malaysiakini logo
story-image
ADS

“Di udara dingin mengaum sejarah…” kata-kata penyair Indonesia Sitor Situmorang seolah bergema di sanubariku ketika saya menjejaki Frankfurt, kota kelahiran penyair Jerman agung Johann Wolfgang von Goethe.

Angin musim gugur lembut bertiupan, daun-daun emas kemerahan berserakan di lorong dan taman, membuat fikiran saya melayang dan merenung tokoh sastera dan sejarah yang berasal dari kota ini.

Antanya, Goethe, yang memperkayakan kesusasteraan dunia dengan karya agungnya ‘Faust’; Theodor Adorno, salah seorang pemikir terpenting dari ‘Mahzab Frankfurt’ yang mengasaskan aliran teori kritis; dan Anne Frank, yang sempat merakamkan kehidupan di bawah pentadbiran kejam Nazi di sebuah buku catatan harian sebelum kematiannya pada umur 15 di kem tahanan.

Menerusi karya tulisan masing-masing, ketiga-tiga tokoh ini telah membantu membentuk suara hati manusiawi dan moral di masyarakat Jerman yang sampai hari ini bersedia bersemuka dengan peristiwa sejarah yang kelam.

Dua minggu lepas saya melawat Frankfurt sempena Pekan Raya Buku Frankfurt (Frankfurt Book Fair), di mana Indonesia menjadi negara tetamu kehormat tahun ini. Saya telah diundang oleh Komite Nasional Pelaksana Pekan Raya Frankfurt 2015 untuk mengambil bahagian dalam sebuah persidangan dua hari di Universiti Goethe Frankfurt.

Tema yang dipilih adalah '70 Years of Textual Production in Indonesia: Cultural traditions informing modern productions'. Persidangan ini dijalankan menjelang pembukaan rasmi Pekan Raya Buku.

Dalam sesi yang saya sertai, ‘Translating Faust’, saya memberi ulasan dan pembacaan terjemahan Faust ke dalam bahasa Melayu oleh Latiff Mohidin, penyair dan pelukis tersohor Malaysia. Terjemahan tersebut diterbit oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pada tahun 2012.

Bila Goethe berpantun

Karya agung Goethe itu mengisahkan tentang Faust, sang sarjana yang membuat perjanjian dengan Mephisto, sang iblis. Faust berasa resah dan tidak puas hati dengan kehidupannya kerana ingin mendapat segala ilmu di dunia.

Maka dia menjual jiwanya kepada Mephisto demi ilmu dan sekiranya Mephisto menunaikan janjinya, Faust bersedia menjadi penghuni neraka. Dengan ilmu ghaib, Mephisto membolehkan Faust menikmati pengalaman segala macam, termasuk godaan seorang gadis perawan, Margarete.

Kesemua ini membawa kepada yang rangkaian peristiwa yang tragis – abang Margarete ditikam mati oleh Faust, Margarete kemudian membunuh anak haramnya, dan akhirnya mengambil nyawa sendiri. Faust yang telah membuat perjanjian dengan sang iblis, tidak berdaya untuk menyelamatkan sesiapa.

Sahabat saya ZF Zamir, penulis dan pengasas rumah terbitan bebas, Thukul Cetak, juga hadir di Frankfurt untuk menghayati Pekan Raya Buku. Saya gembira kerana Zamir sanggup membaca serpihan karya terjemahan Pak Latiff bersama saya, walaupun baru sampai dan belum ada peluang berehat,.

Ternyata, Zamir membawa watak Mephisto dengan sungguh meyakinkan. Beginilah kata-kata Mephisto kepada Faust:

Temanku, segala pancainderamu akan menemukan

Begitu banyak nikmat, satu jam bersamaku waktu ini

Daripada tahun-tahun yang pernah kau lalui dahulu.

Segala apa yang dinyanyikan oleh roh halus itu –

Segala gambaran indah yang diperlihatkan padamu

Bukanlah suatu permainan sihir yang sia-sia belaka.

Ini adalah wangian untuk hidung, madu untuk mulut,

Begitu mempesonakan menyentuh seluruh perasaan.

Dan semua ini tidak memerlukan apa jua persediaan,

Cuma kita berdua di sini, mari kita bersama mulakan.

Faust mencerminkan pergelutan intelektual dan moral di zaman Pencerahan. Ketika itu manusia berasa tidak puas hati dengan batasan ilmu pengetahuan namun gagal untuk menguasai segala ilmu di dunia.

Goethe barangkali cuba menyatakan bahawa manusia harus terima batasan pengalaman dan pengetahuannya. Namun, Faust bukan sebuah kisah moral yang hitam putih. Faust bukan watak jahat, dia tidak sengaja menyebabkan berlaku kejadian buruk, cuma penyesalannya terlambat.

Sikap melampaunya untuk memperolehi segala ilmu dan nikmat di dunia menyebabkan Faust terlupa kedudukan manusia di alam semesta dan menolak kenyataan bahawa kehidupan manusia ada batasannya.

