malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketika saya menggarap tulisan ini sebenarnya saya lakukan dengan kesedihan dan kekecewaan. Saya sedih apabila saya memahami apa yang sedang berlaku ke atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama saya merasa kecewa kerana saya merasakan diri saya tidak dapat melakukan apa-apa. Saya terkapai-kapai menjadi saksi melihat kemusnahan alam dan muka bumi ini.

Pada tahun 1992 stesen TV BBC telah membuat sebuah filem dokumentari The Elder Brothers’ Warning (Amaran Abang Tua) arahan Alan Eriera. Filem BBC ini panjangnya hampir 1 jam setengah.

Apabila stesen Public Broadcasting Service daripada Amerika membeli program ini, ia perlu dipendekkan lima minit. Ketika itu saya warga kota London. Justeru saya mendapat peluang menjadi pembantu Horacio Queiro, tuan penyunting, untuk memendekkan filem yang menggunakan seluloid 16mm. Dua minggu kami bekerja di Soho.

Selama dua minggu sambil bekerja sambil saya menghayati naratif yang dibawakan oleh filem ini. Dokumentari ialah tentang gaya hidup bangsa Kogi. Mereka tinggal di pergunungan Sierra Nevada de Santa Marta di Colombia. Wilayah Kogi ialah 19,000 kaki dari permukaan laut di atas pergunungan Andes di Amerika Latin.

Masyarakat Kogi yang hidup di pergunungan bersalji ini amat mesra alam. Dari pemahaman saya masyarakat Kogi memiliki falsafah hidup sama seperti yang dimiliki Orang Asal datuk nenek moyang saya sebelum kami dipengaruhi oleh budaya Arab.

Untuk masyarakat Kogi sama seperti Jakun, Senoi atau Temiar, mereka percaya semua wujudiah dalam dunia memiliki roh dan semangat. Manusia, binatang, pokok, batu atau air adalah bentuk fisikal. Semua bentuk fisikal ini memiliki roh dan semangat. Justeru apa saja yang kita usik bermakna kita mengusik jisim dan roh.

Dalam filem ini masyarakat Kogi telah memberi amaran kepada kita - adik muda. Kita semua yang duduk di bawah gunung dianggap oleh Kogi sebagai adik muda. Kogi yang tinggal di atas puncak gunung menganggap diri mereka abang tua.

Abang tua telah memberi amaran kepada adik muda. Amaran kepada kita semua agar ‘berhenti’ melakukan apa yang sedang kita lakukan kepada alam ini. Abang tua kita memberi tahu bahawa salji semakin berkurangan di Pergunungan Andes. Takungan air salji semakin susut. Ini tanda-tanda bala dan malapetaka akan sampai. Bila salji di atas gunung kurang bermakna air di bawah gunung akan susut. Bila air kurang musim kering akan sampai.

Amaran abang tua ini disampaikan melalui BBC pada tahun 1992. Ini 14 tahun dahulu. Hari ini bumi manusia semakin hangat.

Malaysia sebuah negara tropika yang cuaca biasanya tidak pernah melintasi 30 darjah centigrade. Kini semua telah berubah. Sekolah di Kedah dan Perlis - ketika saya menulis ini - masih ditutup kerana panas. Langkawi dan Chuping terus dibakar matahari.

Dari laporan media saya difahamkan banyak daerah di utara Tanah Melayu telah menjadi kering kontang kerana hujan tak sampai-sampai lebih dari satu bulan. Rekod panas yang melintasi 39 darjah centigrade dirakam untuk pertama kalinya di bumi Malaysia.

Yakinlah ini satu perubahan hakiki. Ini satu ledakan perubahan cuaca yang membawa implikasi yang amat mendalam. Amaran abang tua kelihatan tepat dan betul. Hanya adik muda yang ingkar tidak mahu mendengar.

Analisa radikal

Apakah kita semua – anak semua bangsa – dalam bumi manusia ini tidak mahu mendengar amaran demi amaran tentang pemanasan dunia? Atau anak semua bangsa tidak memahami apa yang sedang berlaku. Soalan ini selalu saya tanya kepada diri saya sendiri. Saya tidak memiliki jawapan.

Tetapi saya memahami apa yang sedang berlaku terhadap alam ini. Saya memahami kenapa pemanasan dunia hari ini berlaku. Sama seperti pembacaan dan hujah saya terhadap politik – yang mana punca kuasa politik ialah ekonomi. Dalam isu pemanasan bumi manusia juga saya menggunakan ekonomi sebagai punca.

Dunia moden kita yang berpaksikan sistem ekonomi kapitalis telah mengajukan satu budaya gaya hidup konsumer. Falsafah budaya kapitalis ini ialah kita membeli, kita memiliki dan kita memakai, maka kita bahagia. Memiliki dijadikan asas untuk mencapai kebahagiaan. Lagi banyak yang kita miliki, lagi banyak benda yang kita punya maka lagi bahagialah hidup kita. Ini adalah ajaran falsafah budaya kapitalis. Kamu membeli maka kamu wujud. Kamu memiliki maka kamu bahagia. Harta milik individu menjadi rukun iman budaya kapitalis.

Saya telah lama cuba membawa pencerahan untuk menunjukkan kepada anak semua bangsa bahawa sistem ekonomilah yang melahirkan budaya yang kita guna pakai hari ini. Budaya inilah yang sedang membawa kita semua ke dalam kancah malapetaka ini. Hakikatnya krisis pemanasan bumi ini adalah hasil perbuatan manusia sendiri. Lahir dari budaya yang kita amalkan.

