malaysiakini logo
story-image
ADS

Jikalau aku menteri pelajaran, sekolah tidak akan menjadi sekandang haiwan, ujarku. Mata Cu tidak berkelip, mengiyakan, mungkin juga kabur memikir. Luqman di sisinya mencelah dengan mengatakan anak-anak hanyalah robot.

Sungguh-sungguh aku tidak menyangkal. Mereka kelihatannya sudah kehabisan alternatif untuk memberi yang terbaik. Nasi putih dengan lauk-pauk Melayu yang kami hidang sudah habis disentuh semuanya. Air Delster sudah bertalian dan kini diganti teh panas.

Jerit anak-anak bermain, melompat dan berebut mainan menjadi rencah dan sela perbualan manusia dewasa. Cu baru pulang dari Seattle kira-kira seminggu dan dia membawa khabar mengenai alam sekolah di Amerika Syarikat.

Sungguh-sungguh aku tidak menyangkal. Aku terpaksa mengakui bahawa di Jerman, tatkala menegur angin Eropah pada awal 2006 hingga 2007, dan kemudian di hujung 2012 aku telah memerhatikan yang sekolah di bumi tersebut amat menekankan keseronokan dalam pengajian. Kelihatannya anak-anak tidak terbongkok menggalas beg yang berat dengan berpuluh buah buku.

Di dalam tren mereka kelihatan bijak, berinteraksi pelbagai bangsa dan agama; tertawa dan lincah metah. Tidak aku melihat anak-anak yang kelesuan atau pada mata mereka berisi kebencian kepada sekolah. Tiada wajah mendung kerana menelan penderaan batini. Tidak sekali aku melihat guru yang melangkah masuk ke kelas-kelas pengajian dengan hati separuh setelah terkial mengisi dan meladeni pelbagai sistem atas talian yang perlu sering dikemaskini. Guru tidak hadir untuk memerintah dan kelihatannya tidak memiliki kuasa penuh. Seolah-olah guru-guru dan anak-anak punya darjat yang sama.

Di situ, aku melihat kumpulan guru yang disebut-sebut penyair Seneca, pada tahun 65 sebelum masihi bahawa ‘yang mengajar itu juga sedang belajar daripada yang diajar’. Pokoknya, anak-anak di kota Koln, Bonn dan Frankfurt yang sempat aku mesrai menggemari siang mereka perlu ke sekolah, dan membenci minggu-minggu percutian kerana seakan-akan bercuti mengakibatkan mereka terputus atau kehilangan dunia yang begitu indah sekali.

Lamunanku itu mati andar apabila Cu malah menegaskan, di Amerika Syarikat, anak yang pulang tidak membawa kerja rumah. “Hanya sebuah novel kanak-kanak untuk dibaca.”

Ahad lalu bukanlah kali pertama aku mendengar sendiri rungutan daripada ibu bapa mengenai sekolah dan pendidikan anak-anak. Aku percaya sesungguhnya terdapat banyak rintihan seumpama ini, terapung, berkesiuran seperti asap jerebu dan bertiup merebak ke mana-mana jua pun. Ia menyesak pedih, membuatkan kesihatan memburuk.

Anak-anakku masih belum bersekolah. Namun demikian aku menyedari bahawa saban detik, saban hari dan minggu adalah pendidikan buat mereka. Anak-anak sedang belajar setiap yang diserap. Akan tiba zaman anak-anakku menjejak kaki ke sekolah. Mereka, anak-anak membesar dengan cepat sekali.

Ibu bapa tiada pilihan

Aku percaya ramai ibu-bapa yang akan bersetuju bahawa anak-anak mereka menjadi remaja dengan tiba-tiba. Sekelip mata mereka perlu menangani cabaran demi cabaran yang membuat pagi mereka terpinga dan malam mereka dilambung keresahan. Nanti, aku akan juga menjadi seperti sekian ramai ibu-bapa yang ditimpa kekhuatiran bahawa sistem yang sedang membentuk anak-anak kami adalah sistem yang bejat.

