabat tangan saya dibawa masuk ke dalam bilik siasatan. Bilik ini tidak luas. Ada satu meja dan dua kerusi. Satu PC. Di dinding ada tertera gambar-gambar orang yang telah disiasat. Ada beberapa keping gambar jantan Afrika. Beberapa keping gambar lelaki India.

Gambar siapa di dinding?

Seorang polis muda masuk dan duduk di meja. Apakah ini pegawai penyiasat? Untuk melunakkan keadaan saya melawak.

“Pastikan lepas ini gambar saya ada ditampal sama.”

Bayangkan, nama pegawai polis ini juga ialah Hisham. Saya hampir tidak percaya. Tapi inilah sejarah. Apa pangkat Hisham saya tidak pula bertanya.

Yang saya tanyakan adakah dia pegawai penyiasat?

Hisham menjawab “tidak”. Pegawai penyiasat ialah ASP Tan dari balai Dang Wangi. Dalam bilik ini dia hanya mengambil maklumat asas – lnama, tarikh lahir dan nama keluarga.

Kemudian saya ingin ke tandas sekali lagi. Rasa saya jam telah melintasi lebih dari pukul tiga. Saya hilang kiraan waktu. Kali ini di ruang masuk saya ternampak Armand pemimpin Baju Merah. Ah! Arman juga ditahan.

Armand mengenali saya. Saya menghampiri dan terus bersalaman. Di atas dinding tempat Armand duduk tertera nama-nama sosok yang dijangkakan akan hadir di BERSIH5. Gambar Armand dan gambar saya ada tertera. Semakin jelas untuk saya aras ini adalah aras OPS BERSIH.

Gambar siapa lagi di dinding? Tunggu minggu hadapan. 
 


NOTA: Ketika menulis tulisan ini, Berita Maria Chin dibebas, sampai. Salut!

Lihat Komen