Akhirnya setelah hampir 9 tahun skandal Perwaja Steel terbongkar, Tan Sri Eric Chia masuk dalam tahanan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Syabas kepada pucuk pimpinan negara dan pihak berkuasa kerana mampu memupuk keberanian untuk bertindak terhadap bekas orang kepercayaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Telah sekian lama rakyat mempersoalkan kewibawaan BPR dan pucuk pimpinan negara dalam memerangi rasuah. BRP sering dicop lembik, tidak bertaring dan tunduk pada telunjuk individu tertentu. Namun semalam biro pencegah rasuah itu kembali menjadi " jantan " dengan menangkap Eric Chia yang sudah sekian lama disiasatnya.
Sejak meninggalkan Perwaja Steel pada tahun 1995, bekas Pengarah Urusan syarikat besi nasional itu dituduh dengan pelbagai tuduhan penyelewengan. Siasatan terhadap beliau kononnya sedang dijalankan, meranjau dari Kemaman hingga ke Jepun dan akhirnya ke Switzerland. Namun BPR dan pucuk pimpinan era Dr Mahathir seperti hilang punca mencari bukti dan rekod-rekod yang boleh membawa Eric Chia ke mahkamah.
Kelembapan dalam siasatan terhadap Eric Chia itu akhirnya menjadi kudis bagi pemerintahan Dr Mahathir. Beliau telah dicop sebagai tidak serius memerangi rasuah dan penyelewengan serta seolah-olah mahu melindungi Eric Chia.
Namun sebaik sahaja Dartuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri beliau telah melancarkan perang terhadap rasuah dan penyelewengan. Beliau telah mengarahkan sisatan kes Perwaja disegerakan. Dan tiba-tiba semalam seluruh negara dikejutkan dengan penahanan Eric Chia.
Manusia istimewa
Eric Chia adalah manusia istimewa pada era Dr Mahathir. Beliau bukan diplomat tetapi mempunyai pasport diplomatik. Beliau boleh masuk pejabat Perdana Menteri tanpa banyak bicara. Eric Chia dilihat sebagai "role model" kerana berjaya "memulihkan" Perwaja Steel.
Namun langit tidak selalu cerah, akhirnya skandal Perwaja Steel terbongkar dengan kerugian hampir RM10 billion. Eric Chia meninggalkan syarikat itu pada 1995 dan sejak itulah skandal syarikat besi negara itu menghantui Dr.Mahathir .
Rakyat memang tidak menjangka penahanan Eric Chia akan berlaku begitu cepat. Malah masih ramai yang sangsi terhadap keseriusan Abdullah dalam memerangi gejala ini. Ramai yang menganggapnya sebagai retorik semata-mata. Namun penahanan Eric Chia itu sedikit sebanyak membuka mata semua pihak terhadap ketegasan Perdana Menteri memerangi jenayah ini.
Malah sumber-sumber yang layak dipercayai menyatakan, beberapa lagi tangkapan membabitkan VIP akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Kita berharap ia akan benar-benar berlaku. Kita tidak mahu hanya Eric Chia yang masuk pukat sedang banyak lagi jerung terlepas. Penahanan usahawan terkenal ini harus menjadi langkah pertama terhadap langkah tegas memerangi korupsi.
Urusniaga biasa
Rakyat mengalu-alukan tindakan kerajaan itu, kerana jenayah rasuah ini mesti diperangi hingga ke akar umbi. Sejak sedekad yang lalu, kita dapat saksikan gejala ini menular dalam sektor awam dan swasta. Dalam keghairahan kita mengejar wawasan 2020 ada pihak seolah-olah menghalalkan perbuatan haram ini. Rasuah, makan suap atau apa sahaja nama dan bentuknya, dilihat sebahagian daripada "urusniaga" biasa.
Akibatnya pentadbiran Dr Mahathir dipalitkan dengan pelbagai tuduhan rasuah dan penyelwengan hingga membabitkan beberapa orang menteri kabinet. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mahu bertegas memerangi gejala haram ini, namun hasrat beliau tidak disokong oleh sebahagian peimpin ketika itu.
Akhirnya Anwar merengkok dalam penjara sedangkan beberapa orang pemimpin termasuk menteri kabinet yang didapati melakukan penyelewengan lepas bebas hingga ke hari ini.
Kini Abdullah dibebankan dengan tegas untuk untuk membersihkan imej kerajaan dan pihak berkuasa yang sudah tercalar sejak 10 tahun lalu. Beliau perlu segera bertindak supaya kudis yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir itu tidak menghantui pemerintahannya. Beliau tidak boleh mendukung biawak hidup kalau mahu menjadikan era pemerintahannya bersih, telus dan cekap.
Di dalam kecemerlangan yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir itu sebenarnya terdapat banyak daki-daki di celahnya. Tugas membersih serta membuang daki dan kekotoran itu kini berada di tangan Abdullah. Ia satu tugas berat namun jika berjaya dilakukan dengan berkesan, imej dan kewibawaan beliau serta kerajaannya akan melonjak.
Dari segi pembangunan dan kemajuan, sebenarnya Abdullah tidak perlu bertungkus lumus lagi. Semuanya sudah ada. Beliau sepatutnya menumpukan perhatian pada pemulihan imej terutamanya menjelang pilihanraya umum ke-11 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Gimik politik
Tindakan terhadap Eric Chia ini sangat penting bagi pemulihan imej kerajaan. Diharapkan pendakwaan dan perbicaraannya tidak akan memakan masa yang lama. Kita berharap ia akan berkesudahan dengan kejayaan di pihak pendakwa. Semoga tidak timbul soal ketidakcukupan bukti dan akhirnya memalukan BPR sekali lagi.
Semoga penahanan Eric Chia dan perang terhadap korupsi bukan gimik politik semata-mata. Diharapkan perang terhadap rasuah akan berterusan walaupun selepas pilihanraya umum. Janganlah tindakan terhadap bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel itu dijadikan drama dan umpan politik.
Bagi BPR pula, bola sekarang di kaki anda. Kalau dulu mungkin kaki dan tangan terikat ke belakang, namun kini lampu hijau untuk bertindak telah diberikan oleh Perdana Menteri. Inilah masanya bagi biro itu memulihkan imejnya telah tercemar sejak 10 tahun lalu.
Dan bagi Dr Mahathir, penahanan rakan baiknya itu sepatutnya menjadi tamparan besar kepadanya. Beliau patut angkat topi pada Abdullah. Dan jangan lupa, dalam kehangatan orang ramai berbicara tentang penahanan Eric Chia, ada pemimpin dan tokoh korporat lain yang seperti cacing kepanasan.
Mengapa? Takut akan menerima nasib yang sama seperti Eric Chia?