Aku membayangkan ketakutan yang kalian alami. Anak-anak kesayanganku bakal dihantar setiap pagi supaya menjadi hewan. Kami akan mendewasakan ternakan tanpa disedari. Itu adalah realiti yang menggerunkan. Tetapi kami, ibu-bapa tidak mempunyai pilihan.

Aku sebagai bapa akan terpaksa, dan dengan kemampuan ekonomi yang terbatas kami sebagai ibu dan bapa akan dengan berat hati menghantar anak ke kandang itu; setiap pagi, dan petangnya mengutip kembali seekor hewan; kambing atau lembu yang perlu satu masa kelak menggelumangi masyarakat pula. Sungguh-sungguh aku tidak berdaya menyangkal lagi bahawa persiapan itu tidak rapi sama sekali.

Alam persekolahan anak, sistem pendidikan bukan sama sekali; bukanlah dunia eksperimen poli-tikus. Namun dengan rasa tidak berdaya anak-anak ini akan kita biar diperkotak-katik, menjadi kotak nan katik oleh poli-tikus. Anak-anak ini kemudian setelah menjadi kotak katik akan menjadi kumpulan generasi yang kekal serta tetap mempertahankan kekuasaan poli-tikus.

Ini kerana di sekolah anak-anak tidak lagi bertanya. Mereka tersogok, tersuap dan terjolok; mereka menelan dan menerima itu adalah kebenaran. Suis akal mereka senyap-senyap dimatikan. Kita sebagai ibu-bapa pasrah sahaja bahawa kecurigaan dan kemusykilan anak-anak telah lumpuh.

Tentu sebagai ibu atau bapa, kita masih mengingat bagaimana di usia tiga tahun anak-anak kita akan bertanya kenapa itu dan kenapa ini. Waktu itu kita belajar seni menjadi seorang ibu atau bapa. Kita tidak benar tahu apakah ia seni yang betul, tetapi ia seni dan amanah sekali gus. Akan tetapi sebaik anak-anak kita disekolahkan; mereka tiba-tiba berhenti bertanya. ‘Kenapa’ yang sering bergema tiba-tiba memudar dan lesap.

Kita berasa lega, kerana menyangka guru-guru telah mengambil alih peranan menjawab setiap ‘kenapa’ yang pernah dikemukakan. Sebenarnya, ibu bapa tidak lagi sedar bahawa ‘kenapa’ sudah tidak lagi ditanyai. Guru-guru malah tidak memberi peluang anak-anak itu bertanya. ‘Kenapa’ dengan tiba-tiba bantut, terkotak dan terkatik, anak-anak menjadi bantut.

Sabtu lalu, beberapa jam sebelum Cu dan Luqman mampir; seorang guru tadika singgah meratah bihun di rumahku. Suaminya insan tersohor di alam maya. Kami berbual bermacam-macam-macam-macam. Dan isterinya, seorang guru tadika kataku tadi, menceritakan perihal adanya seorang anak empat atau lima tahun bertanyakan, adakah Allah akan tetap seorang Pencipta jika manusia tidak dicipta?

Aku terkerlip membayangkan anak tersebut bertanya dengan polos dan betapa payahnya seorang guru graduan MSU dari Shah Alam ingin memuaskan kemusykilan seorang anak. Jawapan itu penting, kerana ia akan mematikan atau menghidupkan anak itu seterusnya. Ia akan menjadikan anak itu seorang yang beriman tanpa bertanya, atau beriman kerana bertanya. Dua hakikat itu berbeza.

Pertanyaan anak kecil

Dahulu, aku pernah menemui anak kecil di sekolah rendah yang bertanya; mengapakah orang yang baik akan tetap ke neraka hanya kerana dia bukan seorang Muslim? Pada akal tujuh tahunnya itu amat rumit, malah tidak adil sekali bahawa teman sekolah bernama Athi yang menurutnya budiman sekali kerana sudi berkongsi maruku setiap hari akan berakhir di neraka setelah dunia bergulung dimusnahkan dan manusia bangkit lagi di alam akhirat.