Dari sudut ini, Faust melambangkan protagonis pencerahan dan kemajuan yang menyerah kepada kuasa akal saintifik dan rasional. Ironisnya, perasaan tidak puas Faust menyebabkan hatinya terbuka kepada alam ghaib dan sedia menerima tawaran Mephisto.

Goethe seolah-olah memberi petunjuk kepada pembaca agar kita insaf pada batas akal budi dan tidak melupakan keindahan jiwa manusia.

Antara perkara menarik dalam terjemahan Latiff Mohidin ialah penggunaan bentuk pantun untuk mengungkapkan bentuk puisi Goethe yang rumit. Latiff Mohidin berjaya mengalih rentak dan imej puisi Goethe yang kaya dan jitu ke pantun Melayu. Alangkah indahnya bila Goethe berpantun:

Awan berarak kabus bergulung,

Fajar bersinar alang kepalang,

Bayu di daun angin di tanjung,

Cerita tamat kisah menghilang.

Di majlis pembukaan Pekan Raya Buku Frankfurt pada 13hb Oktober, Endah Laras memukau para hadirin dengan sebuah lagu tembang Jawa abad ke-19, Kisah Malang Sumirang.

17,000 pulau kaya imaginasi

Malang Sumirang, juga dikenali sebagai Sunan Panggung, ialah seorang bangsawan dari Demak dan merupakan anak Sunan Kalijaga, salah seorang daripada Wali Songo yang menyebarkan ajaran agama Islam ke kawasan pedalaman di Jawa pada abad ke-15.

Malang Sumirang dijatuhi hukuman mati dibakar hidup-hidup oleh Raja Demak lantaran kepercayaan sufinya yang dianggap melanggar Dewan Wali serta melawan pemerintah Demak.

Sebelum dibakar, Malang Sumirang meminta dakwat dan kertas. Di tengah-tengah lidah api yang menyala panas, beliau menulis renungan dan ajaran kebatinan yang dikenali hari ini sebagai Suluk Malang Sumirang.

Mengikut kisahnya, api itu terpadam dan tidak membakar jasadnya, maka Malang Simurang terlepas dari hukuman; beliau berjalan pergi, menghilangkan diri di sebuah hutan.

Dalam ucapan pembukaannya sasterawan Indonesia yang terkenal, Goenawan Mohamad, selaku Pengerusi Komite Nasional Pelaksana Pekan Raya Frankfurt 2015, membincangkan perlambangan dalam kisah Malang Simurang:

“Malang Sumirang menulis – dan dengan itu ia mengubah mereka yang berkuasa menjadi yang tak berdaya. Tak berdayanya kekuasaan itu juga yang menyebabkan apa yang ditulis Malang Sumirang — mungkin puisi – terlepas dari cengkeraman makna yang dipaksakan.

Boleh dikatakan kisah ini adalah sebuah alegori tentang makna yang tidak bisa dikuasai, seperti tokoh cerita ini yang menghilang ke dalam hutan. Ibarat terlindung dalam belantara yang lebat, makna tak mudah dijinakkan untuk dimuafakati dan dimuafakati untuk dijinakkan. Makna tak mudah diringkus.”

Bagi Mas Goen, Kisah Malang Sumirang itu menggambarkan kuasa penulisan dan peranan sastera dalam membuka minda dan ruang perbualan antara manusia:

“Yang saya harapkan ialah bahwa kita semua bersedia mengingat kembali apa yang dilakukan Malang Sumirang: kita menulis untuk menegaskan kesetaraan manusia. Kita menulis untuk menghidupkan percakapannya. Dan dengan demikian kita menulis juga untuk menumbuhkan kemerdekaannya.”

Tema Pavillion Indonesia, sebagai negara tetamu terhormat di Pekan Raya Buku Frankfurt 2015, ialah ‘17,000 Pulau Kaya Imajinasi’. Senibina Pavillion Indonesia yang mengagumkan itu merupakan hasil kerja jawatankuasa rekabentuk yang diketuai oleh arkitek Avianti Armand, dengan rekabentuk oleh Muhammad Thamrin.

Ia disusun sebagai pameran interaktif yang merangkumi beberapa ‘pulau’ – Island of Illumination, Island of Words, Island of Images, Island of Tales, Island of Inquiry, Island of Spice, Island of Scenes.

Sastera lisan dipamerkan di sebelah sastera tertulis, manuskrip kuno dari setiap penjuru Kepulauan Indonesia dikelillingi tanglung yang menyuluh petikan dari Pramoedya Ananta Toer, Chairil Anwar, Kartini, Rendra, Sutan Takdir Alisjahbana dan Sitor Situmorang.

Antara penulis yang hadir di Frankfurt untuk membincangkan karyanya termasuk Sapardi Djoko Damono, Ayu Utami, Eka Kurniawan, Laksmi Pamuntjak, Leila Chudori, dan Linda Christianty.

Pada keseluruhannya, penampilan Indonesia sebagai tetamu terhormat di Pekan Raya Buku Frankfurt 2015 melibatkan pendekatan intelektual dan kesenian yang tinggi.

Sastera Malaysia?

Bagaimana pula dengan penampilan sastera Malaysia di Frankfurt tahun ini? Secara jujur, ia mengecewakan.

