Entah malaaun mana yang menetapkan jika ada penyapu baru yang menerima jawatan maka wajib dilihat prestasinya dalam masa satu ratus hari. Hairan bin Takjub kenapa pula seratus hari, apa dasar patukan yang meminta seratus hari ini dianggap sebagai jangka masa keramat.
Kenapa tidak 73 hari setengah atau 67 hari. Angka seratus hari kini hanyalah satu angka klise yang paling membosankan, lebih membosankan dari menonton berita RTM.
Kalau teruna dan dara berkahwin (bukan zaman sekarang - zaman Tok Kaduk dahulu) mungkin masuk akal juga angka seratus hari ini. Di zaman itu, pengantin disandingkan tanpa mengenali satu sama lain. Mereka tidak pernah menonton cd Pramugari Terlampau atau melihat gambar Linda Raffar dengan seorang anak muda dari Setiawangsa, justeru, pasti ada segan silu untuk mengenal tubuh badan masing-masing.
Seratus hari itu adalah jumlah waktu yang dianggap cukup untuk mencuba, meraba, mencari, menduka dan merasa.
Tetapi semua ini telah jauh berubah. Dua minggu ini semenjak penyapu baru opps..maaf, Perdana Menteri baru kita telah sampai ke Putrajaya; telah mula muncul angka klise seratus hari ini. Telah mula didengarkan pemola-pemola (perkataan dari Negeri Sembilan membawa erti pelawak) dari pelbagai lapisan yang membuat pelbagai tuntutan (sic).