Aku juga pernah ditanya bahawa jika benar ayat Iqra’ itu ayat pertama, dan jika ia merupakan sebuah surah yang penting kerana menegaskan ketunjangan ilmu dan intelektual anak-anak Adam maka mengapa pula ia diletak dan disusun di belakang? Mengapa tidak ia diatur mengikut kronologi? Mengapa mesti ia begitu atau begini. Kenapa dan kenapa. Ibu-bapa, atau guru agama akan berdepan dengan simpang di tengah pertanyaan itu.

Jika kita menjawab, “Sudahlah jangan bertanya; ini kan agama kerana ia penuh misteri maka ambil sahaja”; maka kita telah menyediakan satu generasi anak-anak yang dicantas kemampuan akalnya. Anak-anak yang menurut dan dicucuk hidung.

Di usia tiga tahun, anak perempuanku sudah pun bertanya apakah dia akan suatu hari nanti dapat juga bertemu Allah, Tuhan, yang sering aku sebut-sebutkan kepadanya. Ia, soalan itu mencabar sekali buatku sebagai bapa. Apakah aku mahu ia menjadi dewasa sebagai seorang yang beriman tanpa bertanya, atau beriman kerana bertanya.

Sungguh-sungguh aku tidak dapat menyangkal lagi bahawa dunia sekolah hari ini adalah dunia yang menyediakan anak-anak kita kepada kepatuhan hanya kepada buku-buku teks, dan jawapan telanjang guru yang separuh hati. Kita sedang meracuni anak-anak saban waktu.

Sekonyong-konyong tiba-tiba Cu bertanya, “Jika abang menjadi menteri pelajaran apakah yang abang akan lakukan?”

Soalan itu seperti soalan “kenapa” untuk seorang anak. Ia adalah soalan di simpang yang akan menjadikan seorang dewasa beriman kepada kuasa dan poli-tikus tanpa bertanya, atau beriman dan berani bertindak mengatur poli-tikus kerana bertanya.

Jikalau aku menteri pelajaran? Bolehkah aku membayangkan seperti itu tanpa dicurigai oleh kelas kuasawan? Buku itu, buku himpunan esei Democratic Schools: Lessons in Powerful Education yang pernah aku baca pada tahun 2010 menggelora kembali. Aku pernah membayangkan, mengkhayal sekolah-sekolah demokratik dibenar wujud di negara ini. Sekolah-sekolah demokratik telah menjadi ikutan perlahan-lahan di Barat.

Malah sudah pun menjadi alternatif di Thailand dan Indonesia. Ia sama sekali berbeza dengan sistem konvensional. Di Risinghill School London, Kluch School Moscow, Neue Schule Hamburg, Manhattan Free School New York, Guus Kieft School Amsterdam dan banyak lagi, guru-guru bukan lagi autoriti yang mempunyai kuasa penuh menjawab dan membentuk peribadi manusia.

Sekolah Steiner

Guru-guru kini setara dengan anak-anak, kerana setiap dari insan akan saling belajar. Satu soalan sukar akan menyebabkan seorang guru mencari jawapan yang memuaskan dan tiap ia ditanyakan lagi, sang guru juga akan terus belajar. Proses itu menjadikan setiap lapis terpelajar dan tiada kotak atau katik, tiada bantut atau buntut. Di sekolah demokratik, seorang guru dilihat sebagai mempunyai kemampuan terbatas kerana mereka bukan wali. Mereka juga manusia seperti anak-anak.

