Walaupun telah membuat keputusan mahu bersara, namun Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad terus bermain politik. Beliau bukan sahaja menentukan bakal penggantinya, malahan cuba menentukan siapa pula bakal pengganti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Beliau begitu galak memperkatakan siapa yang layak dan tidak layak untuk menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila Pak Lah dilantik sebagai perdana menteri selepas Oktober 2003 nanti. Dr Mahathir nampaknya mahu "memikat" Pak Lah supaya memilih calon yang disenanginya iaitu Datuk Seri Naijb Tun Razak.
Khabarnya Presiden Umno itu "terlepas cakap" semasa bertemu ahli jawatankuasa Umno bahagian Kubang Pasu apabila beliau menyebut Najib mungkin mengambil tempat Pak Lah apabila beliau bersara nanti.
Daripada "terlepas cakap" itu, kini beliau secara terus terang menyatakan Najib adalah calon paling layak untuk menyandang jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.
Katanya, selepas Pak Lah, Najib paling "senior" dan paling berpengalaman dalam kerajaan. Oleh itu, beliau paling layak mengisi jawatan yang akan dikosongkan oleh Pak Lah nanti.
Dr Mahathir menafikan beliau cuba "mengikat" Pak Lah apabila beriya-iya benar menonojolkan nama Najib sebagai calon TPM.. "Tujuan saya bukan untuk mengikat, tujuan saya ialah supaya tidak ada perebutan," tegas beliau.
Regu Pak Lah
Bagaimanapun, kalangan pemerhati politik membuat tafsiran yang berbeza. Pada pendapat mereka Dr Mahathir mahu memastikan bakal TPM adalah orang disenangi dan dipercayainya.
Menurut mereka, Najib ada tokoh atau Naib Presiden yang disenangi beliau. Bagaimanapun pandangan Pak Lah terhadap anak sulung allahyarham Tun Razak Hussein itu berbeza.
Najib ada saingan politik terdekat Pak Lah. Menurut seorang veteran politik Umno, kedua-dua mereka tidak boleh membentuk satu '
team
' yang sekata kerana kedua-duanya bercita-cita tinggi dan sudah sekian lama menunggu untuk dinobatkan sebagai pemimpin nombor satu negara.
"Regu Pak Lah ialah (Tan Sri) Muhyiddin Yassin. Pak Lah lebih serasi dengan tokoh dari Johor itu. Kalau diberi pilihan, Pak Lah pasti akan memilih Muhyiddin," ujarnya.
Bagaimanapun menurut veteran Umno itu lagi, Muhyiddin bukanlah orang yang disenangi Dr Mahathir. Tambahnya, latar belakang Muhyiddin yang lebih rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan beliau tidak begitu disenangi Perdana Menteri.
"Dr Mahathir tentunya tidak mahu orang yang rapat dengan Anwar naik sebagai Perdana Menteri satu hari nanti. Itu sebabnya Najib menjadi pilihan," jelasnya.
Faktor Anwar
Menurut beliau lagi, Anwar tetap ancaman kepada Dr Mahathir sama ada beliau berada di dalam penjara atau tidak. Sama ada Dr Mahathir masih Perdana Menteri atau telah bersara, bayang-bayang Anwar sentiasa menghantuinya.
Oleh itu orang yang rapat dengan Anwar mesti dihalang daripada menjadi orang nombor satu atau orang nombor dua di negara ini.
Seorang pemerhati politik lain pula berpendapat, Dr Mahathir tidak wajar campur tangan dalam pemilihan bakal TPM kerana itu adalah hak mutlak Perdana Menteri.
Bila Pak Lah menjadi Perdana Menteri, terpulanglah kepada beliau untuk memilih siapa, sama ada dari kalangan tiga orang naib presiden atau tokoh-tokoh lain yang difikirkannya layak dan sesuai.
"Sepatutnya Dr Mahathir mendiamkan diri setelah mengumumkan Pak Lah sebagai penggantinya. Pak Lah patut diberi kebebasan untuk membuat pilihan siapa regunya,"tegasnya.
Kalau Dr Mahathir masih mahu berkuasa dan mahu menentukan siapa penggantinya dan bakal TPM, beliau janganlah bersara, jadi sahajalah Perdana Menteri sehingga ke akhir hayat," tegasnya.
Masuk perangkap
Menurut beliau, tindakan Dr Mahathir mewar-warkan Najib sebagai calon terbaik untuk jadi TPM akan menyekat kebebasan Pak Lah untuk bertindak secara bebas.
Pastinya Pak Lah akan berasa serba salah dan terikat. Perbuatan Dr Mahathir "mengajar" Pak Lah cara-cara untuk memilih calon TPM ini menunjukkan seolah-olah beliau tidak menyakini kemampuan Pak Lah.
Pak Lah perlu diberikan peluang untuk menentukan sendiri masa depan politiknya dan barisan kabinetnya. Mana-mana pihak tidak sepatutnya menekankan bakal Perdana Menteri itu untuk mengumumkan siapa bakal orang nombor duanya.
Adalah terlalu awal untuk memilih bakal TPM sekarang. Pak Lah harus berhati-hati, jangan masuk perangkap. Adalah lebih baik beliau mengumumkan siapa regunya apabila beliau sudah menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang kelima.
Kita perlu ingat 16 bulan adalah satu tempoh yang panjang. Pelbagai perkara boleh berlaku, terutamanya dalam politik Malaysia. Awas Pak Lah, jangan masuk perangkap!