Tema yang dipilih oleh wakil negara kita untuk Pavillion Malaysia tahun ini ialah Citarasa Malaysia (Flavours of Malaysia), lengkap dengan demo masak-masak. Tetamu yang melawat Pavillion Malaysia dijemput menjamu selera dengan nasi lemak, satay, dan lain-lain.

Antara acara utama Malaysia di Pekan Raya Buku Frankfurt tahun ini ialah pelancaran sebuah buku meja kopi tentang keropok lekor. Kononnya, makanan tempatan dan aktiviti masak-masak seperti ini pasti menarik perhatian penerbit asing.

Apa yang tak kena di sini? Bukankah tema Citarasa Malaysia lebih berpatutan di sebuah pesta makanan dan bukannya di Pekan Raya Buku yang terbesar dan terpenting di dunia?

Nasib baik ada pelancaran dua buah buku dalam terjemahan Jerman – Willkomen zu Hause, Juita (Selamat Pulang, Juita) oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, dan Der Damm (Empangan) oleh Zakaria Ali, serta pelancaran Antologi Cerpen dari Malaysia, Singapura dan Indonesia oleh ITBM. Namun, selain daripada buku-buku tersebut, nampaknya kurang sastera yang disajikan di Pavillion Malaysia.

Komite Nasional Pelaksana FBF Indonesia terdiri daripada para penulis dan budayawan yang tahu bidangnya. Walaupun ada kritikan terhadap proses pemilihan dan promosi yang kononnya kurang seimbang, jawatankuasa tersebut jelas cuba mengetengahkan sastera Indonesia melalui idea dan perbincangan yang menyeluruh tentang sejarah, politik, budaya, puisi, terjemahan dan sebagainya.

Kalau dibandingkan, Malaysia nampak seperti kurang mengutamakan sastera, sebaliknya mementingkan daya tarikan pelancongan yang boleh diperas dari makanan Malaysia yang beraneka rasa.

Sebagai seorang penulis, saya tertanya-tanya: apakah kaitan aktiviti masak-masak ini dengan sastera sebenarnya? Apakah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia benar-benar membaca buku, ataupun lebih banyak menghabiskan masa dengan makan minum?

Kata-kata penyair Russia terkemuka, Joseph Brodsky, bergema pula dihatiku: “Ada perbuatan jenayah yang lebih teruk dari membakar buku. Salah satu ialah tidak membaca.”

Pihak yang mengendalikan perwakilan Malaysia di Pekan Raya Buku Frankfurt jelasnya agak terasing dari perkembangan sastera yang sedang berlaku secara organik dan pesat di kalangan penulis dan penerbit bebas.

Walaupun wakil penerbit bebas, DuBook Press, diberi ruang untuk mempamerkan dua buah buku di Pavillion Malaysia, tidak ada perbincangan awam yang dikendalikan ataupun acara sampingan yang boleh membantu menarik perhatian penerbit asing.

Yang jelas: Pendekatan badan sastera kebangsaan kita bukanlah bersifat intelektual, pendekatannya berdasarkan nilai komersial dan pelancongan. Semangat sastera kita seolah terkubur di bawah kejumudan dan birokrasi institusi yang mewakili sastera Malaysia di persada dunia.

Apakah ini bermakna bahawa Malaysia tidak mempunyai penulis dan idea yang penting dan mampu menarik minat dan perhatian dunia? Tentu sekali tidak. Ingat sajalah nama Keris Mas, Usman Awang, Latiff Mohidin, T. Alias Taib, Wong Phui Nam, KS Maniam, Muhammad Haji Salleh dan ramai lagi penulis generasi lama.

Nama novelis muda yang dianggap ‘kontroversi’, Faisal Tehrani, sering disebut di bibir pembaca sastera bahasa Melayu. Penyair muda seperti Shaira Amira juga harus diberi perhatian. Buku-buku akademik oleh Farish A Noor dan buku-buku sejarah warisan oleh Khoo Salma Nasution amat layak untuk diterjemahkan ke dalam bahasa asing.

Ada juga penulis Malaysia yang berbahasa Cina yang telah memenangi anugerah di Taiwan dan sebagainya. Ini belum lagi sentuh kekayaan sastera lisan yang wujud di Malaysia, baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak. Apakah kita tidak kenal sastera kita sendiri?

Malaysia tidak kekurangan dari segi bakat kreatif, kita kekurangan dari segi keberanian intelektual dan daya imaginasi untuk membawa kesusasteraan dan kebudayaan kita ke dunia luas. Kita begitu mudah lupa bahawa sastera dan seni agung sesebuah masyarakat lazimnya muncul dari semangat kebebasan, bukannya dibentuk oleh institusi-institusi kerajaan.

Kesuburan ruang intelektual dan budaya adalah pemangkin kepada penciptaan sastera dan seni. Barangkali kita harus mencari kembali semangat kebebasan yang terpendam itu.

Seperti yang pernah dikatakan oleh Theodor Adorno dalam ulasannya tentang Faust: “Harapan bukanlah ingatan tetapi kemunculan kembali apa yang dilupai.”

Lihat Komen