Guru dan murid di sekolah demokratik membahu tanggungjawab yang sama untuk setiap tindakan dan juga keputusan mereka. Di sekolah seumpama ini, pendekatan mengajar adalah interaktif di mana murid tidak disuruh apa yang mereka harus atau jangan belajar. Di sekolah demokratik murid menentukan hala tuju sekolah mereka. Bolehkah demikian? Percaya dan yakin menjadi kata kunci. Mereka akan belajar dari kesilapan secara demokratik. Dan guru diajar yang anak-anak tidak wajar ditertawakan kerana jika kita, termasuk ibu bapa percaya kepada kebolehan, bakat dan kemampuan mereka, biasanya akan tercipta keluarbiasaan.

Buku Democratic Schools: Lessons in Powerful Education itu memuatkan prakata James A Beane dan Michael W. Apple yang menekankan, sekolah demokratik adalah untuk kita semua; anak-anak, guru, ibu-bapa dan pemerintah yang percaya bahawa pendidikan juga harus menjadi pilihan rela tanpa paksa. Sekolah demokratik ialah tentang anak-anak yang dicanai menjadi kreatif, supaya kelak menjadi orang dewasa yang demokrat dan tidak lagi dikotak dikatik dibantut dan dibuntut.

Jikalau aku menteri pelajaran? Bolehkah aku membayangkan seperti itu tanpa dicurigai oleh kelas kuasawan? Aku pernah membayangkan, mengkhayal sekolah-sekolah Waldorf Steiner dibenar wujud di negara ini, dengan sedikit perubahan mengikut konteks negara dan umat ini tentunya. Aku mengkhayalkan untuk membina sekolah-sekolah model Rudolf Steiner (1861 – 1925) pendidik Austria yang membangunkan gagasan ‘anthroposophy’ versinya sendiri.

Sekolah Waldorf Steiner bukan sejenis khayalan sekolah permata atau kluster. Ia bukan pula sebuah sekolah privat untuk anak-anak kelas atasan yang berniat untuk membesarkan lagi jurang kelas. Malah Steiner mengasaskan sekolah yang pertama mengikut acuan ini di Stuttgart pada tahun 1919 untuk anak-anak buruh dan pekerja kilang rokok Waldorf-Astoria.

Waldorf Steiner membahagikan pembangunan anak-anak dari lahir ke usia enam atau tujuh tahun, kemudian dari usia tujuh ke empat belas tahun; dan terakhir dari usia empat belas ke lapan belas tahun. Di kelas tadika Waldorf ia berfungsi untuk menggali dan membaja sikap alamiah anak-anak dan keyakinan bahawa alam dan bumi ini adalah warisan yang perlu dipelihara. Nah, tidakkah kita ini terpilih sebagai khalifah di dunia ini?

Di peringkat rendah anak-anak diajar menggunakan sepenuhnya elemen artistik meliputi ritma, gerak, warna, baca, lagu dan muzik. Di peringkat yang lebih tinggi, kurikulum Steiner menekankan formula penerokaan, refleksi dan eksperimen saintifik dengan menghubungkan ia kepada dunia secara luas. Tiga formula itu dilancarkan oleh dokongan pengalaman peribadi, keupayaan berfikir dan membuat pertimbangan tentang sesuatu yang telah dipupuk sejak dari tunas atau rebung.

Sekolah Steiner yang pertama dibuka di Jerman adalah pada tahun 1919, di United Kingdom yang pertama adalah pada tahun 1925. Hari ini terdapat lebih 1,200 sekolah Steiner di seluruh dunia di enam puluh buah negara. Tidak, ia bukan sekolah swasta untuk anak-anak intan permata terpilih sahaja.

Pendidikan Steiner di 36 buah sekolah di United Kingdom dan Ireland, termasuk di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat kebanyakannya adalah ‘state-funded schools’ yang tidak mengkhas atau mengehadkan murid-murid kelas atas atau menengah sahaja sebagai mutiara yang layak memasukinya.