Kekeringan salji di Andes, di Himalaya atau di Kutub Utara hanyalah manifestasi tentang sakit yang sedang dialami oleh bumi manusia. Apakah masih ada yang sangsi tentang ke wujudnya pemanasan dunia? Apakah masih ada yang tidak sedar tentang hakikat ini?

Untuk memahami secara jujur apa yang sedang berlaku maka telah sampai masanya kita menganalisa pemanasan bumi ini secara menyeluruh. Bukan penganalisaan tempat tempatan. Bukan penganalisan terpisah-pisah. Kita wajib melihat permasalahan pemanasan dunia ini secara menyeluruh.

Sama seperti memahami krisis Orang pelarian perang masuk ke Eropah pada ketika ini bukan kerana Turki membuka sempadan atau kerana Greece kurang pengawalan atau kerana Sweden mengalu-alukan kemasukan pelarian. Bukan. Bukan. Bukan.

Orang pelarian perang bermula dengan perang. Perang bermula di Syria, di Libya, di Afghanistan dan di Palestin. Syria diserang kerana apa? Syria diserang kerana enggan memberi laluan paip minyak milik Saudi/Amerika. Kaum pemodal syarikat minyak melobi politikus di Rumah Putih untuk menyerang Syria. Libya dan Afghanistan diserang kerana apa? Kerana minyak. Orang pelarian perang muncul daripada perang. Perang muncul kerana perebutan ekonomi. Justeru semuanya kembali kepada kepentingan ekonomi. Ekonomi ini ialah sistem ekonomi kapitalis.

Pemanasan dunia hari ini juga wajib dianalisa secara radikal dan total. Jika penganalisaan kita tidak radikal maka wujudiah kita di bumi manusia ini hanya mengotorkan oksigen dan mengambil ruang. Segala analisa dengan bergantang-gantang data ilmiah akan dilihat hampeh jika tidak disebutkan semua ini berpunca dari sistem ekonomi kapitalis.

Selama lebih dari 200 tahun semenjak Revolusi Industri berlaku bumi manusia ini telah dijajah oleh sistem ekonomi kapitalis. Pada awalnya urusan jual beli dari negara ke negara melalui kapal layar. Atau saudagar datang berniaga dengan menaiki karavan dari China melintasi Iran, ke nagara Arab, menuju Eropah. Ini di zaman mercantile capitalism .

Balak Pahang, Kelantan, Sabah, Sarawak

Kini semuanya telah berubah. Dari mercantile capitalism beralih menjadi kapitalis industri. Dari kapitalis industri menjadi kuasa imperialis yang menyaksikan wilayah dijajah untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Jangan sesekali dilupakan keuntungan maksimum adalah rukun iman kaum kapitalis.

Hasilnya kita melihat Selat Melaka menjadi selat yang paling sibuk dalam dunia. Pantai dan pesisiran Selat Melaka yang 40 tahun dahulu landai berpasir kini menjadi wilayah paling kotor dalam dunia. Selat Melaka kotor kerana banyak kapal lalu lalang. Kapal lalu lalang kerana membawa barang perniagaan. Berniaga ialah sistem kapitalis.

Justeru tidak salah jika saya katakan pantai Teluk Kemang, Batu Lapan Port Dickson menjadi kotor kerana sistem kapitalis. Jika kekotoran ini bukan diwujudkan oleh sistem kapitalis samalah seperti menolak hakikat perang Syria bukan kerana bahan bakar petroleum.

Para saintis sebulat suara bersetuju dan menerangkan bahawa bumi manusia ini menjadi panas kerana ruang udara di atas muka bumi ini sedang dibungkus oleh karbon dioksida atau Co2.

Co2 ini muncul kerana pembakaran minyak dan arang batu. Co2 ini tahun demi tahun bertambah dan terkumpul di ruang udara. Pada ribuan tahun dahulu, semenjak kun fi ya kun, Co2 ini disedut oleh tumbuh-tumbuhan, dedaun kayu-kayan dan laut. Kini setengah Co2 ini tidak lagi disedut oleh dedaun pokok dan laut. Co2 makin banyak berkumpul di ruang udara. Ini yang menjadikan bumi manusia panas.

Ribuan tahun dahulu Co2 boleh disedut oleh deduan hijau. Kalau dulu Co2 disedut oleh hijauan daun kayu dan dimuntahkan sebagai oksigen, kenapa sekarang tidak boleh disedut untuk dibersihkan oleh daun daun kayu? Kenapa tidak berlaku lagi sekarang?

Jawabnya banyak hutan telah ditebang oleh manusia. Manusia menebang hutan untuk mengambil balak. Balak di Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak makin pupus. Ini belum diambil kira hutan Amazon yang makin mengecut. Hutan Amazon ini mengeluar 30 peratus oksigen untuk umat manusia di muka bumi ini.

Apabila kayu ditebang yang ikut sama gugur ke bumi ialah dedaun kayu. Semakin kurang hutan semakin kurang dedaun kayu. Maka semakin banyak Co2 yang tidak dibersihkan memasuki ruang udara.

Kenapa balak ditebang? Sila tanya Nik Abduh dari Kelantan, sila tanya Taib Mahmud dan Ting Pek Kiing dari Sarawak, sila tanya Musa Aman dari Sabah. Sila tanya cukong dari Sarawak dan sila tanya Felda.

Bila saya tuduh global warming disebabkan oleh Nik Abduh, atau Felda atau Ting Pek Kiing atau Taib Mahmud atau oleh tauke balak atau oleh sistem kapitalis, pasti ramai yang mengatakan Hishamuddin Rais telah gila. Dia telah dipengaruhi abang tua gunung Andes. Tetapi inilah fakta. Inilah hakikat bahawa kita semua bertanggungjawab.

Lihat Komen