Kekalahan mengejut Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock di Parlimen Kota Melaka yang merupakan kubu kuat DAP sejak 1969, pasti memuramkan kegembiraan parti itu selepas berjaya menambahkan kerusi Parlimen (dari 10 kepada 12) dan mengembalikan pemimpin veterannya Lim Kit Siang dan Karpal Singh ke Dewan Rakyat yang tanpa mereka sejak lima tahun dahulu.
Dan keputusan beliau untuk meletak jawatan setiausaha agung DAP pada 28 Mac lalu, juga adalah di luar sangkaan. Serentak dengan itu, beliau turut mengumumkan keputusannya untuk bersara daripada politik.
Kekalahan beliau di Kota Melaka merupakan suatu pukulan hebat terhadap DAP. Sungguhpun keperluannya meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab akibat kekalahan itu, boleh dipertikaikan, tetapi budaya politik seperti itu, rasanya patut dialu-alukan memandangkan DAP sering mendesak pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya berbuat demikian.
Namun, pengumumannya untuk terus bersara dari politik bukan saja di luar dugaan, tetapi seolah-olah mendedahkan krisis dalaman DAP yang selama ini gagal diatasi, sungguhpun retorik pembaruan atau reformasi, tidak putus-putus dicanangkan dari masa ke semasa.
Dengan tegas beliau menafikan bahawa kekalahannya di Kota Melaka menjadi punca beliau bersara, kerana beliau bukanlah jenis manusia "kiasu" (dialek hokkien, yang bermakna tidak berani menghadapi kegagalan).
