malaysiakini logo
story-image
ADS

Selepas memberi sidang akhbar setibanya di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di Subang, pada 3 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berucap kepada orang ramai yang datang menyambut kepulangannya daripada percutiannya di Itali.

Sungguhpun penjelasan beliau ditunggu-tunggukan oleh semua pihak, ia tidak dapat menghilangkan segala kesangsian yang timbul akibat perletakan jawatan mengejut beliau pada 22 Jun yang lalu.

Kebanyakan pihak rasanya telah menerima bahawa perletakan jawatan beliau adalah 'ikhlas' , dan beliau telah mengamalkan apa yang diajarkan oleh ibunya: berhenti bila makan tengah sedap!

Pendapat umum media arus perdana lebih kurang telah bersetuju dengan anggapan Dr Mahathir: "Selama 10 hari, saya sempat untuk berfikir panjang dan saya berpendapat keputusan yang saya buat ini adalah baik untuk kita semua, negara, rakyat dan kemajuan bersama dalam negara kita ini."

Sama ada rela atau tidak, pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terpaksa mengakui bahawa jadual pengunduran Dr Mahathir secara licin tanpa perebutan kuasa itu, adalah baik untuk Umno dan BN, juga rakyat dan negara, kerana kestabilan politik dan peralihan kuasa secara aman dan damai adalah penting bagi pemulihan ekonomi dan kesejahteraan negara kita.

Oleh itu, alasan Dr Mahathir bahawa orang tua memang lebih emosional, juga seolah-olah telah diterima. Dan perletakan jawatan secara mengejut itu dipandang sebagai kelakuan orang tua yang emosional, bukan tindakan yang tidak bertanggungjawab atau sandiwara semata-mata.

Tidak ada pemimpin Umno atau BN yang mengendahkan sangat kenapa Dr Mahathir boleh bertindak seorang diri atas masalah yang begitu penting, dan sanggup pula menarik balik perletakan jawatannya sejam setelah diumumkan?

Tindakan ganjil

Kenapa pula kemudiannya diumumkan jadual berundur selepas Oktober 2003? Adakah jadual berundur itu kehendak Dr Mahathir sendiri, atau ia merupakan tolak-ansur antara Dr Mahathir dengan Jawatan Kuasa Pengurusan Umno? Dan kenapa Dr Mahathir sanggup membisu selama 10 hari? Kesemua ini seolah-olah sudah tidak penting lagi.

Sebelum ini, ramai yang percaya Dr Mahathir tidak akan berhenti; beliau akan " die in office ". Nampaknya beliau benar-benar tersepit di antara berhenti dan tidak berhenti. Tindakan beliau yang mengejutkan, ganjil dan tidak tentu arah sebelum ini, juga mungkin membayangkan keadaan tersepit dan sikap serba-salah beliau itu.

Sekarang penyelesaian sudah dicapai: Dr Mahathir akan pergi. Beliau disorak-sorai dan dipuji setinggi langit kerana sanggup berhenti bila kuasanya masih di kemuncak dan andainya beliau ingin meneruskan jawatan sebagai Perdana Menteri, tiada sesiapa yang dapat berbuat apa-apa walaupun tidak bersetuju atau menyokong.

Keadaan sekarang adalah sebaliknya. Pemimpin dan rakyat Malaysia pada umumnya sudah menerima hakikat bahawa Dr Mahathir akan pergi, dan akan pergi dengan cara yang dianggap baik.

Oleh itu, sesiapa yang menentang jadual pengunduran Dr Mahathir tersebut, tentu akan dianggap sebagai pengacau dan ditentang sebagai musuh Umno, bangsa dan negara. Ini seperti tatkala diumumkan bahawa Dr Mahathir telah menarik balik perletakan jawatannya.

Majlis Tertinggi Umno sebaliknya berkeras supaya beliau meneruskan jawatan sebagai Perdana Menteri, dan satu kempen politik besar-besaran dilancarkan di seluruh negara, dan kemuncaknya ialah ribuan rakyat berhimpun di TUDM Subang pada 3 Julai untuk merayu Dr Mahathir supaya terus menjadi Perdana Menteri.

Setelah pendapat umum terbentuk bahawa merayu supaya Dr Mahathir tidak bersara adalah sesuatu yang betul demi kebaikan Umno, bangsa dan negara. Maka sesiapa yang berpendapat sebaliknya dan berani mendesak agar Dr Mahathir berhenti, tentunya dianggap pengacau dan dilayan sebagai musuh Umno, bangsa dan negara!

Tradisi Umno

Demikianlah juga bagaimana media dimanipulasi oleh pihak yang berkuasa dan berkepentingan untuk membentuk apa yang dinamakan sebagai 'pendapat umum' untuk mencapai agenda politik mereka.

Tidak kira secara rela atau terpaksa, atas kehendak sendiri atau akibat kompromi, oleh kerana Dr Mahathir sudi berundur mengikut jadual dan rancangan seperti yang diumumkan dan mungkin juga yang tidak diumumkan (umpamanya calon timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan), maka 'peralihan kuasa secara licin tanpa perebutan kuasa' telah merupakan prinsip utama yang wajib dipatuhi semua pihak.

'Peralihan kuasa secara licin tanpa perebutan kuasa' merupakan apa yang ditakrifkan oleh Dr Mahathir sebagai 'tradisi' Umno. Dr Mahathir menamakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sebagai penggantinya, kononnya mengikut tradisi Umno, begitu juga untuk menamakan pengganti Perdana Menteri adalah hak istimewa Perdana Menteri yang juga Persiden Umno.

Mengikut tradisi ini, patutlah Pak Lah yang menamakan timbalannya, tetapi dengan terburu-buru Dr Mahathir telah menyebut Datuk Seri Najib Abdul Razak, sebagai calon yang paling layak dilantik timbalan perdana menteri, kerana beliau adalah yang paling kanan dan juga untuk mengelakkan perebutan kuasa.

Jika mengikut kekananan, Pak Lah tentu tidak layak dinamakan sebagai pengganti Dr Mahathir. Ramai lagi pemimpin Umno yang lebih kanan daripada Pak Lah, termasuk tiga bekas naib presiden Umno terdahulu  masih ada senjata yang paling canggih, demi 'peralihan kuasa secara licin tanpa perebutan kuasa'.

Maka jelaslah apa yang dinamakan hak istimewa presiden, tradisi Umno, kekananan dalam hierarki Umno, malah 'peralihan kuasa secara licin tanpa perebutan kuasa', kesemuanya boleh diperalatkan oleh mereka yang berkepentingan, meskipun atas nama kepentingan Umno, BN, rakyat dan negara.

Mengikut Dr Mahathir, pemilihan Majlis Tertinggi Umno tahun depan juga akan ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya yang akan datang. Ini bermakna hak perwakilan Umno yang dijamin perlembagaan parti itu akan turut digantung, tentu dengan alasan yang sama: demi kepentingan Umno, BN, bangsa dan negara!


LEE BAN CHEN merupakan penulis dan aktivis dalam bidang pendidikan, politik dan sosial.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.