Yang mengajar mesti belajar

Mutiara di lumpur dan pelimbahan juga disambut. Memang gagasan ‘hikmah’ atau ‘anthroposophy’ Waldorf Steiner itu kontroversial kerana ia dibaur oleh idea-idea tentang astrologi, spiritualisme, rosicruciansime, mistisisme Kristian dan segala macam sumber gnostik dan esoteris. Untuk kaum Muslim, pendekatan Steiner yang telah aku sebutkan tadi dapat diadaptasi diakomodasi dan diakulturasi daripada pemikir-pemikir Islam yang agung, mungkin dikonstruksi semula daripada al-Ghazali, atau kalau tidak berkenan dengannya boleh sahaja mencuba berdasarkan akar falsafah Ibnu Sina, Ibnu Farabi dan Mulla Sadra.

Tentu, sekolah demokratik dan sekolah Steiner akan menggugat status dan kelas, kepentingan dan kedudukan. Sekolah seumpama ini hanya akan melahirkan generasi atau rakyat yang berani. Rakyat yang berani adalah rakyat yang menggugat. Rakyat tidak wajar diberi keberanian. Pendidikan harus menjadikan mereka hidup dalam ketakutan apabila dewasa kelak.

Takut untuk bertanya, sementara yang ditanyai takut jika ada pertanyaan. Sekolah harus menjadi kotak yang dapat mengkatikkan budak-budak. Sekolah dan pendidikan mestilah berjaya membantut dan akhirnya mereka akan membuntut. Aku bukan menteri pelajaran. Aku bukan poli-tikus. Anak-anak kita adalah sekandang hewan yang tidak dibenar bertanya, dan disuap rumput-rumput ketamadunan yang kita perasan adalah berkelas dunia. Kita tidak menyediakan anak-anak kita pengasahan bakat dan kebolehan untuk beraksi, supaya tidak canggung bergaul dan menjadi anggota masyarakat apatah lagi dunia. Kita telah membunuh keupayaan akal mereka di pra sekolah.

Kita rela anak-anak tidak bertanya kerana kita tidak mahu mencari jawapan tersebut. Kita adalah pusingan hamba yang akan mengukuhkan lagi kedudukan dan status poli-tikus yang mencipta dasar perhambaan ini. Anak-anak akan besar dan keluar sebagai individu dua puluh tahun lagi. Individu seperti apakah mereka? Individu yang beriman tanpa bertanya malah tidak boleh bertanya. Mereka akan menjadi lembu, hamba, dan lingkaran jahat ini akan berterusan.

Hanya bangsa, ibu-bapa, guru dan anak-anak yang tekad ingin memecah sumpahan tujuh keturunan ini sahaja akan berjaya. Sungguh-sungguh aku tidak dapat menyangkal lagi, detiknya akan tiba apabila aku perlu menghantar anak-anakku ke sekolah untuk mereka keluar menjadi hewan, robot atau insan terpenjara akal.

Melainkan aku bertindak sekarang. Di rumah aku dapat mencipta sekolahku sendiri. Sebuah sekolah yang akan membolehkan anak-anak bertanya supaya akal mereka berfungsi sempurna. Sesungguhnya beriman dari tanya lebih baik dari beriman tanpa tanya. Sesungguhnya mengakui tidak mempunyai jawapan kepada anak-anak dan berjanji akan mencarinya untuk pelajaran kedua-duanya; ibu bapa dan anak-anak lebih baik dari tidak belajar sama sekali.

Aku dapat mendirikan sekolah demokratikku sendiri. Aku dapat mendirikan sesuatu sepertinya pendidikan Waldorf Steiner yang mungkin berbumbukan falsafah yang sudah digaris Al-Ghazali, atau Mulla Sadra. Untuk itu aku mesti bertanya dan membaca. Untuk itu aku mesti berani menyoal kenapa. Untuk itu aku mesti menjadi seperti yang disebut Seneca, “yang mengajar akan, atau mesti juga belajar”. Kenapa? Ini kerana yang beriman dengan tanya jauh lebih baik daripada yang beriman tanpa bertanya.


FAISAL TEHRANI atau nama sebenarnya Dr Mohd Faizal Musa pengarang terkenal dan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).